Wednesday, April 4, 2007
Rakyat Afghanistan
Terpaksa Jual Anak
Untuk Sesuap Nasi
Saya sedih membaca kisah segelintir rakyat Afghanistan yang kini redha melacurkan anak-anak perempuan mereka sekadar untuk mendapatkan sesuap makanan.
Kisah ini terkandung dalam majalah Al-Islam Februari 2007. Ada juga penduduk kampung di barat Afghanistan yang menghadapi krisis makanan akibat kemarau panjang, kini terpaksa mengahwinkan anak perempuan mereka, semuda lapan tahun, bagi mendapatkan sedikit wang untuk menyambung hidup.
Seorang ketua kampung di Houscha, Abdul Zahir, 58, berkata: “kami tidak berbangga dengan apa yang kami lakukan, tetapi terpaksa melakukannya.”
Afghanistan dilanda kemarau panjang sebanyak dua kali dalam tiga tahun kebelakangan ini. Akibatnya, para peladang kehilangan antara 80 hingga 100 peratus daripada hasil mahsul tanaman mereka.
Mangsa terbesar bencana itu adalah kanak-kanak. Ada yang dilacurkan oleh ibu bapanya, ada yang dikahwinkan dalam usia kanak-kanak, ramai yang tidak cukup zat, ramai juga yang mati kebuluran.
Lebih malang lagi, anak-anak perempuan yang semuda lapan tahun pula dikahwinkan pula dengan kanak-kanak lelaki dalam lingkungan usia 13. Akibatnya, mas kahwin pun terpaksa dibayar secara ansuran.
Komen:
Kisah di atas saya paparkan di sini sekadar untuk renungan kita bersama. Beginilah akibatnya negara yang dilanda peperangan. Beginilah nasib rakyat jelata di negara yang sedang dicengkam penjajahan yang dihalalkan menerusi peperangan antikeganasan antarabangsa. Inilah akibat dan musibah yang didatangkan oleh Amerika Syarikat menerusi agenda penjajahan semula (neoimperialisme) di abad ke-21.
Berikut ini saya paparkan pula serba sedikit hasil kajian saya sendiri untuk sebuah buku yang Insya Allah akan saya terbitkan tidak lama lagi
Afghanistan adalah negara yang penting dan strategik kepada usaha pengeluaran, penyaluran dan pengkesportan minyak dan gas cecair asli dari Laut Caspian dan Asia Tengah, menerusi Lautan Hindi.
Jean-Charles Brisard dan Guilaume Dasquie, di dalam buku Forbidden Truth: US-Taliban Secret Oil Diplomacy And The Failed Hunt Fon Bin Laden, menyatakan:
“Afghanistan amat penting kepada mana-mana negara yang mahu menegakkan sumpremasinya di Asia Tengah. Kepada Washington, Afghanistan merupakan zon transit terbaik kepada minyak dan gas cecair asli yang dikeluarkan dari Asia Tengah.”
Berlian Kepada AS
Oleh itu, biarpun miskin, pemerintahannya tidak stabil, rakyatnya menderita dan sengsara, Afghanistan adalah umpama sebutir berlian kepada AS dan beberapa syarikat minyaknya.
Nilai sebenar Afghanistan terletak pada lokasinya yang amat strategik di Asia Tengah. Negara tersebut menjadi lebih strategik kerana rakyatnya lemah, berpuak-puak, berbalah-balah dan berpecah-belah.
Keadaan ini memudahkan mana-mana pihak yang mahu melaksanakan dasar pecah dan perintah serta gerakan neoimperialisme di negara tersebut.
Sebab itulah Afghanistan sentiasa diidam-idamkan oleh beberapa kuasa besar. Sebab itulah beberapa kuasa neoimperialistelah bercita-cita menakluki Afghanistan sejak tamatnya Perang Dunia Kedua. Sebab itulah juga AS dikatakan telah merancang menaluki Afghanistan sejak berakhirnya Perang Teluk pada 1991.
Hakikatnya demikian kerana pihak yang berjaya menguasai Afghanistan pasti akan berjaya menguasai aktiviti ekonomi dan sumber petroleum dan gas cecair asli di Lembah Caspian dan Asia Tengah.
Ketenteraan
Pihak yang berjaya menguasai Afghanistan juga akan berjaya mengimbangi sebarang perkembangan politik dan ketenteraan di Asia Barat, Asia Selatan, Russia dan China.
Di sempadan barat Afghanistan adalah Iran, negara nuklear yang telah dicap oleh AS kononnya sebagai salah satu penaja teroris Islam antarabangsa. Iran pula bersempadankan Iraq, musuh utama AS di Asia Barat sejak 1990 yang telah dilabelkan oleh Presiden Bush sebagai negara paksi kedurjanaan.
Di timur Afghanistan adalah Pakistan, negara yang mempunyai kemampuan nuklear atas bantuan kepakaran China, dan kini dituduh oleh AS sebagai telah menjual rahsia persenjataan nuklear kepada beberapa negara yang disenaraihitamkan oleh AS. Pakistan pula bersempadankan India, juga negara yang mempunyai kuasa nuklear dan bersengketa dengan Pakistan mengenai wilayah Jammu-Kashmir.
Di timur laut, utara dan barat laut Afghanistan adalah bekas jajahan takluk Russia - Kazakhistan, Tajikistan, Kyrgystan, Uzbekistan, Kazakstan, Turkmenistan dan Azerbaijan. Kesemua negara ini mempunyai rakyat sejumlah hampir 70 juta, majoritinya Islam.
Hasil Bumi
Mereka berminat menjual minyak dan gas cecair aslinya untuk membangunkan sosio-ekonominya. Tetapi, mereka enggan saluran paip bagi minyak dan gas cecair aslinya dikuasai oleh Russia.
Begitu pun, mereka juga dipercayai tidak mempercayai AS. Sebab itulah mereka mewujudkan kerjasama dengan China menerusi Shanghai Cooperation Organization.
Keadaan ini berubah selepas Tragedi 11 September 2001 apabila AS diizinkan membina beberapa pengkalan tenteranya di negara mereka. Sebagai ganjaran, mereka memperolehi perlindungan ketenteraan dan lain-lain bantuan daripada AS.
Di samping nilai strategik seperti di atas, Afghanistan juga mempunyai tiga sumber tenaga yang utama - minyak, gas cecair asli dan arang batu. Ia juga memiliki pelbagai logam dan batu permata yang amat berharga.
Menurut M. J. Gohari di dalam buku The Taliban Ascent To Power, Afghanistan mempunyai rizab gas cecair asli sebanyak 5 trillion kaki padu. Pengeluaran gas cecair asli Afghanistan pada pertengahan tahun 70-an mencapai 275 juta kaki padu sehari. Tetapi, sejumlah 31 telaga gas cecair asli terpaksa ditutup berikutan pengunduran Soviet Russia dari Afghanistan pada 1989, dan akibat perang saudara selepas itu.
Russia
Pada 1996, Afghanistan hanya mengeluarkan sejumlah 19 juta kaki padu gas cecair asli sehari untuk kegunaan sendiri. Suatu ketika dulu, Afghanistan pernah merancang mengeksport gas cecair aslinya ke Hungary dan Czechoslovakia. Tetapi, rancangan yang telah didayausahakan sejak awal tahun 90-an itu tergendala akibat penjajahan Soviet Russia dan perang saudara yang berpanjangan.
Di akhir tahun 70-an, Afghanistan juga mempunyai rezab minyak sebanyak 95 juta tong. Satu sumber lain pula menganggarkan rizab minyak Afghanistan adalah sebanyak 100 juta tong. Pada ketika itu terdapat usaha mengkomersilkan pengeluaran minyak di negara tersebut.
Eksplorasi minyak, kerja-kerja pembangunan mengenainya dan rancangan membina loji penapis untuk 10,000 tong minyak sehari telah rancak dijalankan. Bagaimanapun, usaha tersebut juga tergendala sebaik sahaja Soviet Russia menjajahi Afghanistan pada 1979.
Di samping itu, Afghanistan dikatakan mempunyai rizab arang batu antara 73 juta hingga 100 juta ton. Satu sumber lagi menganggarkannya sebanyak 400 juta ton. Sebilangan besarnya terdapat di di antara Herat dan Badashkan di wilayah utara negara tersebut.
Permata
Pada waktu yang sama, Afghanistan memiliki beberapa jenis logam dan batu permata yang berharga. Afghanistan mempunyai beryllium, sejenis logam yang lebih ringan daripada aluminum, tetapi enam kali lebih kukuh daripada besi keluli. Logam ini amat penting kepada industri “aeroangkasa, tenaga, pertahanan, nuklear, automotif, perubatan, dan elektronik.” Lain-lain logam termasuklah emas, perak, uranium, tembaga, lead, zing, manganese, besi dan nikel.
Kini, Afghanistan juga mempunyai rizab batu delima yang besar jumlahnya dan amat diperlukan oleh industri laser dan senjata teknologi tinggi, dan nilam yang boleh dijadikan komponen penting di dalam “sniper targetting system” yang dibina oleh Lockheed Martin. Lain-lain batu permata termasuklah zamrud, jade dan lain-lainnya. Majoriti logam dan batu permata ini belum lagi dieksploitasikan secara komersil.
Demikianlah antara profile Afghanistan. Hayati dan insafilah bahawa di abad ke-21 ini kita semua dituntut sentiasa waspada terhadap kedatangan musuh yang tak diundang. Untuk itu, siapkanlah diri kita dengan seluruh kewajaran hidup yang boleh dijadikan benteng mempertahankan agama, bangsa bumi tercinta ini di hari muka. – Ruhanie Ahmad.
Posted by mayaputera at 12:00 AM
No comments:
Post a Comment