Monday, June 11, 2007
Tengku Razaleigh Hamzah
Muncul Sesudah Gerhana?
Hujung minggu ini fikiran saya tambah bercelaru. Bukannya pasal apa-apa yang peribadi. Tetapi perihal tanahair tercinta yang kini dikatakan sedang di ambang gerhana.
Sama ada gerhana bulan, gerhana suria, gerhana siasah atau gerhana iktisad, saya tidak tahu. Saya hanya mendapat maklumat bahawa satu episod gerhana akan mnjelma di Malaysia. Jadi, harap anda semua bersabar, tunggu dan lihat, sama ada gerhana itu benar-benar berlaku.
Bagaimanapun, dalam kecelaruan ini, saya pun baca semula buku Apa Agenda Anwar Ibrahim Dengan Khairy Jamaluddin karya sahabat saya, Saudara Yahya Ismail atau Pak Ya. Kalau apa yang dinukilkan oleh Pak Ya di dalam buku itu adalah hakikat, kata suara hati saya, ke manakah akhirnya kita semua?
Pak Ya juga memaparkan banyak gambar pemimpin UMNO dari semua lapisan di dalam buku tersebut. Tetapi, saya sendiri tidak tahu, mengapakah perhatian saya terpaku kepada foto yang dipaparkan di muka surat 266 di mana Pak Ya memaparkan wajah Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen BN Gua Musang, Kelantan, dengan caption seperti berikut:
Kalau beliau (Tengku Razaleigh) menumpas Mahathir pada tahun 1987, jawatan PM akan disandang oleh beliau. Malangnya, dia gagal. Tapi beliau tidak mudah berputus asa dalam perjuangan dan tidak pernah kalah dalam setiap pilihan raya yang disertainya hingga sekarang. Beliau mempunyai pengaruh, dihormati rakyat dan seorang tokoh politik yang berpengalaman, berwibawa dan boleh menjadi bakal PM. Kalau Tun Mahathir dan Ku Li berkerjasama, besar kemungkinan scenario politik UMNO dan negara akan berubah tidak lama lagi.
Begitulah kata-kata Pak Ya dalam bukunya yang diterbitkan pada Ogos 2006. Saya tidak pasti mengapa Pak Ya memilih caption di atas untuk gambar Tengku Razaleigh yang berpakaian casual. Tetapi, dalam gambar itu, Tengku Razaleigh jelas memberikan satu renungan yang tajam dan penuh bermakna.
Soalnya di sini, mengapakah sewaktu menghadapi kecelaruan ini saya memetik caption Pak Ya mengenai Tengku Razaleigh?
Adakah kerana saya tertawan dengan kata-kata Pak Ya bahawa Tengku Razaleigh “mempunyai pengaruh, dihormati rakyat dan seorang tokoh politik yang berpengalaman, berwibawa dan boleh menjadi bakal PM.”?
Atau, adakah kerana Pak Ya mengatakan bahawa “kalau Tun Mahathir dan Ku Li berkerjasama, besar kemungkinan scenario politik UMNO dan negara akan berubah tidak lama lagi.”?
Saya tidak dapat menjawab persoalan di atas kerana soalan itu menjelma dalam kecelaruan fikiran saya terhadap tanahair.
Tetapi, mungkinkah saya memetik kata-kata Pak Ya mengenai Tengku Razaleigh kerana naluri saya yang sedang dalam kecelaruan ini didorong oleh satu persepsi bahawa Tengku Razaleigh memang tokoh terbaik untuk mengembalikan semula cahaya ria yang akan ditenggelamkan oleh gerhana yang mungkin tiba?
Mungkinkah kini sampai giliran Tengku Razaleigh, putera raja berjiwa rakyat, untuk mewarnakan semula landskap siasah Malaysia selepas gerhana muncul di tanahair tercinta ini tidak lama lagi? – Ruhanie Ahmad
Posted by mayaputera at 3:13 AM
No comments:
Post a Comment