Thursday, August 30, 2007

Friday, May 11, 2007

Suara Hati Anak Buah Panglima Salleh
Sempena Harijadi Umno ke-61 Tahun

Hari ini usia Umno genap 61 tahun. Ramai sahabat meminta saya menulis sesuatu untuk memperingati hari ini. Tetapi, saya masih gagal melakarkan sesuatu untuk parti yang saya kasihi.

Saya gagal menulis sesuatu bukan kerana saya jauh hati. Tetapi, kerana saya agak kecewa dengan apa yang sedang terjadi di negara ini.

Mengapa? Mengapa?? Banyak sebabnya. Tapi, anda gunakanlah akal dan kebijaksanaan sendiri untuk menyenaraikan sebab-sebannya secara satu persatu.

Kepada saya, Umno parti yang didukung oleh majoriti marhaein ini sudah agak melupakan sejarahnya sendiri. Sebab itu Pemuda Umno dah jadi elitis.

Keris diangkat, keris dijulang dan keris dicium di atas pentas dengan kata-kata semangat dihamburkan berdera-derai, kononnya untuk membuktikan kejantanan Pemuda Umno. Cisss takkan Melayu hilang di dunia!!! Tetapi itu cuma untuk PR semata-mata – untuk dapat coverage dalam akhbar dan TV. Dan, untuk mendapatkan backlash yang berpanjangan daripada masyarakat multi-etnik di negara ini.

Umno mutakhir ini juga seolah-olah dah jadi seperti sebuah entiti korporat. Seolah-olah terlalu market-oriented. Nilai-nilai murni kelihatan dikesampingkan. Walaupun jadi tulangbelakang parti pemerintah, segolongan individu Umno seolah-olah sedang hanyut dalam kedahagaan dan kerakusan material yang amat ketara.

Apa sahaja, asalkan ada motivasi material, halal!!. Jual batu dan debu kauri untuk besarkan saiz Singapura, halal!! Jual saham GLCs kepada pihak asing yang mempunyai motif politik tersembunyi, halal!! Jadi proksi asing yang nak bolot kekayaan kerajaan, halal!!!

Memang cetusan rasa ini agak emosi. Tetapi, inilah hakikatnya. Orang Umno yang di kampung-kampung terus setia dengan Umno tanpa dorongan material. Ini kerana Umno memperjuangkan nasib datuk nenek mereka ketika Gagasan Malayan Union dan Mac Michael cuba menghapuskan bangsa Melayu, kesultanan Melayu, Bahasa Melayu dan Agama Islam pada 1946. Mereka juga begitu setia kerana Umno memerdekakan bangsa dan negara ini dari penjajahan.

Tapi, hari ini, fokus terhadap semangat perjuangan kuno ini sudah jadi agak kelabu asap. Nak tunjuk sayangnya kita kepada negara kononnya, maka segelintir Putera Umno pun digereng pergi terjun di Khutub Utara. Hebat bunyinya. Tapi ini kerja membazir dan tidak bijak.

Kalau Umno asalnya dari ceruk kampung dan desa, apa pasal tak balik ke ceruk kampung dan desa untuk tunjuk kehebatan Pemuda Umno dan Putera Umno? Duit berpuluh juta yang dibelanjakan untuk pergi ke Khutub Utara itu alangkah baik kalau dicurahkan ke kampung tempat asal pendukung setia Umno?

Hishamuddin Tun Hussein apa pasal tak minta Pemuda Umno dan Putera Umno pergi ke Kelab Melayu Batu yang jadi tempat perhimpunan rasaksa pada 1946, di bawah pimpinan Datuk Onn Jaffar, di mana slogan Hidup Melayu diteriakkan buat pertama kalinya dengan spontan dan penuh semangat?

Tahukah Hishamuddin atau Khairy Jamaluddin bahawa jeritan slogan Hidup Melayu pertama kali itu membelah angkasa pada suatu hari Jumaat?

Tahukah mereka bahawa slogan itu amat keramat kerana ianya tidak direka dan tidak dibentuk, malahn hanya meluncur keluar dari rongga ribuan Melayu marhein yang miskin dan baru sahaja tamat daripada keganasan dan kezaliman gerombolan komunis bintang tiga?

Tahukah mereka bahawa slogan Hidup Melayu dijeritkan oleh Melayu-Jawa-Banjar-Arab di Batu Pahat pada 1946 kerana pada ketika itu memang Melayu sudah hampir terkubur maruah dan kedaulatannya?

Tahukah mereka bahawa Melayu Batu Pahatlah yang merangka wadah politik yang diberi nama United Malays Organisation (UMO)? Tahukah mereka bahawa UMO inilah yang kemudiannya jadi UMNO?

Tahukah mereka bahawa marhein dan elit Batu Pahat dan seluruh Johor adalah orang yang pertama sekali mendukung semangat perjuangan 46 yang kemudiannya diterapkan jadi semangat perjuangan UMNO?

Tahukah mereka bahawa perlembagaan UMO yang ditulis tangan dalam Jawi masih tersimpan di sebuah perpustakaan kecil di Bandar Penggaram, Batu Pahat?

Tahukah mereka bahawa marhaein Melayu-Jawa-Banjar-Arab yang mendukung cita-cita perjuangan UMNO ini adalah golongan pejuang Melayu pimpinan Panglima Salleh yang telah mengamankan Batu Pahat, Muar dan Pontian daripada keganasan dan kekejaman gerombolan komunis bintang tiga?

Saya pasti mereka tidak tahu dan tidak akan tergerak untuk ambil tahu. Sebab itu mereka terjun di Khutub Utara. Entah terjun entah tidak pun siapalah yang tau!!!!

Saya bangkit dan ungkitkan hakikat di atas bukan untuk glorify Melayu Johor atau menafikan perjuangan seluruh pertubuhan Melayu yang akhirnya merestui kelahiran Umno. Saya ungkit dan bangkitkan hakikat ini kerana saya tau sejarah dan tak rela mana-mana pihak melupakan sejarah awal Umno ini.

Saya huraikan hakikat di atas bukan kerana saya dah benci dengan Umno. Tetapi, saya kecewa bahawa prominennya Umno di Johor dan signifikennya komitmen awal Melayu Johor dan kesultanan Johor terhadap Umno seolah-olah sedang diperlekehkan oleh kepimpinan Umno tertinggi mutakhir ini.

Kalau tidak, kenapa usia 60 tahun Umno dirayakan di Istana Besar Johor, tetapi pembinaan Jambatan Bengkok di Johor Bahru dibatalkan sehingga seolah-olah pemerintahan kita tunduk kepada kuasa asing?

Mengapakah projek itu dibatalkan sehingga maruah dan kedaulatan kita seolah-olah redha kita sendiri cemari?

Mengapakah titah DYMM Sultan Johor yang menyarankan supaya jambatan itu diteruskan pelaksanaannya hanya disifatkan sebagai kata-kata yang kosong?

Kenapakah perlu diwujudkan Wilayah Pembangunan Iskandar kalau semata-mata hanya untuk menimbulkan persepsi bahawa selatan Johor akan jadi wilayah extension kepada Singapura yang telah sekian kalinya melukai jiwa warga Johor?

Saya terpaksa berhenti di sini sebelum melarat lebih jauh. Saya faham cetusan rasa ini tidak politically correct. Bukan kerana ia tidak correct, tetapi kerana menjentik jiwa sesetengah pihak yang merasakan pedasnya. Tetapi, saya yakin ramai juga warga Umno yang merasakan cetusan ini wajar.

Kepada pucuk pimpinan Umno, sayangilah parti ini. Janganlah dibiarkan semakin ramai orang Melayu meluat dengan Umno dan marah dengan Umno akibat karenah dan gelagat segelintir orang-orang Umno. Janganlah diizinkan Umno retak dari dalam. Jangan redhakan Umno diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak, walaupun kecil, tetapi amat materialistik, hipokrit dan munafik. – Ruhanie Ahmad


Posted by mayaputera at 2:43 AM

No comments: