Thursday, August 30, 2007

Singapura Penting Diri’
- Jusuf Kalla Tuduh Jiran
Lindungi Jutawan Rasuah Indonesia
[Utusan Malaysia]

JAKARTA 28 Feb. – Naib Presiden, Jusuf Kalla menuduh Singapura hanya memikirkan kepentingan diri sendiri dan kerana itu ia enggan menandatangani perjanjian ekstradisi dengan negara ini.

Menurut Jusuf, Singapura enggan berbuat demikian kerana mahu memastikan wang rasuah berjumlah berbilion dolar terus disimpan di republik itu.

Katanya, wang itu dibawa keluar dari negara ini oleh jutawan-jutawan Indonesia semasa krisis kewangan Asia pada tahun 1997-98.

“Mereka (Singapura) berfikir dari sudut keuntungan sahaja kerana jika perjanjian ditandatangani, jutawan Indonesia yang korup itu tidak akan mahu tinggal di Singapura lagi.

“Itu sahaja sebabnya. Wang tersebut membantu mengukuhkan ekonomi Singapura.

“Mereka sering mendakwa terdapat begitu banyak rasuah di Indonesia tetapi apabila kita meminta kerjasama untuk memerangi rasuah, mereka menolak,” tegas Jusuf kepada Financial Times.

Tegasnya, ketiadaan perjanjian ekstradisi dua hala boleh diibaratkan sebagai duri dalam daging dalam hubungan antara kedua-dua negara.

Jakarta menganggap perjanjian itu sebagai penting dalam kempennya memerangi rasuah dan mendakwa ramai suspek yang dikehendaki di Indonesia kerana rasuah telah melarikan diri ke Singapura.

Ahli Parlimen negara ini juga mendakwa Singapura digunakan oleh penjenayah Indonesia untuk melakukan pengubahan wang haram.

Singapura yang merupakan sebuah pusat kewangan serantau berkata, langkah- langkah kawalan yang mencukupi diambil untuk memastikan wang haram tidak disimpan di republik itu.

Dalam wawancara sama, Jusuf melahirkan keyakinan ekonomi Indonesia akan mencapai pertumbuhan tujuh peratus tahun ini.

Penyelesaian konflik etnik, ancaman keganasan yang berkurangan dan pembangunan infrastruktur yang lebih pesat adalah antara faktor yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi Indonesia, katanya.

- AFP
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm

Komen:

Orang Melayu-Bumiputera Malaysia perlu fahami kenyataan di atas. Hari ini, kita perlukan pemimpin Malaysia yang benar-benar berani bertegas dengan Singapura, seperti Pak Jusuf Kalla di Indonesia..

Saya katakan begitu kerana hari ini saya rasakan seolah-olah pembesar-pembesar kita sentiasa nak berlembut dengan Singapura.

Bekas bos saya, Tun Musa Hitam, baru-baru ini minta kita jangan takut dengan Singapura. Saya setuju. Rakyat Malaysia memang tak takut dengan Singapura. Rakyat Malaysia, terutamanya Melayu dan Bumiputra, cuma mesti sentiasa berwaspada dan curiga terhadap Singapura.

Kita tidak mahu kedaulatan negara kita yang merdeka ini seolah-olah digadaikan kepada Singapura atas nama diplomasi, atas nama kesejahtraan bersama, atau pun kononnya atas sikap toleransi.

Dari semasa ke semasa saya akan buat banyak lagi posting mengenai Singapura dalam blog ini. Saya akan berbuat begitu kerana dengan Singapura kita perlu berpada-pada. Kita tidak mau dagang lalu ditanakkan, kera di hutan disusukan, ayam di reban mati kelaparan, itik di air mati kehausan! – Ruhanie Ahmad

Posted by mayaputera at 2:36 AM

No comments: