Monday, June 25, 2007
Update:
Ku Li Layak Jadi PM?
Posting saya tengahari tadi yang memaparkan angan-angan blogger Hamizi mengenai pemimpin tertinggi negara, mendapat reaksi positif yang pertama daripada seorang blogger yang menggelarkan dirinya sebagai Haji – seorang bekas pegawai kerajaan. Sedutan komen beliau adalah seperti berikut:
Terus terang saya katakan, kalau saya ditanya soalan, siapa yang layak untuk menjadi Perdana Menteri, jika sekiranya Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak tidak layak mengambil alih jawatan tersebut atas sebab-sebab tertentu, maka saya akan menjawab, Ku Li lah yang paling layak.
Saya bukan orang Kelantan atau Pantai Timur. Saya bukan ahli politik. Saya juga tidak pernah mengenali Ku Li. Namun, sebagai seorang pegawai yang sudah bersara dan pernah bekerja dalam era Ku Li, saya begitu yakin dengan kemampuan, kebolehan, kematangan kebijaksanaan, keterbukaan, semangat bangsa, dan ciri-ciri kepimpinannya yang menyamai TDM.
Hamizi, your dream is my dream!! Kita berdoalah semoga Ku Li mendapat sokongan majoriti rakyat dan bangsa Melayu, termasuk PAS. Beliau adalah jurutera perindustrian dan perdagangan Malaysia.
Saya bukan angan-angan. Tetapi, berilah peluang pada Ku Li memimpin satu penggal menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Demikianlah sedutan komen Haji. Mungkinkah pendapat beliau ini juga dipersetujui oleh sebilangan besar rakyat Malaysia, ahli dan pemimpin UMNO, serta para penyokong BN? – Ruhanie Ahmad
Posted by mayaputera at 11:29 PM
Razaleigh Atau Muhyiddin
Layak Jadi PM Malaysia?
Seorang blogger baru-baru ini mengirimkan kepada saya tentang angan-angannya mengenai kepimpinan tertinggi negara. Menerusi angan-angan itu, blogger berkenaan mencadangkan Tengku Razaleigh Hamzah atau Tan Sri Muhyiddin Yassin “mengambilalih jawatan” Perdana Menteri Malaysia.
Komen berkenaan, daripada blogger Hamizi, Kuala Lumpur, adalah seperti berikut:
“Saya mengharapkan salah seorang daripada dua tokoh ini untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri (angan-angan)... Pertama, Ku Li. Kedua, Muhyiddin Yassin. Insya-Allah.”
Komen di atas mengusik perasaan saya. Lantas, saya jawab: “Banyak perkara bermula dengan angan-angan. Macam mana agaknya jika angan-angan anda jadi kenyataan? Boleh diterima oleh rakyat Malaysia?”
Hamizi menjawab: “Bagi masa sekarang, saya rasa rakyat Malaysia boleh menerima mereka. Cuma persoalan besarnya, adakah UMNO boleh menerimanya kerana ada orang lain yang sudah lama mengintai kedudukan nombor satu dan dua ini akan mula menggunakan taktik cantas-mencantas.”
Saya belum memberikan reaksi lanjut kepada komen terbaru Hamizi. Ini kerana saya tidak termampu untuk menjawab pertanyaan beliau sama ada angan-angan beliau itu akan diterima oleh orang-orang UMNO.
Lantaran itulah saya poskan angan-angan tersebut ke blog ini untuk dikongsikan oleh seluruh warga maya Malaysia. Moga-moga anda dapat membantu untuk menjawab kemusykilan hati kecil Hamizi seperti di atas.
Untuk makluman anda, komen Hamizi adalah berikutan posting saya pada 23 Jun 2007 dalam www.mayaputera.blogspot.com dengan jodol Kekuatan Bangsa Melayu Adalah Pada Sejarahnya.
Posting itu bukan tulisan saya. Tetapi, sebahagian ucapan YB Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) di Seminar Legasi Tun Razak, anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, yang saya poskan untuk renungan bersama.
Bila posting itu disiarkan oleh portal berita www.malaysiatoday-net. ianya diberi byline saya. Ini memberikan gambaran seolah-olah posting itu adalah tulisan saya sendiri. Maka, adalah beberapa komen yang memperkecilkan saya.
Kepada saya, ini tidak jadi masalah kerana ia sekadar membuktikan bahawa ada sesetengah daripada kita kelihatannya gemar menghamburkan kata-kata tanpa usul periksa secermat-cermatnya. – Ruhanie Ahmad
Posted by mayaputera at 2:02 PM
No comments:
Post a Comment