Thursday, August 30, 2007

Saturday, June 30, 2007

Kalau Ku Li Ditakdirkan Jadi PM
Teori RAHMAN Jadi RAHMAT?

Angan-angan yang dicetuskan oleh blogger Hamizi, supaya Tengku Razaleigh Hamzah diberi peluang menjadi Perdana Menteri Malaysia suatu hari nanti, kini mendapat sambutan yang semakin hangat dan menarik.

Bagaimanapun, ramai di kalangan warga maya Malaysia yang turut berangan-angan seperti Hamizi masih yakin bahawa ‘teori’ R.A.H.M.A.N yang sering dikaitkan dengan susunan keperdanamenterian Malaysia tetap akan jadi kenyataan.

‘Teori’ R.A.H.M.A.N wujud daripada singkatan nama-nama perdana menteri Malaysia sejak 1957 hingga sekarang, termasuk nama bakal perdana menteri yang dijangka menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, suatu hari kelak.

Inilah huraian ‘teori’ tersebut: R (Tunku Abdul Rahman Putra) A (Tun Abdul Razak Hussein) H (Tun Hussein Onn) M (Tun Dr Mahathir Mohamad) A (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan N (Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak) yang dijangka menggantikan Abdullah bila tiba waktu dan ketikanya.

Banyak pihak yakin ‘teori’ R.A.H.M.A.N ini, jika dimakbulkan oleh Allah SWT, akan jadi kenyataan. Lantaran itu, teori inilah yang sering diulas dan dipolemikkan bila soal pengganti Abdullah dibicarakan secara terbuka.

Biarpun begitu hakikatnya, hari ini ada pula blogger Malaysia yang menggelarkan dirinya sebagai Harlim, memperkenalkan satu ‘teori’ baru – ‘teori’ R.A.H.M.A.T.

Harlim membuat beberapa posting mengenai ‘teori’ baru ini di dalam portal berita www.malaysia-today-net, sebagai reaksi kepada tulisan saya berjodol Ku Li Sebagai PM, Mahyuddin DPM? Menurut Harlim, bezanya R.A.H.M.A.N dengan R.AH.MA.T adalah pada huruf N dan T.

Beginilah kata Harlim ketika memperkenalkan ‘teori’ R.A.H.M.A.T:

“Teori R.A.H.M.A.N kini bertukar jadi teori R.A.H.M.A.T, di mana T adalah PM kita yang terkhir bagi pusingan pertama sejarah Malaysia. T tersebut adalah Tengku Razaleigh Hamzah. Memang kurniaan Allah kepada rakyat Malaysia melimpahkan RAHMAT NYA sentiasa. T juga merupakan kelompok pertama negarawan ulung yang telah sama-sama banyak menaburkan jasa kepada bangsa Malaysia selama ini. Jadi, sudah sewajarnyalah beliau dinobatkan sebagai PM tanpa soal jawab. Kerana itu, N ataupun Najib, tidak wajar berada dalam kelompok pertama PM Malaysia. Seterusnya teori N.A.J.I.B akan menyusul pula dalam era pusingan kedua PM Malaysia. Yang ini semua orang boleh memasang angan-angan.”

Sebagai respons kepada komen seorang blogger lain, Harlim pula menyatakan seperti berikut:

“Malaysia memerlukan Tengku Razleigh sebagai kuasa pengimbang dan memperbetulkan apa yang telah disongsangkan sekian lama. Kerana itu juga Ku Li tidak perlu bertanding bagi merebut jawatan tersebut kerana beliau adalah layak dan merupakan pewaris jawatan tersebut. Dalam tempoh peralihan ini, Ku Li diperlukan bagi memperbetulkan semula susunan pentadbiran politik dan kerajaan yang nampaknya semakin terumbang-ambing hilang pedoman dan tenggelam punca.”

Begitulah perkembangan angan-angan yang mula-mulanya dicetuskan oleh blogger Hamizi. Saya akan terus memantau reaksi ini untuk dikongsikan oleh seluruh warga maya Malaysia. Dalam posting akan datang, saya akan muatkan reaksi rakyat Sabah mengenai kemungkinan Ku Li jadi Perdana Menteri.

Sebagai penutup kali ini, ikutilah komen anonymous yang diposkan kepada blogs kelolaan saya, seperti berikut:

“Melihat keadaan sekarang ini, saya amat bersetuju Ku Li tampil menerajui negara. Saya juga sangat-sangat bersetuju TS Mahyuddin jadi TPM. TS Mahyuddin akhirnya akan jadi PM. He is the right material. Evidently, look at the ministeries he headed, all became successful. He got brain. A very sober person dan tidak suka diampu. He measures a person by his merit.”

Oleh itu, teruskanlah angan-angan anda semua. Kepada pemantau blog tajaan UMNO, jangan panik dan jangan gelabah. Apa yang sedang dipolemikkan di sini hanya angan-angan blogger Hamizi. Tidak lebih dan tidak kurang daripada itu. Jadi, anggaplah ini sebagai angan-angan Mat Jenin, mengenai seekor burung yang sedang terbang, tetapi sudah dipipiskan lada! – Ruhanie Ahmad

Posted by mayaputera at 12:35 AM

No comments: