Thursday, August 30, 2007

Friday, August 17, 2007

Kemerdekaan Dijadikan
Lesen Halalkan Tindakan?

Di bawah ini saya paparkan satu posting yang dikirimkan oleh Blogger DASA kepada www.kuda-penang.blogspot.com. Saya posting ini di sini sebagai cermin diri kepada anda semua. Saya harap anda akan menghayati maksud dan kata-kata Dasa seperti berikut:

Mengenangkan apa yang berlaku sejak pertengahan dekad 80an, setiap kali kemerdekaan disambut hanya mengecamukkan fikiran dan mengguris hati ini dengan lebih mendalam. Rasa bangga sebagai anak di bumi merdeka dalam ertikata yang sebenar mulai pudar apabila melihat berbagai peristiwa tidak menyenangkan silih berganti.

Walaupun orang-orang British telah lama pergi, pengisian kemerdekaan masih tidak menampakkan sebarang perubahan yang nyata. Kemerdekaan yang diperolehi telah digunakan sebagai lesen oleh segelintir kecil rakyat Malaysia yang berada di persada kuasa untuk menghalalkan apa sahaja yang dilakukan ke atas rakyat Malaysia lain, kononnya atas nama kepentingan negara. Rakyat yang menuntut kebenaran dan hak, dilayan dengan sedemikian rupa supaya mereka tidak lagi berani bersuara. Semuanya atas nama menjaga ketenteraman awam.

Perkembangan beberapa tahun kebelakangan ini hanya menjadikan fikiran dan hati ini semakin kacau. Entah apa yang bakal menimpa sebahagian besar anak-cucu kita. Nilai-nilai kehidupan yang murni hanya menjadi mainan bibir. Bersandarkan kepada tahap kesetiaan yang boleh membuatkan Hang Tuah merasa malu, kekayaan begitu mudah dikumpul sehingga cukup untuk membiayai kehidupan beberapa keturunan.

Masing-masing berebut-rebut menyanjung pemimpin, ahli-ahli keluarga dan orang suruhan mereka, semata-mata untuk mendapatkan perhatian meskipun jasa dan sumbangan mereka masih terhad dan terlalu awal untuk dinilai. Anugerah dan gelaran kebesaran diberikan begitu mudah sehingga membuatkan sesetengah kita tersenyum sinis dan menggeleng kepala. Apa yang lebih memualkan, menara gading yang dikatakan penjunjung nilai-nilai luhur turut serta dalam perlumbaan yang tidak menampakkan sebarang kesudahan ini.

Integriti dan moral tidak lagi dijadikan kriteria utama untuk pemilihan pemimpin dalam organisasi-organisasi utama yang menjadi tunggak kepada pentadbiran negara. Pemimpin-pemimpin palsu sama ada dari segi kata-kata, sikap, tindakan dan kelulusan akademik, terus diberikan ruang dan dimartabatkan oleh kelompok tertentu.

Kedudukan hanya menjadi alat untuk menjaga kepentingan diri dan bukannya platform untuk membantu memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara. Lihatlah sahaja perbezaan kekayaan fizikal mereka yang dipamerkan terang-terangan kepada rakyat sebelum dan selepas menjadi pemimpin. Dan perhatikan nasib rakyat kebanyakan yang terus hidup dalam kesukaran walaupun negara telahpun merdeka selama 50 tahun.

Ingin dijulang sebagai wira, mereka berucap penuh berkobar-kobar di hadapan perhimpunan tertentu bahawa mereka akan bertindak sebagai pembela bangsa, agama, negara serta institusi diraja. Mereka ini gemar menuduh pihak yang tidak sependapat dengan mereka dengan perkataan yang begitu negatif seperti iblis dan pengkhianat. Namun secara realitinya, mereka ini mengikut resmi ayam – kokok berdera-derai tetapi ekor bergelumang tahi.

Mengisi kemerdekaan kini menjadi tugas yang lebih sukar bagi kita semua. Apatah lagi untuk generasi akan datang. Untuk itu, terima kasih wahai para pemimpin.- DASA


Posted by mayaputera at 5:54 PM

No comments: