Thursday, August 30, 2007

Friday, March 30, 2007

Kritikan Tun M Terhadap WPI

Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di selatan Johor, kini menerima kritikan demi kritikan. Terbaru sekali adalah kritikan dan sindiran daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Berikut adalah intisari kepada beberapa kritikan, pertanyaan dan sindiran Tun Dr. Mahathir mengenai WPI yang saya petik daripada beberapa akhbar internet dan media cetak hari ini.

Siapakah yang akan melabur dan membina bangunan di kawasan itu? Sudah tentu orang Israel kerana mereka ada kedutaan di republik itu (Singapura).

Apabila WPI tidak menggunakan pasport, semua orang dari mana sekalipun boleh masuk ke wilayah tersebut.

Apabila bebas masuk, tidak ada ada orang periksa, perompak dan penyangak pun bebas masuk ke WPI.

WPI akan dimasuki oleh perompak dan penyangak. Orang Melayu pula menjadi hamba.

Adakah rakyat Johor rela tanah mereka digadai kepada orang asing (Singapura)?

Orang Johor tidak membantah, seolah-olah mereka rela negeri mereka dijajah semula.

Orang Melayu ada kebolehan. Tetapi, mereka tidak boleh bersaing apabila berada dalam WPI.

Jika WPI dibuka kepada semua orang luar, mengapa kawasan lain tidak berbuat demikian?

Pergilah buka kampung-kampung Melayu kerana kawasan itu tidak ekonomik kepada pembangunan negara.

Serahkan kawasan tersebut kepada orang asing dan biar orang Melayu tinggal atas pokok.

Kritikan, luahan perasaan dan sindiran Tun Dr. Mhathir seperti di atas mencerminkan kekecewaan beliau terhadap WPI. Sentimen ini turut dirasakan oleh segolongan rakyat Johor dan rakyat Malaysia pada hari ini. – Ruhanie Ahmad

Posted by mayaputera at 10:28 PM 0 comments


Kekalkan Kuota Melayu Di WPI
– Tun Dr. M

JOHOR BAHRU 29 Mac – Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu kuota orang Melayu dikekalkan dalam merancang pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di selatan Johor.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, hak yang sedia ada perlu dipelihara bagi mengelak orang Melayu terpinggir dan gagal bersaing dengan pelabur asing di wilayah tersebut.

Beliau menegaskan, peluang perlu diberi kepada orang Melayu terlebih dahulu dan jika mereka tidak berjaya barulah diserahkan kepada pihak lain yang mampu melaksanakannya.

‘‘Saya yakin jika tiada kuota bagi Melayu, siapa sahaja boleh masuk, maka Melayu tidak ada tempat di wilayah tersebut.

‘‘Kita mesti jaga hak dalam wilayah kita, kalau tidak kita hilang harta yang ada,” katanya.

Dr. Mahathir memberi peringatan itu ketika berucap pada Forum Rakyat – Kepimpinan Melayu di Era Globalisasi, di Kelab Putri Kulai, dekat sini yang dihadiri kira-kira 500 orang.

Sebelum ini, Panel Penasihat Lembaga WPI, Tun Musa Hitam dalam satu temu bual dengan agensi berita antarabangsa berkata, Malaysia patut mengecualikan pembangunan di WPI daripada dasar keistimewaan kepada bumiputera bagi membantu menarik dana pelabur asing.

Musa dipetik sebagai berkata, dasar yang memberikan keutamaan laluan kepada bumiputera terhadap kontrak kerajaan mungkin boleh menjadi penghalang kedatangan pelabur asing ke WPI.

Dr. Mahathir juga melahirkan rasa kurang yakin orang Melayu sudah bersedia untuk bersaing bagi menempatkan diri setanding dengan pelabur asing di wilayah tersebut.

‘‘Kalau benarkan mereka (orang asing) masuk, saya yakin negara akan menjadi maju tetapi ia bukan lagi negara kita,” tegasnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm

Komen:

Terima kasih Tun Dr Mahathir. Bersama-sama ini saya paparkan satu posting oleh seorang pengunjung www.kuda-kepang.blogspot.com yang menggunakan nama Highflyer. Posting yang didedikasikan khas kepada Tun Dr Mahathir ini adalah seperti berikut:

Saya serta ramai lagi rakyat Malaysia amat merindui kepimpinan Tun Dr. Mahathir. Kita sememangnya merasa very secured semasa kepimpinannya. Tetapi, sekarang kebanyakan kita rasa seperti sudah tiada tempat perlindungan, sudah tiada tempat untuk bergantung dan keadaan sekarang amatlah menakutkan.

Saya rasa seperti kehidupan kita akan sentiasa terancam, terutama sekali oleh Singapura. Kita harapkan pagar untuk melindungi kita daripada binatang buas, tetapi pagar itu nampaknya semakin reput dan akan runtuh tak berapa lama lagi jika tidak ada apa-apa tindakan daripada kita. – Highflyer, 1.05 tengahari, 30 Mac 2007.

Saya tidak perlu komen lebih panjang. Rasanya, apa yang disuarakan oleh Highflyer seperti di atas cukup mengusik jiwa banyak pihak mutakhir ini. Begitulah hakikatnya. - Ruhanie Ahmad


Posted by mayaputera at 9:16 PM

No comments: