Thursday, August 30, 2007

Thursday, March 29, 2007

Kontroversi Tun Musa Hitam
Bahagian Akhir:

Dasar Kebumiputeraan Di WPI
Globalisasi & Realiti Bumiputera

Oleh Ruhanie Ahmad

Saya berpendapat bahawa tuntutan globalisasi adalah diantara asas utama yang telah mendorong Tun Musa Hitam melontarkan ideanya untuk meminggirkan dasar-dasar kebumiputeraan di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) Johor.

Asas ini valid. Asas ini juga relevan dengan realiti di abad ke-21. Ini kerana kemaraan globalisasi di mana sahaja mutakhir ini memang tidak boleh disekat mahupun dibendung.

Malang sekali idea yang valid, relevan dan digandingkan dengan matlamat meningkatkan persaingan menerusi meritokrasi ini adalah satu idea pragmatik yang mendepani zaman.

Idea ini juga melangkaui kesediaan mental serta psikologi sebilangan orang Melayu-Bumiputra yang sewajarnya sudah dijajarkan dengan tuntutan globalisasi dan liberalisasi.

Lantaran itulah Tun Musa telah menerima kecaman yang keras, panas dan serius dari segolongan orang Melayu-Bumiputera baru-baru ini. Sebagaimana saya huraikan dalam Bahagian Kedua, kecaman dan kemarahan orang Melayu-Bumiputera itu juga akibat perspsi negatif dan prejudis segolongan orang Melayu-Bumiputera terhadap kepimpinan negara dan WPI pada hari ini.

Malang sungguh Tun Musa. Lebih malang lagi bila pucuk kepimpinan negara dan Khazanah Nasional Berhad juga mendiamkan tanpa sebarang reaksi. Ini memberikan gambaran seolah-olah mereka mahu mengasingkan diri daripada idea Tun Musa yang disifatkan sebagai satu kontroversi.

Globalisasi

Bagaimanapun, katakanlah andaian saya benar, bahawa antara faktor yang mendorong Tun Musa mencadangkan agar dasar-dasar kebumiputeraan dimansuhkan di WPI, adalah tuntutan dan realiti globalisasi di abad ke-21, saya yakin hakikat globalisasi dalam konteks kebumiputeraan ini juga akan mencetuskan kebimbangan di kalangan sesetengah rakyat jelata Malaysia yang arif mengenai globalisasi.

Memang globalisasi tidak boleh disekat. Tetapi, globalisasi juga tidak boleh dipandang ringan. Gelora, arus dan badai globalisasi mengandungi muslihat, perangkap dan jerat.

Hakikat seperti ini menuntut semua pihak sentiasa waspada dan bersiap sedia. Semua negara, besar dan kecil, perlu mengharungi globalisasi dengan persiapan yang yang berpandangan jauh, teliti, rapi, padat, mampat, komprehensif, dan berkesan.

Persiapan yang dimaksudkan adalah dalam bentuk undang-undang, dasar, strategi dan program. Ia juga merangkumi persiapan sikap, minda dan psikologi di kalangan rakyat jelata di semua peringkat umur dan di semua tahap ekonomi.

Kedua-dua aspek persiapan ini penting untuk mengelakkan globalisasi melanda sesebuah negara dan sesuatu bangsa dengan implikasi yang negatif. Dalam konteks Malaysia, kedua-dua aspek persiapan ini juga penting untuk mengelakkan ciri-ciri, elemen-elemen serta dasar-dasar kebumiputeraan dihakis oleh gelora globalisasi.

Jika tuntutan globalisasi mahu dilaksana atau diterapkan ke dalam sesuatu sistem kenegaraan dan sosio-ekonominya tanpa persiapan di atas, kuasa besar yang menguasai modal, kepakaran pengurusan dan teknologi akan beroperasi di sesebuah negara secara maharajalela, bongkak dan sesuka hati.

Anjakan Paradigma

Akibatnya, para pemodal asing ini akan mempengaruhi sistem pentadbiran, undang-undang, politik dan sosio-ekonomi di negara tersebut tanpa mengambilkira kesejahteraan rakyat jelata setempat. Mereka juga akan mencorakkan masa depan negara dan bangsa tersebut tanpa sebarang obligasi.

Jika perkembangan seperti ini terjadi, apatah lagi di Malaysia, akibatnya ialah negara yang terbabit akan seolah-olah kehilangan kuasa, ekonominya akan dijajah, bangsanya akan ditimpa kesusahan dan politiknya pula akan jadi kucar-kacir.

Reaksi masyarakat Melayu-Bumiputera terhadap idea Tun Musa untuk meminggirkan dasar-dasar kebumiputeraan di WPI ketika ini adalah diantara kesan awalan kepada percubaan melaksana serta menerapkan tuntutan globalisasi tanpa persiapan yang teliti, komprehensif dan berkesan.

Oleh itu, pada pandangan saya yang tak seberapa ini, gagasan Tun Musa mengenai peminggiran dasar-dasar kebumiputeraan di WPI atau pun di seluruh Malaysia, walaupun valid dan relevan dengan zamannya, wajarlah didahului dengan seluruh persiapan yang saya huraikan di atas, dengan serapi-rapinya.

Kalaulah kemaraan globalisasi menuntut dasar-dasar kebumiputeraan dihapuskan oleh kerajaan, contohnya, nasib dan masa depan orang Melayu- Bumiputera di era globalisasi wajar dan perlu dikaji secara serius, meluas dan mendalam.

Orang Melayu-Bumiputera perlu sentiasa diberikan perlindungan dasar dan undang-undang supaya dapat mengharungi globalisasi dengan penuh kejayaan. Mereka perlu diinsafkan supaya menukar sikap, mentaliti dan persepsi terhadap kehidupan di era globalisasi. Mereka perlu diberikan dorongan dan semangat untuk bermati-matian mempertahankan segala apa yang telah mereka capai pada hari ini menerusi satu anjakan paradigma yang tersusun dan menyeluruh.

Meritokrasi

Orang Melayu dan Bumiputera perlu digalak dan didesak untuk meningkatkan usaha mencapai ilmu supaya mereka mampu bersaing dengan bukan Melayu dan komuniti jagat di era globalisasi. Mereka mesti diberi ingatan untuk terus mempertahankan kemerdekaan serta kedaulatan tanahair menerusi meritokrasi.

Orang Melayu dan Bumiputera mesti insaf bahawa di era globalisasi, mereka tidak mempunyai waktu untuk bersikap sambil lewa. Sebaliknya, mereka perlu menggemblengkan tenaga, sumber serta pemikiran masing-masing ke arah mempertahankan survival bangsanya di era globalisasi.

Ini bermakna bahawa mereka mesti bersatupadu pada setiap masa. Ini bermakna mereka mesti bekerja keras secara bijaksana untuk menguasai ilmu dan maklumat, untuk memperolehi kemahiran dan kepakaran dan untuk meningkatkan produktiviti, dayasaing serta dayatahan supaya mereka mampu bersaing dengan sesiapa sahaja menerusi sistem meritokrasi, tanpa mudah menyerah kalah atau perputih mata.

Kerajaan pula perlu memainkan peranan strategik untuk menjamin survival orang Melayu-Bumiputera di era globalisasi. Antaranya, kerajaan hendaklah mempastikan pencapaian segala matlamat pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat disesuaikan dengan kemaraan globalisasi.

Matlamat ini penting kerana pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat berkait rapat dengan usaha memperbaiki status sosio-ekonomi orang Melayu-Bumiputera. Peranan ini juga penting kerana usaha membasmi kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat adalah teras utama kepada kewujudan perpaduan nasional yang menjamin kestabilan sosio-ekonomi dan politik Malaysia selama ini.

Peranan ini memang mengenepikan prinsip meritokrasi dan level playing field. Tetapi, kalau perlu diubah, lakukanlah perubahan secara rapi dan bijaksana. Maka, jika meritokrasilah yang akan menjadi paksi kepada pembangunan negara dan modal insan di abad ke-21 ini, pastikanlah soal-soal disparity and inequality atau soal-soal perbezaan dan ketidaksamarataan di antara kaum di dalam pelbagai bidang, ditangani secara bikaksana. Hakikat ini signifiken kerana globalisasi juga mempunyai tendensi mewujudkan inequality atau ketidaksamarataan yang lebih luas.

Terpinggir

Pendek kata, kerajaan mestilah menyiap-sediakan negara ke arah globalisasi dan liberalisasi secara bijaksana supaya pendemokrasian dalam banyak aspek perniagaan, perdagangan dan perindustrian tidak menyebabkan orang Melayu-Bumiputera jadi terpinggir dan melarat di hari muka.

Demikianlah reaksi akhir saya kepada gagasan Tun Musa. Saya berpendapat begini kerana globalisasi yang didorong oleh pemikiran neoliberal, janganlah diizinkan untuk mendorong para pemodal yang datang ke negara semata-mata atas motivasi keuntungan semaksima yang mungkin. Keadaan sebegini akan membentuk satu susunan masyarakat yang dibelenggu oleh jurang perbezaan ekonomi dan sosial yang semakin lebar.

Oleh itu, saya cadangkan Tun Musa untuk menggesa kerajaan menggabungkan usaha mencipta nilai, meningkatkan dayasaing, merealisasikan potensi, mencungkil bakat, memupuk kreativiti serta merangsang innovasi seperti yang dituntut oleh globalisasi dengan usaha membanteras jurang sosio-ekonomi yang tercipta di dalam sistem dan rejim ekonomi yang lama.

Pada waktu yang sama, saya juga berharap Tun Musa akan mengingatkan kerajaan supaya soal kepelbagaian kaum serta jurang perbezaan yang masih wujud di Malaysia hari ini tidak sekali-kali dikompromikan dengan tuntutan meritokrasi, level playing field ataupun market capitalism seperti yang dianjurkan oleh globalisasi.

Tun Musa berhak menyuarakan apa yang telah disuarakannya tempoh hari. Masyarakat umum juga berhak memberikan reaksi sebagaimana yang sedang dicetus dan dipolemikkan ketika ini.

Bagaimanapun, buanglah yang keruh dan ambillah yang jernih. Demi bangsa dan negara, sama-samalah dicari jalan ke arah kesejahteraan yang berkekalan di era globalisasi. Cari dan rintislah jalan itu secara terancang, komprehensif dan bijaksana, supaya ciri-ciri Melayu-Bumiputera dalam dasar pemerintahan negara tidak digolok-gadaikan dengan sewenang-wenangnya menerusi globalisasi!

Posted by mayaputera at 1:28 AM

No comments: