Thursday, August 30, 2007

Saturday, June 23, 2007

KEKUATAN BANGSA MELAYU
ADALAH PADA SEJARAHNYA

Tengku Razaleigh Hamzah

Pembangunan negara atau bangsa harus berlaku dan dilakukan dalam konteks tertentu. Konteks paling penting ialah sejarah bangsa kita. Antara lain, ini bererti kita mesti mengetahui apakah kekuatan yang sudah lama ada pada bangsa Melayu di rantau ini – rantau besar yang disebut oleh orang Barat sebagai The Malay Archipelago, dan menggunakan kekuatan itu sebagai asas pembangunan semula bangsa dan negara kita selepas kemerdekaan.

Stamford Raffles menggunakan istilah the Malay nation, tidak ‘the Malay tribes’, apabila dia bercakap tentang tamadun Melayu. Apabila kita mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957, kita bukan merupakan bangsa baru. Negeri kita bukan negeri atau negara baru [a new nation] yang baru lahir setelah kita mencapai kemerdekaan.

Kita sebenarnya sudah mempunyai negeri atau negara dan kerajaan sejak abad ke-13. Sepanjang kehadiran dan penjajahan kuasa-kuasa Barat [Portugis, Inggeris dan Belanda] di kawasan kita, baik di Tanah Melayu, mahupun di kawasan yang sekarang disebut Indonesia, negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu tidak hapus dan tidak hilang. Tetapi kekal sampai sekarang.

Kekuatan apakah yang ada pada bangsa Melayu sehingga tiga kuasa Barat itu tidak berjaya memusnahkan negeri-negeri Melayu dan memecahkan bangsa Melayu menjadi suku-suku kaum atau ‘tribes’ yang tidak bernegeri seperti yang berlaku pada penduduk pribumi di Amerika, di Australia dan di New Zealand?

Kekuatan yang ada pada bangsa Melayu sepanjang sejarahnya ialah perpaduan. Ini timbul daripada adanya kesedaran di kalangan orang Melayu, di mana pun mereka berada, bahawa mereka adalah anggota dalam satu kesatuan sosiobudaya dan sosiopolitik yang disebut bangsa Melayu atau the Malay nation, kata Raffles.

Empat faktor yang membentuk perpaduan Melayu dan yang berjaya mengekalkan identiti bangsa Melayu sepanjang sejarahnya ialah: Bahasa Melayu, budaya Melayu, Islam, dan keterbukaan minda bangsa Melayu.

Kita tahu bahawa di rantau kita ini terdapat banyak sekali dialek Bahasa Melayu – dialek negeri dan dialek daerah. Tetapi, di atas segala dialek ini telah muncul satu ragam Bahasa Melayu yang kita sebut bahasa persuratan atau sekarang kita sebut Bahasa Melayu kebangsaan. Bahasa inilah yang menyatukan bangsa Melayu, tidak kira di manakah mereka berada, sama ada di Kelantan, di Kedah, di Johor atau di Negeri Sembilan.

Bahasa Melayu kebangsaan inilah yang menjadi bahasa kerajaan Melayu sejak zaman kerajaan Melayu-Islam yang pertama di abad ke-12-13, iaitu kerajaan Samudera-Pasai di daerah Aceh sekarang. Sampai ke zaman pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu; Bahasa Melayu tetap kekal sebagai bahasa kerajaan Melayu di samping Bahasa Inggeris.

Faktor lain yang cukup penting dan berpengaruh sebagai pembentuk tamadun dan perpaduan bangsa Melayu sepanjang sejarahnya ialah agama Islam. Kita bernasib baik kerana Islam yang diterima dan diamalkan oleh orang Melayu ialah Islam menurut Sunnah Nabi.

Orang Melayu tidak dipecahkan oleh pelbagai mazhab, khususnya antara mazhab sunni dan ‘mazhab Syiah’, atau mazhab-mazhab lain seperti yang terdapat di beberapa negara Arab, misalnya di Lubnan, di Iraq, di Iran, bahkan juga di Pakistan yang menyebabkan negara-negara itu sentiasa menghadapi masalah berpecahan antara kaum berdasarkan mazhab; mereka berperang dan berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Akibatnya, pembangunan negara mereka terjejas. Kemajuan mereka dalam bidang apa pun terjejas. Negara mereka menjadi lemah dan mudah dijajah oleh kuasa luar.

Bangsa Melayu tidak mengalami masalah ini sepanjang sejarahnya. Walaupun mereka pernah dijajah namun perpaduan mereka, ‘solidarity’ mereka, tidak pecah – pepatah Melayu berkata, ‘bercerai roboh bersatu teguh’. Inilah semangat kebangsaan Melayu yang menyebabkan mereka dapat bersatu dalam satu gerakan kebangsaan di seluruh Tanah Melayu untuk menentang gagasan atau muslihat Malayan Union dalam tahun 1946.

Orang Melayu juga terkenal sebagai bangsa yang berminda terbuka dan kreatif. Mereka sangat toleran terhadap kaum-kaum lain yang datang dari kawasan di luar ‘Dunia Melayu’. Ini merupakan ciri penting budaya Melayu. Pengalaman Melayu dalam sejarahnya bertembung dan berinteraksi secara kreatif, tidak secara pasif sahaja dengan tamadun luar dari India, dari dunia Arab-Islam, dari kawasan-kawasan di luar Tanah Melayu dan akhirnya dari Barat, membuktikan hakikat ini.

Itulah kekuatan yang ada pada bangsa Melayu dalam sejarahnya, iaitu perpaduan. Mereka bersatu melalui bahasa dan budaya yang sama dan melalui agama Islam. Kerana inilah orang Melayu berjaya membentuk diri mereka sebagai suatu bangsa atau nation, dan tidak berpecah kepada suku-suku kaum atau tribes yang mudah dipinggirkan sehingga akhirnya identiti mereka akan mudah dimusnahkan oleh kuasa-kuasa luar. Dato Onn Jaafar membangkitkan semangat Melayu seluruh Semenanjung, termasuk Singapura, berdasarkan seruan Alif, Ba, Ta. Alif bererti Agama Islam, ba bererti Budaya dan Bahasa Melayu, dan ta bererti Tanah Air Melayu. Inilah tiga alat yang ada pada bangsa untuk menentang gagasan dan muslihat Malayan Union.

Jadi, bagi saya usaha untuk membetulkan kesalahan dan kerosakan yang telah dilakukan oleh penjajah Inggeris di Tanah Melayu terhadap minda bangsa Melayu dan terhadap keadaan ekonomi, pendidikan, sosial dan politik atau kuasa mereka di Tanah Air mereka sendiri dan usaha untuk membina perpaduan kebangsaan sebagai asas kemajuan negara tidak akan berkesan jikalau usaha itu tidak didasarkan atas kekuatan bangsa Melayu yang telah ada pada mereka sejak dahulu. Pembangunan bangsa Melayu selepas merdeka tidak berguna kepada bangsa Melayu dan kepada negara jikalau pembangunan itu tidak dapat mengekalkan perpaduan Melayu atau jika pembangunan itu boleh membawa kepada perpecahan kaum Melayu. – Dipetik daripada ucapan Legasi Tun Razak Kepada Pembangunan Negara pada 15 Jun 2006.

Nota: Saya siarkan ucapan di atas untuk mendorong kita menilai semula semangat kebangsaan kita dalam konteks perjuangan memelihara serta mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara tercinta mutakhir ini. – Ruhanie Ahmad


Posted by mayaputera at 3:33 AM

No comments: