Thursday, August 30, 2007

Friday, June 29, 2007

Siapa Sebenarnya Yang Sedang
Diserang Sindrom Lupa Sejarah?

Kenyataan Perdana Menteri di bawah ini sangat menarik perhatian saya kerana beliau mengingatkan rakyat Malaysia supaya jangan melupakan sejarah.

Maksudnya, kita mesti ingat dan insafi sejarah kita. Sejarah kejatuhan Empayer Melayu Melaka. Sejarah Stamford Raffels meminggirkan kesultanan Melayu di Singapura. Sejarah Panglima Salleh Selempang Merah mengamankan Batu Pahat, Muar dan Pontian daripada serangan gerombolan gerila bintang tiga. Sejarah jeritan slogan “Hidup Melayu” yang pertama sekali bergema di bumi Batu Pahat pada awal 1946. Sejarah UMNO ditubuhkan pada 1946. Sejarah UMNO dirasmikan penubuhannya di Istana Besar Johor Bahru. Sejarah Ibu Pejabat UMNO yang pertama adalah di Johor Bahru. Sejarah Tunku Abdul Rahman Putra memerdekakan negara. Sejarah 13 Mei 1969. Sejarah DEB. Sejarah Rukun Negara. Sejarah Wawasan 2020. Sejarah Proton. Dan segala bentuk sejarah yang membentuk kelahiran Malaysia moden.

Abdullah juga dipetik oleh media perdana sebagai berkata bahawa orang yang lupa sejarah tidak mempunyai rupa bangsa kerana dia akan membiarkan dirinya hanyut dengan segala pergolakan dan arus yang sentiasa melanda dirinya serta negara.

Apa yang ditegaskan oleh PM sangat baik untuk kita semua. Oleh itu, bacalah ucapan di bawah ini secara rinci. Selepas itu kita pastikanlah sendiri, siapakah sebenarnya yang kini sedang diserang sindrom lupa sejarah yang kronik sehingga dia “membiarkan dirinya hanyut dengan segala pergolakan dan arus yang sentiasa melanda dirinya serta negara.”? – Ruhanie Ahmad
KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengingatkan rakyat supaya jangan menjadi manusia yang lupa pada sejarah bagi menentukan identiti bangsa serta kedaulatan negara dapat terus dipertahankan sampai bila-bila.

Perdana Menteri berkata manusia yang lupa sejarah satu hari nanti akan kehilangan identitinya kerana dia tidak pernah membentuk dan menjaga peribadi serta jati dirinya daripada dipengaruhi oleh desakan dan cabaran.

Beliau berkata sejarah banyak memberi pengajaran kepada manusia tentang kehidupan lampau di samping membuka jalan dalam mencari kehidupan masa depan yang lebih baik.

Abdullah berkata sebaliknya mereka yang lupa sejarah tidak lagi peduli tentang asal usul mereka dan tidak lagi mementingkan bahasa dan budaya asalnya.

"Dia tidak dikenali lagi kerana pada dirinya tidak ada lagi ciri-ciri yang ada hubungkait dengan yang apa dipanggil kebudayaan dan kesenian bangsa," kata Perdana Menteri ketika merasmikan persidangan Media Massa 2007 anjuran Kementerian Keselamatan Dalam Negeri di sini.

Abdullah juga berkata orang yang lupa sejarah juga tidak mempunyai rupa bangsa kerana dia akan membiarkan dirinya hanyut dengan segala pergolakan dan arus yang sentiasa melanda dirinya serta negara.

Katanya manusia yang lupa sejarah juga akan bersikap materialistik, mementingkan dirinya sendiri dan tidak peduli apa yang berlaku pada orang lain asalkan dirinya sendiri selamat.

Abdullah berkata sejarah juga banyak memberi pedoman serta panduan untuk menerokai jalan-jalan baru sedangkan mereka mereka yang lupa sejarah akan hilang pedoman serta arah tuju.

Perdana Menteri berkata mereka juga akan menuntut kebebasan mutlak pada diri serta golongannya sahaja tanpa mengambil kira hak serta kebebasan orang lain.

Sebagai contoh, katanya, setiap orang bebas berbuat sesuatu dalam rumah sendiri tetapi kebebasan itu tidaklah sampai mengganggu ketenteraman orang lain yang tinggal bersebelahan.

Abdullah berkata kebebasan mempunyai sekatan tertentu dan tidak ada kebebasan yang mutlak kerana kita bukan hidup dalam alam haiwan yang bertindak semata-mata kerana berasa hendak bertindak.

"Manusia yang berbeza dengan haiwan, boleh fikir apa yang baik atau tidak baik. Boleh fikir untuk diri sendiri dan orang lain.

"Kita adalah satu bangsa yang ingin maju dan berjaya. Kita ada peranan kita masing-masing...yang penting utamakan musyawarah kerana itu amalan demokrasi, kesusilaan, ketertiban di mana akhirnya perpaduan yang ditegakkan di atas prinsip-prinsip inilah yang akan menjamin masa depan yang baik," katanya.

-- BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=270109


Posted by mayaputera at 12:54 AM

No comments: