Thursday, August 30, 2007

Monday, April 16, 2007

Manakah Suara
Generasi MTV?

Ku Seman Ku Hussain
[www.utusan.com.my]

HARI ini MTV menjadi sebahagian daripada hidup mereka yang lahir pada awal dekad 80-an. MTV adalah singkatan kepada muzik televisyen yang memberikan pengaruh yang bukan kecil kepada khalayak remaja masa kini.

Sejarah MTV sebagai produk hiburan bermula apabila saluran televisyen kabel, New York City TV melancarkan program video muzik pada 1 Ogos 1981. Di situlah bermulanya ledakan budaya popular yang dibawa oleh MTV sekarang ini.

Kini saluran MTV menyiarkan kepelbagaian hiburan yang menepati citarasa remaja seperti muzik, budaya popular, budaya remaja dan terbaru sekali televisyen realiti.

Penyanyi Michael Jackson dan Madonna dikatakan antara penyanyi yang dilahirkan pada era awal MTV. Kemudian penyanyi ini mengecapi populariti dan pengaruh bersama ledakan MTV.

Tetapi MTV tidak sekadar sejenis produk hiburan atau program televisyen. Malah MTV juga bukan sekadar merevolusikan industri muzik global dengan slogan ‘‘I want MTV’’. Malah MTV juga paling besar kesan sosialnya apabila melahirkan generasi MTV.

Generasi MTV mempunyai citarasa, sikap dan pemikiran yang berbeza daripada generasi sebelumnya. Ini kerana kelahiran generasi MTV juga dipengaruhi oleh faktor-faktor global seperti Perang Teluk, populariti Michael Jackson dan Madonna, Kesatuan Soviet menawan Afghanistan pada 1979 dan penemuan AIDS pada 18 Jun 1981. Generasi MTV adalah generasi yang membesar di bawah pengaruh televisyen yang bukan lagi menjadi barang mewah. Selepas televisyen boleh dimiliki oleh semua orang dan pada masa yang sama datang MTV yang begitu dinamik, MTV membentuk personaliti dan pemikiran generasi ini.

Hiburan menjadi intipati hidup dan ruang eskapisme generasi MTV. Mereka cuba untuk tidak terlibat dengan sosiopolitik global. Mereka melarikan diri ke dalam rencah visual dan muzik yang menenggelamkan realiti dalam MTV. Generasi ini dilihat kurang kesedaran berbanding remaja era 70-an misalnya yang ikut terlibat atau setidak-tidaknya menyuarakan bantahan terhadap isu politik global.

Generasi pada dekad 70-an memprotes tindakan Presiden Nixon yang terlibat dalam Perang Vietnam. Kesedaran politik remaja dekad 70-an sangat ketara dengan protes-protes yang ditunjukkan menerusi seni.

Tetapi generasi MTV tidak mahu terlibat atau turut memikirkan sosiopolitik yang berlaku di sekeliling. Mereka tidak ada keberanian untuk menunjukkan tindakan membantah atau bersuara. Generasi MTV memilih hedonisme untuk mengisi hidup ketika dunia bercelaru dan berperang.

Maka benarlah apabila dikatakan bahawa dunia generasi MTV hanya seputar program MTV yang mengadunkan muzik, koreografi, imej liar lagi sensual. Demikianlah media bernama televisyen dan produk MTV yang memberi pengaruh sosial yang sangat besar ke atas remaja. Adakah kita masih melihat televisyen hanya sebagai televisyen?

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0416&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm

Latarbelakang:

MTV (program aneka muzik remaja) dengan 32 saluran, VHI (saluran muzik untuk generasi bukan remaja), dan Nickleodeon (saluran program kanak-kanak), kini mempunyai satu billion penonton di seluruh dunia. Saluran-saluran TV seperti ini, amat memikat hati kanak-kanak dan golongan remaja. Secara tidak langsung, program-program seperti MTV dan Nickleodeon berjaya membentuk serta mempengaruhi sikap, persepsi dan perilaku para penontonnya terhadap budaya yang diperjuangkan oleh kuasa-kuasa Barat.

Komen:

Sebenarnya, program-program seperti di atas digandingkan dengan agenda pengongkongan minda [mind control] yang halus dan tidak disedari ramai. Agenda ini diperjuangkan oleh segelintir pihak yang mahu mendominasikan masyarakat antarabangsa.

Begitu pun, kehadiran program seperti ini tidak dapat dielakkan kerana ia sebahagian daripada pendemokrasian maklumat yang didukung oleh globalisasi.

Apa yang penting ialah, dalam keadaan sebegini, kita mestilah berusaha mengukuhkan asas agama, moral dan keimanan generasi muda kita pada setiap masa. Ini akan membolehkan mereka menangangi kehidupan yang global tetapi dengan iman, hati dan jiwa yang sentiasa berpaksikan kepada tuntutan agama. – Ruhanie Ahmad

Posted by mayaputera at 11:05 PM

No comments: