Saturday, March 3, 2007
MELAYU LAMA
MELAYU BARU
Melayu itu bangsa besar
darahnya merah darah perwira
setianya tinggi menjulang awan
jiwanya mulia menjunjung damai
beraninya tegas pantang berundur
azamnya dayus berputih mata
ah! siapa berani berkata
Melayu akan hilang di dunia ?
Melayu itu bangsa hebat
bangsa besar di bawah angin
kaya sungguh budi bahasanya
amat sopan toto kromonya
paling lembut pencak silatnya.
aduhai... kaulah "perfect gentlemen"
pernah binasa kerana kata
pernah musnah akibat fitnah.
Melayu itu bangsa perwira
punya Hang Tuah dan juga Hang Jebat
punya Tun Teja dan Tun Fatimah
punya Pak Kadok dan Pak Pandir
bingungnya kalah si Lebai Malang
mimpinya meredas hayalan Mat Jenin
pentas hidupnya secawan kopi
ngomong-ngomong
sembang-sembang
dari pagi hingga ke petang.
Melayu itu bangsa perkasa
ada Mat Kilau dan Datuk Bahaman
ada Dolsaid dan Panglima Naning
Laksamana Bentan dan Hang Nadim
Si Tenggang dan Panglima Awang
Rashid Maidin dan Sarjan Hassan
Mat Indera dan Maharajalela
aduh... kenapakah akhirnya
Melayu hina Melayu
Melayu tentang Melayu
Melayu lawan Melayu
Melayu bunuh Melayu.
Melayu itu bangsa pintar
ada Raja Ali Haji dan Aminuddin Baki
Pendita Zaaba dan Tun Seri Lanang
Ungku Omar dan Ungku Aziz
Tongkat Waran dan Keris Mas
A. Samad Ismail juga Pak Sako
Latiff Mohidin serta P. Ramlee
tapi malang seribu kali malang
ada Melayu lupa susila
ada Melayu lupa budaya
ada Melayu lupa salasilah
ada Melayu lupa sejarah.
Melayu itu bangsa pejuang
Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman
Tun Razak Hussein dan Tun Hussein Onn
Burhanuddin Helmi dan Asri Muda
Mahathir Mohamad dan Musa Hitam
Ghaffar Baba dan Jaafar Albar
ada Ku Li dan juga Ku Din
Tun Ismail dan Sardon Jubir
Anwar Ibrahim dan Hadi Awang
Nik Aziz dan Aziz Ishak
Fatimah Hashim dan Aishah Ghani
ada Marina ada Rafidah
ada tabliq ada arqam.
ada UMNO ada APU
ada Barisan ada Gagasan
ada Roket ada Bulan
ada siasah ikhlas
ada siasah peras
ada siasah kipas
simpang-siur kibaran bendera
balah sengketa setiap masa.
Melayu itu bangsa anggun
remajanya gila hidup glamour
gian jadi artis
gian jadi model
taksub pada mama rockers
gila pada papa rockers
kebahagiaan adalah lepak-lepak
di shopping complex
rayau-rayau di taman tasik
longgok-longgok di atas tembok
cerita pasal Paula Abdul dan M.C Hammer
gossipnya pasal Amy dan Awi
tentang Ogy dan Juwie
tentang Emma dan Erma
jantan cun macam betina
mekap melepak gincu merah padam
simpan rambut panjang-panjang
pakai seluar sendat-sendat
pakai rantai pakai gelang dan pakai subang
ada betina serupa jantan
rambut ditebas pendek-pendek
pakai skirt singkat-singkat
pakai baju terlondeh-londeh
hisap rokok bersambung puntung
teguk stout macam syaitan
telan pil geleng kepala
duduknya terkangkang-kangkang
jalannya terkengkang-kengkang.
Canggih sungguh Melayu baru
ada penghisap dadah
ada pengedar dadah
ada homoseks dan ada lesbian
ada bapak ayam dan ibu ayam
ada sundal dan ada baruah
ada penipu dan putar alam.
Melayu itu bangsaku
Melayu itu bangsamu
bangsa besar bangsa perwira
bangsa pejuang bangsa perkasa
bangsa pintar bangsa nan anggun
unggulnya tiada galang gantinya.
Melayu lama
Melayu baru
Melayu itulah bangsamu
Melayu itulah bangsamu
Melayu itulah bangsamu
mungkinkah dunia kehilangan Melayu?
Ruhanie Ahmad
Kuala Lumpur, 1993
Posted by mayaputera at 3:19 AM
No comments:
Post a Comment