Thursday, August 30, 2007

Sunday, July 1, 2007

Apa Motif Lee Kuan Yew?

Lee Kuan Yew sekali lagi masuk campur hal ehwal dalaman Malaysia. Bernama 30 Jun 2007 telah memetik beliau sebagai berkata bahawa pemimpin-pemimpin UMNO, terutamanya UMNO Johor, cuba menggulingkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri Malaysia.

Apakah motif LKY di sebalik tuduhan sedemikian? Apa hak beliau masuk campur urusan dalaman Malaysia? Sejak bilakah UMNO melantik beliau sebagai jurucakapnya? Bagaimanakah reaksi LKY kalau umpamanya ada pemimpin Malaysia yang menuduh wujudnya pemimpin-pemimpin PAP cuba menggulingkan Lee Hsien Loong, atau pun menuduh PAP sebagai parti racist yang meminggirkan Melayu Singapura secara sistematik?

Mungkinkah ada sesetengah pihak di Malaysia yang telah melantik LKY untuk mengeluarkan tuduhan sedemikian serius sebagai satu cara untuk memperkukuhkan kedudukan Abdullah mutakhir ini? Siapakah pihak-pihak ini?

Apabila LKY menuduh, “terutamanya pemimpin UMNO Johor” yang cuba menggulingkan Abdullah, adakah beliau mahu menghasut Abdullah supaya menyingkirkan Menteri Besar, Dato’ Haji Abdul Ghani Othman, yang dipercayai disifatkan oleh Singapura sebagai “duri dalam daging” kepada kemaharajalelaan Singapura di Johor atau di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI)?

LKY kini nampaknya sudah melampaui batasan. Dulu, semasa Singapura berada dalam Malaysia, PAP pimpinan LKY cuba berbaik-baik dengan UMNO. Ini kerana LKY dikatakan mahu UMNO mengiktiraf PAP sebagai parti yang sewajarnya mewakili keturunan Cina Malaysia, dan bukannya MCA. Bila tidak dilayan, maka UMNO pun dipersenda-sendakan.

Jadi, bila hari ini LKY mengeluarkan tuduhan kepada sesetengah pemimpin UMNO, khususnya UMNO Johor, apakah motif sebenar beliau? Mahu menangguk di air keruh dan melukut di tepi gantang?

Apakah reaksi pentadbiran Abdullah dan UMNO? Mahu terus berbaik-baik dengan Singapura walau pun pemimpinnya seperti LKY semakin seolah-olah nak pijak-pijak kepala kita semua?

Atau, mahu mengkaji semula dasar berbaik-baik Malaysia dengan Singapura dalam semua aspek - politik, sosial, pertahanan dan ekonomi – sebagai cara menginsafkan Singapura bahawa Malaysia adalah negara yang merdeka dan berdaulat dan UMNO pula adalah sebuah parti yang berwibawa dan bermaruah?

Abdullah kena bertegas dengan LKY dan Singapura. Abdullah juga terpaksa menerima hakikat bahawa sebilangan rakyat Malaysia kini kecil hati dengan kerajaan yang seolah-olah terlalu memberi muka kepada Singapura.

Insaflah. Tahun ini sahaja sudah berapa kali LKY mengeluarkan kenyataan yang melukakan hati rakyat Malaysia dan orang Melayu? Insaflah. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Tetapi, apalah faedahnya kita melepaskan anjing yang tersepit? – Ruhanie Ahmad

Posted by mayaputera at 4:37 AM

No comments: