Thursday, August 30, 2007

Tuesday, April 10, 2007

Bahaya Neoimperialisme Budaya
Kepada Generasi Muda Malaysia
[Bahagian Satu]

Oleh Ruhanie Ahmad

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad mengingatkan generasi muda Malaysia jangan izinkan diri mereka “dihanyutkan arus global."

Sebaliknya, kata beliau di majlis perasmian kampus Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), di Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur, pada 9 Mac 2007, generasi muda Malaysia “perlu kuat untuk mempertahankan budaya kita yang juga mencerminkan wajah bangsa Malaysia.’’

Katanya lagi: ‘‘kerajaan tidak mahu budaya universal yang digerakkan oleh Barat mempengaruhi generasi muda” Malaysia.

Kenyataan di atas sewajarnya dialu-alukan. Sehubungan dengan itu, saya paparkan di sini sebahagian kandungan daripada buku Neoimprialsme karya saya yang masih dalam proses penerbitan.

Saya insaf bahawa subjek ini agak berat. Tetapi, demi negara dan generasi muda Malaysia, sama-samalah kita renungkan hakikat neoimperialisme budaya ini seperti berikut:

Para pengkaji sains politik di zaman mutakhir berpendapat, neoimperialisme (penjajahan semula) budaya oleh pihak Barat, kini “hampir-hampir menawan seluruh jagat.”

Dipengaruhi

Kata merka, biarpun masih terdapat berbillion umat manusia di serata dunia yang masih belum dijangkiti budaya Barat, lama kelamaan, kumpulan ini juga akan dipengaruhi oleh neoimperialisme budaya oleh kuasa-kuasa Barat.

Neoimperialisme budaya yang diperjuangkan oleh Barat adalah berasaskan prinsip demokrasi liberal yang memberikan kebebasan seluas-luasnya kepada seseorang individu dan masyarakatnya.

Oleh itu, gerakan neoimperialisme budaya adalah amat berbahaya kepada kelangsungan agama, akidah, akhlak, nilai-nilai moral, tamadun, budaya, adat resam di sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Antara lainnya, matlamat neoimperialisme budaya oleh kuasa-kuasa Barat adalah seperti berikut:

Satu: Menginstitusikan norma, nilai, budaya, kepercayaan, agama, serta cara hidup dan gaya hidup Barat ke serata jagat.

Dua: Menjamin kapitalis daripada Barat terus mengaut keuntungan material yang besar daripada industri yang berkait rapat dengan hiburan dan gaya hidup yang hedonistik.

Tiga: Mendorong umat manusia sejagat supaya terus memuja dan mengagung-agungkan nilai-nilai dan budaya hidup, serta prinsip, idealisme dan falsafah perjuangan kuasa-kuasa Barat.

Indoktrinasi

Seluruh matlamat di atas selalunya dilaksanakan menerusi subversion atau pengkhianatan dan indoktrinasi minda yang dilakukan secara halus dan terancang.

Sasarannya adalah seluruh umat manusia, dari peringkat kanak-kanak hingga dewasa, dari seluruh lapisan masyarakat antarabangsa.

Proses subversion dan indoktrinasi minda ini, lazimnya dijelmakan dalam bentuk yang hedonistik, menarik, menyeronok, menghibur, menggoda, menawan, mempesona, menghayal dan mengalpakan.

Paling menonjol sekali adalah menerusi pelbagai bentuk hiburan - daripada aneka jenis muzik, filem, perjudian dan pelacuran, hinggalah kepada aneka jenis fesyen pakaian yang menjolok mata, bahan bacaan lucah dan picisan, bahan permainan kanak-kanak, permainan digital dan lain-lainnya.

Gerakan ini juga dilaksanakan menerusi kegiatan sesetengah pertubuhan sukarela dan aktiviti sesetengah entiti perniagaan yang menawarkan produk atau perkhidmatan yang menarik minat generasi muda dan golongan kaya, supaya mereka menjadi umat manusia yang gemar melepak, boros, alpa dan kadang kala, runtuh nilai moral, semangat nasionalisme, patriotisme, akidah dan pegangan keagamaanya.

Bahan-bahan bacaan serta filem dokumentari yang serius, tetapi dicipta menurut citarasa neoimperialis Barat, pula digunakan untuk mempengaruhi, mengindoktrinasi dan meresapkan seluruh norma, nilai, idea, konsep, prinsip dan falsafah hidup dan perjuangan Barat ke dalam minda dan nurani komuniti elit dan intelektuil antarabangsa. - [bersambung esok]


Posted by mayaputera at 10:23 PM

No comments: