Monday, October 15, 2007

Polis Edar Fotofit Kes Rompakan
Kedai Jam Tangan Mewah Di KLCC

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Polis hari ini mengedarkan fotofit seorang suspek yang dipercayai boleh membantu siasatan kes samun sebuah kedai jam tangan mewah di pusat membeli-belah Suria Kuala Lumpur City Centre (KLCC) Jumaat lepas.

Fotofit tersebut menunjukkan wajah seorang lelaki berbangsa Cina, ketinggian antara 152 dan 182 sentimeter, berbadan kurus, kulit cerah serta berkedut dan memakai baju kemeja berwarna biru gelap dan berseluar jeans putih.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur SAC II Ku Chin Wah berkata lelaki tersebut berumur dalam lingkungan lewat 30-an dan fotofit itu dapat dikeluarkan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di KLCC.

"Keputusan ujian cap jari suspek sedang dianalisa dan dapat diketahui beberapa hari lagi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Ku juga berkata pengawal keselamatan yang cedera di bahagian perut akibat terkena tembakan pistol suspek kini berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Beliau berkata kereta jenis Hyundai Sonata yang digunakan suspek untuk melarikan diri mempunyai nombor pendaftaran Singapura, dan pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa republik itu.

Terdahulu itu, pihak media dipertontonkan rakaman CCTV yang diambil ketika suspek dilihat berlegar-legar berhampiran kedai jam tersebut.

Dalam rakaman tersebut, suspek kelihatan memantau kedudukan kedai jam itu dari eskalator di tingkat satu, di mana kedai tersebut terletak, sebelum turun ke tingkat bawah.

Kemudian lelaki berkenaan dilihat menaiki eskalator ke tingkat satu dan memasuki kedai jam tersebut. Rakaman itu juga menunjukkan lelaki berkenaan berjalan cepat sambil membawa sebuah beg plastik yang mengandungi 31 utas jam tangan yang dirompak.

Turut kelihatan seorang pekerja wanita kedai jam itu mengejar suspek.

Dalam kejadian pukul 7.30 petang itu, suspek melarikan 31 utas jam tangan mewah yang bernilai RM20,000 hingga RM30,000 seutas. Namun kesemua jam tersebut berjaya ditemui semula setelah suspek tercicir beg berisi jam itu berhampiran taman KLCC.

Suspek turut melepaskan tembakan ke arah pegawai keselamatan yang cuba mengejarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2070-2222 atau Pegawai Penyiasat ASP R. Anandan di talian 03-2076-6299 atau 019-322-7766 atau SMS kepada Ketua JSJ Kuala Lumpur SAC II Ku Chin Wah di talian 012-836-2224.

-- BERNAMA

Komen:

Tahniah Datuk Christopher Wan. Untuk makluman anda, www.kuda-kepang.blogspot.com dah scooped kisah di atas dua hari lalu.

Soalan saya kepada anda, kenapakah kali ini tak ada kenyataan polis yang mengesyakki lelaki Cina itu sebagai warganegara Singapura walau pun dia melepaskan diri dengan sebuah kereta menggunakan nombor plet Singapura?

Masa seorang wanita tanpa identiti yang disyakki terlibat dengan kes pembunuhan Nurin ditahan baru-baru ini, kenapa cepat sangat polis kata wanita itu warganegara Indonesia? – Ruhanie Ahmad

No comments: