Friday, November 28, 2008

ABDULLAH MULA BERTEGAS MENGENAI RASUAH POLITIK?

Berita yang saya petik daripada utusan on-line di bawah ini sewajarnya menggembirakan semua pihak yang membenci rasuah politik.

Bagaimanapun, kini ada juga pihak yang tertanya-tanya, benar atau tidak bahawa pengamal-pengamal rasuah politik di peringkat tertinggi dalam UMNO mutakhir ini kononnya adalah menantu, konco serta kroni Abdullah sendiri?

Abdullah sewajarnya menafikan perkara ini supaya semua pihak yang dididakwa berbuat demikian terbebas daripada desas-desus ini. Tetapi, bagaimanakah jika ini adalah satu kebenaran? Beranikah Abdullah menafikannya? – Ruhanie Ahmad

PELAKU POLITIK WANG BOLEH DILUCUT JAWATAN – ABDULLAH

PUTRAJAYA 27 Nov. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini memberi amaran kepada pelaku politik wang dalam UMNO bahawa mereka berisiko dilucutkan jawatan meskipun menang pada pemilihan parti Mac depan jika terbukti bersalah terlibat dalam gejala itu.

Sambil mengingatkan ahli UMNO supaya tidak melupakan pengalaman serupa yang dilalui bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd. Isa Samad pada pemilihan lepas, Presiden UMNO itu berkata, adalah satu kerugian sesuatu jawatan terlucut hanya disebabkan keghairahan melakukan politik wang.

Dalam aspek ini, beliau mahu Lembaga Disiplin yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail menyelesaikan kes-kes politik wang sekiranya ada, sebelum seseorang yang didakwa itu bertanding.

''(Jawatan yang dimenangi) akan dilucutkan seperti mana yang berlaku kepada Tan Sri Isa dulu. Mereka sepatutnya tahu tetapi dalam keghairahan (bertanding), kita lupa.

''Kalau (politik wang) berlaku, seseorang itu akan dikenakan tindakan disiplin termasuk digantung (keahlian), ini bermakna jawatan yang dimenangi tidak lagi menjadi milik mereka. Maka, serahkan kepada ahli parti untuk menilai seseorang mengikut kebolehan dan kemampuannya," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm

Tuesday, November 18, 2008

BERAPA RAMAI TOKOH UMNO SEPERTI RAIS?

Datuk Seri Dr. Rais Yatim pernah menjadi Naib Presiden UMNO di pertengahan tahun 80-an. Kemudian beliau berkelana dan berjuang atas pletfom Parti Melayu Semangat 46. Pada awal tahun 2000 parti berkenaan dibubarkan dan majoriti ahlinya, termasuk Rais, kembali ke pangkuan UMNO. Kini beliau merupakan calon terakhir yang memperolehi kuota secukupnya untuk melayakkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.

Kenyataan Rais di bawah ini seolah-olah membawa mesej bahawa beliau agak sukar memperolehi kuota bagi jawatan Naib Presiden UMNO kali ini kerana bahana politik wang. Tetapi, walaupun beliau menyedari hakikat berkenaan, beliau tetap berpegang teguh kepada prinsip perjuangannya yang tidak akan tunduk kepada amalan rasuah politik dalam UMNO.

Soalnya sekarang, berapa ramai lagikah tokoh UMNO seperti Rais? Apakah peluang beliau untuk memenangi jawatan yang ditandingi kali ini? Lupakah para perwakilan UMNO bahawa Rais pernah teruji sebagai seorang Naib Presiden parti yang berwibawa dan prihatin terhadap agenda perjuangan bangsa? Dan, mungkinkah kenyataan Rais di bawah ini akan menyebabkan beliau kecundang dalam pemilihan kali ini? - Ruhanie Ahmad

RAIS ENGGAN JADI HAMBA KEPADA PERMAINAN POLITIK WANG

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini berkata beliau enggan menjadi hamba kepada politik wang seperti yang diamalkan sesetengah pihak.

Beliau berkata lebih cepat Lembaga Disiplin Umno mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat, adalah lebih baik.

"Saya tidak akan tunduk kepada permainan (politik wang)," katanya ketika ditanya mengenai peluang beliau memenangi jawatan naib presiden Umno selepas menjadi calon terakhir mendapat pencalonan yang mencukupi untuk bertanding pada pemilihan parti Mac depan.

Bagaimanapun, katanya, beliau enggan menuding jari ke arah sesiapapun dan menambah kata: "Ia memang sudah diketahui umum." - BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=372069

Wednesday, November 12, 2008

MUHYIDDIN PRO-AKTIF UNTUK ELAK UMNO TERCEBUR KE KANCAH FITNAH

Di bawah ini adalah kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pro-aktif untuk mengelakkan UMNO diceburkan oleh pihak-pihak tertentu ke kancah fitnah. Pastinya beliau bertindak sedemikian kerana kini sudah ada beberapa fitnah terhadap dirinya. – Ruhanie Ahmad

MUHYIDDIN MAHU UNSUR MEMFITNAH CALON DIELAKKAN

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) - Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden tidak dicemari dengan sebarang unsur fitnah dan memburuk-burukkan calon berikutan tempoh kempen yang panjang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata sebarang amalan yang tidak sihat dikhuatiri akan menyebabkan perpecahan dalam parti.

"Ini bukan satu pertandingan tetapi merupakan satu proses penawaran diri. Saya berharap ia berlangsung dalam suasana kekeluargaan. Apa yang penting ialah nak pastikan tidak berlaku perpecahan dalam parti.

"Diharap tidak ada amalan tidak sihat seperti fitnah dan memburuk-burukkan rakan yang bertanding kerana tempohnya (kempen) yang agak lama. Saya mahu ia berjalan dalam suasana yang sihat," katanya di sini hari ini. - BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=370854

Thursday, November 6, 2008

HENTI GURIS MELAYU

KUALA KANGSAR 5 Nov. – Sultan Perak, Sultan Azlan Shah meminta rakyat supaya berfikiran rasional dan segera menghentikan tindakan-tindakan bersifat politik secara berlebihan dan keterlaluan yang mengguris hati dan emosi orang Melayu.

Bertitah semasa menerima memorandum daripada Gabungan Melayu Perak (GMP) di Istana Iskandariah di sini hari ini, baginda menegaskan, apa yang penting pada masa ini ialah menjaga kepentingan rakyat yang telah memilih kerajaan.

Titah baginda, ini bermakna, keamanan dan kerukunan warga tidak harus dikorbankan hanya kerana perebutan kuasa di kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu.

‘‘Hari ini, jika berlaku kesilapan dan kepincangan di peringkat pelaksanaan dasar tertentu, yang perlu diperbetulkan adalah mekanisme pelaksanaan.

‘‘Oleh itu, dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara merdeka tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama sekali.

‘‘Perbuatan demikian jika tidak dihentikan dibimbangi akan mengguris hati dan emosi orang-orang Melayu,” titah baginda.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm