Saturday, January 26, 2008

Anwar Layak Bertanding Pilihan Raya Kecil – SPR

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh bertanding dalam pilihan raya kecil di kerusi Parlimen yang dikosongkan oleh PKR selepas pilihan raya umum akan datang.

Menurut jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hasrat yang diluahkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebelum ini adalah seperti diperuntukkan mengikut Fasal (1) Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan.

“Mengikut peruntukan itu, pilihan raya kecil boleh diadakan jika berlaku kekosongan luar jangka iaitu kematian seseorang calon atau ada yang meletakkan jawatan.

“Seperkara lagi, pilihan raya kecil perlu diadakan sebelum dua tahun tempoh hayat Parlimen tamat,’’ ujar jurucakap itu ketika dihubungi di sini hari ini.

Jurucakap itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anwar bahawa beliau akan memastikan dirinya berpeluang menjadi wakil rakyat menerusi cara tersebut jika tidak dapat bertanding pada pilihan raya umum yang dijangkakan diadakan sebelum April ini.

“Jika tidak dapat bertanding pada Mac ini, saya akan bertanding pada Mei di kawasan yang kami menang.

“Calon yang menang akan berundur dan memberi ruang untuk saya,” ujar Anwar kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di Ipoh, Rabu lalu.

Friday, January 25, 2008

ECM Libra ke BERNAS? (Bhg 1)
Disebalik Tuduhan BERNAS
Mengimpot Beras Tanpa Permit

Disebalik rungutan rakyat mengenai kekurangan bekalan minyak masak dan kenaikkan barang-barang asas pada akhir tahun 2007, satu usaha semacam sedang dirancang dan diatur untuk membina sebuah empayar korporat secara pintas dan ringkas untuk menjadi satu lagi kenderaan tunggangan politik Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya.

Seperti pelbagai usaha-usaha era pentadbiran Pak Lah yang kononnya untuk tambah nilai, ia bukan sahaja tidak membawa pertambahan nilai tetapi lebih lazimnya ia membawa penghapusan nilai, lekok pembelajaran (learning curve) dan modal insan yang terbina sekelian lama. Bagai ibarat "tikus membaiki labu", Pak Lah seringkali merungkai pelbagai usaha-usaha strategik untuk membina struktur, keupayaan dan kapasiti ekonomi orang-orang Melayu yang sudah tentu dapat menyegerakan proses kesamarataan antara kaum.

Untuk posting sepenuhnya sila akses : http://anotherbrickinwall.blogspot.com/2008/01/ecm-libra-ke-bernas-bhg-1.html

Wednesday, January 23, 2008

DVD VVIP Buatan Singapura
dipetik dari
http://maisuara.blogspot.com

Desas-desus kisah dvd seks orang-orang kenamaan negara kita yang kononnya sedang disebarkan di Kepala Batas, Pulau Pinang, kini jadi semakin menarik.

Ada versi mengatakan kini tersebar tiga jenis dvd yang membabitkan tiga orang kenamaan tertentu disebarkan di kawasan parlimen Perdana Menteri.

Satu daripada dvd itu dikatakan membabitkan skandal seks gay. Bakinya dikatakan melibatkan dua orang besar negara dengan dua orang wanita – seorang model keturunan Cina dari Singapura dan yang seorang lagi wanita Malaysia yang kini sudah jadi orang kenamaan.

Ketiga-tiga skandal itu dikatakan berlaku sewaktu orang-orang kenamaan terbabit berada di Singapura.

Jadi, adakah ketiga-tiga dvd skandal seks ini dirakamkan oleh pihak-pihak tertentu di Singapura? Kalau benar, adakah sesetengah pihak di Singapura sedang campurtangan untuk menghuru-harakan politik Malaysia menjelang pilihan raya umum ke-12?

Sunday, January 20, 2008

Apakah Kata Abdullah
Kepada Warga UMNO?

PWTC, 2.00 petang, Selasa, 22 Januari 2008, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan berdepan dengan kira-kira 4000 warga kepimpinan UMNO peringkat negeri dan bahagian dari seluruh negara untuk membincangkan isu PRU12.

Apakah mauduk pertemuan itu? PRU12 sudah hampir tiba? PRU12 lama lagi tarikhnya? Proses pemilihan UMNO peringkat bahagian dan pusat bagi semua peringkat yang sudah ditangguhkan sekian lama akan ditangguhkan lagi sehingga selesai PRU12?

Adakah Abdullah akan memberi kata dua kepada warga kepimpinan UMNO bahawa beberapa orang menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri, exco negeri, ahli parlimen dan adun akan dipesarakan menerusi PRU12?

Orang Luar

Mungkinkah Presiden UMNO itu akan merayu kepada seluruh hadirin supaya menerima sesiapa sahaja yang diketengahkan oleh pucuk pimpinan BN sebagai calon di kawasan masing-masing, waima “orang luar atau orang dalam,” waima muka baru atau darah muda?

Beranikah Abdullah berterus terang kepada warga kepimpinan UMNO bahawa keadaan “gelanggang perang” di beberapa negeri mutakhir ini agak suram kepada UMNO dan BN akibat beberapa kelemahan UMNO sendiri di semua peringkat?

Atau, adakah pertemuan itu sekadar satu taklimat biasa untuk membolehkan Abdullah menghuraikan soal-soal sosio-ekonomi dan politik tanah air menjelang PRU12 dengan fokus kepada propaganda koridor pembangunan wilayah, kenaikan harga barang keperluan tidak dapat dielakkan kerana mekanisme pasaran, pembangkang dalam keadaan lemas, UMNO dan BN sentiasa cergas, dan status quo peratusan kemenangan BN dalam PRU12 kelak masih lagi menjulang manifesto cemerlang, gemilang, terbilang?

Reality Check

Pendek kata, mungkinkah banyak “sampah dan nanah” yang akan terus disorokkan ke bawah karpet, atau Abdullah akan secara ikhlas merungkai dada dan hatinya mengenai situasi sebenar yang menyelubungi UMNO dan BN ketika ini?

Akhir sekali, beranikah Abdullah mengulangi kata-katanya November 2007, bahawa “saya pantang dicabar” sambil menghentak-hentak rostrum di hadapannya?

Apa pun yang akan disuarakan oleh Abdullah, saya tetap kirimkan salam perjuangan yang abadi kepada seluruh hadirin, dengan harapan Abdullah kini mulai insaf bahawa UMNO di era kepimpinannya memang telah menyebabkan banyak pihak memendam rasa bagaikan api di dalam sekam akibat keengganannya membuat relity check ke atas dirinya sendiri selama ini! – Ruhanie Ahmad

Saturday, January 19, 2008

Azmi Khalid Balik Perlis?

Ramalan http://maisuara.blogspot.com 18 Januari 2008, bahawa BN Perlis akan bergolak mungkin jadi kenyataan. Ini kerana sumber-sumber memberitahu Puteramaya bahawa setakat hari ini memang Datuk Seri Azmi Khalid akan bertanding di sebuah kerusi DUN Perlis dan dijangka menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Menteri Besar.

Puterama menerima info bahawa Azmi dikatakan tidak akan diterima oleh rakyat jelata Perlis. Mereka rela melepaskan Shahidan asalkan penggantinya bukan Azmi.

Sumber-sumber memberitahu blog Suara semalam, Shahidan telah membayangkan untuk keluar daripada UMNO jika beliau tidak dipertandingkan semula dalam PRU12.

Sebab itu, BN Perlis dijangka menghadapi masalah besar jika Shahidan tidak dicalonkan dan tidak dilantik semula selaku Menteri Besar.

Friday, January 18, 2008

BN Perlis Akan Bergolak?

Sumber-sumber memberitahu Suara hari ini, Datuk Seri Shahidan Kassim telah membayangkan untuk keluar daripada UMNO jika beliau tidak dipertandingkan semula dalam PRU12.

Adakah ini benar? Adakah ini hanya propaganda? Dan, betulkah Shahidan akan disingkirkan menerusi PRU12? Shahidan enggan mengulas desas-desus ini.

Bagaimanapun, ramai pemerhati politik berpendapat bahawa Shahidan memang mempunyai sokongan akar umbi yang mantap.

Sebab itu, BN Perlis dijangka menghadapi masalah besar jika Shahidan tidak dicalonkan dan tidak dilantik semula selaku Menteri Besar.

Kata mereka, keadaannya akan jadi lebih gawat jika Datuk Seri Azmi Khalid dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Shahidan.

Oleh itu, terserahlah kepada Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad untuk menggunakan kebijaksanaannya sama ada mahu mendesak pucuk pimpinan BN menyingkirkan Shadidan atau sebaliknya menerusi PRU12.

Dipetik daripada http://maisuara.blogspot.com

Wednesday, January 16, 2008

MT UMNO Bermesyuarat
Tentukan Tarikh PRU 12?

Majlis Tertinggi (MT) UMNO Malaysia akan mengadakan mesyuarat secara mengejut esok dijangka untuk membincangkan isu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12.

Sumber-sumber dalaman memberitahu blog ini bahawa mesyuarat MT esok adalah terkeluar daripada jadual yang telah ditetapkan pada minggu pertama tiap-tiap bulan.

Ini bermakna mesyuarat MT esok adalah mesyuarat “luarbiasa” yang mungkin menumpukan kepada isu PRU ke-12.

Difahamkan mesyuarat MT ini akan menganalisis kedudukan dan persiapan jentera UMNO menjelang PRU ke-12 dan juga menerima maklum balas mengenai “pilihan raya olok-olok” yang dilaksanakan oleh UMNO baru-baru ini.
Apa Harapan BN Di Pulau Pinang dan Kedah?
Dipetik daripada http://maisuara.blogspot.com

Suara menerima maklumat yang mengatakan bahawa kedudukan BN di Pulau Pinang dan Kedah dalam Pilihan Raya Umum ke-12 disifatkan sebagai kritikal.

Masalah di Pulau Pinang adalah akibat sikap pengundi Melayu yang tidak menentu akibat kecewa dengan pimpinan Datuk Seri Abdullah Badawi yang dikatakan tidak memberikan pembelaan total kepada mereka.

Kerenah Patrick Lim sebagai orang kuat Abdullah yang membangunkan projek-projek mega yang tidak memberi manfaat kepada masyarakat Melayu juga dikatakan sebahagian daripada sebabnya.

Di samping itu, kegiatan DAP dan PKR juga dikatakan akan menghakis sebahagian undi Melayu daripada BN.

Di Kedah, BN dikatakan menerima tekanan daripada PAS yang sentiasa aktif berkempen sejak beberapa bulan yang lalu.

Ini menyebabkan BN menimbang untuk mencalonkan semula beberapa muka lama yang berpengaruh di Kedah yang diketepikan dalam PRU11.

Thursday, January 10, 2008

Salam Maal Hijrah

Hari ini tahun baru Islam. Tadi saya ke surau dan imam ingatkan para jemaah kisah ini:

Sewaktu Nabi Muhammad SAW tiba dari Mekah ke Madinah berikutan hijrah yang Baginda lakukan, Baginda melaksanakan tiga perkara basik dalam fasa perjuangan awalnya.

Membina Masjid
Mengsaudarakan kelompok Muhajirin dengan Ansar
Menggubal Piagam Madinah

Ketiga-tiga tindakan di atas mempunyai simbolismenya dalam kehidupan harian umat Islam.

Masjid: simbol keislaman kita.
Mengsaudarakan muhajirin dan ansar: simbol kemasyarakatan kita.
Piagam Madinah: simbol kecekapan pengurusan kehidupan kita.

Sempena Maal Hijrah kali ini, sama-samalah kita susur kembali kisah di atas semoga kita dapat memperbaiki seluruh kelemahan kita bersama dalam perjuangan total kita mengenai Islam, dalam perjuangan kita menyatupadukan Islam sesama Islam dan antara seluruh rakyat Malaysia yang multi-etnik, dan dalam meningkatkan kecekapan kita menguruskan seluruh aspek kehidupan kita, termasuklah aspek pengurusan negara kepada kelompok pemimpin kita.
Perkataan Allah Dalam Bible
Dilulus Ikut Pintu Belakang?

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Johari Baharom, dikatakan telah menolak permohan pihak tertentu untuk mengizinkan penggunaan ALLAH dalam bible Bahasa Melayu.

Tetapi, keputusan itu dikatakan telah diluluskan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerusi proses “pintu belakang”

Puteramaya mendapat maklumat ini dari beberapa pegawai tinggi kerajaan. Jadi, adakah maklumat ini benar atau fitnah?menerusi proses “pintu belakang”

Tuesday, January 8, 2008

SIAPAKAH PM MALAYSIA
PADA SAAT & KETIKA INI?

Di bawah ini adalah dua pucuk berita yang amat menarik daripada Bernama 7 Januari 2008. Kedua-duanya mendorong saya bertanya kepada diri saya sendiri, siapakah Perdana Menteri Malaysia pada saat dan ketika ini?

Lantaran itu, kedua-dua berita ini wajar dikaji oleh rakyat jelata seluruhnya untuk mendapatkan gambaran terhadap kelemahan pentadbiran negara ketika ini, hinggakan ada seorang anak muda yang berlagak seolah-olah dia lebih berkuasa daripada Perdana Menteri, dan hinggakan ada orang asing yang bersuara seolah-olah dialah Perdana Menteri Malaysia yang kita berikan mandat untuk menguruskan negara tercinta ini.

Berita Pertama

Malaysia Tidak Akan Hadapi Keperitan Ekonomi - Kuan Yew

SINGAPURA, 7 Jan (Bernama) -- Malaysia akan mengalami pertumbuhan ekonomi yang sihat tahun ini berikutan terdapat tanda-tanda yang positif, kata bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew.

Beliau berkata harga minyak yang tinggi pada masa ini dan komoditi Malaysia seperti minyak sawit dan lain-lain akan memberikan hasil yang baik untuk negara itu tahun ini.

Lee bercakap pada makan malam gala ulang tahun ke-40 Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS).

Beliau berkata walaupun Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan yang rendah iaitu 5.6 peratus berbanding 5.7 peratus tahun lepas, negara itu tidak akan menghadapi keperitan ekonomi.

Lee menyatakan bahawa Malaysia melaksanakan projek ekonomi yang besar seperti membangunkan seluruh negara melalui plan bersepadu di bawah pembangunan wilayah ekonomi koridor selatan, timur dan utara. - BERNAMA
http://web6.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=306536

Komen: Apa perlunya LKY bersuara seolah-olah dialah jurucakap kepada Abdullah dan Kerajaan Malaysia? Apa ertinya tindakan seperti ini? Malaysia sebahagian daripada Republik Singapura? Abdullah berada di bawah telunjuk LKY dan Singapura? Atau, inilah buktinya bahawa Abdullah memang sudah hilang kawalan terhadap kerajaannya?

Berikutan berita di atas, ayuh kita nantikan apa reaksi Khairy? Adakah Khairy akan melalak supaya LKY tak boleh buat kenyataan bagi pihak Abdullah dan Malaysia? Apa reaksi Menteri Luar? Adakah Menteri Luar akan mengirim nota kepada LKY supaya jangan bertindak seolah-olah dialah PM Malaysia? Apakah reaksi Abdullah? Adakah Abdullah akan insaf bahawa inilah contoh dan buktinya bahawa Singapura kini memang tidak hormat kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan berwibawa? Atau, adakah Khairy, Syed Hamid dan Abdullah akan hanya termangu-mangu kerana yang buat kenyataan di atas adalah LKY?

Berita Kedua

Khairy: Hanya PM Berhak Mengulas Tarikh Pilihan Raya

KEPALA BATAS, 7 Jan (Bernama) -- Naib Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata hanya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mempunyai kuasa mutlak dan berhak untuk mengulas mengenai tarikh pilihan raya.

"Tak perlu tanya (tarikh pilihan raya) kepada ahli politik atau menteri termasuk juga Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman)...saya tidak faham kenapa dia kata pilihan raya semakin hampir," katanya yang tidak mahu mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi mengenai tarikh pilihan raya umum ke-12.

Khairy berkata demikian apabila ditanya pemberita selepas merasmikan program Keluarga Bahagia Masyarakat Ceria anjuran Yayasan Budi Penyayang di sini hari ini.

Diminta mengulas mengenai demam pilihan raya yang semakin dirasai, Khairy berkata ada pihak yang mula menjadikan isu semasa seperti masalah kekurangan minyak masak dan yuran sekolah sebagai isu politik.

"Suhu demam pilihan raya terlalu tinggi sehingga apa sahaja tindakan yang dibuat oleh kerajaan dianggap untuk memenuhi kehendak pilihan raya," katanya. - BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=306502

Komen: Siapa Khairy? Kalau orang lain tak boleh buat spekulasi atau apa-apa kenyataan pasal PRU 12, kenapa Khairy malang-malang dan lintang-pukang boleh buat kenyataan membidas Pengerusi SPR? Adakah ini bermakna Khairy adalah sinonim dengan Abdullah atau Abdullah adalah sinonim dengan Khairy? Apa kedudukan Khairy dalam kerajaan Malaysia? Berapa lama lagi rakyat Malaysia perlu diperbodohkan dengan karenah seperti ini?

Akhir kata, haruskah kita biarkan karenah menjolok mata seperti ini berterusan? Atau, apakah yang harus kita lakukan supaya karenah seperti ini tidak akan berulang di masa depan?
– Ruhanie Ahmad

Sunday, January 6, 2008

Catu Beras Di zaman Penjajah
Catu Minyak Waktu Merdeka?

Saya dibesarkan di sebuah kampung terpencil di pesisiran Sungai Simpang Kiri, Batu Pahat, Johor, di zaman pra-merdeka, pada awal tahun 1950-an.

Ketika itu zaman susah, zaman derita, zaman seksa. Majoriti orang Melayu hidup dibelenggu kemiskinan. Mereka adalah insan-insan yang dilupakan - warganegara tanpa wajah di tanah air sendiri.

Antara fenomena hidup yang sukar dilupakan ketika itu adalah catuan beras. Penjajah memperkenalkan dasar untuk mencatu beras kepada rakyat desa kononnya sebagai satu strategi memerangi gerombolan pengganas komunis yang berjuang di belukar, hutan dan belantara.

Strategi itu dilaksanakan kononnya untuk menyekat rakyat desa membekalkan beras yang berlebihan kepada pihak komunis - musuh nombor satu negara ketika itu.

Dijajah

Orang kampung yang dijajah tidak boleh berkata apa-apa. Walaupun kampung mereka agak jauh daripada Yong Peng, Pagoh dan Bukit Kepong – beberapa kawasan hitam yang disifatkan sebagai sarang komunis di sekitar Batu Pahat dan Muar pada ketika itu – dasar catuan beras tetap dikenakan ke atas mereka.

Jumlah catuan beras ditetapkan mengikut jumlah anggota sesuatu keluarga. Lebih jelas lagi, catuan beras dibuat mengikut jumlah “kepala” dalam setiap keluarga.

Orang kampung saya namakan beras itu sebagai “beras ayam”. Warnanya agak kuning dan berlapok. Baunya juga hapak. Beras itulah yang jadi makanan utama orang kampung saya di zaman penjajah.

Saya tidak ingat jumlah sebenar beras yang diizinkan untuk satu “kepala”. Bagaimanapun, jumlah beras yang boleh dibeli pada setiap bulan hanya membolehkan setiap keluarga makan nasi sekali sehari.

Ini bermakna, kalau sesuatu keluarga makan nasi di sebelah tengahari, keluarga itu hanya makan ubi, keladi, pisang atau keledek sahaja di sebelah malam.

Kiub Ubi

Tetapi, kalau jumlah beras catuan itu hendak dijadikan hidangan makan tengahari dan makan malam, maka beras itu terpaksalah dicampurkan dengan ubi, keladi atau keledek yang dicincang dalam bentuk kiub kecil berukuran setengah sentimeter.

Begitulah kisah catuan beras yang pernah saya alami di zaman penjajah. Segala-galanya berlaku kerana negara ini dijajah.

Bagaimanapun, kemudian hari saya dapati, “beras ayam” adalah “unpolished rice” yang kaya dengan zatnya. Alhamdulillah! Saya juga dapati, ubi kayu atau kasava pula kini bahan makanan kesihatan yang glamour kerana ia mempunyai kualiti istimewa untuk mencegah kanser. Alhamdulillah!

Kedua-dua hakikat di atas menyebabkan generasi pra-merdeka seperti saya tidak menyesal dibesarkan dengan memakan “beras ayam” dan “kasava”.

Merdeka

Tapi, hari ini apa ceritanya? Malaysia sudah merdeka. Malaysia pengeluar minyak sawit terbesar di dunia. Kenapa perlu kerajaan mencatu minyak masak kepada rakyatnya di zaman merdeka?

Ke mana perginya minyak sawit kita? Kenapa para peruncit yang dituduh sebagai punca minyak masak terpaksa dicatu? Apa kisah pengeluar minyak masak? Tidakkah mereka merupakan culprit paling besar?

Rakyat mesti bertanya secara tegas kepada kerajaan. Kenapa jadi begini? Kalau kerajaan catu jualan gula, ok, kerana kita bukan pengeluar gula. Ini kita kena catu minyak masak yang majoritinya daripada minyak sawit. Mana perginya minyak kita? Kenapa kerajaan seolah-olah hilang kawalan?

Adakah majoriti minyak sawit kita dijual kepada syarikat pengeluar bio-diesel? Adakah minyak sawit kita dieksportkan secara besar-besaran tanpa kuota? Atau, adakah pihak yang sengaja menimbulkan artificial shortage ke atas bekalan minyak masak kerana mereka mahu naikkan harga?

Dasar

Pokoknya, adakah kerajaan mempunyai satu dasar keselamatan terhadap bahan-bahan makan? Dasar ini perlu untuk memastikan pada sesuatu masa, bekalan bahan-mahan makanan adalah mencukupi. Ini penting kerana kekurangan bahan-bahan makanan yang mneruncing boleh menyebabkan krisis dan huru-hara.

Oleh itu, ambillah iktibar daripada dasar keselamatan makanan yang membabitkan bekalan beras. Malaysia mempunyai dasar ini. Sebab itulah manipulasi harga beras dan bekalan beras dapat ditangani secara berkesan. Sebab itulah harga beras di Malaysia tidak jadi seperti di Guinea, Afrika Barat, sehingga menyebabkan kerajaan negara itu digulingkan oleh rakyat jelatanya bila harga beras melambung-lambung dan gagal ditangani oleh oleh pemerintah secara berkesan.

Saya yakin Datuk Seri Shafie Apdal mampu menangani masalah minyak masak ini. Tak payahlah libatkan Timbalan Perdana Menteri atau Perdana Menteri untuk menyelesaikannya. – Ruhanie Ahmad

Thursday, January 3, 2008

Serangan DVD Skandal VVIP
Dijangka Merebak Ke Pahang

Proses pembunuhan karektor ke atas beberapa VVIP politik Barisan Nasional (BN), termasuk UMNO, menerusi penyebaran DVD atau buku yang dipercayai mengandungi babak-babak skandal, termasuk skandal seks, dijangka merebak ke Pahang dalam tempoh terdekat ini.

Sumber-sumber memberitahu blog ini hari ini bahawa serangan di Pahang dijangka tertumpua kepada dua kawasan Parlimen tertentu. Motifnya dipercayai adalah untuk menyingkirkan mangsa sasaran skandal itu daripada arus perdana politik Malaysia.

Sumber-sumber yang sama juga menegaskan bahawa proses pembunuhan karektor ini dipercayai sebahagian daripada agenda konspirasi yang dipelopori sejak dua tahun lalu oleh sesetengah pihak yang mendakwa rapat dengan seorang pembesar tertentu.

Bagaimanapun, proses ini jadi semakin ketara kerana PRU12 dijangka diadakan pada tempoh suku pertama tahun 2008. [Blog ini sudah menerima maklumat mengenai tarikh bila Parlimen Malaysia dijangka dibubarkan. Tetapi, kerana maklumat ini perlu di siasat dengan lebih terperinci, kisah pembubaran ini hanya akan saya poskan bila segala maklumat mengenainya sudah saya pastikan secara muktamad.]

Persoalannya pada hari ini ialah: siapakah di sebalik konspirasi berkenaan? Benarkah konspirasi itu dikatakan direstui oleh seorang pembesar tertehtu? Dan, apakah peluang BN jadi bertambah cerah jika beberapa tokoh VVIPnya “dibunuh” menerusi konspirasi berkenaan?

Pada waktu yang sama, adakah apa yang terjadi ke atas menteri MCA yang hari ini meletakkan jawatannya dalam kabinet, sebagai Ahli Parlimen, dan keseluruhan jawatan di dalam MCA pusat, negeri dan bahagian, adalah sebahagian daripada konspirasi tersebut?

Menteri MCA itu mengundurkan diri daripada politik kerana sebuah DVD yang mengandungi adegan seks membabitkan dirinya dengan seorang wanita telah disebarkan di Batu Pahat dan Muar sempena tahun baru 2008.

Beberapa sumber memberitahu blog ini hari ini bahawa penyebaran DVD itu dipercayai dilakukan oleh seorang individu berpengaruh yang baru-baru ini dikatakan telah dikecewakan oleh keputusan menteri berkenaan yang enggan menyokong satu cadangan perniagaan berkaitan kesihatan di kawasanWPI.

Bagaimanapun, beberapa sumber lain pula memberitahu blog ini bahawa apa yang terjadi ke atas menteri MCA itu adalah sebahagian daripada percaturan politik yang besar di dalam parti tersebut, khususnya mengenai kemungkinan MCA mendapat jawatan Timbalan Perdana Menteri II selepas pilihan raya umum kelak.

Oleh itu, sukar untuk dipastikan sama ada kemungkinan konspirasi dalam MCA itu juga adalah sebahagian daripada konspirasi yang akan menyebarkan DVD atau buku ke dua kawasan Parlimen di Pahang tidak lama lagi.

Dalam pada itu, individu berpengaruh yang dipercayai kecewa dengan keputusan menteri MCA itu dikatakan adalah seorang daripada anggota konspirasi yang dijangka bergerak ke Pahang dalam tempoh terdekat ini.

Oleh itu, waspadalah. Konspirasi dan pembunuhan karektor kini seolah-olah menjadi budaya politik Malaysia. Sesiapa yang mempunyai “jerangkong di dalam gerobok” ketika ini, awas, anda mungkin jadi mangsa gerakan ini jika anda tidak komited kepada pembesar berkenaan!

Sebagai satu imbasan sejarah, kira-kira 25 tahun yang lalu, Kerajaan Negeri Kedah digegarkan dengan kontroversi klip video Mantoya yang dikatakan mengandungi babak-babak pesta arak yang yang kononnya membabitkan seorang individu tertentu di negeri berkenaan.

Pada ketika itu dunia belum lagi mengalami ledakan ICT. Ini bermakna pengeluaran video fitnah seperti itu amat sukar untuk dilakukan melainkan oleh pihak yang pakar mengenainya. Dan, pakar itu kononnya wujud di sebuah negara jiran di utara.

Bagaimanapun, sama ada video itu sahih atau sebaliknya, individu yang dibabitkan dalam video berkenaan pun meletakkan kesemua jawatannya dalam kerajaan dan parti. Beliau bertindak demikian atas nama akauntabiliti seorang pemimpin di peringkat negeri. – Ruhanie Ahmad

Wednesday, January 2, 2008

Awaslah Wahai Najib
Jangan Terlalu Naïve!

Saya hormat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Berbanding Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Najib terbukti lebih articulate. Beliau juga tidak naïve. Kementerian Pertahanan di bawah tanggungjawab beliau mempunyai rakgkaian perisikan yang cekap dan reliable.

Bagaimanapun, dalam keadaan hari ini, Najib seolah-olah berada dalam dilemma. Oleh itu, adalah lebih elok jika beliau berhati-hati dalam membuat sesuatu kenyataan. Jangan sampai masuk perangkap yang disediakan oleh pihak-pihak yang memang mahu menyingkirkan beliau daripada arus politik perdana.

Lantaran itu, saya paparkan di bawah ini intisari kenyataan Najib sewaktu merasmikan Persidangan Tahunan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kali ke-12 di Keningau, Sabah, pada Sabtu, 29 Disember 2007, yang saya petik daripada Mingguan Malaysia, Ahad, 30 Disember 2007 dengan jodol Amaran Pencetus Huru-Hara. Intisari kenyataan ini saya sertakan dengan komen saya sendiri seperti berikut:

Demonstrasi:

Demonstrasi jalanan adalah unsur tidak sihat. Demonstrasi jalanan adalah antara agenda politik sempit parti pembangkang. Kerajaan terpaksa menyekatnya bagi melindungi majoriti rakyat terus hidup aman dan makmur. Kerajaan bukan menafikan hak demokrasi rakyat atau menolak hak asasi. Tetapi, siapa yang akan menentukan kalau timbul perbalahan, konflik, mati terkorban dan harta benda rosak? Siapa yang akan bertanggungjawab kalau rakyat tidak dapat mencari rezeki yang halal? Apakah mereka yang menyuarakan hak demokrasi jalanan yang akan bertanggungjawab bila timbul huru-hara dalam negara?

Komen:

Di sini, saya hanya mahu tanyakan beberapa soalan sahaja. Sudahkah Najib membuat perbandingan antara perarakan gelombang kuning pada 10 November 2007, dengan demonstrasi Hindraf pada 25 November 2007? Siapakah dalang demonstrasi Hindraf? Pembangkang atau menantu Abdullah? Kalau pembangkang, mengapa tidak ditahan mana-mana pemimpin pembangkang berkaitan demonstrasi itu? Tetapi, kenapakah hanya ditahan lima orang pemimpin Hindraf di bawah Seksyen 8 ISA? Kenapa tidak ditahan mereka bawah Seksyen 73 untuk membolehkan polis menyiasat mereka? Dapatkah Najib meneka, mengapa jadi begini? Oleh itu, Najib tidak harus menari mengikut rentak yang disediakan oleh menantu Abdullah. Jangan main pukul borong bila membuat sesuatu kenyataan mengenai demonstrasi jalanan pada ketika ini. Elok disebut secara spesifik siapa yang dimaksudkan.

Amaran:

Tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana kumpulan yang cuba mendapatkan sokongan politik dengan mencetuskan kekecohan. Tapi, ini tidak bermakna kerajaan akan isytiharkan darurat dengan sewenang-wenangnya kerana kerajaan tidak mahu dianggap sebagai menggunakan kuasa paksaan untuk terus memerintah negara.

Komen:

Kalau ada pihak yang cuba mendapatkan sokongan politik menerusi demonstrasi jalanan baru-baru ini, sehingga mencetuskan kekecohan, adalah Hindraf. Persepsi umum terhadap demonstrasi ini adalah sama seperti dalam komen saya di atas. Oleh itu, Najib perlu bangkitkan dalam Mesyuarat Kabinet, bagi pihak rakyat jelata, mengapakah pemimpin-pemmpin Hindraf tidak disoal-siasat menerusi Seksyen 73 ISA? Adakah sesuatu yang nak disembunyikan oleh pihak kerajaan?

Permintaan:

Rakyat perlu tolak usaha pihak tertentu yang cuba menimbulkan huru-hara. Rakyat perlu ambil iktibar daripada peristiwa berdarah yang mengorbankan seorang pemimpin parti politik di sebuah negara luar. Rakyat perlu menjaga dua perkara penting, iaitu keamanan dan ketenteraman negara, dan juga kestabilan politik dalam negara.

Komen:

Majoriti rakyat Malaysia memang menolak pihak yang cuba timbulkan huru-hara. Sebab itu majoriti mereka kutuk Hindraf. Tapi, siapa dalang Hindraf? Keluarkanlah Kertas Putih pasal hal ini dan bentangkan dalam Parlimen. Ini kerana demonstrasi Hindraf dan kenyataan Hindraf hampir-hampir mencetuskan huru-hara. Lebih serius lagi, usaha Hindraf meminta sokongan komuniti antarabangsa untuk mengisytiharkan Perlembagaan Malaysia sebagai “null and void” telah pun disifatkan oleh banyak pihak dalam kerajaan sebagai “pengkhianatan peringkat tinggi”. Tapi, apa sudah jadi? Dan, mengapakah pihak lain yang dijadikan sasaran kecaman demi kecaman oleh kerajaan sekarang ini?

Pembangkang:

Kerajaan tidak takut dengan pengaruh pihak tertentu, termasuk parti pembangkang, yang sengaja mahu menimbulkan huru-hara kerana sedar tidak akan mampu menewaskan kerajaan BN melalui pilihan raya. Kerajaan pimpinan BN tidak pernah mabuk kuasa untuk mengekalkan kuasa pemerintahan melalui jalan singkat, termasuk menipu rakyat, seperti yang didakwa oleh pembangkang.

Komen:

BN memang hebat. Tapi, pada waktu dan ketika ini harap pastikan sama ada wujud sesiapa yang mendalangi siasah negara. Benar atau tidak bahawa Najib sendiri kini dikatakan sedang diura-urakan untuk disingkirkan oleh sesetengah pihak menerusi pilihan raya akan datang? Oleh itu, Najib janganlah naïve! - Ruhanie Ahmad

Berita sepenuhnya boleh diakses menerusi link di bawah ini: http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2007&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_05.htm


Tuesday, January 1, 2008

Dua Keputusan Besar
Yang Menjengkelkan

Saya tak berani nak kata apa-apa kerana takut dituduh sebagai menghina keputusan mahkamah. Oleh itu, anda bacalah sendiri dua berita di bawah ini. Kedua-duanya membabitkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Tetapi, berita yang tersiar dalam akhbar-akhbar 31 Disember 2007, adalah mengenai dua lelaki Melayu-Islam, sementara berita yang tersiar pada 18 Disember 2007, adalah mengenai 31 lelaki keturunan India.

Atas nama keadilan dan kesaksamaan, anda fikir-fikirkanlah sama ada keadilan dan kesaksamaan memang milik semua warganegara Malaysia tanpa mengira kaum? Dan, inikah tanda-tanda awal bahawa orang Melayu-Islam akan jadi warganegara kelas ketiga di bumi bertuah bernama Tanah Melayu ini?
– Ruhanie Ahmad

Rayuan Ikat Jamin
2 Lelaki Ditolak

KUALA TERENGGANU 30 Dis. – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan rayuan ikat jamin dua lelaki yang didakwa menggunakan kekerasan dan cuba mencederakan seorang anggota polis dalam kejadian rusuhan di sini pada 8 September lalu.

Hakim Hassan Abd. Ghani mengekalkan keputusan tidak membenarkan ikat jamin ke atas Azman Abd. Aziz, 21, dan Suwandi Ab. Ghani, 38, selepas dimaklumkan pihak pembelaan telah memfailkan rayuan yang sama di Mahkamah Tinggi di sini pada 11 Disember lalu.

Hassan berkata, Mahkamah Sesyen tidak boleh membuat keputusan selepas rayuan ikat jamin itu dikemukakan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Hassan juga menangguhkan perbicaraan kes kedua-dua lelaki tersebut ke 20 hingga 24 Januari dan 27 hingga 31 Januari ini selepas menerima permohonan penangguhan perbicaraan daripada pihak pendakwa.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, Mohd. Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohd. Yusof mewakili pihak pendakwaan manakala kedua-dua tertuduh diwakili Tun Dr. Salleh Abas, Datuk Wan Mutalib Embong dan Mohamed Hanipa Maidin.

Abdul Gani dalam permohonannya berkata, pihak pendakwa mahu mengendalikan perbicaraan kes berkenaan secara bersama dengan tiga kes rusuhan yang telah didakwa di Mahkamah Majistret di sini sebelum ini.

‘‘Pihak pendakwa mahu menjimatkan masa mahkamah dengan mengendalikan perbicaraan keempat-empat kes ini secara bersama kerana kejadian, masa (time proximity) dan mempunyai tujuan (common purpose) yang sama,” katanya.

Wan Mutalib dalam hujah balasnya berkata, penangguhan itu hanya akan menambah penderitaan yang alami oleh kedua-dua tertuduh.

‘‘Azman dan Suwandi mengalami satu pengalaman baru apabila ditempatkan dengan penjenayah berat, pesakit AIDS dan HIV di dalam penjara walaupun mereka masih belum didapati bersalah,” ujarnya. - Dipetik daripada Utusan Malaysia 31 Disember 2007

31 Terbabit Perhimpunan Haram
Dibebas, Dilepas Tuduhan Cubaan Bunuh

SHAH ALAM 17 Dis. - Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini melepaskan dan membebaskan 31 orang atas dakwaan cubaan membunuh seorang pegawai polis semasa perhimpunan haram anjuran Hindu Rights Action Force (Hindraf) di hadapan Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves, Kuala Lumpur pada 25 November lepas.

Hakim Nursinah Adzmi membuat keputusan itu setelah membenarkan permohonan Peguam Negara (AG), Tan Sri Abdul Gani Patail yang memutuskan untuk menarik balik pertuduhan itu terhadap mereka.

Kesemua 31 tertuduh sebelum ini minta dibicarakan atas beberapa pertuduhan termasuk tuduhan cubaan membunuh mengikut Seksyen 149/307 Kanun Keseksaan itu.

Bagaimanapun, daripada 31 orang itu, hanya enam orang iaitu lima penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan seorang penuntut maktab perguruan dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan, sementara baki tertuduh yang lain masih menghadapi beberapa pertuduhan lain.

Enam orang yang dilepas dan dbebaskan daripada kesemua pertuduhan ialah L. Thiyagarajan, 31; K. Thinagaranpillay, 23; A. Vasantarao, 19; S. Ramesh Kumar, 22; S. Mugilan Dever, 20; dan G. Suman, 20.

Daripada baki 25 tertuduh, 16 orang menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tuduhan menyebabkan kerosakan tujuh buah kereta dan dua pintu pagar kuil itu mengikut Seksyen 149/440 Kanun Keseksaan.

Lapan orang pula menukar pengakuan kepada bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu menyebabkan kerosakan tujuh buah kereta dan dua pintu pagar kuil itu dan mengikut Seksyen 27 (5) (a) Akta Polis 1967 iaitu dijumpai dalam perhimpunan haram terbabit.

Sementara seorang tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tuduhan pilihan menunjukkan kekerasan jenayah dengan niat untuk menakutkan pegawai polis semasa perhimpunan haram itu.

Dalam prosiding kira-kira 45 minit yang berakhir pada pukul 1 tengah hari itu, Hakim Nursinah menetapkan 27 Disember ini untuk fakta dan hukuman terhadap kesemua tertuduh.

Mahkamah juga membenarkan kesemua tertuduh, masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM500 dengan seorang penjamin.

Keputusan Hakim Nursinah yang membenarkan jaminan jelas melegakan anggota keluarga tertuduh yang terpaksa bersesak-sesak memenuhi mahkamah sejak awal pagi.

Peguam K. Ragunath yang mewakili pihak pembelaan bagi semua tertuduh kemudian mengucapkan terima kasih kepada mahkamah dan Peguam Negara berhubung keputusan menggugurkan dakwaan cubaan membunuh terhadap kesemua tertuduh dan keputusan untuk melepaskan dan membebaskan lima penuntut terbabit daripada kesemua pertuduhan. – Dipetik daripada Utusan Malaysia 18 Disember 2007