Raja-Raja Adalah
Bahagian Penting Negara
Tegas Raja Nazrin
KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Monarki, atau institusi raja di Malaysia adalah bahagian penting negara dan juga lambang identiti, kesinambungan, perpaduan dan kekuatan dan, bertentangan dengan pendapat sesetengah pihak, ia bukan setakat bentuk yang tidak mempunyai fungsi, titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.
Raja-raja lambang identiti kerana ia adalah institusi nasional, sesuatu yang membezakan negara ini dari negara-negara lain, dan ia lambang kesinambungan kerana raja-raja di Malaysia adalah institusi tua yang memberikan kesedaran tentang signifikan sejarah kepada rakyat, titah baginda.
"Ia simbol perpaduan kerana ia menjadi titik tumpuan rakyat dari semua kaum, agama dan anutan politik untuk bersatu. Dan ia lambang kekuatan kerana ia mempamerkan sifat adil, timbang rasa dan kemuliaan," titah baginda pada syarahan umum bertajuk "50 Tahun Pembangunan dan Kematangan Negara" pada Seminar Pembangunan Khazanah Nasional, di sini.
Raja Nazrin bertitah dalam tempoh lima abad, banyak institusi raja di dunia hapus kerana Raja-raja menganggap status itu sebagai hak cukup mulia dan bukan sebagai satu tanggungjawab.
"Mereka tidak kisah untuk menilai dan membina kembali peranan mereka sebagai pelindung kebajikan rakyat jelata dengan itu, tidak menghairankan, mereka tidak dapat mengekalkan pengiktirafan dan kepercayaan rakyat," tambah baginda.
Raja Nazrin bertitah monarki dikait rapat dengan autokrasi, megalomania, tiranni, kezaliman dan feudalisme walaupun hakikatnya dalam tempoh 100 tahun lepas, pemimpin dari pelbagai bentuk, komunis, sosialis, demokratik, republikan, ketenteraan, malahan haluan agama, muncul dan mempamerkan sifat-sifat ini malah lebih dari itu.
Beliau berkata monarki yang telah dapat meneruskan kelangsungannya, termasuk monarki di Malaysia, kerana mereka berkembang selaras dengan kemajuan sosial dan dan menyumbang dalam kehidupan awam.
"Mereka telah berkembang dengan menerima realiti, dan meletakkan diri mereka di atas, politik partisan. Mereka menyumbang kepada kehidupan awam dengan mentakrif semula peranan mereka untuk membantu menegakkan keadilan, mengekalkan keamanan dan menyelesaikan pertikaian antara pihak-pihak yang berbalah, sebagaimana hakim-hakim berkhidmat kepada masyarakat," ujar baginda.
Baginda bertitah monarki berfungsi sebagai "suara kemunasabahan, kesederhanaan dan tadbir urus yang baik," terutama bila wujud sikap ekstrem dan chauvinis.
Dengan cara ini, monarki memperkukuh institusi tadbir urus dan mempertingkat proses demokratik, tegas baginda.
Raja Nazrin bertitah untuk mempastikan monarki di Malaysia terus berfungsi dengan berkesan sebagai satu daripada cabang utama negara, tempat masyarakat berlegar, ia mesti kekal segar dan penting dengan memenuhi peranan yang diharapkan padanya.
"Fakta yang sering terlepas pandang dan kurang dihargai ialah monarki di Malaysia sewajarnya memainkan peranan produktif dengan menjadi penyemak dan pengimbang sihat dalam sistem tadbir urus," titah baginda.
Raja Nazrin menegaskan Perlembagaan Persekutuan memberi mandat kepada monarki menjadi pelindung perjalanan undang-undang yang adil, penimbang tara saksama dalam proses demokrasi dan penyelia tunggak negara.
"Sesetengahnya berpendapat bahawa Raja-raja harus melakukan demikian semata-mata dari segi istiadat, tetapi beta berhujah bahawa ini bertentangan dengan semangat sebenar, jika tidak maksud tersurat, Perlembagaan Persekutuan," ujar baginda.
Baginda menegaskan sementara monarki diperlukan bertindak atas nasihat eksekutif, ia mesti juga menegakkan prinsip tadbir urus yang baik dan keluruhan undang-undang, dengan kewibawaan dan kesaksamaan.
"Melakukan sebaliknya akan menjejas integritinya, dan juga integriti Perlembagaan Persekutuan," titah baginda, dan menambah bagi mempastikan monarki menjalankan tanggungjawabnya dengan berkesan, ia perlu mempunyai laluan bagi perundingan tulen dan mendalam dengan eksekutif.
Raja Nazrin bertitah ini, bagaimanapun, tidak harus menimbulkan masalah, berdasarkan matlamat biasa dan murni untuk memenuhi kepentingan negara.
"Kesatuan matlamat ini akan membantu menjamin bahawa hubungan itu bersifat bekerjasama dan tidak dihalang oleh konfrontasi terbuka," tambah baginda.
-- BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=282832
2 comments:
Kelangsungan institusi raja sesebuah negara amat berkait-rapat dengan kemampuannya untuk “membaca” suasana semasa dan seterusnya menyesuaikan diri menerusi tindakan-tindakan yang perlu. Peneraju institusi raja yang prihatin kepada apa jua perkembangan yang berlaku kepada negara dan rakyat tidak akan teragak-agak menzahirkan pandangannya kepada pihak yang terlibat secara langsung tetapi terhormat.
Di bumi bernama Malaysia, institusi raja mempunyai ruang untuk memastikan negara benar-benar ditadbir secara sewajarnya dari masa ke semasa kerana rakyat hanya berpeluang “menghakimi” kerajaan selepas beberapa tahun iaitu menerusi pilihanraya umum. Kenyataan sesetengah pihak bahawa institusi raja di negara ini adalah simbol semata-mata merupakan satu penghinaan kepada raja-raja. Ianya umpama menyamakan institusi raja dengan objek yang tidak bernyawa seperti bendera dan tugu.
Raja-raja sesungguhnya berada di kedudukan yang amat istimewa bukan sahaja dari segi Perlembagaan malah di hati sanubari rakyat yang dahagakan keadilan dan pembelaan. Apatah lagi sekiranya raja-raja terdiri daripada insan-insan berkeperibadian mulia, berpendidikan tinggi, berpandangan jauh dan yang sentiasa memahami jiwa serta hasrat rakyat kebanyakan.
Dalam keadaan di mana negara ditadbir secara lemah dan diserapi unsur-unsur tidak sihat, hanya satu tempat yang ada untuk rakyat mengadu dan menyandarkan harapan mereka iaitu institusi raja sebagai pemulih keadaan. Tanpa institusi raja yang berfungsi dengan berkesan, masa depan negara dan rakyat umum akan mempunyai laluan yang kelam dan berduri.
Daulat Tuanku!
Dasa, terima kasih. Komen anda telah saya jadikan posting utama dalam kuda kepang.
Salam takzim.
Post a Comment