Saturday, September 1, 2007

Anak Merdeka Berjiwa Hamba (1)

Negara kita dan rakyat jelatanya tidak pernah dijajah. Begitulah pendapat “di luar kotak” oleh seorang blogger muda bernama Azlan. Pendapat itu saya poskan ke blog http://www.kuda-kepang.blogspot.com/ hari ini.

Oleh itu, kata Azlan, 31 Ogos 1957 adalah tarikh mercu kekuatan bangsa kita mengusir anasir-anasir asing, khususnya Inggeris, yang menggunakan segala tipu muslihatnya untuk menjajah tanahair kita yang memang sentiasa merdeka.

Lantaran itu, Azlan mengajak kita menyifatkan perayaan 31 Ogos pada setiap tahun sebagai perayaan untuk menginsafkan kita semua bahawa kita adalah bangsa yang, kuat, gagah, perkasa dan bijaksana.

Sekaligus, perayaan tahunan ini wajarlah dijadikan acara membaharui azam dan cita-cita nasional supaya kita jadi lebih kuat, lebih gagah, lebih perkasa dan lebih bijaksana dalam menangani globalisasi dunia.

Pendapat seperti ini cukup segar dan amat memberangsangkan. Tetapi, ia hanya akan jadi satu hakikat jitu yang boleh diterima masyarakat umum sekiranya disokong oleh kajian empirikal oleh para sarjana bangsa yang berjiwa merdeka.

Tetapi, kalaulah provokasi minda oleh Azlan ini kita terima kebenarannya, adakah kita kini sedang berada dalam kerangka zaman di mana usaha penjajahan asing di negara kita memang sentiasa berterusan?

Benarkah sesetengah inisiatif penjajahan kini dijelmakan di negara kita menerusi kemasukan modal dan kepakaran asing? Contohnya, seperti sebuah syarikat pengurusan Singapura yang kini didakwa sedang mengusir dan meminggirkan usahawan Bumiputra daripada berniaga di Suria KLCC? Contohnya, seperti syarikat pengurusan Singapura yang kini didakwa sebagai mendiskriminasikan bumiputera daripada mendapatkan jawatan-jawatan ekskutif di sebuah hotel besar di sekitar KLCC?

Siapakah yang bertanggungjawab atau bersubahat dengan bentuk penjajahan seperti ini? Adakah mereka dari kalangan anak bangsa yang berjiwa hamba? Adakah mereka dari kelompok anak bangsa yang dijajah sikap dan pemikirannya? Besarkah bilangan anak bangsa seperti ini?

Sudah merebak luaskah penjajahan modal dan kepakaran seperti ini? Benarkah penjajahan seperti ini juga sudah menawan sestengah organisasi korporat milik negara? Inikah angkara sesetengah anak merdeka yang berjiwa hamba di negara kita yang tidak pernah dijajah? – Ruhanie Ahmad

6 comments:

A Voice said...

Orang melayu orang merdeka.

Penjajah datang dan penjajah pergi, dan kemerdekaan kembali kepada kita.

Dulu kita berjuang untuk kembali balik kepada asal sebelum dijajah.

Kini kita kata kita rela di jajah minda, budaya dan kedaulatan negara.

50 tahun ini tidak bermakna kerana kita kembali balik macam orang dijajah yg tidak percaya pada diri sendiri.

puteramaya said...

Voice. Ini satu pandangan yang tajam. Tapi, semuanya bergantung kepada kita. Kalau nak buat projek mega pun guna ekonomis asing, apa gunanya? Jadilah macam WPI, bumi dipijak milik orang!!!

Salam perjuangan, Daulat Tuanku, Merdeka!!!

Unknown said...

Datuk,

Bagi saya tugas memuliakan sesuatu bangsa adalah terletak ditangan bangsa itu sendiri. Saya setuju dengan datuk bahawa kita perlu bergantung kepada diri kita sendiri.

Allah telah menurunkan Al-Quran untuk memperbetulkan dan mengajar manusia tentang kaedah-kaedah dan cara yang baik untuk manusia hidup. Kita diajar istilah-istilah yang mulia seperti benar, jujur dan sebagainya. Turut diajar istilah yang buruk agar kita berjaga-jaga.

Bangsa cina juga mempunyi istilahnya sendiri seperti kata Prof. Ungku Aziz iaitu "kiasu" sebagai istilah bagi memajukan bangsa mereka.

Malangnya, kita masih lagi menggunakan istilah "merdeka" seolah-olah kita adalah golongan "hamba". Jika kita tanya murid sekolah rendah pun mereka tahu arkonim bagi perkataan "hamba" ialah "merdeka".

Teringat tentang cerita bagaimana golongan hamba yang dibebaskan atau dimerdekakan oleh tuan mereka semasa zaman nabi kita. Tuan mereka sememangnya orang yang bersifat mulia kerana menyahut seruan nabi agar memerdekakan hamba yang dimiliki.

Jika begitu tentulah bangsa asing itu adalah bangsa yang mulia kerana dengan rela memerdekakan negara kita. Soalnya siapa mengatakan bangsa kita dijajah walaupun memang pernah inggeris merampas kuasa, memang benar selepas 31 ogos inggeris masih meninggalkan kesannya. Bukankah kita sendiri yang menyatakkannya dan mengajarkannya disekolah-sekolah. Mengapa kita berbuat demikian? adakah untuk memberitahu agar kita akan tidak dijajah lagi. Jika demikian halnya maka kita tidak banyak belajar dan tidak berfikiran kehadapan. Kita akan selalu hidup dalam ketakutan dan akan selalu dipermain-mainkan dengan mudah.

Sedangkan kita lupa bahawa tipu daya inggeris yang menyebabkan kita hampir dijajah. Hari ini, tipu daya juga akan menyebabkan kita akan dijajah semula. Bukan kerana kita bangsa yang lemah, kecut atau tidak bijak. Tetapi kita menjadi bangsa yang gila harta, pangkat dan nama dan tidak memandang yang serdahana dalam setiap perbuatan adalah baik dan disukai oleh Allah. Hari ini, kita ingin menjadi bangsa yang cepat mencapai sesuatu yang terlalu tinggi dan besar seolah-olah serdahana itu adalah lemah dan buruk.

Bukan kerana kaum muslimin di perang uhud kalah kerana mereka tiada senjata atau salah strategi. tetapi kerana harta juga.

Mengapa bangsa India dan China pada hari ini lebih maju dan berjaya? mereka juga kian menjadi kuasa ekonomi pada hari ini? mungkin mereka sedar bahawa mereka bukan bangsa yang pernah dijajah atau bangsa yang pernah menjadi hamba dan dimerdekakan. Bacalah sejarah negara China dan India.

Ingatlah jika kita mengajar anak kita istilah yang tidak berkualiti pada mereka pada hari ini, adakah 50 tahun kemudian istilah itu akan
membawa banyak kebaikkan kepada mereka kelak. Jika kita menyatakan bahawa kita bangsa yang kuat, berani dan bijak pada ketika kita berjaya mengusir bangsa asing daripada bumi kita iaitu tanggal 31 Ogos 1957 adakah pada hari ini kita akan berfikiran bahawa kita bangsa yang baru lahir? atau bangsa yang baru nak hidup.

Cukuplah kita mengenang Tunku dan orang yang melaungkan perkataan "Merdeka" pada detik tersebut sebagai satu yang simbolik.
Tidak salah jika kita berani mengubah sesuatu yang ada jika perkara yang kita ubah tersebut membawa kita kepada sesuatu keadaan yang lebih baik.
Kepada Allah jua kita bersyukur kerana mengajar kita perkara-perkara yang baik dan kepadaNya jua segala puji.

Moga coretan ini memberi kita sedikit renungan bahawa cara berfikir dan bertindak yang menentukan adakah kita berjaya atau menyebabkan kita kurang berjaya dan mudah dipermainkan.

puteramaya said...

Saudara Azlan

Terima kasih atas kiriman coretan susulan anda kepada saya. Nanti saya edit dan publish untuk renungan kita bersama. Harap anda baca komen pasal pendapat anda dalam Malaysia today. Teruk kita kena ganyang oleh pihak yang stereotype pemikirannya.

Salam takzim.

Unknown said...

Datuk,

Saya telah membaca komen tersebut. Setiap orang mempunyi pandangan masing-masing. Biar kita berbeza pendapat asalkan tujuan kita adalah baik. Sekurang-kurangnya ia memberi kita ruang untuk berfikir dan menggerakkan minda bangsa yang ingin mengambil pengajaran daripadanya.

Datuk saya teringat tentang seorang tokoh pejuang bangsa yang masih hidup. Dirumahnya digantung gambar raja-raja. Pada saat itu saya lihat rata-rata dirumah orang melayu lain tidak berbuat demikian. Saya sering berfikir mengapa beliau berbuat demikian. Namun tidak pernah bertanya mengapa. Namun akhir-akhir ini saya mula mengerti mengapa.

Bukankah para pejuang bangsa dahulu berjuang untuk mempertahankan kuasa Raja-Raja Melayu daripada dihapuskan oleh rancangan Malayan Union(MU). Bukankah MU adalah kemuncak atau langkah akhir inggeris untuk menjajah TM dimana kuasa Raja-Raja akan terhapus sama sekali. Jika orang melayu tiada raja lagi, maka tentu kita akan bertuankan orang asing. Pada saat itu sesuailah jika kita dikatakan telah terjajah seluruhnya.

Dalam permainan "catur" juga mengajar kita bagaimana untuk mempertahankan raja daripada "checkmate". Selagi raja menjadi sumber kekuatan dan tempat rakyat bergantung maka selagi itu mereka terus berjuang dan mempertahankannya hingga ketitisan darah yang terakhir. Walaupun masa tu tinggal askar kecil sahaja.

Malangnya datuk perjuangan tersebut kian terkubur. Orang melayu mula menyanjung pemimpin mereka seolah-olah mereka adalah orang yang pertama-tama membuka Tanah Melayu ini.

Jika kita selidiki susur-galur dan kemunculan tanah melayu ini, maka kita akan memahami peranan raja yang besar dalam hidup masyarakat kita sejak dahulu lagi.

Bagi saya, pemimpin yang diangkat oleh rakyat mempunyi banyak kelemahan. Mereka bukanlah berharta, berpangkat dan bernama. Maka tidak hairanlah hari ini pemimpin tersebut menjadi gila harta, pangkat dan nama. Berbeza dengan raja yang sememangnya memiliki harta, pangkat dan nama. Raja tidak memerlukan perkara tersebut kerana perkara itu telah mereka miliki sejak lahir lagi. Apa yang mereka fikirkan tentulah kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri dibawah naungannya. Persoalannya dimanakah kekuasaan raja dalam perlembagaan pada hari ini. Daulat Tuanku!!

Jika kita terus melihat pemimpin biasa sebagai pembela kita maka insaflah!! bahawa mereka adalah manusia seperti kita juga. Mereka ingin hidup mewah seperti kita. Mereka juga ingin mencipta nama dan memiliki pangkat untuk dibanggakan. Mereka pasti berusaha mengumpul harta dan kekayaan diri sendiri dan kaum keluarga terlebih dahulu. Perkara tersebut tiada salahnya. Namun jika itu adalah pilihan kita maka tentu pilihan kita tidak bijak. Apa yang mereka lakukan untuk rakyat semata-mata hanya untuk mengekalkan kuasa sahaja. Jika demi perjuangan bangsa pun adalah sebagai tipu helah mereka sahaja. Maka tidak hairanlah hal ini berlaku akhir-akhir ini. Berbanding dengan raja, mereka tidak lagi ingin megumpul harta yang banyak kerena sememangnya mereka telah memiliki seluruh tanah air ini. mereka juga tidak mencari nama dan pangkat lagi kerana mereka telah sedia dihormati dan disanjungi. Daulat Tuanku!!

Maka hari ini, saya terharu bagaimana seorang pejuang bangsa dahulu mempunyi pemikiran yang tajam dan luas serta berpandangan jauh berbanding kita yang hidup dizaman serba canggih ini. Mengapa mereka menumpahkan taat setia dan berkorban mempertahankan Institusi Raja. Mungkin mereka lebih dahulu makan garam dan sedar bahawa hanya institusi Raja yang sememangnya sedia lengkap daripada segala sudut dapat menjamin kehidupan rakyat yang lemah dan serba kekurangan. Daulat Tuanku!!

Terima Kasih datuk kerana menyiarkan pandangan saya yang dengkil ini untuk renungan kita bersama.

puteramaya said...

Terima kasih Azlan.

Teruskan dengan mengartikulasikan buah fikiran anda.

Memang waktu ni agak ramai juga orang kita lupa akan hakikat Raja-Raja Melayu. Jadi, kita kenalah revive memoray dia orang tu.

Mudah-mudahan axis of supremacy dan axis of dominance kita kembali diiktiraf sebagai paksi kenegaraan Malaysia moden ini.

Salam takzim