Wednesday, September 24, 2008

MAJLIS TERTINGGI

1. Perbincangan di dalam Majlis Tertinggi UMNO sepatutnya rahsia. Jadi amat memeranjatkan apabila akhbar melaporkan beberapa butiran penting berkenaan mesyuarat Majlis Tertinggi yang diadakan pada hari Khamis, 18hb September. Apa yang lebih mengejutkan lagi ialah laporan tersebut mendedahkan tentangan terhadap Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi oleh beberapa ahli majlis dan desakan oleh mereka agar peralihan kuasa diadakan sebelum mesyuarat Bahagian-bahagian yang akan menamakan calon Presiden.

2. Difahamkan bahasa yang digunakan sesetengah ahli agak keras. Dato Seri Rafidah Aziz turut membangkitkan peranan yang dimainkan menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin dan anak beliau, Kamaluddin.

3. Begitu keras bahasa yang digunakan hinggakan muka Abdullah berubah. Beliau nampak tertekan dengan desakan ahli majlis apabila Dato Seri Najib Tun Razak, yang sentiasa menjadi penyelamat Abdullah, menghentikan mesyuarat. Najib berjanji untuk bercakap dengan Abdullah berkenaan hal ini.

4. Difahamkan ahli Majlis Tertinggi yang lain merasa tidak puas hati kerana sekali lagi perkara kontroversi yang melibatkan majlis dijadikan bahan perbincangan tertutup antara Abdullah dan Najib. Menidakkan hak majlis adalah sesuatu yang sering dilakukan Abdullah dan Najib. Mereka berdua akan membuat keputusan yang tidak pun memuaskan hati ahli majlis. Najib kemudian akan tekankan betapa pentingnya untuk bersatu dan setia kepada Presiden.

5. Keadaan kali ini juga sama seperti sebelumnya. Apabila berhadapan dengan sesuatu masalah rumit, Abdullah akan meminta nasihat keluarganya, terutama anak dan menantunya termasuk sekarang ini isterinya.

6. Umum mengetahui keluarganya mempunyai kuasa dan kebebasan untuk mempengaruhi segala keputusan-keputusan Abdullah berdasarkan kepentingan diri mereka iaitu untuk mengaut sebanyak mana kekayaan yang mungkin dan untuk mempastikan cita-cita politik Khairi termasuk untuk menjadi Perdana Menteri termuda.

7. Apabila tiba masanya untuk bertemu Najib, Abdullah sudahpun diberi taklimat oleh keluarganya tentang apa yang harus diperkatakan. Dan Najib akan terima apa sahaja keputusan Abdullah untuk meleraikan masalah yang timbul. Di dalam kes ini, Abdullah akan tetap dengan pendiriannya untuk kekal hingga Jun 2010 atau mungkin awal sedikit sebelumnya. Najib kemudian akan ditugaskan untuk "menjual" keputusan ini kepada Majlis Tertinggi. Dengan ini Najib akan lebih dipandang rendah oleh ahli majlis dan rakyat apabila sikapnya ini didedahkan kepada umum.

8. Apabila UMNO ditubuhkan, pemimpin terdahulu memastikan yang tidak akan ada keputusan-keputusan yang bercanggah dengan asas perjuangan parti dibuat tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan Majlis Tertinggi. Apa yang terjadi kepada Dato Onn, Yang di-Pertua UMNO yang pertama merupakan contoh terbaik. Presiden tidak diturut secara buta-tuli. Sebaliknya apabila beliau mencadang sesuatu yang bercanggah dengan perjuangan parti, cadangan beliau ditolak dan sebagai seseorang yang mempunyai maruah, beliau telah mengundur diri.

9. Selama lebih kurang 50 tahun, Majlis Tertinggi memain peranan ini. Demikian apabila (Tun) Musa Hitam meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden parti, Majlis Tertinggi yang bersidang tidak bersetuju bulat-bulat dengan Presiden, sebaliknya bermesyuarat hingga ke awal pagi dan membuat keputusan, walau apa juga pendapat Presiden, untuk menghantar satu delegasi yang terdiri daripada ahli-ahli kanan majlis ke London untuk memujuk Musa menerima kembali jawatan Timbalan Presiden parti dan Timbalan Perdana Menteri. Musa bersetuju kembali sebagai Timbalan Presiden tetapi tidak sebagai Timbalan Perdana Menteri. Dengan itu beliau berada di landasan yang baik untuk cuba menjatuhkan saya dengan mempengaruhi Tengku Razaleigh Hamzah bertanding jawatan presiden menentang saya. Secara kebetulan semasa berkempen untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO, beliau mendakwa mendapat sokongan saya.

10. Tetapi apabila Abdullah mengambil alih Presiden parti merangkap Perdana Menteri, perwatakan Majlis Tertinggi bertukar. Ianya menjadi alat peribadi Abdullah untuk melulus dan menghalalkan apa sahaja yang beliau buat.

11. Saya percaya pada hari Khamis keadaan ini telah berubah sedikit. Beberapa orang ahli telah berani meyuarakan desakan supaya Abdullah melepas jawatan awal. Sudah tentulah penyokongnya tidak beralih arah. Demikian ada kemungkinan majlis pecah dua.

12. Saya rasa ini merisaukan Najib yang hendakkan peralihan kuasa secara aman supaya parti tidak pecah-belah. Oleh itu dia akan terima apa sahaja cadangan yang membenarkan Abdullah lepaskan jawatan dengan penuh kegemilangan.

13. Malangnya Najib tidak akan capai impiannya. Tidak pernah ada Presiden UMNO yang begitu sekali dibenci rakyat seperti Abdullah. Melayu, Cina dan India, samada ahli parti komponen Kerajaan mahupun penyokongnya atau rakyat kebanyakan kesemuanya mahukan Abdullah mengundur diri. Lagi cepat lagi baik.

14. Yang mahukan beliau terus pegang jawatan adalah mereka yang kedudukan mereka bergantung kepadanya, atau mereka yang mendapt untung daripada pemberian kontrak dan sebagainya oleh beliau. Bagi sesetengah yang lain, termasuk kakitangan awam, hanya ketakutan terhadapnya yang menyebabkan mereka tidak mahu bersuara tetapi mereka tetap marah.

15. Yang peliknya ialah yang benar-benar menyokong Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO adalah pembangkang. Karpal Singh, Anwar Ibrahim dan Nik Abdul Aziz Nik Mat hendakkan beliau (Abdullah) kekal sekurang-kurangnya hingga pilihanraya akan datang.

16. Tetapi ini bukanlah kerana mereka sayang kepadanya tetapi kerana mereka percaya dengan beliau mengepalai Barisan Nasional, pembangkang mempunyai peluang yang lebih cerah memenangi pilihanraya umum ke-13 dan mendirikan Kerajaan. Mereka rasakan yang mereka hampir mencapai matlamat mereka dan tidak mahu golongan yang memberontak di dalam UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP kembali kepada parti dan menyukarkan usaha mereka untuk kalahkan BN.

17. Begitulah Majlis Tertinggi yang tidakpun lagi tinggi.

http://test.chedet.com/che_det/2008/09/supreme-council.html

MENANTU MEMULAKAN LANGKAH, PAK LAH DISURUH JANGAN LETAK JAWATAN

Minggu lalu kita dapat saksikan bagaimana bapa mertua Khairy tersepit akibat didesak oleh beberapa Ahli Majlis Tertinggi UMNO untuk meletakkan jawatan.

Diantara yang lentang mendesak Perdana Menteri untuk berundur ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Rafidah Aziz, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein, Dato’ Seri Safie Afdal dan Tan Sri Muhammad Taib.

Muhyiddin Yassin telah memulakan langkah dari awal lagi bermula ketika beliau berada di Singapura. Dalam mesyuarat tersebut, Muhyiddin mengulangi pendiriannya.

Sementara Rafidah memberitahu Abdullah supaya berundur sebelum mesyuarat bahagian bermula kerana menurut survey yang dilakukan oleh Pergerakkan Wanita UMNO, Abdullah berkemungkinan besar tidak akan mendapat cukup pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden parti. - Anak Jati Rembau

Tuesday, September 23, 2008

AKAR UMBI UMNO MAHU SEMANGAT MUAFAKAT DIPERKUKUH, KATA ABDULLAH

KOTA BAHARU, 22 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata semua anggota UMNO peringkat akar umbi mahukan semangat pemuafakatan dalam parti itu diperkukuh sejajar dengan pelan peralihan kuasa pada 2010.

Abdullah yang juga Presiden UMNO berkata semua anggota parti itu telah menyuarakan sokongan terhadap beliau mengenai pelan peralihan kuasa kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan berharap ia berjalan dengan lancar.

Beliau berkata pelan peralihan itu diterima baik oleh anggota parti dan perkara itu dinyatakan semasa beliau membuat lawatan kerja ke negeri-negeri termasuk menghadiri majlis berbuka puasa.

"Semua anggota UMNO masih sayang kepada parti dan mereka inginkan parti ini supaya kuat dan baik.

"Mereka hendakkan parti ini diperbetulkan dan tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tertutup Badan Perhubungan UMNO Kelantan, di sini, hari ini. Abdullah dalam rangka lawatan kerja sehari ke Kelantan yang diiringi isterinya Datin Seri Jeanne Abdullah.

Abdullah berkata semua anggota UMNO tidak mahu sebarang perbalahan wujud di dalam parti berikutan proses pelan peralihan kuasa itu.

"Semua anggota tidak mahu berlaku perbalahan. Yang kita mahu adalah muafakat dan ikatan yang kuat di dalam parti yang membawa kepada perpaduan," katanya.

Abdullah berkata pelan peralihan kuasa tetap berlaku seperti yang telah dirancang sebelum ini dan ia berlaku secara berperingkat-peringkat. - BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=360696

Thursday, September 18, 2008

WAJARKAH KITA HANYA BERDIAM DIRI SUPAYA TAK KENA TINDAKAN UNDANG-UNDANG?

Hari ini macam-macam berita politik tanahair kita. SAPP, satu komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah, meninggalkan BN. Ini menjadikan BN kehilangan dua lagi kerusi di peringkat Parlimen Malaysia. Ini bukan perkara kecil bila BN hanya menikmati majoriti tipis di Dewan Rakyat.

Ada juga berita Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tukar potfolio dengan Datuk Seri Najib Tun Razak. Abdullah kuasai Kementerian Pertahanan dan Najib pula dipertanggungjawabkan dengan Kementerian Kewangan.

Tindakan Abdullah ini menimbulkan pelbagai reaksi. Ada yang gembira kerana kononnya Najib dapat kuasa lebih penting. Ada juga reaksi bimbang yang Kementerian Pertahanan akan terdedah kepada kemungkinan disusupi oleh golongan tertentu yang selama ini dikatakan menguasai Abdullah.

Lebih mengelirukan, pertukaran portfolio ini dikatakan sebagai satu daripada deal yang diberikan oleh Abdullah kepada Najib sebagai bukti Abdullah memang akan menyerahkan kuasa kepada Najib pada 2010.

Tambah mengelirukan lagi adalah kenyataan Abdullah bahawa tempoh peralihan kuasa pada 2010 adalah kekal, tetapi kemudiannya beliau sendiri mengatakan tempoh itu mungkin dipercepatkan.

Sebagai rakyat biasa dan sebagai ahli UMNO akar umbi, saya rasa sukar untuk merasionalkan perkembangan-perkembangan ini. Tapi, saya tetap menantikan keputusan dan pendirian Majlis Tertinggi UMNO yang akan membincangkan soal peralihan kuasa ini hari ini (18 September 2008).

Saya ternanti-nanti kerana mesyuarat itu akan memutuskan sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didesak berhenti sebagai Menteri kerana mempertikaikan formula peralihan kuasa. Saya juga ternanti-nanti kerana kalau Najib bertegas mengatakan peralihan kuasa itu mesti diserahkan kepada UMNO bahagian, apa akan jadi kepada Abdullah.

Pendek kata, politik Malaysia yang disifatkan oleh Abdullah sebagai stabil sebenarnya kurang stabil. Kisah Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tubuhkan Kerajaan Pusat masih belum selesai. Soal peralihan kuasa oleh Abdullah masih terus dipertikaikan oleh rakyat dan warga UMNO. Soal kemerosotan ekonomi dunia yang kian meredum secara serius entah bagaimana impaknya kepada Malaysia.

Dalam keadaan seperti ini, wajarkah kita semua berdiam diri supaya tidak bersuara sehingga boleh ditafsirkan sebagai menghasut dan mengancam keselamatan negara? Mungkinkah ramai lagi antara kita, khususnya bloggers sosio-politik, akan dikenakan tindakan seperti blogger kickdefella? Mungkinkah begitu walaupun yang disuarakan akan kebenaran demi agama, bangsa dan tanahair? – Ruhanie Ahmad

Tuesday, September 16, 2008

KERAJAAN PR DI PERINGKAT PUSAT HANYA IMPIAN?

Hari ini 16 September 2008. Pakatan Rakyat (PR) belum lagi mengambil-alih Kerajaan Pusat daripada kekuasaan Barisan Nasional (BN). Adakah ini bermakna ura-ura PR kebelakangan ini hanya mimpi kosong? Adakah ini juga bermakna BN akan terus memerintah Malaysia dalam siatuasi yang agak kurang stabil?

Anehnya, malam tadi Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai berkata bahawa beliau yakin boleh menubuhkan kerajaan baru. Tetapi, Anwar memberikan tempoh dua minggu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengadakan rundingan.

Menurut Anwar, rundingan itu bagi memastikan peralihan kerajaan berlaku secara aman. Ini kerana PR sudah mempunyai Ahli Parlimen mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Anwar juga menegaskan, beliau serta pemimpin Pas dan DAP menghantar surat kepada Abdullah semalam meminta diadakan satu pertemuan segera mengenai isu itu.

''Saya memberi masa dua minggu kepada Abdullah untuk membuat keputusan sama ada menerima tawaran ini atau tidak. Kita ingin adakan pertemuan dengan Perdana Menteri bertujuan berbincang untuk peralihan kuasa secara aman dan tenteram selain membebaskan tahanan politik,'' katanya.

Bagaimanapun, Abdullah yang berada di Kuala Terengganu, menyifatkan rancangan PR menubuhkan kerajaan baru hari ini sebagai sesuatu perkara yang karut. Pertukaran kerajaan baru seperti yang dicanangkan oleh Anwar tidak akan berlaku.

Abdullah juga meminta semua pihak menghentikan daripada memperkatakan dan menyebarkan tentang perkara tersebut.

Demikianlah hakikatnya ura-ura PR pada saat dan ketika ini? Tetapi, mengapakah Anwar begitu yakin bahawa PR akan menguasai Kerajaan Pusat? Benarkah memang sudah ada Ahli Parlimen BN yang telah bersetuju menganggotai PR? Benarkah dua parti komponen BN Sarawak diura-urakan antara parti yang akan menganggotai PR?

Soalnya juga, mengapakah Abdullah begitu yakin bahawa beliau tidak akan disingkirkan tidak lama lagi? Bagaimanakah jika memang sudah ada Ahli Parlimen dan parti komponen BN yang akan menganggotai PR? – Ruhanie Ahmad

Sunday, September 7, 2008

JANGAN SENSASI ISU SENSITIF- PM

TASEK GELUGOR 6 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan semua pihak supaya tidak mensensasikan isu sensitif sehingga menimbulkan rasa marah dan tidak senang hati di kalangan kaum di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, perkara yang berkaitan dengan agama, kontrak sosial atau melibatkan perkauman tidak sepatutnya ditimbulkan kerana ia akan menye babkan kaum-kaum berkenaan berasa bahawa sensitiviti mereka diketepikan. – Utusan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0906&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_23.htm

Nota: Dua tiga tahun yang lalu Abdullah pernah dipuji-puji oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan yang ketika itu dikelolalakan oleh seorang Timbalan Ketua Pengarang yang diimport daripada Seberang Selat Teberau. Kata akhbar itu, Abdullah akan tercatat dalam sejarah sebagai seorang pemimpin yang memperjuangkan keterbukaan di Malaysia.

Berikutan itu, pelbagai keterbukaan dilaporkan oleh media perdana Malaysia, khususnya media bukan Bahasa Melayu. Maka mulalah kedengaran suara dan bicara mengenai NGO yang mempersoalkan Islam, mengenai kontrak sosial, mengenai UMNO kononnya melakukan pembersihan entik keturunan India, mengenai Perlembagaan Persekutuan kononnya perlu dimansuhkan kerana menindas bukan Melayu dan sebagainya.

Apabila orang Melayu dan Bumiputera bersuara, mereka dituduh sebagai menyuarakan isu-isu sensitif. Apabila orang Melayu dan Bumiputera bersuara, mereka diminta bertoleransi dan memelihara perpaduan serta ketahanan nasional.

Hari ini, ada pihak yang sudah memadamkan tulisan Jawi di papan-papan tanda jalan. Adakah salah jika orang Melayu bersuara dan menentangnya? Hari ini UMNO dipertikaikan kerana menyatakan hakikat dan fakta sejarah. Salahkah UMNO bertindak demikian?

Hakikatnya, Abdullah memang dah bagi banyak sangat muka kepada pihak-pihak tertentu. Tak payah dihuraikan perkara ini satu persatu. Tetapi cukup sekadar untuk direkodkan di sini bahawa menjelang PRU12 memang segolongan Melayu dan Bumiputera prihatin merasakan Melayu dan Bumiputera sudah jadi warganegara kelas ketiga di tanahairnya sendiri!

Sebab itulah sesudah PRU12 ada golongan Melayu mula membicarakan semula soal ketuanan dan kedominan Melayu di Malaysia. Tapi, usaha ini juga disifatkan sebagai anti-Melayu.

Inikah akibat keterbukaan yang diperjuangkan oleh Abdullah seperti yang dipuji-puji oleh seorang Timbalan Ketua Pengarang sebuah akhbar Inggeris tempatan yang didakwa sebagai anak didik seorang Hamba Allah dari seberang Selat Teberau?
- Ruhanie Ahmad

Thursday, September 4, 2008

ABDULLAH BERI JAMINAN JAGA UMNO SUPAYA TERUS KUAT

MELAKA, 17 Ogos 2007 (Bernama) - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan akan menjaga UMNO supaya terus kuat, berpengaruh, maju dan meningkat jaya.

Presiden UMNO itu membuat ikrar di atas ketika berucap di hadapan kira-kira 3,500 veteran merdeka di Perhimpunan Perdana Veteran Merdeka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.

"Inilah jaminan yang hendak saya berikan kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian supaya pejuang bangsa semua tidak rasa kecewa kerana tuan-tuan mahu melihat apa yang akan berlaku dalam negara kita yang merdeka ini, apa yang akan berlaku kepada bangsa kita ini," katanya.

"Jadi tugas kami semestinya menjaga supaya kemerdekaan itu tidak hilang, kemerdekaan kekal kepada kita, kita akan menjadi bangsa yang kekal merdeka dan berdaulat” katanya. – Dipetik daripada BERNAMA, 17 Ogos, 2007 20:52 PM

Nota: Berita di atas sengaja saya ulang-siar di blog ini untuk membolehkan seluruh warga UMNO memastikan sama ada ikrar di atas sudah dikotakan oleh Abdullah.

Berita di atas juga akan membantu warga UMNO mengkaji sama ada sejak PRU 12 hingga sekarang, UMNO “terus kuat, berpengaruh, maju dan meningkat jaya.”

Mulai 10 Oktober hingga 10 November 2008, kesemua bahagian UMNO di seluruh negara akan mengadakan perwakilan bahagian masing-masing. Satu daripada agendanya adalah memilih calon-calon kepimpinan yang akan bertanding dalam pemilihan parti pada Disember 2008.

Berasaskan senario UMNO mutakhir, wajarkah Abdullah dicalonkan semula ke jawatan Presiden? Sempena hari baik, bulan baik ini, fikir-fikirkanlah persoalan ini secara bijaksana. – Ruhanie Ahmad