Wednesday, September 24, 2008

MAJLIS TERTINGGI

1. Perbincangan di dalam Majlis Tertinggi UMNO sepatutnya rahsia. Jadi amat memeranjatkan apabila akhbar melaporkan beberapa butiran penting berkenaan mesyuarat Majlis Tertinggi yang diadakan pada hari Khamis, 18hb September. Apa yang lebih mengejutkan lagi ialah laporan tersebut mendedahkan tentangan terhadap Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi oleh beberapa ahli majlis dan desakan oleh mereka agar peralihan kuasa diadakan sebelum mesyuarat Bahagian-bahagian yang akan menamakan calon Presiden.

2. Difahamkan bahasa yang digunakan sesetengah ahli agak keras. Dato Seri Rafidah Aziz turut membangkitkan peranan yang dimainkan menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin dan anak beliau, Kamaluddin.

3. Begitu keras bahasa yang digunakan hinggakan muka Abdullah berubah. Beliau nampak tertekan dengan desakan ahli majlis apabila Dato Seri Najib Tun Razak, yang sentiasa menjadi penyelamat Abdullah, menghentikan mesyuarat. Najib berjanji untuk bercakap dengan Abdullah berkenaan hal ini.

4. Difahamkan ahli Majlis Tertinggi yang lain merasa tidak puas hati kerana sekali lagi perkara kontroversi yang melibatkan majlis dijadikan bahan perbincangan tertutup antara Abdullah dan Najib. Menidakkan hak majlis adalah sesuatu yang sering dilakukan Abdullah dan Najib. Mereka berdua akan membuat keputusan yang tidak pun memuaskan hati ahli majlis. Najib kemudian akan tekankan betapa pentingnya untuk bersatu dan setia kepada Presiden.

5. Keadaan kali ini juga sama seperti sebelumnya. Apabila berhadapan dengan sesuatu masalah rumit, Abdullah akan meminta nasihat keluarganya, terutama anak dan menantunya termasuk sekarang ini isterinya.

6. Umum mengetahui keluarganya mempunyai kuasa dan kebebasan untuk mempengaruhi segala keputusan-keputusan Abdullah berdasarkan kepentingan diri mereka iaitu untuk mengaut sebanyak mana kekayaan yang mungkin dan untuk mempastikan cita-cita politik Khairi termasuk untuk menjadi Perdana Menteri termuda.

7. Apabila tiba masanya untuk bertemu Najib, Abdullah sudahpun diberi taklimat oleh keluarganya tentang apa yang harus diperkatakan. Dan Najib akan terima apa sahaja keputusan Abdullah untuk meleraikan masalah yang timbul. Di dalam kes ini, Abdullah akan tetap dengan pendiriannya untuk kekal hingga Jun 2010 atau mungkin awal sedikit sebelumnya. Najib kemudian akan ditugaskan untuk "menjual" keputusan ini kepada Majlis Tertinggi. Dengan ini Najib akan lebih dipandang rendah oleh ahli majlis dan rakyat apabila sikapnya ini didedahkan kepada umum.

8. Apabila UMNO ditubuhkan, pemimpin terdahulu memastikan yang tidak akan ada keputusan-keputusan yang bercanggah dengan asas perjuangan parti dibuat tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan Majlis Tertinggi. Apa yang terjadi kepada Dato Onn, Yang di-Pertua UMNO yang pertama merupakan contoh terbaik. Presiden tidak diturut secara buta-tuli. Sebaliknya apabila beliau mencadang sesuatu yang bercanggah dengan perjuangan parti, cadangan beliau ditolak dan sebagai seseorang yang mempunyai maruah, beliau telah mengundur diri.

9. Selama lebih kurang 50 tahun, Majlis Tertinggi memain peranan ini. Demikian apabila (Tun) Musa Hitam meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden parti, Majlis Tertinggi yang bersidang tidak bersetuju bulat-bulat dengan Presiden, sebaliknya bermesyuarat hingga ke awal pagi dan membuat keputusan, walau apa juga pendapat Presiden, untuk menghantar satu delegasi yang terdiri daripada ahli-ahli kanan majlis ke London untuk memujuk Musa menerima kembali jawatan Timbalan Presiden parti dan Timbalan Perdana Menteri. Musa bersetuju kembali sebagai Timbalan Presiden tetapi tidak sebagai Timbalan Perdana Menteri. Dengan itu beliau berada di landasan yang baik untuk cuba menjatuhkan saya dengan mempengaruhi Tengku Razaleigh Hamzah bertanding jawatan presiden menentang saya. Secara kebetulan semasa berkempen untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO, beliau mendakwa mendapat sokongan saya.

10. Tetapi apabila Abdullah mengambil alih Presiden parti merangkap Perdana Menteri, perwatakan Majlis Tertinggi bertukar. Ianya menjadi alat peribadi Abdullah untuk melulus dan menghalalkan apa sahaja yang beliau buat.

11. Saya percaya pada hari Khamis keadaan ini telah berubah sedikit. Beberapa orang ahli telah berani meyuarakan desakan supaya Abdullah melepas jawatan awal. Sudah tentulah penyokongnya tidak beralih arah. Demikian ada kemungkinan majlis pecah dua.

12. Saya rasa ini merisaukan Najib yang hendakkan peralihan kuasa secara aman supaya parti tidak pecah-belah. Oleh itu dia akan terima apa sahaja cadangan yang membenarkan Abdullah lepaskan jawatan dengan penuh kegemilangan.

13. Malangnya Najib tidak akan capai impiannya. Tidak pernah ada Presiden UMNO yang begitu sekali dibenci rakyat seperti Abdullah. Melayu, Cina dan India, samada ahli parti komponen Kerajaan mahupun penyokongnya atau rakyat kebanyakan kesemuanya mahukan Abdullah mengundur diri. Lagi cepat lagi baik.

14. Yang mahukan beliau terus pegang jawatan adalah mereka yang kedudukan mereka bergantung kepadanya, atau mereka yang mendapt untung daripada pemberian kontrak dan sebagainya oleh beliau. Bagi sesetengah yang lain, termasuk kakitangan awam, hanya ketakutan terhadapnya yang menyebabkan mereka tidak mahu bersuara tetapi mereka tetap marah.

15. Yang peliknya ialah yang benar-benar menyokong Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO adalah pembangkang. Karpal Singh, Anwar Ibrahim dan Nik Abdul Aziz Nik Mat hendakkan beliau (Abdullah) kekal sekurang-kurangnya hingga pilihanraya akan datang.

16. Tetapi ini bukanlah kerana mereka sayang kepadanya tetapi kerana mereka percaya dengan beliau mengepalai Barisan Nasional, pembangkang mempunyai peluang yang lebih cerah memenangi pilihanraya umum ke-13 dan mendirikan Kerajaan. Mereka rasakan yang mereka hampir mencapai matlamat mereka dan tidak mahu golongan yang memberontak di dalam UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP kembali kepada parti dan menyukarkan usaha mereka untuk kalahkan BN.

17. Begitulah Majlis Tertinggi yang tidakpun lagi tinggi.

http://test.chedet.com/che_det/2008/09/supreme-council.html

3 comments:

cucupakkasim said...

dato'
the best way,you kumpui 7,8 orang-orang yang baik macam tun,you,mana-mana jeneral yang dah pencen,pi putrajya pi penerajang saja dollah nie...!!

Pak Brahim said...

Datuk Ruhanie,

Sebenarnya pihak pembangkang pun tidak mahu DS Abdullah kekal sebagai PM. Namun bukan sahaja kepada PM sorang sahaja bahkan kepada semua anggota kabinet dan kerajaan BN, itulah sebabnya tanggal 16 September diletakkan sebagai penanda aras dan dicetuskan untuk memberi isyarat bahawa isu peralihan kuasa adalah benar dan serius demi menyelamatkan NEGARA dari krisis KEYAKINAN.

Marilah kita berdoa semoga proses peralihan kuasa ini berjalan dengan cara aman dan teratur. INSYAALLAH.

puteramaya said...

Cucu Pak Kasim dan Pak Brahim

Terima kasih atas sokongan kepada puteramaya.

Selamat hari raya dan maaf lahir batin.

Salam takzim - Ruhanie Ahmad