Monday, December 15, 2008

ADA YANG TAK KENA MENGENAI SURUHANJAYA PELANTIKAN KEHAKIMAN?

Sahabat saya, blogger Datuk A Kadir Jasin, menulisnya dalam blog The Scribe, bahawa “apabila seorang bekas Ketua Hakim Negara berkata Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) boleh mencetuskan masalah dan amaran itu pula ditujukan kepada Ahli Parlimen, saya rasa kita, sebagai rakyat jelata, pengundi dan pembayar cukai wajib turut memberi perhatian.”

Bila saya baca tulisan Kadir, saya juga turut prihatin mengenai sesuatu yang tak kena mengenai soal ini. Oleh itu, saya pinjam tulisan Kadir untuk dimuatkan ke dalam blog ini seperti berikut:

AMARAN MENGENAI SURUHANJAYA PELANTIKAN KEHAKIMAN

A Kadir Jasin

APABILA seorang bekas Ketua Hakim Negara berkata Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) boleh mencetuskan masalah dan amaran itu pula ditujukan kepada Ahli Parlimen, saya rasa kita, sebagai rakyat jelata, pengundi dan pembayar cukai wajib turut memberi perhatian.

Bekas Ketua Hakim Negara yang baru bersara, Tun Abdul Hamid Mohamad, memberi amaran penubuhan SPK yang sedang dibahaskan di Parlimen boleh mencetuskan masalah bagi pemilihan untuk jawatan-jawatan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan.

Justeru itu, beliau meminta perkara ini difikirkan oleh ahli-ahli Parlimen apabila membahaskan rang undang-undang berkaitan dan membuat keputusan mengenainya.

Untuk faedah para pembaca, pembahas dan “followers” (pengikut) blog ini dan bagi memudahkan pemahaman, saya memetik terus laporan Bernama dalam bahasa Melayu seperti berikut:

PUTRAJAYA, 11 Dis (Bernama) -- Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 yang dibentangkan kali pertama di Dewan Rakyat semalam bakal mencetuskan masalah dalam pemilihan pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad berkata masalah tersebut timbul apabila mesyuarat pemilihan dalam suruhanjaya itu akan dianggotai oleh orang-orang yang sama yang mempunyai kepentingan bagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara atau Presiden Mahkamah Rayuan.

"Saya cuma menarik perhatian dan membangkitkan perkara ini untuk difikirkan oleh ahli-ahli Parlimen dalam membuat keputusan mereka," kata beliau kepada Bernama di sini, hari ini.

"Diperhatikan bahawa mengikut peruntukan rang undang-undang ini, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman mempunyai bidang kuasa melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan Hakim Mahkamah Tinggi.

"Juga diperhatikan bahawa suruhanjaya ini akan dianggotai oleh sembilan orang anggota termasuk lima hakim kanan di mana empat daripadanya adalah hakim-hakim yang paling kanan di negara ini."

Beliau merujuk kepada fasal 5 rang undang-undang tersebut yang memperuntukkan Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman dianggotai sembilan ahli terdiri daripada Ketua Hakim Negara sebagai pengerusinya, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Persekutuan serta empat orang yang terkemuka yang dilantik oleh Perdana Menteri.

Menurut fasal 21 rang undang-undang itu, suruhanjaya tersebut akan bertanggungjawab bagi memilih calon yang sesuai dan wajar untuk dilantik sebagai hakim mahkamah atasan.

Calon yang layak untuk pemilihan itu pula perlulah memenuhi beberapa kriteria termasuk mempunyai peribadi moral yang baik, berintegriti serta mempunyai kebolehan menguruskan kes dengan baik.

Dalam temu bual itu Abdul Hamid berkata mengikut peruntukan rang undang-undang tersebut, pemilihan pelantikan seorang pesuruhjaya kehakiman, hakim mahkamah tinggi, hakim mahkamah rayuan, hakim mahkamah persekutuan, hakim besar Malaya dan hakim besar Sabah dan Sarawak tidak akan menimbulkan masalah, tetapi keadaan adalah sebaliknya bagi pemilihan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

"Dalam pemilihan Presiden Mahkamah Rayuan, anggota suruhanjaya iaitu Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak malah Hakim Mahkamah Persekutuan adalah orang-orang yang berkepentingan untuk menjawat jawatan tersebut yang bererti bahawa mereka terpaksa mengecualikan diri.

"Oleh sebab rang undang-undang ini mengkehendaki korum (sic) (bagi mesyuarat pemilihan) seramai tujuh orang, maka ada kemungkinan korum (sic) itu tidak boleh dicapai.

"Keadaan menjadi lebih rumit mengenai pemilihan Ketua Hakim Negara. Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak adalah orang-orang yang berkepentingan dan mereka juga terpaksa dikecualikan. Ini bererti bahawa korum (sic) tujuh orang tidak boleh diperolehi (sic) juga," kata Abdul Hamid, yang telah bersara Oktober lalu.

Malah katanya, jika Ketua Hakim Negara tidak ada pada masa mesyuarat pemilihan hendak diadakan maka mesyuarat itu akan berjalan tanpa kehadiran Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

"Ini akan memberikan dua akibat, pertama korum (sic) tidak akan diperolehi (sic). Kedua ini bererti untuk pelantikan hakim-hakim yang lebih rendah, mesyuarat pemilihan akan dianggotai sepenuhnya oleh ahli-ahli termasuk empat hakim paling kanan tadi, sebaliknya untuk pelantikan hakim yang paling kanan iaitu Ketua Hakim Negara, keempat-empat hakim yang terkanan tidak akan mengambil bahagian dalam mesyuarat itu.

"Ini juga bererti untuk pemilihan Ketua Hakim Negara, mesyuarat itu hanya akan dihadiri oleh anggota yang paling tinggi iaitu Hakim Mahkamah Persekutuan bersama-sama empat anggota bukan hakim yang dilantik oleh Perdana Menteri.

"Adakah ini tujuan sebenar rang undang-undang ini? Saya cuma membangkitkan perkara ini untuk difikirkan oleh ahli-ahli Parlimen sama ada itulah tujuan sebenar mereka yang kelak akan menjadi tujuan Parlimen," tegas beliau.

Ketika ditanya pendapatnya mengenai cadangan penubuhan suruhanjaya itu, Abdul Hamid enggan mengulas sama ada ia patut diadakan atau tidak kerana berpendapat ia adalah soal dasar yang terletak di bawah bidang kuasa Parlimen untuk diputuskan.

Penubuhan Suruhanjaya Kehakiman Malaysia dikatakan bakal mendukung kebebasan berterusan badan kehakiman selain melindungi kepentingan awam berhubung perkara-perkara berkaitan badan kehakiman serta pentadbiran keadilan.- BERNAMA

1 comment:

Mika Angel-0 said...

Sdr Ruhanie Ahmad,

Ya, saya setuju ia elok dibahaskan sebaik-baik bahas. Negara pelan dewasa harus berani bertanggungjawab:
who get the last say?"