Tuesday, June 17, 2008

ISKANDAR MALAYSIA BOLEH SEBABKAN MELAYU TERPINGGIR?

TELUK INTAN 15 Jun - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi mendakwa rancangan untuk membangunkan Iskandar Malaysia bukan sahaja akan menjadikan wilayah pertumbuhan 2,217 kilometer persegi itu sebagai 'Utara Singapura' tetapi juga bakal menyebabkan Melayu di Johor terpinggir.

"Penduduknya akan terdiri daripada orang kaya Singapura. Kawasan itu akhirnya tiada Melayu kerana tidak berupaya beli tanah dan apabila jumlah orang lain terlalu ramai, mereka akan desak meminta hak itu dan hak ini," katanya pada satu majlis dialog di sini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Melayu di sekitar koridor pembangunan itu agar tidak mudah melepaskan tanah apabila ditawar harga tinggi oleh pihak tertentu. Koridor ini, yang juga dikenali sebagai Pembangunan Wilayah Ekonomi Selatan Johor (SJER) diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 30 Julai 2006. Namanya ditukar kepada Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) pada 4 November 2006 bersempena nama Sultan Johor, Sultan Iskandar sebelum sekali lagi ditukar namanya menjadi Iskandar Malaysia pada 11 April lepas.

Lebih RM47 bilion diperlukan bagi membangunkan kawasan itu sebagai pusat pertumbuhan terbesar di rantau ini dan akan memakan masa sehingga 2025.

Keseluruhan kawasan pembangunan itu dikatakan menyamai 2 1/2 kali ganda keluasan Singapura apabila siap sepenuhnya dengan syarikat Khazanah Nasional Berhad sebagai peneraju utama dalam merealisasikan wawasan pembangunan tersebut. - Bernama

1 comment:

Unknown said...

tak payah tunggu WPI. Lihatlah sekiling wahai penulis, dah lama melayu kena pinggir.