Sunday, September 2, 2007

Tahniah Temasek Holdings

Saya petik di bawah ini satu berita Bernama pada 31 Ogos 2007 mengenai, Ho Ching, Ketua Eksekutif Temasek Holdings, syarikat milik kerajaan Singapura yang juga isteri kepada Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura, seperti berikut:

Isteri PM Singapura, Ho Ching
Wanita Ketiga
Paling Berkuasa Di Dunia

SINGAPURA, 31 Ogos (Bernama) - Ketua Eksekutif Temasek Holdings, syarikat milik kerajaan Singapura, Ho Ching, kini merupakan wanita ketiga paling berkuasa di dunia selepas Canselor wanita pertama Jerman Angela Merkel dan Naib Perdana Menteri China Wu Yi.

Ho Ching, isteri Perdana Menteri Lee Hsien Loong, meningkat naik dari tangga ke-36 tahun lepas kepada tangga ketiga dalam senarai tahunan "100 Wanita Paling Berkuasa" yang dikeluarkan Forbes hari ini.

Forbes berkata Ho Ching kini menjadi "pengaruh yang mesti diambil kira, kerana rundingan urusniaga yang dilakukannya merentasi dunia."

"Ho Ching telah berjaya mengubah Temasek daripada sebuah syarikat yang menumpukan pelaburan di Singapura kepada sebuah badan pelaburan yang berjaya melebarkan sayap ke Asia, melakukan pelaburan dalam syarikat-syarikat India dan China, khususnya dalam sektor telekomunikasi dan perbankan,” kata Forbes.

Nilai bersih portfolio Temasek kini meningkat 27 peratus kepada US$108 bilion daripada US$80 bilion pada tahun sebelumnya.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Condoleezza Rice menduduki tangga keempat, selepas Ho Ching.

- BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=282408

Komen:

Sejak dua-tiga tahun kebelakangan ini nama Temasek Holdings sering kedengaran di Malaysia. Nama syarikat ini jadi antara buat mulut yang meniti dari bibir ke bibir. Ia juga pernah dikaitkan dengan beberapa transaksi perniagaan.

Agak sukar untuk kita mengukur pembabitan Temasek di Malaysia ketika ini. Apa pun, saya ucapkan selamat maju jaya dan tahniah kepada Ho Ching di atas prestasi cemerlang beliau menguruskan perniagaan Temasek.

Forbes mengatakan Ho Ching kini menjadi "pengaruh yang mesti diambil kira, kerana rundingan urusniaga yang dilakukannya merentasi dunia."

Oleh itu, wajarlah kita mengingati nama Ho Ching - isteri Perdana Menteri Singapura, wanita ketiga berpengaruh di dunia dan Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Holdings, syarikat milik kerajaan Singapura! – Ruhanie Ahmad

No comments: