Monday, October 27, 2008

KUMPULAN PRIHATIN LAHIRKAN DEKLARASI JANDA BAIK

Sekumpulan karyawan, penulis dan penganalisis politik serta bloggers semalam berhimpun di kediaman Syed Hussein Alattas @Pak Habib) di Wadi Hussein, Janda Baik, untuk merangkan dan memuktamadkan gagasan hati mereka mengenai perjuangan agama, bangsa dan negara.

Pertemuan itu menghasilkan Deklarasi Janda Baik yang mengandungi 15 perkara penting berhubung kepentingan bangsa Melayu, negara dan juga kesucian agama Islam, seperti berikut:

Memandangkan keadaan politik negara yang gawat, cabaran dan gugatan terhadap kepimpinan Melayu yang lemah oleh pihak-pihak tertentu, dari dalam dan luar negara serta keadaan ekonomi dunia yang kucar kacir dewasa ini, maka KAMI, para penulis, wartawan dan blogger yang prihatin terhadap nasib Bangsa, Agama dan Tanah Air, yang bersidang di Janda Baik, Pahang mengambil sikap dan pendirian seperti berikut:-

1. KAMI mendesak dan menuntut agar para pemimpin Melayu dari berbagai fahaman politik mengembelengkan tenaga, kerjasama dan buah fikiran demi mempertahankan keluhuran dan kekeramatan PERLEMBAGAAN MALAYSIA TANPA KOMPROMI
.
2. KAMI memberi amaran kepada para pemimpin politik Melayu dari semua fahaman ideologi agar jangan menjadi pemimpin Pak Pandir yang hanya menang sorak tetapi kampung halaman dan negara terjual kepada pihak asing.

3. KAMI juga memberi amaran keras kepada pihak-pihak tertentu yang memainkan sentimen perkauman dan mempertikaikan HAK ISTIMEWA MELAYU sepertimana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN NEGARA agar jangan mencetuskan permusuhan antara kaum, antara agama dan antara budaya oleh kerana mereka menganggap kepimpinan Melayu lemah dan boleh diperdagangkan untuk memenuhi agenda perkauman mereka.

Kandungan deklarasi ini seterusnya boleh diperolehi daripada blog Haji Mohd Sayuti Omar di alamat: http://msomelayu.blogspot.com

Saya tidak menghadiri pertemuan itu kerana berada di Parit Sulong. Bagaimanapun saya turut menyokong deklarasi ini demi kebaikan seluruh rakyat Malaysia. – Ruhanie Ahmad

Thursday, October 16, 2008

PELUANG NAJIB JADI PM HANYA 45 PERATUS?

Ketua Perusuh adalah seorang blogger sosio-politik Malaysia yang tajam mata penanya. Hari ini beliau menyatakan bahawa setakat ini, peluang Datuk Seri Najib Tun Razak jadi Perdana Menteri adalah kira-kira 45 peratus sahaja.

Soalnya, adakah ramalan ini benar dan apakah alasan-alasannya? Untuk mengetahuinya, bacalah posting Ketua Perusuh yang saya cut-n-paste di bawah ini. – Ruhanie Ahmad

Bersemayam Di Tahta?

Ketua Perusuh

Najib Razak nampaknya setakat ini menjadi satu-satunya calon popular yang cuba diangkat untuk bersemayam di tahta Kerajaan Malaysia sebagai Perdana Menteri Ke 6. Gegak gempita seluruh alam buana Semenanjung Tanah Melayu dan Kepulauan Borneo. Malah ramai para penyokongnya bagaikan berpesta untuk memastikan bahawa Najib Razak berhak bersemayam di tahta tersebut.

Dalam tak sedar, kita semua terlupa bahawa masih ada banyak lagi rintangan yang pastinya akan menggugat dan seterusnya mematikan peluang bagi Najib Razak bersemayam di tahta Perdana Menteri Malaysia. Musuh-musuh politik beliau bukanlah semakin berkurang, namun telah bertambah dari sehari ke sehari. Itu belum lagi musuh dalam selimut yang pastinya menanti peluang untuk mencantas Najib Razak.

Janganlah kita lupa bahawa Abdullah Ahmad Badawi masih lagi berpeluang untuk dicalonkan walaupun beliau telah bertegas mengatakan bahawa beliau tidak akan bertanding pada pemilihan pucuk pimpinan UMNO kali ini. Dengan angka lebih daripada 6 digit wang yang telah dilaburkan, tentulah ianya akan memberikan pulangan yang dikehendaki. Mewah sungguh perwakilan dan pimpinan bahagian dalam UMNO kerana semua pihak telah menghulurkan sebanyak mungkin wang “tumbuk rusuk” dalam usaha mereka melobi.

Pada masa ini, maruah, harga diri dan jati diri perwakilan dan pimpinan bahagian nampaknya lebih rendah daripada binatang ternak yang disogokkan dengan makanan yang banyak sehingga gemuk sebelum disembelih dimasa akan datang. Kita biarkanlah dan tengok sejauh mana mereka rela menggadaikan diri mereka demi kepentingan duniawi (wang ringgit).

Berbalik kepada tajuk komentar kali ini, saya beranggapan bahawa peluang Najib Razak untuk bersemayam di tahta Perdana Menteri Malaysia cuma sekitar 45% sahaja setakat ini. Walaupun begitu jika pelobi dan penyokong Abdullah Ahmad Badawi berjaya dalam usaha mereka, pastinya peluang Najib Razak akan berkurangan lebih banyak lagi. Konsep siapa bayar lebih akan dapat undi yang lebih begitu teruk menular didalam UMNO dewasa ini.

Minggu kedua dan ketiga pencalonan peringkat bahagian pastinya akan lebih sengit bilamana lebih banyak lagi wang “tumbuk rusuk” akan ditaburkan untuk memastikan semua usaha pelobi mencapai sasaran yang dikehendaki. Yang pastinya semua ini tidak akan dapat dipantau, dikesan malah diambil tindakan oleh Jawatankuasa Disiplin UMNO. Malah seperti biasa semua aduan dan bukti lobi dan wang tumbuk rusuk ini bagaikan air yang dicurahkan ke daun keladi. Apalah yang mampu dilakukan oleh Tengku Ahmad Rithauddin dalam menangani kemelut rasuah dalam UMNO.

Oleh itu, siapakah yang akan menduduki tahta Perdana Menteri Malaysia yang Ke 6? Mungkin ada yang akan ketawa besar jika saya berpandangan bahawa tahta tersebut akan beralih kepada Pakatan Pembangkang? Mungkin juga Abdullah Ahmad Badawi akan bersemayam di tahta tersebut buat kali ke 6?

Walau siapa pun yang bertahta di jawatan Perdana Menteri Malaysia, ianya tidak akan terkecuali dari menjadi mangsa komentar/penulisan saya jika didapati menyeleweng. Malah ianya bertepatan dengan motto laman blog ini, “Yang Adil Disembah, Yang Zalim Disanggah”

” Ke Arah Malaysia Baru “

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa – ISIS

http://ketuaperusuh.wordpress.com/2008/10/15/bersemayam-di-tahta/

Monday, October 13, 2008

ABDULLAH DICADANGKAN BERSARA DISEMBER 2008?

Keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk bersara pada Mac 2009 nampaknya masih lagi dipertikaikan oleh segolongan rakyat Malaysia. Hari ini, Blogger Nobisha menyarankan Abdullah mengundurkan diri selewat-lewatnya Disember 2008 untuk memudahkan Datuk Seri Najib Tun Razak “memulihkan imej UMNO dan Barisan Nasional yang rosak teruk sewaktu PRU12 dulu.”

Posting Nobisha sepenuhnya boleh diakses di sini: http://nobisha.blogspot.com/2008/10/pak-lah-bersara-disember-2008.html

Sementara itu, Blogger Politica pula mencadangkan dalam posting terbarunya supaya Abdullah bersara “esok.” Posting ini boleh dibaca di sini: http://politica-net.blogspot.com.

Pandangan seperti ini wajar diperincikan oleh warga UMNO yang sedang mengadakan persidangan perwakilan masing-masing ketika ini. Ia juga perlu dihalusi oleh seluruh Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia. – Ruhanie Ahmad

Friday, October 10, 2008

NAJIB-MUHYIDDIN PILIHAN MACHANG DAN KIMANIS

Hari ini UMNO Bahagian Machang, Kelantan, dan Kimanis, Sabah, mengadakan persidangan perwakilan masing-masing. Senarai pencalonan mereka dilaporkan oleh Utusan Malaysia seperti berikut:

MACHANG CALONKAN NAJIB, MUHYIDDIN

MACHANG 10 Okt. – UMNO Bahagian Machang yang mengadakan persidangan perwakilannya di sini hari ini mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi jawatan presiden dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk timbalan presiden parti.

Dalam proses pengundian yang diadakan secara terbuka walaupun terdapat gesaan di kalangan perwakilan agar dilakukan secara tertutup, jumlah undian yang diterima jauh mengatasi Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, undian untuk Muhyiddin mengatasi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin dicalonkan bagi jawatan Naib Presiden. – Utusan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_14.htm

KIMANIS PILIH GANDINGAN NAJIB, MUHYIDDIN

KIMANIS 10 Okt. – UMNO Bahagian Kimanis hari ini sebulat suara mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan UMNO, Mac depan.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, perwakilan persidangan bahagian itu mencalonkan Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Ketua UMNO bahagian, Datuk Anifah Aman berkata, pilihan bagi jawatan Presiden dan Timbalan itu adalah berdasarkan kepada keyakinan bahawa mereka berdua mampu memulihkan kedudukan UMNO dan Barisan Nasional. – Utusan.

Lagi:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_07.htm

Tuesday, October 7, 2008

KALAU KITA PAKAI BAJU ORANG LAIN KEDOBORLAH JAWABNYA…

Di bawah ini saya siar semula tulisan Blogger Zukri Valentino dalam blog Utarawan mengenai perkembangan politik UMNO mutakhir. Saya amat setuju dengan beliau – jangan cuba-cuba pakai baju orang lain. Silap-silap kedoborlah jawabnya! – Ruhanie Ahmad.

JANGANLAH CUBA MEMAKAI BAJU ORANG LAIN...

Oleh Zukri Valentino

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Dr Rais Yatim dilaporkan telah tertawa besar apabila Ketua UMNO Bahagian Pulai Nur Jazlan Mohamed menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan jawatan Disember ini.

Sambil melahirkan rasa terkejut dengan minat mendadak ahli-ahli parti terhadap jawatan nombor dua itu, Ketua UMNO Bahagian Jelebu itu menambah: “Mereka seharusnya tahu mengukur baju di badan sendiri”.

Sehingga ini kenyataan Rais adalah yang paling rasional dan sesuai untuk mententeramkan keadaan dalam parti yang disifatkan beliau sebagai sudah kelam-kabut dan mencemaskan UMNO kerana mereka yang kelak terpilih sebagai Timbalan Presiden adalah bakal Perdana Menteri.

“Seharusnya mereka ini sudah masak pengalaman serta terlatih sebagai pemimpin parti dan negara,” katanya yang dipetik oleh Utusan Malaysia hari ini, 7 Oktober 2008.

Saya tidak salahkan beliau yang tertawa dengan perkembangan ini, malahan ramai juga orang parti yang tersengih, tersenyum sumbing dan bersikap sinikal akan tawaran NurJazlan, 42, yang juga Ahli Parlimen Pulai, Johor. - Zukri Valentino, Utarawan

Lagi:
http://utarawan.blogspot.com/2008_10_07_archive.html#7183638528798785551

Monday, September 29, 2008

NAK CAKAP SALAH TAK CAKAP SALAH!

Ketua Perusuh

Sekali lagi pinjam dan ulang siar tulisan Blogger Ketua Perusuh yang menarik untuk tatapan seluruh pembaca blog ini. – Ruhanie Ahmad

Satu perkara yang saya nampak semakin hari semakin menjadi-jadi berlaku di dalam Pakatan Rakyat (PR) adalah bilamana ramai dikalangan anggotanya yang semakin condong untuk bersikap seperti Barisan Nasional (BN). Penuh dengan hasad dengki, khianat, korup, rasuah, meminta-minta malah ada yang lebih teruk perangainya daripada ahli BN.

Boleh dikatakan saban hari saya dihujani pertanyaan mengenai sikap, perangai dan tindakan ahli PR yang khabarnya menyeleweng dari matlamat asal. Bukan setakat ahli di peringkat bawahan namun ada maklumat yang sampai ketangan saya menunjukkan beberapa pemimpin PR yang teruk menyeleweng.

Sikap sebegini secara tidak langsung akan menyebabkan sokongan terhadap PR akan menjadi goyah jika tidak diambil peduli oleh Pimpinan Atasan PR. Yang paling ditakuti adalah terdapat juga beberapa pimpinan tertinggi yang bersikap lebih teruk dari pemimpin peringkat bahagian BN.

Budaya rasuah dan meminta projek telah dikhabarkan menular sehingga ke paras yang boleh dikatakan teruk. Ingin saya nasihatkan anda supaya cepat-cepat berubah sebelum saya paparkan nama-nama anda di laman ini. Saya tahu jika saya dedahkan nama-nama ini tentunya akan ada para penyokong mereka ini yang akan melenting dan seterusnya akan menuduh saya berniat untuk menjatuhkan mereka.

Demi Allah, Tuhan Semesta Alam, saya tidak berniat untuk menjatuhkan anda melainkan anda sendiri yang sebenarnya meletakkan diri anda di tebing jurang kebinasaan. Sebelum PR ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia, adalah lebih baik anda dijatuhkan terlebih dahulu.
Kepada Pemimpin PR di peringkat atasan, sila gunakan akal dan ilmu sebelum mengeluarkan arahan, tindakan serta komentar sama ada di media tempatan atau luar negara. Jika tidak semakin hari semakin banyak kerosakan yang akan anda lakukan (seperti contoh apa yang Teressa Kok lakukan) yang secara tidak langsung akan menyebabkan sokongan rakyat berubah.

Kepada Anwar Ibrahim, sila nyatakan fakta serta dokumentasi untuk menyokong setiap idea atau ucapan anda terutamanya mengenai kemasukan FDI ke Malaysia (sebanyak 1 Trilion) jika anda ingin terus mendapat sokongan dari ramai para professional tempatan.

“Kearah Malaysia Baru“ - Ketua Perusuh, Bekas Felo Kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa - ISIS

http://ketuaperusuh.wordpress.com/2008/09/28/nak-cakap-salah-tak-cakap-salah/

Friday, September 26, 2008

TARIKH PERALIHAN KUASA LEBIH AWAL?

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Adakah mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno esok akan memutuskan tarikh peralihan kuasa lebih awal antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak atau membincangkan kaedah lebih berkesan untuk mengukuhkan parti?

Isu peralihan kuasa kini menjadi persoalan utama di kalangan ahli politik dan pemerhati politik dalam masa terdekat sebaik sahaja diumumkan bahawa Umno akan mengadakan mesyuarat MT pada pukul 10 pagi di ibu pejabat parti itu di sini.

Dalam tempoh dua hari lepas, cakap-cakap politik jelas kedengaran, dengan spekulasi bahawa dua pemimpin tertinggi negara terlibat dalam "perbincangan" tarikh asal peralihan kuasa yang pada asalnya ditetapkan pada Jun 2010, yang dikatakan telah menimbulkan rasa tidak puas hati anggota Umno yang memihak pemimpin tertentu.

Kedua-dua pemimpin sebelum ini bersetuju bahawa Abdullah menyerahkan kuasa kepada Najib pada Jun 2010, tetapi ini dilihat oleh beberapa pihak di dalam Umno suatu tempoh yang terlalu lama, khususnya apabila parti politik terbesar itu mengadakan pemilihan parti pada Disember tahun ini.

Tanda-tanda perbezaan pendapat semakin ketara setelah Abdullah pada 17 Sept mengumumkan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan peralihan kuasa akan berlaku lebih awal ekoran pertukaran portfolionya sebagai Menteri Kewangan kepada Najib dan beliau sendiri menjadi Menteri Pertahanan.

Pemerhati politik menterjemahkan pertukaran portfolio itu sebagai tanda penyerahan kuasa yang akan berlaku lebih awal sebelum 2010, dengan sebilangan mereka meramalkan ia mungkin berlaku seawal Disember tahun ini.

Spekulasi semakin hangat petang semalam apabila Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam satu kenyataan menyatakan bahawa Najib telah membatalkan lawatannya ke New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mulai hari ini sehingga I Okt. - BERNAMA

Lagi:http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=361376