Monday, June 30, 2008

UMNO AKAR UMBI TENTUKAN NASIB ABDULLAH

Ruhanie Ahmad

Perkembangan dalam siasah UMNO kian menarik. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih belum memberikan tarikh khusus untuk menyerahkan kuasa parti kepada Datuk Seri Najib Tun Razak; Abdullah juga tetap akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO; Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan proses peralihan kuasa tidak termaktub dalam perlembagaan parti; Razaleigh juga sedang aktif menawarkan diri untuk jawatan Presiden UMNO; Najib mungkin turut mencabar Abdullah selaku pembesar nombor satu UMNO; jika Najib menghadapi rintangan yang amat besar, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mungkin diketengahkan oleh warga UMNO akar umbi untuk menandingi Abdullah.

Ini bermakna jika Abdullah tidak mengosongkan kerusi Presiden UMNO dalam tempoh terdekat ini, kemungkinan besar beliau ditentang oleh Razaleigh dan Najib. Syaratnya, Razaleigh dan Najib mestilah memperolehi pencalonan yang cukup untuk memenuhi kuota ditetapkan oleh perlembagaan parti.

Jadi, siapakah yang akan menerima pencalonan yang besar bagi jawatan Presiden UMNO ini? Abdullah selaku penyandang atau Razaleigh dan Najib selaku pencabar?

Berdasarkan senario hari ini, pastinya Abdullah yang akan menerima pencalonan yang besar. Ini kerana sesudah Abdullah disanggah rakyat jelata menerusi PRU12, majoriti ketua perhubungan UMNO negeri dan ketua bahagian UMNO masih terus menyokong Abdullah selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Mereka segan silu untuk meminta Abdullah berundur secara terhormat dan dengan segera.

Strategi

Lantaran itulah Abdullah pernah berkata bahawa beliau tidak akan mengundurkan diri daripada parti dan kerajaan sesudah PRU12 kerana tiada desakan untuk beliau berbuat demikian. Kata Abdullah, majoriti pemimpin UMNO terus memberikan sokongan padu kepada dirinya.

Bagaimanapun, desakan-desakan ke atas Abdullah yang dilakukan secara senyap dikatakan memang cukup serius. Seluruh desakan ini menuntut perubahan pucuk pimpinan untuk menyelamat dan memperkasakan semula UMNO sesudah PRU12.

Desakan-desakan ini pernah disuarakan di peringkat Majlis Tertinggi UMNO dalam tempoh pasca PRU12. Ia juga pernah diulangi sewaktu kepimpinan tertinggi UMNO mengadakan proses penjanaan, penggeloraan dan penggabungan minda dalam satu retreat kira-kira sebulan lalu.

Jika seluruh desakan tersebut diterjemahkan ke dalam bentuk pencalonan bagi jawatan Presiden UMNO oleh bahagian-bahagian UMNO, bagaimanakah peluang Abdullah? Mampukah beliau memperolehi pencalonan yang besar? Adakah Abdullah akan tergugat? Atau mampukah Abdullah terus berada dalam keadaan yang selamat untuk terus mempertahankan jawatan berkenaan?

Tercemar

Betapa malu dan betapa terhinanya Abdullah jika majoriti pencalonan peringkat bahagian kelak tidak memihak kepada beliau. Dalam keadaan sebegini, apakah pilihan yang ada padanya? Nama baik Abdullah tetap akan tercemar walaupun beliau menarik diri daripada pertandingan berasaskan senario ini.

Oleh itu, sewajarnyalah Abdullah bimbang akan kemungkinan seperti ini. Beliau perlu memikirkan sama ada sokongan para pemimpin UMNO kepada beliau pada hari ini adalah suatu strategi supaya beliau berasa selesa dan tidak mencurigai sebarang kemungkinan untuk menyingkirkan beliau menerusi proses pemilihan kepimpinan parti.

Jadi, apakah pilihan yang ada pada Abdullah sekarang? Untuk mengambil risiko besar dan tetap berusaha mengekalkan kerusi Presiden UMNO? Atau melepaskan jawatan tersebut dalam tempoh terdekat supaya dapat ditandingi oleh Najib dan Razaleigh secara demokratik?

Inilah dilemma Abdullah ketika ini. Beliau pasti akan dihalang oleh individu-individu yang rapat dengannya supaya tidak mengundurkan diri daripada kerajaan dan parti. Individu-individu ini pasti akan bertindak demikian kerana banyak kepentingan mereka akan tergugat jika Abdullah bersara.

Senjata

Perkembangan geopolitik serantau, khususnya yang membabitkan Malaysia-Singapura, mungkin juga tidak akan memudahkan Abdullah meninggalkan persada kekuasaan negara dan parti dalam tempoh terdekat. Ini kerana Najib atau Razaleigh adalah tokoh yang sukar untuk dominasikan oleh mana-mana kuasa asing.

Lantas, apakah langkah Abdullah selanjutnya? Berusaha bermati-matian untuk mempertahankan jawatan Presiden UMNO? Jika ini terjadi, apakah senjata rahsia Abdullah untuk mematahkan sebarang usaha pihak-pihak yang akan menentang beliau. Adakah Abdullah mempunyai senjata ajaib untuk menundukkan Najib? Apakah senjata istimewa Abdullah untuk menyekat kemaraan Razaleigh?

Benarkah kini sudah ada pihak-pihak berkepentingan yang sanggup berbelanja berjuta-juta ringgit semata-mata untuk membantu Abdullah mengekalkan kerusi Presiden UMNO? Jika ini terjadi, tidakkah amalan politik wang akan menghakis kredibiliti UMNO? Apa akan jadi kepada UMNO jika politik wang skala besar ini melanda pemilihan parti tahun ini?

Oleh itu, seluruh warga UMNO, khususnya yang di peringkat cawangan dan bahagian, wajar meneliti kemungkinan di atas secara halus dan mendalam. Kebijaksanaan mereka akan menyelamatkan UMNO.

PRU13

Hakikatnya demikian kerana keputusan merekalah yang akan mencorak-warnakan pemilihan pucuk pimpinan UMNO kali ini. Jika mereka memutuskan untuk mengekalkan Abdullah, maka nama baik Abdullah tidak akan tercemar atau terhina.

Tetapi, keputusan ini pastinya tidak akan menyelamatkan UMNO dalam era pasca PRU12. Keputusan ini hanya akan mengekalkan UMNO pada keadaan hari ini – terus menyebabkan segolongan orang Melayu berkelana jauh daripada parti ini kerana mereka kecewa dengan kepimpinan Abdullah.

Hakikat ini boleh menjejaskan peluang serta kedudukan UMNO dan BN dalam PRU13. Hakikat ini juga akan menyukarkan UMNO dan BN menawan semula kerajaan-kerajaan negeri yang sudah ditawan oleh Pakatan Rakyat menerusi PRU12.

Bagaimanapun, jika warga UMNO di peringkat cawangan dan bahagian berazam untuk menyelamatkan UMNO, pastinya Abdullah akan tersingkir menerusi pemilihan pucuk pimpinan parti tahun ini. Pastinya, walau digoda dengan wang berjuta-juta ringgit jumlahnya, warga UMNO di peringkat cawangan dan bahagian ini tetap akan melakukan perubahan pucuk pimpinan tertinggi parti demi agama, bangsa dan tanahair.

Khairy

Lantaran itu, siapakah pilihan warga UMNO akar umbi untuk menggantikan Abdullah? Najib, Razaleigh, Tan Sri Muhyiddin Yassin? Atau, mungkinkah mereka mahukan Khairy Jamaluddin, pemuda pintar yang selama empat tahun kebelakangan ini melatarbelakangi kepimpinan Abdullah?

Razaleigh sudah menyatakan hasrat dan kesanggupannya memimpin UMNO jika diberikan peluang oleh warga UMNO akar umbi. Beliau berpengalaman dan sudah melalui badai siasah Melayu yang mendewasakan beliau selama ini. Beliau juga mempunyai pengalaman luas di bidang pegurusan ekonomi dan kewangan negara. Hakikat ini mungkin bermanfaat besar dalam keadaan ekonomi dunia yang sedang menempuh zaman meleset ketika ini.

Najib pula mempunyai rangkai penyokong akar umbi UMNO yang bukan kecil. Beliau mempunyai pendedahan luas dalam politik dan pengurusan negara. Beliau pernah jadi Menteri Besar Pahang. Beliau juga pernah jadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Generasi pemuda sezaman dengan Najib kini amat berpengaruh di peringkat bahagian dan cawangan UMNO.

Malangnya, Najib kini dikatakan sedang digerhanai persepsi negatif berkaitan kes Altantuya. Kebelakangan ini, Najib juga disifatkan seolah-olah amat pasif terhadap krisis keyakinan dan krisis kepimpinan yang melanda UMNO. Beliau dituduh oleh segolongan pihak sebagai enggan bertegas dengan Abdullah. Hakikat ini menyebabkan segolongan warga UMNO agak terkilan dengan Najib. Tetapi, tidak mungkinkah segala-galanya akan dimaafkan jika Najib berkata dengan tegas bahawa beliau akan bertanding untuk jawatan Presiden UMNO?

Suara Ramai

Sebenarnya Najib sudah pun bersuara mengenai hal ini. Tetapi, kenyataan beliau amat berlapik dan samar-samar. Contohnya, pada 3 April 2008, Najib ditanya oleh para wartawan sama ada “UMNO kini memerlukan perubahan besar-besaran.” Jawab Najib: “sebarang tindakan bergantung kepada kehendak dan suara ahli. Suara ramai dalam parti yang akan menentukan hala tuju dan masa depan parti.”

Pada 27 Jun 2008, Najib pula dipetik oleh Bernama sebagai berkata bahawa beliau “belum membuat sebarang keputusan sama ada akan bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti Disember ini. Saya akan buat ketetapan apabila sampai masanya.”

Kedua-dua kenyataan di atas membuktikan Najib memang tidak menutup opsyen dirinya untuk menandingi Abdullah bagi jawatan Presiden UMNO. Hakikat ini sewajarnya sudah disedari oleh Abdullah. Hakikat ini juga sewajarnya sudah diteliti oleh seluruh warga UMNO akar umbi.

Pada ketika ini, persepsi umum meramalkan bahawa Najib akan berganding kekuatan dengan Muhyiddin yang dijangka mengisi jawatan Timbalan Presiden UMNO. Jika gandingan Najib-Muhyiddin ini jadi kenyataan, siapa pula regu Abdullah? Datuk Seri Syed Hamid Albar? Dan siapa pula regu Razaleigh? Datuk Shahrir Abdul Samad atau Datuk Seri Dr. Rais Yatim?

Terunggul

Tetapi, senandainya persepsi negatif terhadap Najib pada ketika ini amat sukar untuk dihapuskan dan terus menggerhanai peluang Najib mara ke jawatan Presiden UMNO, adakah beliau akan tetap bertanding untuk jawatan berkenaan?

Kalau Najib terus bertanding, mungkinkah ada sesetengah warga UMNO akar umbi yang akan mencalonkan Muhyiddin sebagai pencabar Abdullah yang paling berwibawa? Jika ini terjadi, apakah akan terjadi pertandingan empat penjuru untuk jawatan Presiden UMNO kali ini di antara Abdullah, Razaleigh, Najib dan Muhyiddin?

Tetapi, jika ditakdirkan Najib tidak bertanding, tidakkah Muhyiddin antara pilihan terunggul untuk memimpin UMNO? Dalam situasi seperti ini, siapa pula yang akan jadi regu Muhyiddin? Datuk Seri Mustapha Mohammad atau pun siapa?

Begitulah perkembangan yang mungkin terjadi kepada siasah UMNO mutakhir ini. Segala-galanya penuh tanda tanya. Tetapi, segala-galanya adalah bergantung kepada ketegasan warga UMNO cawangan dan bahagian untuk membuat keputusan muktamad mengenai wajarkah Abdullah diizinkan terus mengekalkan jawatan Presiden UMNO, wajarkah Razaleigh diberi peluang bertanding, wajarkah Najib disokong untuk mencabar Abdullah, dan sekiranya Najib menghadapi jalan yang sukar, wajarkah Muhyiddin mereka ketengahkan untuk menggantikan Abdullah?

Oleh itu, seluruh kepimpinan serta warga UMNO cawangan dan bahagian di seluruh negara harus insaf bahawa proses merobah pucuk pimpinan tertinggi UMNO kali ini adalah amat penting untuk dimuktamadkan secara serius, tegas, bijaksana dan berhati-hati. Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya!

Sunday, June 29, 2008

BATU PUTIH: RAKYAT JOHOR WAJAR SOKONG SULTAN JOHOR

JOHOR BAHRU, 28 Jun 2008: - Rakyat perlu memberi sokongan terhadap hasrat Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail, yang tetap mahu berikhtiar untuk mendapatkan semula kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih walaupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah memutuskan hak itu diberi kepada Singapura.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Singapura yang bertindak keluar dari Malaysia pada tahun 1965 tidak berhak atas sebarang tanah jajahan negeri ini.

“Apa yang dititahkan Sultan Johor memang benar dan kita patut memberi sokongan padu kepada Sultan Johor. Batu Putih memang milik kita,” katanya di sini hari ini.

Kata Tengku Razaleigh, keputusan ICJ tersebut memang membelakangkan fakta sejarah dan soal kedaulatan bentuk maritim tersebut memberi kesan mendalam kepada penduduk Johor.

“Saya telah berbincang dengan pihak yang boleh memberi pendapat perundangan mengenai kes Batu Putih ini, berdasarkan kedaulatan, apa yang diputuskan oleh ICJ itu tidak tepat,” katanya. - Dipetik daripada muka surat 4, Mingguan Malaysia, Ahad, 29 Jun 2008.

Nota: Pada ketika ini, sekumpulan warga prihatin Malaysia bercadang mewujudkan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai kedaulatan negara, termasuklah mengenai kedaulatan Pulau Batu Putih. Atas dorongan sahabat-sahabat yang meninggalkan komen dalam blog kuda-kepang, saya sedang menimbangkan cadangan mereka untuk menjadi pengerusi penaja NGO ini. Bagaimanapun saya harap kemukakanlah lagi nama-nama lain untuk sama-sama kita pertimbangkan bagi jawatan tersebut.

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Biar putih tulang, jangan putih mata. Oleh itu, kita akan sama-sama menerokai cara terbaik ke arah merinci serta mengartikulasikan hasrat perjuangan Sultan Johor mengenai Pulau Batu Putih. Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku.– Ruhanie Ahmad

Friday, June 27, 2008

TUBUH NGO PULAU BATU PUTEH
SOKONG DYMM SULTAN JOHOR

Ramai sahabat kuda-kepang mengutarakan pendapat supaya ditubuhkan satu badan bukan kerajaan (NGO) khusus mengenai kedaulatan negara, khususnya bagi mendukung cita-cita DYMM Baginda Sultan Johor untuk mendapatkan semula kedaulatan Pulau Batu Puteh daripada Singapura di hari muka.

Lantaran itu, ada juga para sahabat yang mencadangkan supaya saya sendiri mengetuai satu sekretariat kepada NGO yang dicadangkan.

Cadangan seperti ini memang cukup baik dan amat topikal. Ia mencerminkan kebimbangan anak-anak bangsa mengenai masa depan kedaulatan negara jika trend mengenai pemeliharaan kedaulatan negara pada hari ini - sama ada yang nampak jelas atau samar-samar - berterusan tanpa dibendung.

Namun begitu, saya agak keberatan. Bukan kerana ketiadaan semangat juang. Tetapi kerana faktor usia yang kian lanjut. Lagi pun, ketika ini wujud persatuan sejarah, persatuan bekas perajurit dan lain-lain lagi pertubuhan patriot sekategori dengannya. Tidak mungkinkah badan-badan ini boleh memainkan peranan sebagai pelopor kepada usaha memelihara kedaulatan negara di hari muka?

Bagaimanapun, pandangan saya mengenai hal ini belum lagi muktamad. Cadangan 9T9 masih terbuka untuk dibincangkan. Antaranya adalah seperti berikut:

Saya menggesa supaya semua rakyat yang perihatin, patriotik dan punya kesedaran, menubuhkan satu sekretariat atau pertubuhan/pergerakan untuk mengetengahkan isu Pulau Batu Puteh dengan lebih serius.

Kita perlukan satu organisasi (pastinya bukan berdasarkan politik) yang tersusun dan terancang untuk menangani perkara ini yang semakin hari semakin menyakitkan hati.

9T9 juga mencadangkan saya jadi “pengerusi atau moderator” kepada pertubuhan yang dicadangkannya sementara beliau sendiri “sanggup jadi ahli yang pertama.” – 9T9, http://www.ninetnine.net/blog/no-to-wpi/

Oleh itu, apakah pandangan anda semua? Apa pendapat Datuk Hassan Ahmad dari Persatuan Sejarah? Apa pendapat Persatuan Bekas Perajurit Johor? Bolehkah kita mulakan usaha ini menerusi penganjuran satu forum mengenai kedaulatan Pulau Batu Puteh di waktu terdekat ini? – Ruhanie Ahmad

Thursday, June 19, 2008

ABDULLAH HADAPI TSUNAMI POLITIK FASA DUA?

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kena segera bangkit daripada sindrom penafiannya dan bertindak decisive mulai sekarang. Beliau wajar membuat keputusan muktamad terhadap pelbagai persoalan berikut:

1. Adakah Abdullah insaf bahawa PRU12 telah memberikan isyarat bahawa rakyat jelata Malaysia sudah hilang keyakinan kepada beliau?

2. Jika insaf, syukur alhamdulillah. Jika tidak, bilakah proses peralihan kuasa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak akan dilaksanakan oleh Abdullah? Akhir bulan ini? Tahun depan? Atau peralihan kuasa yang sudah diwar-warkan kebelakangan ini tidak akan jadi kenyataan sama sekali?

3. Adakah hasrat Abdullah untuk mengekalkan jawatan Presiden UMNO Malaysia akan diteruskan? Atau, adakah Abdullah akan dengan sukarela mengundurkan diri daripada persada politik tanahair dengan seberapa segera?

4. Benarkah desas-desus bahawa sebuah kuasa asing tertentu telah berjaya mempengaruhi Abdullah supaya tidak memilih Najib atau Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pewaris tampuk kekuasaan negara dan UMNO? Benarkah ura-ura yang mengatakan bahawa kuasa asing berkenaan, demi menjaga kepentingannya di Malaysia, mahukan Datuk Seri Syed Hamid Albar dijadikan pengganti Abdullah? Kalau benar, harap sahkan ura-ura ini. Jika tidak, harap nafikannya dengan seberapa segera.

Saya senaraikan soalan-soalan di atas sebagai reaksi kepada ura-ura komponen BN – SAPP – akan membawa satu usul undi tidak percaya terhadap Abdullah di Dewan Rakyat Isnin depan. Ura-ura ini adalah satu daripada manifestasi kehilangan keyakinan rakyat Malaysia terhadap Abdullah mutakhir ini.

Lantas, banyak pihak pun mula tertanya-tanya, kenapakah Abdullah seolah-olah tidak langsung sensitif terhadap perasaan rakyat jelata di era pasca PRU12 ini? Kenapakah Abdullah langsung tidak memikirkan kesejahteraan UMNO mutakhir ini? Adakah Abdullah masih menunggu ketibaan Tsunami Politik Fasa Dua untuk melanda beliau sehingga tersingkir daripada persada kekuasaan negara secara hina? - Ruhanie Ahmad

Tuesday, June 17, 2008

UMNO CAWANGAN ADA SENJATA STRATEGIK

Warga UMNO akar umbi mempunyai pelbagai cara untuk mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengundurkan diri daripada persada kepimpinan parti.

Antara cara-cara ini termaktub di dalam Perlembagaan UMNO. Lain-lainnya boleh distrategikan secara muafakat jika cawangan-cawangan UMNO memilih untuk menjadi kuasa pendesak sementara menunggu persidangan tahunan cawangan diadakan.

Contohnya, Fasal 17.5.1 Perlembagaan UMNO memberikan kuasa kepada persidangan cawangan untuk “membincangkan dasar parti untuk dikemukakan kepada mesyuarat Perwakilan Bahagian.”

Maksudnya, menerusi fasal ini, warga UMNO akar umbi yang menghadiri persidangan cawangan diberi hak mengemukan usul mengenai parti, termasuklah mengenai isu kepimpinannya.

Dalam konteks Abdullah, usul berkenaan boleh menyuarakan rasa kesal dan kecewa warga UMNO akar umbi ke atas kepimpinan Abdullah yang enggan mengundurkan diri demi kepentingan agama, bangsa dan tanahair.

Menerusi fasal yang sama, warga UMNO akar umbi juga boleh mendesak AJK UMNO bahagian masing-masing supaya menggubal satu usul mengenai pendunduran Abdullah untuk dibincang dan diluluskan oleh perwakilan UMNO bahagian.

Sementara menunggu persidangan cawangan, AJK UMNO cawangan boleh juga bermuafakat untuk mengeluarkan kenyataan akhbar atau mengirimkan surat desakan kepada Abdullah untuk mengundurkan diri.
Salinan kenyataan akhbar atau surat desakan ini wajar dikirimkan kepada peringkat bahagian, badan perhubungan negeri, Ibu Pejabat UMNO Malaysia dan bloggers sosio-politik.

Seluruh huraian di atas merupakan jawapan saya kepada beberapa pertanyaan oleh ramai surfers yang bertanyakan sama ada warga UMNO akar umbi mempunyai cara untuk mendesak Abdullah supaya mengundurkan diri.

Oleh itu, janganlah hak dan kuasa strategik yang ada di tangan warga UMNO akar umbi dipersia-siakan pada ketika ini. Pokoknya, kita kena berani bersuara dan bertindak berasaskan kebenaran demi agama, bangsa dan tanahair. – Ruhanie Ahmad
ISKANDAR MALAYSIA BOLEH SEBABKAN MELAYU TERPINGGIR?

TELUK INTAN 15 Jun - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi mendakwa rancangan untuk membangunkan Iskandar Malaysia bukan sahaja akan menjadikan wilayah pertumbuhan 2,217 kilometer persegi itu sebagai 'Utara Singapura' tetapi juga bakal menyebabkan Melayu di Johor terpinggir.

"Penduduknya akan terdiri daripada orang kaya Singapura. Kawasan itu akhirnya tiada Melayu kerana tidak berupaya beli tanah dan apabila jumlah orang lain terlalu ramai, mereka akan desak meminta hak itu dan hak ini," katanya pada satu majlis dialog di sini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Melayu di sekitar koridor pembangunan itu agar tidak mudah melepaskan tanah apabila ditawar harga tinggi oleh pihak tertentu. Koridor ini, yang juga dikenali sebagai Pembangunan Wilayah Ekonomi Selatan Johor (SJER) diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 30 Julai 2006. Namanya ditukar kepada Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) pada 4 November 2006 bersempena nama Sultan Johor, Sultan Iskandar sebelum sekali lagi ditukar namanya menjadi Iskandar Malaysia pada 11 April lepas.

Lebih RM47 bilion diperlukan bagi membangunkan kawasan itu sebagai pusat pertumbuhan terbesar di rantau ini dan akan memakan masa sehingga 2025.

Keseluruhan kawasan pembangunan itu dikatakan menyamai 2 1/2 kali ganda keluasan Singapura apabila siap sepenuhnya dengan syarikat Khazanah Nasional Berhad sebagai peneraju utama dalam merealisasikan wawasan pembangunan tersebut. - Bernama

Sunday, June 15, 2008

ABDULLAH PERLU SEGERA BERUNDUR
SEBELUM UMNO JADI PEMBANGKANG?

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak perlu menglengah-lengahkan lagi proses peralihan kuasa Perdana Menteri dan Presiden UMNO kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Ini kerana pada hakikatnya Abdullah sudah dipersarakan oleh rakyat jelata Malaysia menerusi Pilihan Raya Umum (PRU) 12.

Lantaran itu, kenyataan Abdullah yang tersiar dalam akhbar pada 14 Jun 2008, bahawa “beliau dan Najib telah muafakat dan telah setuju” bilakah beliau akan bersara dan bila pula Najib akan jadi Perdana Menteri, adalah akademik.

Najib pula tidak perlu lagi bertindak secara budiman. Fahamilah tuntutan dan kehendak rakyat jelata. Bertindaklah secara decisive dan segera sebelum Abdullah disingkirkan oleh pihak pembangkang menerusi satu revolusi sikatak lompat yang dijangka menjadi realiti dalam tempoh terdekat ini.

Seandainya revolusi sikatak lompat ini tidak menjadi kenyataan, jangan pula Najib terus berdiam diri. Insaflah bahawa kini sudah wujud satu konspirasi bahawa Abdullah mungkin melantik seorang yang penuh misteri untuk menjadi Perdana Menteri.

Untuk mengartikulasikan rumusan di atas, baca dan analisalah sendiri maklumat-maklumat yang dikirimkan kepada blog ini sebagai respons kepada posting bertajuk ISU PERALIHAN KUASA CUMA SATU MUSLIHAT?, seperti berikut:

Abdullah mungkin nak serah jawatannya kepada “PM in waiting” and that is not Najib. Najib/Muhyiddin will have to act fast, or that “PM in waiting” is no longer waiting comes September 2008. - MMcrossings.

Abdullah tidak akan menyerahkan kepimpinan kepada Najib atau pun Muhyiddin, sumber terkini memberitahu saya sebentar tadi. Kredibiliti sumber ini diakui oleh peringkat antarabangsa. Najib dan Muhyiddin perlu bangkit segera sekira ingin teruskan perjuangan agenda Melayu. Mohon maaf kerana saya terpaksa dedahkan pekara ini kepada umum demi maruah perjuangan bangsa dan negara. – Pemerhati.

Bulan lalu Abdullah kata nak serah kuasa negara dan UMNO kepada Najib. Hari ni dah ada desas-desus Abdullah nak lantik Syed Hamid Albar jadi penggantinya. - Politica

Amat sukar bagi Abdullah berundur dalam masa terdekat kerana faktor 'keselamatan' ahli keluarga dan kroninya harus di ambil kira. Bagaimanapun, pengunduran Abdullah secara mendadak hanya akan berlaku sekiranya ada tekanan jitu dari dalaman UMNO. - Lamandau.

Apa kata kalau seluruh warga UMNO yang melebihi tiga juta berdemontrasi meminta Abdullah turun taktha sebelum lebih banyak kerosakan yang akan beliau lakukan di bumi Malaysia ini. - Kamal-Kamal

Peralihan kuasa perlu dilakukan dengan segera memandangkan rakyat Malaysia sudah tiada keyakinan lagi dengan kepimpinan Abdullah. - Ainul AB

Tidaklah semudah itu Abdullah meletakkan jawatan. Melakukan peralihan kuasa dalam jangkamasa terdekat ini bagi Abdullah bermakna membunuh karier politik sendiri, menimbus pasir ke periuk nasi KJ dan Kamaluddin. - Fikir Tajam

Saya rasa peralihan kuasa tidak akan berjalan lancar seperti yang dikatakan oleh Abdullah. Kesediaan Najib menanti hanyalah ibarat menunggu buah yang dah tua tetapi belum pasti gugurnya kerana masak ranum atau pun perlu dijolok. Ada kemungkinan Abdullah akan meletakkan jawatan secara drastik bila terlalu banyak desakan yang dihadapi. Ada juga kemungkinan Abdullah akan menyerahkan kuasa kepada orang lain, bukannya Najib. – Pak Yeop

Andainya Abdullah terus mengamalkan tabiat bercakap dusta, alamat Najib akan terus berendam air mata kerana impiannya untuk menyandang gelaran Perdana Menteri Malaysia tidak akan jadi kenyataan. - Asalbayu

Saya amat yakin Abdullah tidak akan menyerahka kuasa kepada Najib selagi Khairy tidak mendapat jaminan untuk menjadi PM. - Kerajaan Rakyat

Demikianlah hakikatnya soal peralihan kuasa. Intisari daripada seluruh pandangan di atas sangat berbagai-bagai. Ada yang mahukan Abdullah melaksanakan penyerahan kuasa dengan segera. Ada yang meramalkan Abdullah melaksanakan apa-apa penyerahan kuasa. Ada yang menjangka Abdullah tidak akan menyerahkan kuasa kepada Najib. Ada yang mendesak Najib bertindak sewajarnya. Ada yang membayangkan Abdullah hanya akan berundur bila warga UMNO seluruhnya mendesak beliau berbuat demikian.

Oleh itu, terserahlah kepada Abdullah, Najib, Muhyiddin dan seluruh warga UMNO untuk bertindak sewajarnya. Bagaimanapun, insaflah bahawa jika Abdullah, Najib dan UMNO gagal bertindak segera, jangan salahkan sesiapa jika UMNO akan jadi sebuah parti pembangkang dalam tempoh terdekat ini. – Ruhanie Ahmad