Tuesday, November 18, 2008

BERAPA RAMAI TOKOH UMNO SEPERTI RAIS?

Datuk Seri Dr. Rais Yatim pernah menjadi Naib Presiden UMNO di pertengahan tahun 80-an. Kemudian beliau berkelana dan berjuang atas pletfom Parti Melayu Semangat 46. Pada awal tahun 2000 parti berkenaan dibubarkan dan majoriti ahlinya, termasuk Rais, kembali ke pangkuan UMNO. Kini beliau merupakan calon terakhir yang memperolehi kuota secukupnya untuk melayakkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.

Kenyataan Rais di bawah ini seolah-olah membawa mesej bahawa beliau agak sukar memperolehi kuota bagi jawatan Naib Presiden UMNO kali ini kerana bahana politik wang. Tetapi, walaupun beliau menyedari hakikat berkenaan, beliau tetap berpegang teguh kepada prinsip perjuangannya yang tidak akan tunduk kepada amalan rasuah politik dalam UMNO.

Soalnya sekarang, berapa ramai lagikah tokoh UMNO seperti Rais? Apakah peluang beliau untuk memenangi jawatan yang ditandingi kali ini? Lupakah para perwakilan UMNO bahawa Rais pernah teruji sebagai seorang Naib Presiden parti yang berwibawa dan prihatin terhadap agenda perjuangan bangsa? Dan, mungkinkah kenyataan Rais di bawah ini akan menyebabkan beliau kecundang dalam pemilihan kali ini? - Ruhanie Ahmad

RAIS ENGGAN JADI HAMBA KEPADA PERMAINAN POLITIK WANG

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini berkata beliau enggan menjadi hamba kepada politik wang seperti yang diamalkan sesetengah pihak.

Beliau berkata lebih cepat Lembaga Disiplin Umno mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat, adalah lebih baik.

"Saya tidak akan tunduk kepada permainan (politik wang)," katanya ketika ditanya mengenai peluang beliau memenangi jawatan naib presiden Umno selepas menjadi calon terakhir mendapat pencalonan yang mencukupi untuk bertanding pada pemilihan parti Mac depan.

Bagaimanapun, katanya, beliau enggan menuding jari ke arah sesiapapun dan menambah kata: "Ia memang sudah diketahui umum." - BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=372069

No comments: