Menyorot PRU12: (2)
Abdullah Kata Kepimpinannya Gemilang
Tapi Peratus Pengundi Senyap Luar Biasa
Kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan diadili oleh rakyat jelata tiga hari lagi bila para pengundi Malaysia menentukan siapakah yang akan diberi mandat untuk berkuasa selepas PRU12.
Dalam konteks ini, Abdullah yang mendakwa kepimpinannya sejak 2004 sebagai “amat berjaya” kelihatan amat optimis sekali bahawa BN akan memang besar dan sekaligus kembali berkuasa.
Dalam pada itu, satu laporan Bernama 5 Mac 208, menyatakan bahawa kini “terdapat antara 35 dan 40 peratus pengundi yang diistilah sebagai pengundi senyap di kebanyakan kawasan di seluruh negara.” Mereka dikatakan belum membuat sebarang pilihan. Jumlah mereka “hampir berganda dengan kadar purata 20 peratus bagi pengundi senyap pada mana-mana pilihan raya umum.”
Andaian di atas mungkin benar dan mungkin sebaliknya. Saya katakan begitu kerana majoriti komen yang dikirimkan ke blog ini sejak setahun yang lalu memberikan gambaran bahawa segolongan pengundi Malaysia sebenarnya telah membuat keputusan masing-masing.
Sebilangan besar kelompok ini adalah daripada kalangan warga UMNO dan penyokong kuat BN dalam PRU11. Mereka juga adalah golongan professional.
Pembentuk Minda
Walaupun mereka tidak menganggotai sebarang NGO, kumpulan minat [interest group] atau kumpulan pendesak [pressure group], mereka adalah pembentuk minda [opinion makers] yang mampu mempengaruhi pihak lain waima dalam kalangan keluarga masing-masing.
Golongan ini mempunyai tiga pilihan yang merugikan BN. Pertama: memilih untuk tidak keluar mengundi. Kedua: keluar membuang undi, tetapi memilih calon alternatif. Ketiga: keluar mengundi, tetapi memberikan undi rosak.
Cebisan e-mail berjodol Silent Protest Dalam UMNO Benar! yang saya cedok daripada blog Umno Reform menjelaskan fenomena di atas seperti berikut:
Memang benar "silent protes" wujud dalam UMNO. Mereka tidak akan mengundi parti pembangkang. Tetapi mereka tidak akan keluar mengundi. Ini gara-gara perbuatan Pak Lah yang suka memperlucukan pentadbirannya. Menggugurkan calon adalah perkara biasa. Tetapi Pak Lah perlu mengugurkan calon yang benar-benar tidak relevan. Tapi ini tidak berlaku. Pak Lah gugurkan untuk kepentingan tertentu, khususnya sewaktu pemilihan agung UMNO nanti. Ini tidak seharusnya berlaku. Hari ini kepimpinan peringkat bahagian turut tercabar dengan beberapa kerat orang Pak Lah. Sebenarnya apa yang di perkatakan orang mengenai "silent protes" adalah benar. -http://www.umno-reform.com/
Rakyat Muak
Kandungan e-mail di atas hanya mencerminkan sebahagian daripada sebab-sebab wujudnya undi protes atau “pengundi senyap”. Lain-lain sebabnya termasuklah kekecewaan rakyat terhadap Abdullah yang kelihatan lemah, indecisive atau sukar membuat keputusan secara tepat dan tegas, rasa muak rakyat terhadap gelagat menantu Abdullah yang berlagak sebagai seorang menteri atau presiden UMNO dan juga beberapa keputusan serta dasar Abdullah yang disifatkan seolah-olah “menggadaikan kedaulatan negara kepada pihak asing”, terutamanya Singapura.
Antara komen-komen terbaru yang yang dikirimkan ke blog ini untuk membuktikan wujudnya pengundi protes adalah seperti berikut:
Hovidpure: Satu yang pasti pada 8 Mac 2008, undi saya, isteri saya, tiga orang anak saya dan seorang menantu saya sudah amat pasti BUKAN untuk BN. Keluarga saya di KL dan keluarga abang serta kakak saya di Skudai, Johor, telah berpakat dan bersetuju untuk tidak mengundi BN seperti masa-masa lalu. Kami semua adalah ahli UMNO. Tetapi kami rasa malu dan terlalu berdosa jika kami beri undi kami kepada BN yang akan membantu Abdullah meneruskan agenda cacamarbanya.
Tidak Dijajah
Tengku Saifullizan: Berapa tahun lagi mahu beri muka kepada pucuk pimpinan UMNO untuk memerintah? UMNO bagi saya sudah hilang arah tuju, sudah hilang asas dan matlamat untuk membangunkan Malaysia… Kami generasi baru Malaysia mahukan pemimpin yang amanah, cekap menguruskan negara dan khazanah, memberikan hak kepada yang berhak.
Rakyat: UMNO dan BN tak relevan lagi untuk rakyat Malaysia.. Kenapa? UMNO menggadai nasib orang Melayu ke lembah kehinaan. UMNO penyebab kepada Melayu merempat di tanah air sendiri.
Rudy: Percaya dan yakinlah sekiranya BN diberi mandat menubuh kerajaan selepas PRU 12, bangsa Melayu akan hidup tertekan dan menderita. Renungan ini di tujukan kepada semua pengundi PRU12.
Zulkifli Noordin: Pastikan Khairy dan gang tidak menjajah kita. Pastikan Malaysia terus merdeka dan tidak terlelong ke seberang tambak!
Sindrom Penafian
Kamalkamal: Menurut beberapa sumber, KJ memang telah menyusun atur strategi bagi menentukan calon-calon PRU ke-12 dan selepas ini calon-calon kepimpinan UMNO peringkat Bahagian. Mungkin penggal ini merupakan penggal terakhir bagi Abdullah. Untuk itu, sekali lagi KJ akan menggunakan pengaruhnya bagi menempatkan dirinya di persada kepimpinan sebelum Abdullah berundur. Sekiranya rakyat sedar dan menggunakan hak mereka dalam PRU kali ini nescaya perkara sebegini boleh dibendung walaupun mustahil untuk dihapuskan. Peranan rakyat/pengundi amat penting dalam memastikan negara tercinta ini tidak dinodai oleh makluk-makluk perosak.
Begitulah antara suara protes segolongan pengundi yang akan menentukan kerajaan Malaysia menerusi PRU12 pada 8 Mac 2008. Golongan ini berubah citarasa bukan kerana mereka bencikan BN dan menentang kerajaan. Tetapi, kerana mereka tidak boleh lagi bertoleransi dengan kepincangan pentadbiran Abdulah dan keterlanjuran menantu Abdullah serta segelintir kroninya.
Adakah Abdullah menyedari dan menginsafi hakikat di atas? Atau, mungkinkah beliau terus ngorok dilingkari sindrom penafian bahawa apa yang saya catatkan di atas cuma ilusi liar atau fantasi gila semata-mata?
Saya ahli UMNO dan saya pernah menjadi wakil rakyat atas tiket BN. Bila saya paparkan hakikat di atas bukan maknanya saya sokong pembangkang. Saya huraikan hal di atas kerana saya bimbang dengan fenomena tersebut.
Sekali-kali saya tidak redha negara-bangsa ini digadaikan kedaulatan, maruah dan masa depannya oleh kepimpinan yang enggan melakukan reality check, sebaliknya dijangkiti sindrom penafian sepanjang masa!
Saya pasti tidak keseorangan dalam menghadapi dilema separah ini - ditelan mati emak, diluah mati bapak. Lantaran itu, sama-samalah kita hapuskan dilema ini menerusi keputusan penuh hemah dan tindakan secara bijaksana. – Ruhanie Ahmad
No comments:
Post a Comment