Tuesday, March 18, 2008

Saran UMNO-PAS Bersatu

Saya bersetuju dengan semua pendapat semalam berkaitan perlunya orang Melayu dan bumiputera bersatu. Telah banyak pendangan yang dilontarkan dalam ruangan ini menyatakan kekesalan mereka terhadap orang Melayu terutamanya yang mengundi DAP, PKR dan Pas sehingga menyebabkan DAP berkuasa di Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Kini semuanya telah berlalu dan tiada apa yang boleh dilakukan lagi melainkan perlu mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikannya.

Umum telah mengetahui bahawa barisan kerajaan baru di beberapa negeri tersebut disertai oleh tiga parti iaitu DAP, PKR dan Pas. Amat tidak dapat difahami sebenarnya bagaimana pakatan ini boleh terhasil kerana Pas merupakan parti yang sentiasa mencanang sebagai pembela dan penyelamat Islam.

DAP sejak dahulu lagi secara terbuka tidak mengiktiraf Islam serta enggan bekerjasama dengan Pas. PKR pula sentiasa bertindak demi kepentingan parti dan perjuangan mereka sentiasa berubah mengikut kaum mana yang ditemui ketika berceramah.

Walaupun Pas sering menafikan mereka tidak bekerjasama dengan DAP, tetapi rakyat tetap melihat terdapat kerjasama antara kedua-dua parti tersebut terutamanya di Perak dan Selangor serta di Parlimen.

Penasihat seumur hidup DAP pula semalam menggesa parti itu meningkatkan kerjasama dengan Pas demi kepentingan jangka panjang DAP.

Sekiranya ura-ura pakatan DAP-PKR-Pas akan bergabung membentuk sebuah parti ala Barisan Nasional (BN) menjadi kenyataan, maka ia akan menunjukkan dengan jelas kerjasama antara Pas dan DAP.

Demi menumbangkan BN, prinsip dan perjuangan parti sanggup diketepikan seketika dan akhirnya pakatan ini berjaya menakluki Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Kedah dan hampir berjaya di Negeri Sembilan.

BUMIPUTERA@MALAYSIA

Lagi:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm


Isu WPI: Nur Jazlan Disanggah Blogger JB

Di bawah ini saya siarkan berita Bernama pada 16 Mac 2008 yang disiarkan di muka surat 9 Utusan Malaysia pada 17 Mac 2008, dengan jodol WPI: Guna Singapura, seperti berikut:

Gunakan Rangkaian Hubungan Perdagangan Antarabangsa Di S'pura Pasarkan WPI

JOHOR BAHARU, 16 Mac (Bernama) -- Kerajaan Pusat serta Johor perlu mengadakan kerjasama pintar dengan Singapura dan menggunakan rangkaian hubungan perdagangan antarabangsa sedia ada di republik itu untuk memasarkan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) ke peringkat dunia.

Anggota Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata rangkaian hubungan perdagangan antarabangsa meluas di Singapura, yang merupakan pusat kepada syarikat-syarikat multinasional utama dunia, boleh digunakan untuk menepis laporan-laporan negatif tentang Malaysia oleh media asing.

"Kita kena menerima hakikat bahawa Singapura mempunyai nama yang lebih baik dan dikenali di kalangan masyarakat perdagangan antarabangsa berbanding Malaysia. Mereka (Singapura) mempunyai rangkaian hubungan perdagangan antarabangsa yang lebih meluas."

"Jadi apa salahnya jika kita, kerajaan Johor menggunakan rangkaian perdagangan antarabangsa yang ada di Singapura. Jikalau kerajaan Singapura boleh bekerjasama dengan kita, mereka boleh menceritakan perkara-perkara baik tentang WPI dan kita boleh bersama-sama membangunkan WPI," katanya kepada Bernama di dalam temubual eksklusif baru-baru ini.

Lagi:http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_business.php?id=320915

Blogger baru berpangkalan di Johor Baharu yang memakai nama PUREHADHARIST memberikan komen kepada berita di atas menerusi blog kuda-kepang seperti berikut:

Nur Jazlan perlu disiasat sama ada mempunyai kepentingan di Singapura atau tidak. Dalam keadaan kalau boleh kita tidak mahu bergantung langsung dengan Singapura dalam apa pun keadaan, Ahli Parlimen Pulai ini buat cadangan agar kita "menumpang" kemudahan yang ada di Singapura sebagai penghubung untuk perdagangan luar malah sebagai "tukang jawab" kepada Malaysia apa-apa dakyah yang tidak baik ke atas kita.

Orang-orang bermentaliti "peminta sedekah" kepada Singapura seperti ini wajar didedahkan kepada orang ramai dan rakyat Malaysia. Kita ni mengharapkan pemimpin, khususnya di kawasan-kawasan WPI, mengawasi sebarang bentuk penguasaan ekonomi, sosial hatta maklumat kepada kuasa luar, Jazlan pula nak suruh kita bekerjasama dengan Singapura. Harap highlightkan perkara ini supaya seorang lagi "jurucakap" Singapura diketahui umum. – Purehadharist

Sunday, March 9, 2008

Pimpinan Abdullah Punca BN Kalah Teruk
Harap Agong Tak Perkenan Beliau Jadi PM

Ruhanie Ahmad

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi wajar mengosongkan kerusi Pengerusi Barisan Nasional (BN) dengan serta merta dan tidak lagi layak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Ini kerana prestasi BN dalam PRU12 - BN hanya beroleh majoriti mudah di peringkat Parlimen dan kehilangan kerajaan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, di samping Kelantan yang gagal di tawan semula sejak 1990 - adalah akibat kepimpinan beliau yang pincang, lemah dan amat ditolak oleh rakyat jelata.

Para penganalisis politik tanah air di beberapa rangkaian TV tempatan yang memberikan ulasan selari kepada keputusan PRU12 seolah-olah tercari-cari apakah sebab utama kekalahan teruk BN dalam pilihan raya umum kali ini.

Menerusi analisa saya berasaskan komen-komen rakyat jelata yang diluahkan menerusi media internet sejak setahun yang lalu, punca utama BN era Abdullah kalah teruk adalah kepincangan Abdullah kepimpinan Abdullah, kedolak-dalikan kenyataan dan keputusan Abdullah, perilaku menantu Abdullah yang manipulatif dan umpama kadok naik junjung, dan juga persepsi umum bahawa Malaysia kini seolah-olah sudah digadaikan kedaulatannya kepada sebuah kuasa asing serantau yang tertentu.

Pada waktu yang sama, sejak kira-kira enam bulan yang lalu pula, beberapa kenyataan dan keputusan Abdullah kelihatannya seperti menjadikan orang Melayu tidak lagi relevan kepada usaha BN mempertahankan kuasanya menerusi pilihan raya umum.

Lantaran itulah wujud double standard dalam layanan era Abdullah terhadap kelompok Melayu yang berdemonstrasi di Batu Buruk, Terengganu, dengan kelompok Hindraf yang dituduh sebagai melakukan percubaan membunuh anggota polis sewaktu menunjuk perasaan di Kuala Lumpur.

Seluruh hakikat di atas banyak dipolemikkan menerusi internet. Seluruh hakikat di atas juga menyebabkan segolongan orang Melayu jadi terhiris hati dan terguris jiwa. Tetapi, Abdullah tidak ambil peduli. Akibatnya, hari ini, sindrom penafian Abdullah itu pun dimanifestasikan oleh rakyat jelata menerusi keputusan PRU12.

Oleh itu, Abdullah wajar mengosongkan kerusi Pengerusi BN dengan seberapa segera. Oleh itu juga, Abdullah tidak lagi wajar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia. Keputusan PRU12 membuktikan bahawa majoriti rakyat Malaysia tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap Abdullah untuk memimpin dan mentadbirkan negara ini.

Antara sebab-sebab utama mengapa Abdullah perlu mengosongkan kerusi kepimpinan BN dan tidak layak dilantik sebagai Perdana Menteri adalah seperti berikut:

Satu: Kerajaan BN pimpinan Abdullah kehilangan empat kerajaan negeri di samping Kelantan.

Dua: BN Pulau Pinang pimpinan Abdullah kehilangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Tiga: Kerajaan BN pimpinan Abdullah menyaksikan empat menteri kabinetnya (termasuk dua presiden parti komponen BN) tewas dalam PRU12.

Empat: Kerajaan BN pimpinan Abdullah gagal menunaikan janjinya untuk mengurangkan kadar rasuah dan kronisme.

Lima: Kerajaan BN pimpinan Abdullah menimbulkan persepsi umum bahawa ekonomi Malaysia hari ini seolah-olah sedang diasak oleh sebuah kuasa asing serantau yang tertentu.

Enam: Kerajaan BN pimpinan Abdullah mewujudkan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang menimbulkan persepsi umum bahawa Malaysia sedang digadaikan kedaulatannya kepada sebuah kuasa asing serantau yang tertentu.

Tujuh: Malaysia pimpinan Abdullah yang menjadi pengerusi OIC dan NAM kelihatan tidak memberikan perjuangan yang berkesan di pelantar antarabangsa.

Tujuh: Kerajaan BN pimpinan Abdullah seolah-olah di kuasai sepenuhnya oleh menantu Abdullah dan kroni-kroninya sehingga menyebabkan kekecewaan rakyat jelata yang paling maksima.

Lapan: Kerajaan BN pimpinan Abdullah tidak mempunyai sensitiviti terhadap modal asing tertentu dalam perniagaan strategik negara dan juga seolah-olah tidak membuka peluang perniagaan kepada bumiputera.

Sembilan: Kerajaan BN pimpinan Abdullah kelihatan mengambil for granted sokongan Melayu terhadap BN walaupun jiwa orang Melayu diguris dan dihiris oleh beberapa kenyataan dan tindakan Abdullah sendiri.

Sepuluh: Kerajaan BN pimpinan Abdullah menggula-gulakan rakyat jelata dengan projek-projek koridor mega yang trillion ringgit kosnya semata-mata untuk menutup kesilapan besar akibat pelancaran WPI.

Sebelas: Kerajaan BN pimpinan Abdullah menyebabkan kesangsaraan rakyat akibat kenaikan harga barang-barang keperluan dan kos sara hidup yang seolah-olah gagal dikawal.

Duabelas: Kerajaan BN pimpinan Abdullah menyaksikan peningkatan kadar jenayah dan menjadikan titik permulaan kekuasaan kumpulan penjenayah asing berleluasa di Malaysia.

Demikianlah di antara kepincangan dan ketempangan kepimpinan Abdullah. Perkara-perkara di atas sudah disuarakan secara meluas menerusi media alternatif. Tetapi, Abdullah dan sindrom penafiannya tidak mengambil hirau. Ini kerana Abdullah hanya mahu mendengar nasihat kumpulan pegawainya di Aras Empat JPM sahaja.

Kini nasi sudah menjadi bubur. Abdullah tidak mampu memperbaiki keadaan. Beliau wajar mengundurkan diri secara terhormat, bermaruah dan dengan segera. Ini akan membolehkan Malaysia yang dikuasai dengan hanya majoriti mudah di Parlimen, ditadbir oleh pihak yang lebih cekap, lebih sensitif kepada tuntutan rakyat jelata dan lebih prihatin terhadap pemeliharaan kedaulatan negara pada setiap masa.

Wednesday, March 5, 2008


Menyorot PRU12: (2)
Abdullah Kata Kepimpinannya Gemilang
Tapi Peratus Pengundi Senyap Luar Biasa

Kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan diadili oleh rakyat jelata tiga hari lagi bila para pengundi Malaysia menentukan siapakah yang akan diberi mandat untuk berkuasa selepas PRU12.

Dalam konteks ini, Abdullah yang mendakwa kepimpinannya sejak 2004 sebagai “amat berjaya” kelihatan amat optimis sekali bahawa BN akan memang besar dan sekaligus kembali berkuasa.

Dalam pada itu, satu laporan Bernama 5 Mac 208, menyatakan bahawa kini “terdapat antara 35 dan 40 peratus pengundi yang diistilah sebagai pengundi senyap di kebanyakan kawasan di seluruh negara.” Mereka dikatakan belum membuat sebarang pilihan. Jumlah mereka “hampir berganda dengan kadar purata 20 peratus bagi pengundi senyap pada mana-mana pilihan raya umum.”

Andaian di atas mungkin benar dan mungkin sebaliknya. Saya katakan begitu kerana majoriti komen yang dikirimkan ke blog ini sejak setahun yang lalu memberikan gambaran bahawa segolongan pengundi Malaysia sebenarnya telah membuat keputusan masing-masing.

Sebilangan besar kelompok ini adalah daripada kalangan warga UMNO dan penyokong kuat BN dalam PRU11. Mereka juga adalah golongan professional.

Pembentuk Minda

Walaupun mereka tidak menganggotai sebarang NGO, kumpulan minat [interest group] atau kumpulan pendesak [pressure group], mereka adalah pembentuk minda [opinion makers] yang mampu mempengaruhi pihak lain waima dalam kalangan keluarga masing-masing.

Golongan ini mempunyai tiga pilihan yang merugikan BN. Pertama: memilih untuk tidak keluar mengundi. Kedua: keluar membuang undi, tetapi memilih calon alternatif. Ketiga: keluar mengundi, tetapi memberikan undi rosak.

Cebisan e-mail berjodol Silent Protest Dalam UMNO Benar! yang saya cedok daripada blog Umno Reform menjelaskan fenomena di atas seperti berikut:

Memang benar "silent protes" wujud dalam UMNO. Mereka tidak akan mengundi parti pembangkang. Tetapi mereka tidak akan keluar mengundi. Ini gara-gara perbuatan Pak Lah yang suka memperlucukan pentadbirannya. Menggugurkan calon adalah perkara biasa. Tetapi Pak Lah perlu mengugurkan calon yang benar-benar tidak relevan. Tapi ini tidak berlaku. Pak Lah gugurkan untuk kepentingan tertentu, khususnya sewaktu pemilihan agung UMNO nanti. Ini tidak seharusnya berlaku. Hari ini kepimpinan peringkat bahagian turut tercabar dengan beberapa kerat orang Pak Lah. Sebenarnya apa yang di perkatakan orang mengenai "silent protes" adalah benar. -http://www.umno-reform.com/

Rakyat Muak

Kandungan e-mail di atas hanya mencerminkan sebahagian daripada sebab-sebab wujudnya undi protes atau “pengundi senyap”. Lain-lain sebabnya termasuklah kekecewaan rakyat terhadap Abdullah yang kelihatan lemah, indecisive atau sukar membuat keputusan secara tepat dan tegas, rasa muak rakyat terhadap gelagat menantu Abdullah yang berlagak sebagai seorang menteri atau presiden UMNO dan juga beberapa keputusan serta dasar Abdullah yang disifatkan seolah-olah “menggadaikan kedaulatan negara kepada pihak asing”, terutamanya Singapura.

Antara komen-komen terbaru yang yang dikirimkan ke blog ini untuk membuktikan wujudnya pengundi protes adalah seperti berikut:

Hovidpure: Satu yang pasti pada 8 Mac 2008, undi saya, isteri saya, tiga orang anak saya dan seorang menantu saya sudah amat pasti BUKAN untuk BN. Keluarga saya di KL dan keluarga abang serta kakak saya di Skudai, Johor, telah berpakat dan bersetuju untuk tidak mengundi BN seperti masa-masa lalu. Kami semua adalah ahli UMNO. Tetapi kami rasa malu dan terlalu berdosa jika kami beri undi kami kepada BN yang akan membantu Abdullah meneruskan agenda cacamarbanya.

Tidak Dijajah

Tengku Saifullizan: Berapa tahun lagi mahu beri muka kepada pucuk pimpinan UMNO untuk memerintah? UMNO bagi saya sudah hilang arah tuju, sudah hilang asas dan matlamat untuk membangunkan Malaysia… Kami generasi baru Malaysia mahukan pemimpin yang amanah, cekap menguruskan negara dan khazanah, memberikan hak kepada yang berhak.

Rakyat: UMNO dan BN tak relevan lagi untuk rakyat Malaysia.. Kenapa? UMNO menggadai nasib orang Melayu ke lembah kehinaan. UMNO penyebab kepada Melayu merempat di tanah air sendiri.

Rudy: Percaya dan yakinlah sekiranya BN diberi mandat menubuh kerajaan selepas PRU 12, bangsa Melayu akan hidup tertekan dan menderita. Renungan ini di tujukan kepada semua pengundi PRU12.

Zulkifli Noordin: Pastikan Khairy dan gang tidak menjajah kita. Pastikan Malaysia terus merdeka dan tidak terlelong ke seberang tambak!

Sindrom Penafian

Kamalkamal: Menurut beberapa sumber, KJ memang telah menyusun atur strategi bagi menentukan calon-calon PRU ke-12 dan selepas ini calon-calon kepimpinan UMNO peringkat Bahagian. Mungkin penggal ini merupakan penggal terakhir bagi Abdullah. Untuk itu, sekali lagi KJ akan menggunakan pengaruhnya bagi menempatkan dirinya di persada kepimpinan sebelum Abdullah berundur. Sekiranya rakyat sedar dan menggunakan hak mereka dalam PRU kali ini nescaya perkara sebegini boleh dibendung walaupun mustahil untuk dihapuskan. Peranan rakyat/pengundi amat penting dalam memastikan negara tercinta ini tidak dinodai oleh makluk-makluk perosak.

Begitulah antara suara protes segolongan pengundi yang akan menentukan kerajaan Malaysia menerusi PRU12 pada 8 Mac 2008. Golongan ini berubah citarasa bukan kerana mereka bencikan BN dan menentang kerajaan. Tetapi, kerana mereka tidak boleh lagi bertoleransi dengan kepincangan pentadbiran Abdulah dan keterlanjuran menantu Abdullah serta segelintir kroninya.

Adakah Abdullah menyedari dan menginsafi hakikat di atas? Atau, mungkinkah beliau terus ngorok dilingkari sindrom penafian bahawa apa yang saya catatkan di atas cuma ilusi liar atau fantasi gila semata-mata?

Saya ahli UMNO dan saya pernah menjadi wakil rakyat atas tiket BN. Bila saya paparkan hakikat di atas bukan maknanya saya sokong pembangkang. Saya huraikan hal di atas kerana saya bimbang dengan fenomena tersebut.

Sekali-kali saya tidak redha negara-bangsa ini digadaikan kedaulatan, maruah dan masa depannya oleh kepimpinan yang enggan melakukan reality check, sebaliknya dijangkiti sindrom penafian sepanjang masa!

Saya pasti tidak keseorangan dalam menghadapi dilema separah ini - ditelan mati emak, diluah mati bapak. Lantaran itu, sama-samalah kita hapuskan dilema ini menerusi keputusan penuh hemah dan tindakan secara bijaksana. – Ruhanie Ahmad

Monday, March 3, 2008

Majlis Appresiasi Buku

Saya sekeluarga bercadang mengadakan satu majlis appresiasi secara kecil-kecilan terhadap buku-buku terbaru saya - The Toyol Code, Gelombang Kuning dan Hindraf – di No. 172 Jalan Cinta Alam, Country Heights, Kajang Selangor, pada 8.45 malam, Rabu, 5 Mac 2008.

Anda di sekitar Lembah Kelang yang sudi menghadiri majlis di atas sila email kepada puteramaya@gmail.com atau warongbuku@gmail.com untuk menempah tempat yang terhad kepada kira-kira 40 orang sahaja dengan seberapa segera.

Arah ke Country Heights, Kajang. Dari KL, gunakan KL-Seremban Highway. Masuk ke Plaza Tol Kajang. Kira-kira 30 meter dari plaza tol tersebut ada CIMB. Masuk kiri dan terus menuju ke pondok pengawal. Dari sana, anda akan dibantu untuk menujuk ke destinasi majlis.

Dari arah Kajang, Bangi, Putrajaya dan Puchong. Sila tuju ke Plaza Tol Kajang. Hanya beberapa meter dari booth pembayaran tol, buat pusingan U ke kanan. Sesudah itu anda akan nampak CIMB. Belok kiri, tuju ke pondok pengawal dan anda akan dibantu menuju ke destinasi majlis.

Kehadiran adalah percuma. Tetapi, di majlis tersebut ketiga-tiga buku di atas akan ditawarkan kepada anda dengan harga paling istimewa.

Saya alu-alukan kehadiran anda. Salam takzim. – Ruhanie Ahmad