Saturday, February 2, 2008

Singapura Sedia Bekerjasama Dengan Malaysia - Kuan Yew

SINGAPURA, 1 Feb (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew berkata republik itu sedia untuk bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin Malaysia bagi membolehkan kedua-dua negara itu maju bersama.

Beliau berkata kedua-dua negara akan sama-sama mendapat keuntungan hasil hubungan erat dan kerjasama mereka itu walaupun dalam jangka panjang Malaysia akan memperoleh faedah yang lebih daripada negara jirannya itu.

Lee menyatakan perkara itu pada persidangan Institut Pengajian Dasar Singapura di sini, menurut rangkaian televisyen Asia yang berpusat di Singapura, Channel News Asia malam ini.

Sambil memberi contoh pelan pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor yang dilancar Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai satu langkah yang betul, Lee berkata Singapura akan melakukan apa yang boleh bagi menjadikan WPI berjaya.

Dengan cara itu, Lee berkata kedua-dua negara boleh mendapat nilai maksima hasil daripada kerjasama mereka.

Lee berkata Singapura mengalu-alukan cadangan kemungkinan mempunyai perkhidmatan rel laju antara Singapura dan Malaysia selepas cadangan pembinaan rel laju sebelum ini masih belum dilaksanakan.

Beliau berkata Singapura akan mendapat faedah yang sedikit kerana negara itu lebih terbuka kepada dunia luar.

Tetapi dalam jangka panjang, Malaysia akan menjana keuntungan lebih besar kerana ia mempunyai lebih ramai tenaga manusia, katanya.

-- BERNAMA
http://web6.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=311793

No comments: