Thursday, November 22, 2007

Gelombang Merah
Setiap Hari Jumaat

[dipetik daripada http://anotherbrickinwall.blogspot.com]

Secara ikhlas, kali ini penulis bersikap agak tawar untuk bersungguh-sungguh berhujah dan mempertahankan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Apa ertinya mempertahankan kerajaan kepimpinan Abdullah kalau tindakan itu akan diputarbelit sebagai memberi legitimasi kepada kepimpinan dan tindak tanduk Abdullah?

Mempertahankan Abdullah bermakna bersekongkol dengan kelemahan dan kecuaian kepimpinannya; amalan korupsi yang berleluasa; ketidak-cekapan pentadbirannya; polisi-polisinya yang menjejaskan kedaulatan negara, negeri dan masa depan orang Melayu; amalan pembohongan yang lazim oleh pucuk kepimpinan; dan meleluasakan amalan nepotisma. Penulis tidak rela melakukan perbuatan sedemikian.

Di bawah kepimpinan Abdullah, negara, bangsa, agama dan UMNO sudah tidak disegani dan dihormati. Kelalaian, sikap ambil mudah dan penyerahan penuh perjalanan parti dan kerajaan pada kaum kerabat dan sahabat-sahabat tertentu telah meniriskan perjuangan asal parti untuk memertabatkan agama, bangsa dan negara.

Abdullah tidaklah seterbuka, setulus, dan sedemokratik yang beliau war-warkan. Suara hati ahli UMNO dan rakyat tidak mahu didengari. Beliau menyuruh Menteri dan Pegawai Kerajaan mengisytiharkan harta. Tetapi, tidak untuk dirinya. Bukan sahaja amalan demokrasi tidak dipertingkatkan, tetapi telah dimatikan dalam UMNO.

Pengkhianatan

Kepimpinan Abdullah adalah satu pengkhiantan (betrayal) kepada agama Islam, bangsa Melayu dan tanah air Malaysia. Janji-janji dalam manifesto pilihan raya 2004 semua tidak dipenuhi walaupun beliau mengaku telah penuhi.

Melalui WPI, kepentingan rakyat Johor telah diketepikan, dan kedaulatan negeri dan negara telah dipertaruhkan untuk menarik pelaburan Singapura. Keadaan pemerintahnnya kucar kacir dan tiada hala tuju yang jelas.

Walau apa sekali pun, penulis tidak sedia melihat UMNO jatuh. UMNO sahaja satu-satunya wadah perjuangan kebangsaan Melayu dan pembela Islam yang berkesan di negara ini. Hanya kepimpinan parti UMNO yang dedikasi dan jujur sahaja yang dapat membawa kemajuan dan keadilan yang hakiki di negara ini.

UMNO sebagai parti pemerintah dan pemimpin kepada gagasan Barisan Nasional sepatutnya sedia memperbaiki kepincangannya. Kepentingan diri tidak harus mendahului tanggungjawab dan perjuangan. Keresahan, peringatan dan teguran rakyat dan ahli-ahli UMNO tidak boleh tidak diambil peduli oleh pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO yang sebilangannya hanya leka dan tamak mengejar harta dan pangkat.

Keresahan Rakyat

Di peringkat akar umbi, kebanyakkan ahli UMNO sedar akan masaalah yang menimpa negara, prihatin terhadap keresahan rakyat jelata menghadapi kenaikan harga barangan, simpati kepada para peniaga yang begitu pahit meghadapi suasana ekonomi yang muram, profesional yang telah dibuang kerja, dan kedaulatan negara yang terhakis.

Keresahan dan keprihatinan ahli-ahli UMNO biasa sering tidak diambil endah. Suara mereka di majlis parti ditahan dari keluar ke pengetahuan cawangan, bahagian dan parti. Suara akar umbi tidak langsung dihormati.

Gelombang Kuning kini mahu dijadikan manifestasi keresahan rakyat dan simbol protes terhadap kepimpinan Abdullah. Kempen terbarunya adalah memakai kuning pada hari Sabtu. Kuning adalah warna yang membawa suasana keceriaan dan menjadi simbol kepada pembaharuan dan harapan.

Dikhabarkan kepada penulis, ramai ahli UMNO yang ikut bersama di perhimpunan gelombang kuning naru-baru ini. Penglibatan mereka mungkin agak tidak bersesuaian dari kacamata UMNO. Tetapi keprihatinan mereka tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Pastinya tujuan mereka bukan selari dengan tujuan penganjur gelombang kuning. Tetapi, jika Tun Dr Mahathir Mohamad, seorang negarawan, pun disekat sana sini untuk memberi teguran, pasti banyak ahli UMNO sudah terfikir apa pula diri mereka? Mungkin, sebab itulah mereka menyertai gelombang kuning kerana perhimpunan itu sahajalah cara mereka meluahkan rasa ketidakpuasan hati.

Gelombang Merah

Bagaimanapun, kekangan sistemik yang dilakukan terhadap ahli-ahli UMNO tidak bermakna keresahan ahli UMNO tidak boleh diluahkan. Satu cara perlu dilakukan untuk keresahan akar umbi dapat disedari oleh pucuk kepimpinan parti dan seterusnya membawa perubahan yang baik. Mereka sudah tidak boleh mengambil sikap apologetik dan menafikan keadaan tenat dalam parti.

Oleh itu, apa kata hari Jumaat dijadikan hari "Gelombang Merah" bagi ahli-ahli, pejuang-pejuang dan pecinta-pecinta UMNO meluahkan ketidak puasan hati mereka dengan memakai sesuatu yang merah.

Gerakan simbolik ini menyerupai "civil disobedience" ala Gandhi yang lebih aman. Warna merah memberi perbezaan sedikit kepada suara ini. Warna merah warna simbol perjuangan UMNO. Merah juga warna keberanian dan perjuangan.

Pada hari Jumaat sekurang-kurangnya, pakailah sesuatu yang berwarna merah – baju, baju kurung, tali leher, tudung, skaf, sweater, vest, tie pin, dan kasut wanita. Jika “Gelombang Merah” begitu signifikan kehadirannya, kita boleh bersama menyedarkan pucuk kepimpinan parti. Dengan perbuatan yang sedikit usahanya, mungkin kita boleh menyelamatkan agama, bangsa dan negara.

Tidak ada undang-undang boleh menahan kita sama-sama menyuarakan ketidak-puasan hati kita! Marilah sama-sama memakai pakaian berwarna merah sekurang-kurangnya di hari Jumaat!

2 comments:

wutever said...

UMNO sahaja satu-satunya wadah perjuangan kebangsaan Melayu dan pembela Islam yang berkesan di negara ini

komen - al islam yaklu wala yukla alaih (yang tinggi itu Islam). Perjuangan atas dasar bangsa mampu menjurus kepada assabiyah

sniper said...

dari segi dasar PAS lebih baik dari UMNO, tapi masalahnya UMNO mempunyai mekanisme yang lebih kuat dan baik dari PAS ..oleh itu, dari segi logik ketika ini, PAS tak susah menumbangkan UMNO.. namun, doa itu senjata bagi orang mukmin.. ambil lah pengajaran peristiwa ahzab..