Tuesday, June 17, 2008

UMNO CAWANGAN ADA SENJATA STRATEGIK

Warga UMNO akar umbi mempunyai pelbagai cara untuk mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengundurkan diri daripada persada kepimpinan parti.

Antara cara-cara ini termaktub di dalam Perlembagaan UMNO. Lain-lainnya boleh distrategikan secara muafakat jika cawangan-cawangan UMNO memilih untuk menjadi kuasa pendesak sementara menunggu persidangan tahunan cawangan diadakan.

Contohnya, Fasal 17.5.1 Perlembagaan UMNO memberikan kuasa kepada persidangan cawangan untuk “membincangkan dasar parti untuk dikemukakan kepada mesyuarat Perwakilan Bahagian.”

Maksudnya, menerusi fasal ini, warga UMNO akar umbi yang menghadiri persidangan cawangan diberi hak mengemukan usul mengenai parti, termasuklah mengenai isu kepimpinannya.

Dalam konteks Abdullah, usul berkenaan boleh menyuarakan rasa kesal dan kecewa warga UMNO akar umbi ke atas kepimpinan Abdullah yang enggan mengundurkan diri demi kepentingan agama, bangsa dan tanahair.

Menerusi fasal yang sama, warga UMNO akar umbi juga boleh mendesak AJK UMNO bahagian masing-masing supaya menggubal satu usul mengenai pendunduran Abdullah untuk dibincang dan diluluskan oleh perwakilan UMNO bahagian.

Sementara menunggu persidangan cawangan, AJK UMNO cawangan boleh juga bermuafakat untuk mengeluarkan kenyataan akhbar atau mengirimkan surat desakan kepada Abdullah untuk mengundurkan diri.
Salinan kenyataan akhbar atau surat desakan ini wajar dikirimkan kepada peringkat bahagian, badan perhubungan negeri, Ibu Pejabat UMNO Malaysia dan bloggers sosio-politik.

Seluruh huraian di atas merupakan jawapan saya kepada beberapa pertanyaan oleh ramai surfers yang bertanyakan sama ada warga UMNO akar umbi mempunyai cara untuk mendesak Abdullah supaya mengundurkan diri.

Oleh itu, janganlah hak dan kuasa strategik yang ada di tangan warga UMNO akar umbi dipersia-siakan pada ketika ini. Pokoknya, kita kena berani bersuara dan bertindak berasaskan kebenaran demi agama, bangsa dan tanahair. – Ruhanie Ahmad

2 comments:

bronaga said...

askm datuk tidakkah tahun ini adalah tahun pemilihan? Adakah ia masa yang sesuai utk. Mengusulkan tentangan ini?

LEKLOOK said...

Datuk,
Betul ke di peringkat cawangan sukar untuk mengadakan persidangan pada masa ini. Kalau betul apa alasannya selain kemelut politik pada darsawarsa ini.