Sunday, June 29, 2008

BATU PUTIH: RAKYAT JOHOR WAJAR SOKONG SULTAN JOHOR

JOHOR BAHRU, 28 Jun 2008: - Rakyat perlu memberi sokongan terhadap hasrat Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail, yang tetap mahu berikhtiar untuk mendapatkan semula kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih walaupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah memutuskan hak itu diberi kepada Singapura.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Singapura yang bertindak keluar dari Malaysia pada tahun 1965 tidak berhak atas sebarang tanah jajahan negeri ini.

“Apa yang dititahkan Sultan Johor memang benar dan kita patut memberi sokongan padu kepada Sultan Johor. Batu Putih memang milik kita,” katanya di sini hari ini.

Kata Tengku Razaleigh, keputusan ICJ tersebut memang membelakangkan fakta sejarah dan soal kedaulatan bentuk maritim tersebut memberi kesan mendalam kepada penduduk Johor.

“Saya telah berbincang dengan pihak yang boleh memberi pendapat perundangan mengenai kes Batu Putih ini, berdasarkan kedaulatan, apa yang diputuskan oleh ICJ itu tidak tepat,” katanya. - Dipetik daripada muka surat 4, Mingguan Malaysia, Ahad, 29 Jun 2008.

Nota: Pada ketika ini, sekumpulan warga prihatin Malaysia bercadang mewujudkan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai kedaulatan negara, termasuklah mengenai kedaulatan Pulau Batu Putih. Atas dorongan sahabat-sahabat yang meninggalkan komen dalam blog kuda-kepang, saya sedang menimbangkan cadangan mereka untuk menjadi pengerusi penaja NGO ini. Bagaimanapun saya harap kemukakanlah lagi nama-nama lain untuk sama-sama kita pertimbangkan bagi jawatan tersebut.

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Biar putih tulang, jangan putih mata. Oleh itu, kita akan sama-sama menerokai cara terbaik ke arah merinci serta mengartikulasikan hasrat perjuangan Sultan Johor mengenai Pulau Batu Putih. Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku.– Ruhanie Ahmad

No comments: