Friday, June 27, 2008

TUBUH NGO PULAU BATU PUTEH
SOKONG DYMM SULTAN JOHOR

Ramai sahabat kuda-kepang mengutarakan pendapat supaya ditubuhkan satu badan bukan kerajaan (NGO) khusus mengenai kedaulatan negara, khususnya bagi mendukung cita-cita DYMM Baginda Sultan Johor untuk mendapatkan semula kedaulatan Pulau Batu Puteh daripada Singapura di hari muka.

Lantaran itu, ada juga para sahabat yang mencadangkan supaya saya sendiri mengetuai satu sekretariat kepada NGO yang dicadangkan.

Cadangan seperti ini memang cukup baik dan amat topikal. Ia mencerminkan kebimbangan anak-anak bangsa mengenai masa depan kedaulatan negara jika trend mengenai pemeliharaan kedaulatan negara pada hari ini - sama ada yang nampak jelas atau samar-samar - berterusan tanpa dibendung.

Namun begitu, saya agak keberatan. Bukan kerana ketiadaan semangat juang. Tetapi kerana faktor usia yang kian lanjut. Lagi pun, ketika ini wujud persatuan sejarah, persatuan bekas perajurit dan lain-lain lagi pertubuhan patriot sekategori dengannya. Tidak mungkinkah badan-badan ini boleh memainkan peranan sebagai pelopor kepada usaha memelihara kedaulatan negara di hari muka?

Bagaimanapun, pandangan saya mengenai hal ini belum lagi muktamad. Cadangan 9T9 masih terbuka untuk dibincangkan. Antaranya adalah seperti berikut:

Saya menggesa supaya semua rakyat yang perihatin, patriotik dan punya kesedaran, menubuhkan satu sekretariat atau pertubuhan/pergerakan untuk mengetengahkan isu Pulau Batu Puteh dengan lebih serius.

Kita perlukan satu organisasi (pastinya bukan berdasarkan politik) yang tersusun dan terancang untuk menangani perkara ini yang semakin hari semakin menyakitkan hati.

9T9 juga mencadangkan saya jadi “pengerusi atau moderator” kepada pertubuhan yang dicadangkannya sementara beliau sendiri “sanggup jadi ahli yang pertama.” – 9T9, http://www.ninetnine.net/blog/no-to-wpi/

Oleh itu, apakah pandangan anda semua? Apa pendapat Datuk Hassan Ahmad dari Persatuan Sejarah? Apa pendapat Persatuan Bekas Perajurit Johor? Bolehkah kita mulakan usaha ini menerusi penganjuran satu forum mengenai kedaulatan Pulau Batu Puteh di waktu terdekat ini? – Ruhanie Ahmad

2 comments:

zidlan said...

saya sanggup untuk menjadi ahli dan berkhidmat karna kita semua tahu yang PM tak mahu jadikan isu ini sebagai isu nasional. Titah oleh DYMM Sultan Johor dipandang enteng oleh MB Johor yang takutkan PM.

ibnu a rahman said...

Sebagai rakyat Malaysia yang PATRIOTIK, kita sepatutnya menyambut baik saranan penubuhan NGO tersebut bertujuan antara lain membuat post mortem kekalahan Malaysia dlm pengadilan ICJ itu. Kita perlu cari ahli dari kalangan peguam, pesara2 kerajaan Malaysia dll jugak. Cuma ada persoalan: Siapa nak taja NGO ni?. Maklum aja, ada rakan2 yg dari luar Johor, kos pengangkutan dah naik nie!.
Saya sanggup jadi ahli.