Friday, August 31, 2007

Mimpi Besar Di ambang Dewasa

Limapuluh tahun adalah usia emas, matang dan dewasa. Lantas sambutan ulangtahun ke-50 kemerdekaan negara juga bukannya satu upacara biasa yang cukup sekadar diraikan dengan dendangan lagu-lagu patriotik dan kibar-kibaran jalur gemilang. Atau pun, sempurna sudah sambutan jubli emas kemerdekaan negara bila bunga api berdentam-dentum merona angkasa dengan keindahan yang amat singkat dan terlalu sementara.

Kedewasaan usia ini sebenarnya mempunyai tuntutan lebih besar dan lebih syahadu daripada itu. Ia menuntut satu upacara sambutan yang memancarkan kebanggaan bangsa serta keunggulan tamadunnya di bumi merdeka. Ia menuntut siri ucapan segar penuh tenaga dari para pembesar untuk memperkasa dan menyemarakkan lagi tekad, azam, cita-cita dan daya juang anak-anak bangsa dalam perjuangan mecipta kegemilangan di hari muka.

Maka, malang sekali kalau kita hanya menerima hamburan retorika kosong yang diluahkan secara cempelung-cempelung bagaikan madah si Lebai Malang yang amat pemurah kepada pedagang biarpun anak di rumah mati kebuluran. Lebih malang lagi kita kalau jeritan merdeka yang dilaungkan di usia dewasa ini adalah hambar seperti gegak gempita sorak-sorainya si Pak Kadok yang sentiasa lalai bahawa kampung halamannya telah lingkup digolok-gadai.

Maka, apa harus kita lakukan? Adakah kita mahu terus-terusan membalut jiwa kita yang terluka akibat warna dan suasana yang cacamarba? Adakah kita hanya mahu terus berdiam diri, berpeluk tubuh jadi pemerhati, dengan rasa hampa campur kecewa yang amat pilu menusuk kalbu? Adakah kita mahu izinkan terus supaya diusia merdeka sedewasa limapuluhan ini pun masih wujud segolongan pembesar warga yang berjiwa hamba dengan pemikiran kelas ketiga?

Lantaran itu, tidakkah perlu kita bersama-sama menyusun gerak satu perjuangan berjuta langkah? Tidakkah wajar sama-sama kita bangkitkan suatu gagasan perjuangan sejati membela pertiwi? Tidakkah bijaksana kalau sama-sama kita isi kemerdekaan bumi tercinta ini dengan program dan dasar yang berilhamkan kegemilangan silam, sejarah silam dan tamadun silam, di mana paksinya adalah kegemilangan Melayu dan kecemerlangan Islam?

Sama-samalah kita doakan semoga angan-angan gerak kebangkitan seperti ini bisa jadi satu kenyataan untuk memusnahkan segala bentuk kemungkaran dan kebejatan yang sedang bermaharajalela di sekeliling kita pada hari ini. Mudah-mudahan juga, gagasan perjuangan seperti ini menjelma jadi satu realiti untuk memulihkan semula kesepaduan dan keserasian ssistem kenegaraan Malaysia mutakhir ini, iaitu sistem Raja Berperlembagaan yang disendikan oleh prinsip Demokrasi Berparlimen.

Pada waktu yang sama, teruskanlah usaha kita untuk memanjatkan doa kepada Allah Yang Maha Kuasa supaya dilindungilah bumi tercinta ini dari kepura-puraan, dihindarkanlah bumi tercinta ini dari kemusnahan, supaya barisan pimpinan warga tanpa nama yang mungkin muncul suatu ketika nanti, diberikan petunjuk Allah SWT untuk menuju ke arah jalan perjuangan yang lurus dan benar.

Demikianlah gagasan mimpi besar dikala usia kemerdekaan negara kita kian mendewasa seperti pada hari ini. Moga-moga agama kita terus mulia syiarnya, bangsa kita sentiasa unggul darjatnya, negara kita tetap mantap kedaulatannya, dulu, kini dan selamanya.

Daulat Tuanku!!! Merdeka!!! – Ruhanie Ahmad

Thursday, August 30, 2007

Mayaputera Dimansuhkan
Puteramaya Jadi Gantinya


Paada 24 Ogos 2007 http://www.mayaputera.blogspot.com dan alamat e-mailnya telah digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab. Akibatnya, saya tidak dapat membuat apa-apa posting seminggu lamanya.

Hari ini, dengan rasminya Mayaputera dimansuh dan disemadikan buat selama-lamanya. Sebagai gantinya saya munculkan blog Puteramaya.

Bagaimanapun, sebilangan besar posting dalam Mayaputera telah berjaya saya selamatkan dan saya poskan semula – tanpa komen anda - ke blog Puteramaya.

Mudah-mudahan Puteramaya sebagai jelmaan kepada Mayaputera, akan terus menjadi ruang siber di mana kita dapat membicarakan isu-isu Melayu dan Bumiputera dengan jujur dan seikhlas-ikhlasnya. – Ruhanie Ahmad
Wednesday, August 22, 2007

Pemimpin Cemerlang Berfikiran Panjang

Salah satu sifat pemimpin yang CEMERLANG ialah berfikir panjang sebelum berkata apa-apa kepada khalayak. Sekiranya beliau berkata-kata, kata-kata itu berpandukan hujah yang kukuh atau mencerminkan keperibadiannya dan diungkapkan dengan cara yang terhormat serta dapat memberikan inspirasi kepada pendengarnya.

Pemimpin berkenaan dikatakan GEMILANG apabila beliau dilihat sentiasa berjaya mengotakan apa yang dikata meskipun terpaksa berhadapan dengan berbagai rintangan. Kejayaan ini, biarpun mengambil masa untuk dicapai, ditempa menerusi penggemblengan usaha bukan bermusim yang diiringi dengan sokongan tulen daripada mereka yang terlibat.

Pemimpin tersebut menjadi TERBILANG apabila berupaya memastikan apa yang dikotanya terus dipertahankan serta diperbaiki tanpa perlu menunggu sebarang maklumbalas dari mereka yang dipimpin kerana semuanya dilakukan bukan untuk kepentingan peribadi tetapi demi kepentingan umum. Pemimpin ini sentiasa mengingati dirinya bahawa beliau memikul amanah yang amat berat dan sehubungan itu, tidak pernah mengizinkan dirinya atau ahli-ahli keluarganya dipuji atau disanjung sewaktu masih di tampuk kuasa.

Malangnya, komponen paling utama dalam parti pemerintah tidak dilihat mempunyai pemimpin yang CEMERLANG, GEMILANG dan TERBILANG dalam ertikata yang luhur. Cukup dengan memerhatikan gelagat semasa pucuk pimpinan tertinggi dari barisan utama dan sayap-sayap yang ada, dada ini terasa amat sesak dengan pilihan telah yang dibuat oleh para perwakilan.

Yang ada cuma pemimpin yang CURANG (kepada bangsa, agama dan negara), GIRANG (dengan kehidupan peribadi dan illusi yang dicipta) dan TEMBERANG (kerana bersikap talam dua muka dan hanya tahu berjanji). Itulah persepsi yang diberikan selepas mengamati tindak-tanduk mereka selama bertahun-tahun.

Cemerlang, Gemilang, Terbilang – Malaysiaku Gemilang!
Curang, Girang, Temberang – Malaysiaku Goyang …… - DASA, 9.45 pagi, 22 Ogos 2007.

Nota:

Posting di atas adalah kiriman blogger DASA sebagai reaksi kepada posting saya berjodol Abdullah Badawi Petriot Sejati? dalam www.kuda-kepang.blogspot.com semalam. Saya paparkan reaksi tersebut dalam blog ini buat renungan kita bersama menjelang sambutan ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-50 tidak lama lagi. – Ruhanie Ahmad

Posted by mayaputera at 1:07 PM
Friday, August 17, 2007

Kemerdekaan Dijadikan
Lesen Halalkan Tindakan?

Di bawah ini saya paparkan satu posting yang dikirimkan oleh Blogger DASA kepada www.kuda-penang.blogspot.com. Saya posting ini di sini sebagai cermin diri kepada anda semua. Saya harap anda akan menghayati maksud dan kata-kata Dasa seperti berikut:

Mengenangkan apa yang berlaku sejak pertengahan dekad 80an, setiap kali kemerdekaan disambut hanya mengecamukkan fikiran dan mengguris hati ini dengan lebih mendalam. Rasa bangga sebagai anak di bumi merdeka dalam ertikata yang sebenar mulai pudar apabila melihat berbagai peristiwa tidak menyenangkan silih berganti.

Walaupun orang-orang British telah lama pergi, pengisian kemerdekaan masih tidak menampakkan sebarang perubahan yang nyata. Kemerdekaan yang diperolehi telah digunakan sebagai lesen oleh segelintir kecil rakyat Malaysia yang berada di persada kuasa untuk menghalalkan apa sahaja yang dilakukan ke atas rakyat Malaysia lain, kononnya atas nama kepentingan negara. Rakyat yang menuntut kebenaran dan hak, dilayan dengan sedemikian rupa supaya mereka tidak lagi berani bersuara. Semuanya atas nama menjaga ketenteraman awam.

Perkembangan beberapa tahun kebelakangan ini hanya menjadikan fikiran dan hati ini semakin kacau. Entah apa yang bakal menimpa sebahagian besar anak-cucu kita. Nilai-nilai kehidupan yang murni hanya menjadi mainan bibir. Bersandarkan kepada tahap kesetiaan yang boleh membuatkan Hang Tuah merasa malu, kekayaan begitu mudah dikumpul sehingga cukup untuk membiayai kehidupan beberapa keturunan.

Masing-masing berebut-rebut menyanjung pemimpin, ahli-ahli keluarga dan orang suruhan mereka, semata-mata untuk mendapatkan perhatian meskipun jasa dan sumbangan mereka masih terhad dan terlalu awal untuk dinilai. Anugerah dan gelaran kebesaran diberikan begitu mudah sehingga membuatkan sesetengah kita tersenyum sinis dan menggeleng kepala. Apa yang lebih memualkan, menara gading yang dikatakan penjunjung nilai-nilai luhur turut serta dalam perlumbaan yang tidak menampakkan sebarang kesudahan ini.

Integriti dan moral tidak lagi dijadikan kriteria utama untuk pemilihan pemimpin dalam organisasi-organisasi utama yang menjadi tunggak kepada pentadbiran negara. Pemimpin-pemimpin palsu sama ada dari segi kata-kata, sikap, tindakan dan kelulusan akademik, terus diberikan ruang dan dimartabatkan oleh kelompok tertentu.

Kedudukan hanya menjadi alat untuk menjaga kepentingan diri dan bukannya platform untuk membantu memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara. Lihatlah sahaja perbezaan kekayaan fizikal mereka yang dipamerkan terang-terangan kepada rakyat sebelum dan selepas menjadi pemimpin. Dan perhatikan nasib rakyat kebanyakan yang terus hidup dalam kesukaran walaupun negara telahpun merdeka selama 50 tahun.

Ingin dijulang sebagai wira, mereka berucap penuh berkobar-kobar di hadapan perhimpunan tertentu bahawa mereka akan bertindak sebagai pembela bangsa, agama, negara serta institusi diraja. Mereka ini gemar menuduh pihak yang tidak sependapat dengan mereka dengan perkataan yang begitu negatif seperti iblis dan pengkhianat. Namun secara realitinya, mereka ini mengikut resmi ayam – kokok berdera-derai tetapi ekor bergelumang tahi.

Mengisi kemerdekaan kini menjadi tugas yang lebih sukar bagi kita semua. Apatah lagi untuk generasi akan datang. Untuk itu, terima kasih wahai para pemimpin.- DASA


Posted by mayaputera at 5:54 PM

Friday, July 20, 2007

Tanggal 20072007 Hanya Wujud
Sekali Dalam Seumur Hidup Kita

Hari ini, Jumaat, 20 Julai Jumaat 2007. Secara numerical, hari ini adalah 20-07-2007, atau lebih mudah untuk diingat kalau di sebut 20072007.

Ini bermakna hari ini adalah sangat istimewa kerana tarikh ini hanya sekali sahaja kita lalui dalam seumur hidup kita.

Memang tiada apa-apa signifiken kepada nombor 20072007. Tetapi, tarikh ini adalah cukup istimewa kepada sejarah hidup kita bersama.

Marilah kita ambil sempena tarikh ini untuk kita baiki lagi diri kita, baik dari segi iman, aqidah, ibadah, iktisad atau pun siasah.

Mudah-mudahan Allah SWT akan terus memandu hidup kita ke arah jalan yang sentiasa lurus dan benar demi agama, diri, keluarga, bangsa dan negara. - Ruhanie Ahmad

Posted by mayaputera at 3:57 PM


Thursday, July 19, 2007
Thursday, July 19, 2007

Salam Takzim Khas Buat
Jeneral Husainay Hashim

Saya difahamkan ibu pejabat UMNO Malaysia akan mengadakan satu pertemuan dengan bloggers politik Melayu pada Jumaat, 20 Julai 2007.

Saya dapat tau, nama Datuk A Kadir Jasin dan saya telah dimasukkan ke dalam senarai bloggers yang akan dijemput ke pertemuan tersebut.

Bagaimanapun, saya juga difahamkan oleh bberapa sahabat daripada ibu pejabat UMNO bahawa penyenaraian nama Kadir dan saya sendiri ke dalam senarai jemputan itu dikatakan telah menyebabkan Setiausaha Kerja UMNO, Jeneral (B) Datuk Husainay Hashim, marah-marah.

Jangan bimbang Jeneral. Tak payah marah-marah. Saya tak hairan kalau tidak diundang ke pertemuan itu. Kalau diundang pun saya tak akan hadir.

Buat makluman Jeneral, saya jadi ahli UMNO sejak 1976. Nombor keahlian saya yang mutakhir adalah 00003472. Sewaktu UMNO diharamkan pada 1987, saya adalah antara ahli yang lintang pukang membantu pucuk kepimpinan parti untuk memulihkannya.

Tanyalah orang-orang Parlimen Johor Bahru sewaktu Datuk Shahrir Samad bertanding atas lambang kunci. Tanyalah orang DUN Parit Raja sewaktu Saudara Hamdan Yahya bertanding atas lambang ikan. Dan, tanyalah orang DUN Tambatan sewaktu BN diserang oleh Parti Semangat 46.

Lebih lanjut lagi, Cawangan saya adalah Danasari. Bahagian saya adalah Parit Sulong. Saya mula menjalin hubungan yang rapat dengan beberapa individu tertentu di ibu pejabat UMNO sejak 1972 hingga ke hari ini. Ini bermakna, saya lebih lama mengenali sejarah, falsafah, perjuangan, hati dan budi UMNO berbanding anda.

Oleh itu, teruskanlah sikap apartheid anda terhadap blogger politik seperti Kadir dan saya. Yang pastinya, tiada siapa boleh menyekat saya daripada bersuara. Salam takzim khas daripada saya buat anda. – Ruhanie Ahmad


Posted by mayaputera at 3:02 AM
Wednesday, July 4, 2007
Jadi Jawapan Kepada Kuan Yew?
Elegent Silence Dan Muka Sardin


Para pembesar UMNO nampaknya memang sangat-sangat menghayati istilah “elegent silence” yang diperkenalkan oleh Tun Musa Hitam. Sebab itulah mereka terus buat muka lawa (atau muka sardin) dan terus membisu seribu bahasa terhadap tuduhan LKY bahawa kini ada percubaan oleh sestengah pemimpin UMNO, khususnya UMNO Johor, untuk menyingkirkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Rakyat Malaysia dan ahli UMNO memahami Abdullah bila beliau terlupa memakai tali leher merah yang sama coraknya dengan lain-lain keluarga JPM Isnin lalu. Tetapi, adakah Abdullah juga mahu rakyat dan ahli UMNO juga memahami sebab-sebab beliau memilih “elegent silence” terhadap dakwaan LKY tempohari?

Untuk mereka yang terlupa, mudah lupa dan pura-pura lupa, beginilah kata-kata tuduhan atau dakwaan LKY:

“Adalah satu perkara bagi parti Pas cuba menjatuhkan Perdana Menteri, tetapi apabila pemimpin UMNO, terutama dari Johor, turut bertindak serupa, pelabur dari Singapura mesti bertanya secara serius bila sikap itu akan berubah, dan sama ada mereka mengalu-alukan kita di IDR."

Memang dakwaan LKY dibuat dalam konteks WPI. Tetapi, tidakkah pembesar-pembesar UMNO sedar bahawa kata-kata “adalah satu perkara bagi parti Pas cuba menjatuhkan Perdana Menteri, tetapi apabila pemimpin Umno, terutama dari Johor, turut bertindak serupa” yang disebut secara sekali lalu adalah intisari kepada kenyataan LKY itu?

Sehingga hari ini, kata-kata tuduhan di atas dibiarkan tanpa reaksi. Sebab apa? Sebab yang mengeluarkan dakwaan adalah LKY? Siapa LKY? Orang kata, dia tu “maharaja” di pulau sekangkang kera. Jadi, apa pasal kita takut?

Kepentingan siapakah yang akan terjejas kalau pembesar-pembesar kita bersuara? Tidakkah rakyat, khususnya ahli-ahli UMNO, akan mengambil kesimpulan bahawa ada pembesar UMNO yang kecut perut untuk memperbetulkan kenyataan LKY yang sangat melulu?

Tidakkah strategi “elegent silnce” ini hanya akan mengesahkan persepsi umum bahawa ada di kalangan sesetengah pembesar Malaysia/UMNO kini seolah-olah dah jadi “lembu cocok hidung” kepada LKY atau Singapura?

Adakah dengan berdiam diri terhadap dakwaan LKY ini ada sesetengah pembesar kita yang nak menguji reaksi rakyat jelata? Kalau begitu, blogger Hamizi berkata: “betulkanlah apa yang tak betul. Kalau kalau Pak Lah nak test reaksi rakyat, saya dengan bangganya menjadi rakyat Malaysia yang pertama declare persetujuan dengan usaha menyingkirkan ……”

Blogger Md. Kamel pula berkata: “ Sayang seribu kali sayang yang membuat kenyataan tersebut adalah LKY. Bukannya TDM. Kalaulah komen umpama itu keluar dari mulut TDM, sudah pasti para pengampu dalam UMNO akan tidak berlengah-lengah untuk menghentam TDM, umpama sang harimau yang sedang kelaparan. Dah tentu UMNO memilih untuk senyap kerana kita tahu LKY tu siapa.”

Blogger Aliff Rahman pula berkata: “Bagus rasanya kenyataan LKY dan WPI yang diharap boleh mennyebelahi pihak yang tertentu. Tetapi, secara tidak langsung juga akan menguatkan lagi api perjuangan di kalangan rakyat yang prihatin. Menunggu-nunggu juga satu agenda besar yang mungkin terjadi dan melonjakan semangat cinta pada tanah air di kalangan rakyat membara. Kata orang, "sepandai-pandai tupai melompat.." Itu bagi orang yang membuat kerosakan. Tapi, Firman Allah bermaksud jika kita bersyukur Tuhan akan tambah nikmat. Sama-samalah kita fikir wahai para pemimpin dan seluruh rakyat Malaysia.”

Oleh itu, teruskanlah “elegent silence” terhadap dakwaan LKY ini. Dengan cara ini, orang UMNO khususnya, mungkin akan bersuara seperti blogger Hamizi dan blogger Md. Kamel seperti di atas. Mereka akan mengatakan bahawa bila LKY kritik UMNO, orang diam. Bila TDM (Tun Dr Mahathir Mohamad) tegur UMNO atau kerajaan, riuhnya merata kampung!!

Teruskanlah “elegent silence” terhadap LKY ini kerana rakyat dan ahli UMNO mungkin akan jadi seperti blogger Aliff Rahman yang tertunggu-tunggu akan munculnya “satu agenda besar” yang boleh melonjak serta membarakan semangat cinta kepada tanah air tercinta. – Ruhanie Ahmad

Posted by mayaputera at 1:04