Thursday, September 18, 2008

WAJARKAH KITA HANYA BERDIAM DIRI SUPAYA TAK KENA TINDAKAN UNDANG-UNDANG?

Hari ini macam-macam berita politik tanahair kita. SAPP, satu komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah, meninggalkan BN. Ini menjadikan BN kehilangan dua lagi kerusi di peringkat Parlimen Malaysia. Ini bukan perkara kecil bila BN hanya menikmati majoriti tipis di Dewan Rakyat.

Ada juga berita Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tukar potfolio dengan Datuk Seri Najib Tun Razak. Abdullah kuasai Kementerian Pertahanan dan Najib pula dipertanggungjawabkan dengan Kementerian Kewangan.

Tindakan Abdullah ini menimbulkan pelbagai reaksi. Ada yang gembira kerana kononnya Najib dapat kuasa lebih penting. Ada juga reaksi bimbang yang Kementerian Pertahanan akan terdedah kepada kemungkinan disusupi oleh golongan tertentu yang selama ini dikatakan menguasai Abdullah.

Lebih mengelirukan, pertukaran portfolio ini dikatakan sebagai satu daripada deal yang diberikan oleh Abdullah kepada Najib sebagai bukti Abdullah memang akan menyerahkan kuasa kepada Najib pada 2010.

Tambah mengelirukan lagi adalah kenyataan Abdullah bahawa tempoh peralihan kuasa pada 2010 adalah kekal, tetapi kemudiannya beliau sendiri mengatakan tempoh itu mungkin dipercepatkan.

Sebagai rakyat biasa dan sebagai ahli UMNO akar umbi, saya rasa sukar untuk merasionalkan perkembangan-perkembangan ini. Tapi, saya tetap menantikan keputusan dan pendirian Majlis Tertinggi UMNO yang akan membincangkan soal peralihan kuasa ini hari ini (18 September 2008).

Saya ternanti-nanti kerana mesyuarat itu akan memutuskan sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didesak berhenti sebagai Menteri kerana mempertikaikan formula peralihan kuasa. Saya juga ternanti-nanti kerana kalau Najib bertegas mengatakan peralihan kuasa itu mesti diserahkan kepada UMNO bahagian, apa akan jadi kepada Abdullah.

Pendek kata, politik Malaysia yang disifatkan oleh Abdullah sebagai stabil sebenarnya kurang stabil. Kisah Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tubuhkan Kerajaan Pusat masih belum selesai. Soal peralihan kuasa oleh Abdullah masih terus dipertikaikan oleh rakyat dan warga UMNO. Soal kemerosotan ekonomi dunia yang kian meredum secara serius entah bagaimana impaknya kepada Malaysia.

Dalam keadaan seperti ini, wajarkah kita semua berdiam diri supaya tidak bersuara sehingga boleh ditafsirkan sebagai menghasut dan mengancam keselamatan negara? Mungkinkah ramai lagi antara kita, khususnya bloggers sosio-politik, akan dikenakan tindakan seperti blogger kickdefella? Mungkinkah begitu walaupun yang disuarakan akan kebenaran demi agama, bangsa dan tanahair? – Ruhanie Ahmad

1 comment:

CUCU TOK KEDU said...

Dato Ron yang dihurmati.

Yang kena tu yang tak sebulu dengan Pak Lah dan menantunya! Lagi teruk yang tak sebulu dengan cara pemimpin UMNO/BN walaupun sereban!

http://rp-semantan.blogspot.com