Friday, September 26, 2008

TARIKH PERALIHAN KUASA LEBIH AWAL?

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Adakah mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno esok akan memutuskan tarikh peralihan kuasa lebih awal antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak atau membincangkan kaedah lebih berkesan untuk mengukuhkan parti?

Isu peralihan kuasa kini menjadi persoalan utama di kalangan ahli politik dan pemerhati politik dalam masa terdekat sebaik sahaja diumumkan bahawa Umno akan mengadakan mesyuarat MT pada pukul 10 pagi di ibu pejabat parti itu di sini.

Dalam tempoh dua hari lepas, cakap-cakap politik jelas kedengaran, dengan spekulasi bahawa dua pemimpin tertinggi negara terlibat dalam "perbincangan" tarikh asal peralihan kuasa yang pada asalnya ditetapkan pada Jun 2010, yang dikatakan telah menimbulkan rasa tidak puas hati anggota Umno yang memihak pemimpin tertentu.

Kedua-dua pemimpin sebelum ini bersetuju bahawa Abdullah menyerahkan kuasa kepada Najib pada Jun 2010, tetapi ini dilihat oleh beberapa pihak di dalam Umno suatu tempoh yang terlalu lama, khususnya apabila parti politik terbesar itu mengadakan pemilihan parti pada Disember tahun ini.

Tanda-tanda perbezaan pendapat semakin ketara setelah Abdullah pada 17 Sept mengumumkan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan peralihan kuasa akan berlaku lebih awal ekoran pertukaran portfolionya sebagai Menteri Kewangan kepada Najib dan beliau sendiri menjadi Menteri Pertahanan.

Pemerhati politik menterjemahkan pertukaran portfolio itu sebagai tanda penyerahan kuasa yang akan berlaku lebih awal sebelum 2010, dengan sebilangan mereka meramalkan ia mungkin berlaku seawal Disember tahun ini.

Spekulasi semakin hangat petang semalam apabila Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam satu kenyataan menyatakan bahawa Najib telah membatalkan lawatannya ke New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mulai hari ini sehingga I Okt. - BERNAMA

Lagi:http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=361376

2 comments:

Pak Brahim said...

Assalamualaikum wbt.,

Yang Berbahagia Datuk Ruhanie,

Apa yang kita lihat sekarang bahawa kepimpinan UMNO kebelakangan ini kian bercelaru dan setiap tindakan serba tidak menjadi.

Didalam suasana ekonomi negara yang lemahmeruncing disamping kepayahan rakyat menharungi kepayahan dan masaalah kenaikan kos sara hidup, namun para pemimpin sibuk membicarakan tentang servival politik dan kedudukan masing-masing.

Maka tidak hairanlah sekiranya rakyat telah memilih untuk menyokong PR dan ada diantara ahli-ahli parlimen beralih arah demi kebaikan. Ini adalah kerana perjuangan UMNO telah tersasar jauh dan mengabaikan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

Sebagai rakyat yang cintakan negara dan yang mengharapkan kepimpinan yang telus, adil dan saksama marilah kita berdoa terutama didalam bulan yang penuh berokah ini agar ALLAH melindungi KITA semua dari sebarang bencana.

BENCANA ALLAH DITURUNKAN DIATAS UNDANGAN PERBUATAN MANUSIA ITU SENDIRI.

puteramaya said...

Pak Brahim

Terima kasih dan selamat hari raya maaf lahir batin dari saya sekeluarga.

Salam takzim - Ruhanie Ahmad