Monday, February 11, 2008

Kes Penggadaian Tanah Premier UM:
Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi?

Pada pertengahan Jun 2007, komuniti prihatin Malaysia digemparkan dengan kisah sebuah pemaju hartanah berura-ura membangunkan Kampus Induk Universiti Malaya(UM) di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, menjadi kawasan kediaman mewah yang memakan kos RM10 billion. Sebagai gantinya, universiti itu akan dipindahkan ke Sepang.

Pada 16 Jun 2007, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dipetik oleh Bernama sebagai mengarahkan kampus Induk Universiti Malaya (UM) itu dikekalkan di lokasinya ketika ini.

Pada hari yang sama, Utusan Malaysia pula menyiarkan reaksi bekas Naib Canselor UM, Profesor Diraja Ungku Aziz, yang menyifatkan cadangan itu sebagai suatu yang “gila dan kurang ajar.”

Kini, hanya kira-kira tujuh bulan sesudah kegemparan di atas, timbul pula kisah laporan blog bigdogdotcom.wordpress.com pada 10 Februari 2008, dengan jodol Kroni PM “Flip-Flop” Gadai 27 Ekar Tanah UM.

Menurut blog tersebut, kroni Abdullah bernama Datuk Panglima Annuar Zaini “telah ‘mengadai’ sebidang 27 ekar tanah bernilai tinggi dalam kawasan kampus UM kepada sebuah pemaju hartanah untuk dijadikan kondominium mewah. Sebagai timbal-balas (trade off), Alumni Universiti Malaya akan mendapat balik lima ekar dari tanah itu dan sebuah bangunan rumah kelab bernilai RM 3 juta.”

Blog itu melaporkan: “Annuar adalah Ahli Lembaga Pengelola Majlis Universiti Malaya. Dia juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Korporat universiti berkenaan. Malaya) membuat keputusan untuk menerima cadangan syarikat pemaju hartanah itu. Sumber maklumat ini datang dari kakitangan UM sendiri.

“Pada kasarnya, sekiranya tanah premium itu dinilai sebagai RM 100.00 satu kaki persegi (kerana lokasinya berada di utara kampus, bersempadan dengan kawasan mewah Bukit Damansara dan amat hampir dengan kawasan Bukit Bandaraya/Bukit Pantai, yang harga tanah rata rata melebihi RM 200.00 satu kaki persegi), bermakna Universiti Malaya telah ‘melepaskan’ tanah bernilai sekurang kurangnya RM 95.6 juta untuk menerima ‘habuan’ sebuah rumah kelab bernilai RM 3 juta sahaja. Sekiranya nilai tanah itu bernilai RM 150.00 satu kaki persegi, maka ianya dengan mudah bernilai RM 143.7 juta.”
http://bigdogdotcom.wordpress.com/2008/02/10/kroni-pm-flip-flop-gadai-27-ekar-tanah-um/

Oleh itu, apa kata komuniti prihatin Malaysia mengenai perkembangan terbaru membabitkan UM kali ini? Mungkinkah Profesor Diraja Ungku Aziz akan menyifatkan cadangan ini sebagai suatu yang “gila dan kurang ajar.” Mungkinkah Alumni UM akan membantah? Mungkinkah BPR akan segera menyiasat? Mungkinkah Kementerian Pendidikan Tinggi akan membuat siasatan terperinci? Mungkinkah Abdullah akan mengeluarkan arahan supaya penggadaian ini dibatalkan segera? Mungkinkah Abdullah akan membiarkan sahaja perkembangan ini berlaku kerana ia membabitkan kroninnya sendiri? Atau, mungkinkah Abdullah akan merestui kata-kata hikmat: harapkan pagar, pagar makan padi! – Ruhanie Ahmad

No comments: