Ciri-Ciri Kekuatan Dan Kelemahan
Pimpinan Abdullah Ahmad Badawi
Persepsi umum mutakhir ini menyatakan, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Abdullah Ahmad adalah “lembik, kaki tidur, kurang gemar membaca, kurang articulate, sering dilanda sindrom tidak tahu, out of control, mengeluarkan beberapa kenyataan berdolak-dalik, mudah dipengaruhi dan dimanipulasikan oleh kalangan yang rapat dengannya, intim dengan Singapura, Australia dan Amerika Syarikat, terlalu memberi muka kepada bukan Bumiputera, prinsip hadhari dalam Islam yang diperjuangkan dicanggahi oleh gaya hidupnya sendiri, dan kebelakangan ini, terperangkap dengan keghairahan projek-projek mega, khususnya koridor pembangunan.”
Seluruh aspek positif peribadi Abdullah, termasuk kejujuran, keikhlasan dan ketulusan hati beliau, kini dikatakan tenggelam dan luntur akibat persepsi seperti di atas.
Sindrom Abdullah
Inilah apa yang disifatkan sebagai sindrom yang sedang melanda kepimpinan dan peribadi Abdullah yang pada peringkat awalnya mempromosikan diri sebagai seorang Mr. Clean dan insan waraq.
Inilah juga ironi diri Abdullah yang telah mengumumkan mission statement kepimpinan yang positif menerusi puisi Ku Cari Damai Abadi yang beliau deklamasikan pada 9 Mei 2003.
Puisi adalah cetusan minda seseorang yang dijana menerusi proses crystallization rasa, jiwa, hati, nurani, kalbu, sanubari, jasad dan makrifat seseorang insan. Sesuatu puisi lazimnya mencerminkan ketulenan jiwa dan ketulusan nurani penulisnya.
Oleh itu, tidak hairanlah kalau ramai rakyat Malaysia yang terpukau dengan puisi Ku Cari Damai Abadi karya Abdullah seperti di bawah ini:
Ku Cari Damai Abadi
Aku cari bukan harta bertimbun-timbun
Untuk hidup kaya
Aku cari bukan wang berjuta-juta
Untuk hidup bergaya
Aku cari bukan kawan-kawan
Untuk hidup sekadar berfoya-foya
Aku cari mana dia Al-Ghazali
Aku cari mana dia Al-Shafie
Kita bongkar rahsia kitab suci
Cari pedoman
Kita bongkar rahsia sunnah nabi
Cari panduan
Aku hidup kerana Dia Rabbi
Dialah teman
Dialah wali
Dia mencukupi
Aku hidup bererti
Menikmati damai abadi
Kenyataan Misi
Rakyat jelata Malaysia menganggap puisi di atas mencerminkan misi kehidupan dan perjuangan Abdullah yang bersih, tulus dan ikhlas.
Kata-kata “aku cari bukan harta bertimbun-timbun untuk hidup kaya, aku cari bukan wang berjuta-juta untuk hidup bergaya, aku cari bukan kawan-kawan untuk hidup sekadar berfoya-foya” adalah bukti kepada imej Abdullah sebagai Mr. Clean.
Kata-kata “aku cari mana dia Al-Ghazali, aku cari mana dia Al-Shafie, kita bongkar rahsia kitab suci cari pedoman, kita bongkar rahsia sunnah nabi cari panduan” pula mengukuhkan persepsi umum bahawa Abdullah adalah insan yang waraq.
Maka, puisi di atas pun dijadikan benchmark oleh sebilangan besar rakyat Malaysia untuk mengukur keikhlasan perjuangan Abdullah sebagai PM.
Ia juga mendorong persepsi umum yang menggambarkan Abdullah sebgai Mr. Clean dan insan waraq disifatkan sebagai realiti yang hakiki.
Demikianlah persepsi umum dan paparan imej Abdullah sewaktu dinobatkan sebagai PM Kelima. Kedua-duanya jadi antara faktor yang memungkinkan kepimpinan beliau memperolehi kejayaan besar dalam PRU-11.
Sokongan Merosot
Kini, sudah empat tahun Abdullah menjadi PM. Persepsi umum dan imej positif beliau seperti di atas kini dikatakan merosot. Persepsi umum yang negatif seperti yang dihuraikan dalam perenggan pertama posting ini pula dikatakan mendominasikan peribadi dan kepimpinan beliau pada hari ini.
Perkara ini dibayangkan oleh satu survey Merdeka Center (MC) yang dijalankan dari 14 Jun 2007 hingga 20 Jun 2007. Survey berkenaan memunculkan kesimpulan berikut:
Satu: Peratusan rasa puas hati masyarakat Melayu terhadap kepimpinan Abdullah menurun daripada 75 peratus pada November 2006 kepada 74 peratus pada Jun 2007.
Dua: Sokongan masyarakat Cina kepada Abdullah merosot daripada 68 peratus pada April 2007 kepada 47 pratus pada Jun 2007.
Tiga: Sokongan masyarakat India kepada Abdullah sentiasa terumbang-ambing daripada 75 peratus pada November 2006 kepada 73 peratus pada April 2007 dan 74 peratus pada Jun 2007.
Empat: Purata nasional atau national average sokongan rakyat terhadap Abdullah kian menurun. Kedudukan 64 peratus pada Oktober 2006, meningkat semula kepada 72 peratus pada November 2006, tetapi menurun kepada 73 peratus pada April 2007, dan meredum kepada 64 peratus pada Jun 2007.
Kajian Umum
Oleh itu, sempena empat tahun Abdullah menjadi PM, blog ini bercadang mengkaji ciri-ciri kekuatan dan kelemahan kepimpinan beliau selaku PM, Presiden UMNO Malaysia dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Kajian ini bukan sepenuhnya secara ilmiah. Ia lebih menggunakan pendekatan journalistik. Oleh itu, berhujjahlah secara bebas, ikhlas, kritikal dan berani. Kerahsiaan identiti anda akan tetap dipelihara.
Anda dipersilakan menyumbangkan buah fikiran masing-masing terhadap topik ini. Sila nyatakan siapakah anda dan di manakah lokasi anda. Maksudnya, kalau anda menggunakan nama samaran, sila nyatakan status kerjaya anda dan di negeri manakah anda berada.
Sila nyatakan pendapat anda mengenai kelamahan Abdullah yang paling ketara, kekuatan beliau yang paling menonjol dan apa pula cadangan untuk mengatasi kelemahan Abdullah atau memperkasakan lagi kepimpinan beliau.
Sila poskan pendapat anda ke blog ini atau menerusi e-mail puteramaya@gmail.com dalam tempoh sebulan mulai hari ini. Terima kasih. – Ruhanie Ahmad
No comments:
Post a Comment