Wednesday, November 7, 2007

Bila Ahli Saman Parti
UMNO Akan Bergolak?

Mungkinkah UMNO akan bergolak? Mungkinkah Perhimpunan Agung UMNO 2006 akan jadi null and void atau batal dan tidak sah? Mungkinkah UMNO pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad akan ditimpa musibah seperti pada 4 Februari 1988?

Persoalan ini dijangka mula menghantui UMNO bila seorang ahli parti dijangka memfailkan satu saman sivil ke atas UMNO pada 7 November 2007.

Tindakan ini dipercayai sebagai susulan kepada satu laporan polis mengenai UMNO yang dibuat di Kuala Lumpur, pada 6 November 2007, oleh seorang AJK cawangan UMNO dari Segamat, Johor.

Dalam laporan yang dibuat di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, Johari Ismail, 49, mendakwa akan wujudnya “unsur konspirasi melakukan jenayah politik” oleh pihak Majlis Tertinggi UMNO pimpinan Abdullah, kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, selaku mantan PresidenUMNO, pada 2006.

Berikutan kemungkinan saman sivil ini, banyak pihak mengatakan bahawa tindakan tersebut tidak boleh dilakukan kerana ia dilarang oleh Perlembagaan UMNO.

Kaji Perlembagaan UMNO

Lantas, saya pun mengkaji Perlembagaan UMNO, khususnya fasal-fasal yang berkaitan seperti berikut:

Fasal 6: Tanggungjawab Dan Hak Ahli

6.1 Tiap-tiap ahli mempunyai tanggungjawab seperti berikut:

6.1.1 Memegang teguh dasar parti dan melaksanakan tujuan-tujuannya.

6.1.2 Mendaftar diri sebagai pengundi dan mengundi di setiap pilihan raya, melainkan atas sebab-sebab yang boleh diterima oleh Majlis Tertinggi.

6.1.3 Menghadiri mesyuarat-mesyuarat dan mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan parti.

6.1.4 Menjalankan kerja-kerja parti dan mematuhi tataetika, perintah-perintah dan disiplin parti.

6.1.5 Menyokong calon-calon parti yang bertanding dalam pilihan raya.

6.1.6 Berkhidmat kepada orang ramai.

6.1.7 Bersedia dan sanggup menentang musuh-musuh negara.

6.2 Tiap-tiap ahli mempunyai hak-hak yang berikut:

6.2.1 Bercakap dan mengemukakan pendapat-pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat-mesyuarat parti.

6.2.2 Memilih, dipilih dan dilantik untuk sebarang jawatan di dalam parti.

6.2.3 Mengambil bahagian dalam pilihan raya dan menerima lantikan parti sebagai seorang calon.

6.2.4 Ahli-ahli yang sedang di dalam cadangan atau dipecat tidaklah hilang hak keahlinnya.

6.2.5 Ahli-ahli yang tidak menjadi wakil ke mesyuarat Perwakilan Bahagian atau Perhimpunan Agung boleh dicalonkan dan bertanding di peringkat yang berkenaan sekiranya memenuhi syarat di bawah Fasal 9.5 dan Fasal 15.5.

6.2.6 Ahli-ahli yang tidak hadir di Persidangan Cawangan boleh dicalonkan dan bertanding sebarang jawatan atau sebagai wakil ke Perwakilan Bahagian dengan menyatakan persetujuannya secara bertulis.

6.3 Seseorang ahli itu tidak berhak

6.3.1 Menjadi ahli lebih daripada satu Cawangan.

6.3.2 Mewakilkan hak mengundinya kepada sesiapa jua pun.

6.3.3 Menggunakan haknya di bawah Fasal 6.2 sekiranya ia tidak menjelaskan yuran mengikut peruntukan dalam Perlembagaan.

6.3.4 Menggunakan haknya di bawah Fasal 6.2 jika dilarang di bawah akta Pertubuhan 1966 atau setakat mana ia dikenakan hukuman disiplin di bawah Fasal 20.9 dan 20.10.

6.3.5 Menjadi Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Pemeriksa Kira-Kira atau Ahli Jawatankauasa lebih daripada satu Cawangan atau Bahagian melainkan dengan kebenaran bertulis daripada Majlis Tertinggi.

6.3.6 Menjadi Ahli Jawatankuasa di peringkat yang sama di mana ia telah dipilih menjadi Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap atau Pemeriksa Kira-kira dan sebaliknya.

6.3.7 Mengambil bahagian bercakap, mengundi, memilih dan dipilih dalam Persidangan Cawangan dan Perwakilan Bahagian selain daripada Cawangan dan Bahagian di mana ia menjadi ahli.

6.3.8 Mengambil bahagian bercakap, mengundi, memilih dan dipilih dalam mana-mana Cawangan atau Bahagian baru yang dimasukinya, kiranya ahli telah menggunakan haknya itu dalam Cawangan atau Bahagian asalnya bagi tahun berkenaan.

Tiada Larangan Yang Jelas

Dari penelitian yang saya buat, tidak terdapat satu pun fasal yang jelas yang melarang ahli-ahli UMNO mengheret masalah parti ke mahkamah.

Kalau ada pun beberapa fasal mengenainya, fasal-fasal itu hanya samar-samar. Contohnya adalah Fasal 6.1.4 yang menuntut ahli-ahli UMNO ‘menjalankan kerja-kerja parti dan mematuhi tataetika, perintah-perintah dan disiplin parti.”

Fsal ini bermaksud bahawa mana-mana anggota UMNO tidak boleh melanggar “tataetika, perintah-perintah dan disiplin parti.” Bagaimanapun ia tidak menyebut secara khusus bahawa ahli-ahli UMNO dilarang membawa mnasalah parti ke mahkamah.

Sesudah itu, saya rujuk pula peruntukan mengenai disiplin dalam UMNO seperti berikut:

Fasal 20: Disiplin

20.1 Majlis Tertinggi berkuasa menubuhkan Lembaga Disiplin dan menentukan peraturan-peraturan, kuasa-kuasanya dan mengenakan hukuman kerana melanggar peruntukan perlembagaan ini dan kesalahan lain yang disenaraikan di dalam Tataetika Ahli UMNO atau mana-mana peraturan lain.

20.2 Ahli-ahli Lembaga Disiplin hendaklah dilantik oleh Majlis Tertinggi yang terdiri dari ahli-ahli yang tidak berjawatan dalam parti dan tidak mempunyai kepentingan dalam pemilihan.

20.3 Majlis Tertinggi boleh menurunkan kuasa disiplin kepada mana-mana Jawatankuasa di peringkat Perhubungan Negeri atau Bahagian.

20.4 Tanpa menyentuh hak Majlis Tertinggi, Lembaga Disiplin di peringkat Badan Perhubungan Negeri atau Bahagian, setelah mendengar dan berpuas hati terhadap pelanggaran peruntukan Perlembagaan ini atau Tataetika Ahli UMNO, bolehlah mengenakan mana-mana hukuman setakat yang diperturunkan kuasa oleh Majlis Tertinggi.

20.5 Tiap-tiap peringkat parti hendaklah melaporkan kepada Lembaga Disiplin mengenai kegiatan mana-mana ahli yang didapati melanggar disiplin parti untuk tindakan selanjutnya.

20.6 Seseorang ahli atau pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan disiplin yang dikenakan keatasnya boleh merayu kepada Majlis Tetinggi.

20.7 Seseorang ahli yang membawa apa-apa jua perkara parti atau hak keahliannya ke mahkamah sebelum mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan parti maka keahliannya di dalam parti gugur dengan sendirinya.

20.8 Semua ahli UMNO hendaklah cintakan parti dan:

(a) Patuh kepada Perlembagaan ini dan Tataetika Ahli;

(b) Mengikut perintah-perintah parti;

(c) Menjalankan dasar-dasar parti;

(d) Patuh dan menghormati keputusan-keputusan parti;

(e) Menjaga rahsia-rahsia parti;

(f) Memelihara nama baik dan maruah parti;

(g) Senantiasa menunjukkan tatalaku yang sopan lagi tertib.


20.9 Mana-mana ahli yang melanggar peruntukan Perlembagaan ini atau Tataetika Ahli UMNO boleh dikenakan mana-mana hukuman yang tersebut dibawah:

(a) Diberi amaran;

(b) Digantung hak-haknya dalam parti;

(c) Dilarang daripada bertanding bagi mana-mana jawatan dalam parti ataupun sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri atau Umum bagi mana-mana tempoh yang ditentukan oleh Majlis Tertinggi;

(d) Dipecat daripada parti;

(e) Dikenakan lain-lain hukuman yang difikirkan wajar dan selaras dengan Perlembagaan ini.

20.10 Seseorang ahli yang bertanding sebagai calon Bebas atau parti lawan dalam pilihan raya akan dipecat daripada parti dan tidak boleh diterima balik sebagai ahli selama-lamanya.

20.11 Ahli-ahli yang telah dikenakan hukuman, kecuali yang dikenakan hukuman dibawah Fasal 20.10 boleh membuat rayaun supaya:

20.11.1 Menarik balik penggantungan keahliannya selepas 2 tahun daripada tarikh ia dihukum.

20.11.2 Menarik balik pemecatan keahliannya selepas 3 tahun daripada tarikh ia dihukum.

20.12 Majlis Tertinggi berkuasa penuh membuat kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan berkaitan dengan Tataetika Ahli UMNO, yang di antara lain melarang penyalahgunaan kuasa dan wang dengan tujuan mendapat undi atau sokongan atau untuk mempengaruhi mana-mana pemilihan bagi pihak sendiri atau bagi pihak lain atau supaya jangan mengundi mana-mana orang dalam mana-mana pemilihan parti.

Tidak Spesifik

Seluruh peruntukan dalam Fasal 32 ini juga tidak menyebut secara spesifik bahawa mana-mana ahli UMNO adalah dilarang mengheret parti ke mahkamah.

Oleh itu, adakah tindakan yang akan dilakukan pada 7 November 2007 ini tidak melanggar perlembagaan, tataetika, atau peraturan-peraturan UMNO?

Atau, mungkinkah tindakan itu disifatkan sebagai perbuatan “tidak cintakan parti, tidak patuh kepada Perlembagaan parti dan tataetika ahli; mengengkari perintah-perintah parti; mengengkari dasar-dasar parti; tidak patuh dan menghormati keputusan-keputusan parti; tidak menjaga rahsia-rahsia parti; tidak memelihara nama baik dan maruah parti; dan tidak menunjukkan tatalaku yang sopan lagi tertib” sebagaimana dimaktubkan dalam Fasal 20.8 (a) hingga (g)?

Oleh kerana seluruh fasal-fasal di atas tidak memberikan jawapan yang sejelas-jelasnya, mungkinkah tindakan melarang mana-mana ahli UMNO mengheret parti ke mahkamah, terkandung dalam tataetika UMNO yang sukar dicari dokumennya secara on-line?

Apa pun, ada juga pemerhati politik yang menegaskan bahawa Perlembagaan UMNO tidak boleh mengatasi Perlembagaan Malaysia.

Jadi, walaupun Fasal 32 perlembagaan parti itu menegaskan bahawa “jika berbangkit sebarang perselisihan di atas tafsiran Perlembagaan” atau “Peraturan Persidangan Perhimpunan Agung UMNO yang dibuat di bawah kuatkuasanya, maka tafsiran yang diberikan oleh Majlis Tertinggi adalah muktamad”, adakah fasal ini membolehkah UMNO mengatasi undang-undang negara?

Kalau perlembagaan UMNO tidak boleh mengatasi undang-undang negara, pastinya tataetika atau peraturan-peraturan yang dibuat oleh UMNO juga tidak boleh mengatasi undang-undang negara.

Jika beginilah hakikatnya, akan gawatkah UMNO di bawah kepimpinan Abdullah? Mengapakah ini boleh terjadi? Semata-mata kerana mahu menyekat Mahathir menang sebagai perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu, Kedah, dan sekaligus berpeluang berucap dalam PAU 2006?

Imbasan Sejarah

Pokoknya di sini, apakah implikasi saman sivil yang akan dilakukan ke atas UMNO mutakhir? Walaupun sebab dan senarionya berbeza, sama-samalah kita imbas kembali sejarah yang saya petik daripada Laman Rasmi UMNO seperti berikut:

24 April 1987: Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 1987, di mana Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah dengan majoriti 43 undi bagi jawatan Presiden. YAB Encik Ghaffar Baba pula menewaskan Dato’ Musa Hitam dengan majoriti 40 undi bagi jawatan Timbalan Presiden.

25 Julai 1987: Kumpulan 12 ahli UMNO (kemudian seorang menarik diri) mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi supaya mengisytiharkan pemilihan UMNO pada 24 April 1982 batal dan tidak sah.

4 Februari 1988: Mahkamah Tinggi mengisytiharkan UMNO sebagai pertubuhan tidak sah kerana menerima wakil dari cawangan-cawangan yang tidak berdaftar semasa pemilihan Jawatankuasa Bahagian sehingga membawa kepada pengharaman UMNO.

13 Februari 1988: Permohonan bagi mendaftarkan UMNO (Baru) dikemukakan Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad dan beberapa bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

16 Februari 1988: UMNO secara rasmi diterima untuk menganggotai semula Barisan Nasional.

Akhir sekali, apakah imbasan sejarah di atas akan berulang? Atau, adakah Abdullah mahu secara ikhlas dan jujur mengakui kesilapannya, memohon maaf kepada seluruh ahli UMNO di seluruh pelusuk tanah air, tindakan sivil berkenaan ditarik balik, dan diikuti dengan Abdullah mengambil suatu tindakan yang sewajar-wajarnya demi parti tercinta? – Ruhanie Ahmad

No comments: