Thursday, July 31, 2008

MUQABALAH UMNO-PAS SIRI SATU:
MENGAPAKAH NIATNYA TIDAK TELUS?

Ruhanie Ahmad


Muqabalah atau muzakarah? Bersemuka atau berbincang? Dilakukan dengan secara rasmi dan dengan restu kepimpinan tertinggi UMNO dan PAS atau hanya atas initiatif individu tertentu daripada UMNO dan PAS? Untuk kepentingan Melayu dan Islam atau untuk menubuhkan kerajaan campuran BN-PAS di beberapa negeri dan peringkat pusat? Benarkah wujud jawatankuasa peringkat tertinggi untuk usaha besar ini?

Demikianlah antara persoalan penting dan strategik yang timbul setelah saya meneliti perkembangan politik membabitkan UMNO dan PAS mutakhir ini. Mengapakah seolah-olah wujud satu komplot sulit dalam konteks ini? Siapakah yang akan menjelaskan seluruh persoalan ini kepada rakyat jelata Malaysia dalam waktu terdekat ini?

Saya mendalami initiatif muzakarah atau muqabalah UMNO-PAS ketika ini kerana saya memang amat prihatin dengan soal perpaduan Melayu dan Islam yang melangkaui batas-batas ideologi siasah di Malaysia. Saya berpendirian sebegini kerana perpaduan dan permuafakatan Melayu dan Islam memang wajar dimaksimakan demi kesejahteraan seluruh rakyat jelata.

Sebab itulah sewaktu saya Ahli Parlimen, saya pernah mengesyorkan menerusi perdebatan di Dewan Rakyat pada awal 2000, bahawa jika pemimpin Melayu dan Islam Malaysia perlu bersidang di puncak Gunung Kilimanjaro, di Afrika, semata-mata untuk mengartikulasikan soal perpaduan ummah, saya kata, pergilah dengan seberapa segera. Kalau mereka perlu sembahyang sunat bersama-sama di bawah Talang Emas, di hadapan Kaabah, di Mekah, sebelum mereka bermuzakarah, saya kata, lakukanlah dengan segera. Kalau muzakarah itu perlu didahului dengan proses tafakur antara mereka di ruang Raudhah, di Masjid Nabi, di Madinah, saya cadangkan, lakukanlah dengan segera. Kalau perlu mereka bermuzakarah di atas sebuah kapal di Laut China Selatan, saya gesa mereka lakukanlah juga dengan seberapa segera.

Berasaskan kenyataan di atas, sewajarnya saya menyokong penuh usaha UMNO dan PAS untuk bersemuka (bermuqabalah) atau berbincang (bermuzakarah) mengenai kepentingan bersama pada ketika ini. Wajar juga saya alu-alukan usaha ini dengan harapan supaya perbezaan ideologi politik tidak jadi penghalang kepada kesejahteraan orang Melayu, umat Islam dan seluruh rakyat jelata Malaysia di abad ke-21.

Tidak Telus?

Tetapi, wajarkah usaha ini dialu-alukan dan disokong jika ianya seolah-olah diusahakan secara berselindung dan seolah-olah didasari oleh aneka motif yang tidak telus? Wajarkah usaha ini disokong secara membabi buta jika langkah awal ke arahnya amat diragui keikhlasannya? Adakah seluruh penggerak jentera propaganda mengenai usaha ini mutakhir ini tahu akan segala-galanya dengan sedalam-dalamnya sebelum mereka mendesak rakyat jelata menyokong dan mendukung usaha muqabalah ini dengan hati terbuka?

Soal pokok yang pertama yang perlu diketahui oleh seluruh warga UMNO mengenai muqabalah ini adalah komposisi pemimpin yang mewakili UMNO. Pada 20 Julai 2008, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, UMNO dan PAS diwakili dalam muqabalah tersebut oleh “jawatankuasa yang dianggotai oleh pemimpin tertinggi daripada kedua-dua parti.”

Hakikat di atas dinyatakan sendiri oleh Abdullah dalam portal berita Utusan On-line seperti berikut:

PUTRAJAYA 20 Julai - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, muzakarah di antara UMNO dan PAS telah bermula dengan pentemuan di peringkat jawatankuasa yang dianggotai oleh pemimpin-pemimpin tertinggi daripada kedua-dua parti itu.

Tanpa menyebut bila pertemuan itu diadakan, Perdana Menteri memberitahu, sehingga kini sebanyak tiga pertemuan telah diadakan oleh jawatankuasa itu.

“Ia membabitkan pemimpin tertinggi iaitu melibatkan mereka yang boleh membuat keputusan,” katanya. - Utusan On-line 2.34 PM, 20 Julai 2008
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_04.htm

Jawatankuasa

Oleh itu, siapakah pemimpin tertinggi UMNO yang menganggotai jawatankuasa yang dinyatakan oleh Abdullah dalam kenyataan di atas? Adakah Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Timbalan Presiden UMNO duduk dalam jawatankuasa berkenaan? Adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ali Rustam selaku Naib Presiden UMNO turut menganggotai jawatankuasa ini? Tidak benarkah apa yang dikatakan sebagai jawatankuasa tertinggi di pihak UMNO ini hanyalah diwakili oleh Abdullah seorang diri? Mengapakah begini hakikatnya?

Abdullah mesti segera menjelaskan komposisi perwakilan UMNO ini kepada seluruh warga UMNO di segenap pelusuk tanahair. Kalau betul jawatankuasa ini sudah diwujudkan, siapakah anggotanya? Adakah mereka turut menghadiri tiga sessi muqabalah yang sudah dilakukan setakat hari ini? Kalau belum diwujudkan, mengapakah Abdullah menyatakan ianya sudah diwujudkan?

Hakikat di atas penting diperjelaskan oleh Abdullah. Ini kerana menurut pihak PAS, dalam sessi muqabalah yang pertama, hanya Datuk Seri Mohd. Khir Toyo dan Abdullah sahaja yang hadir bagi pihak UMNO. Pihak PAS pula diwakili oleh tiga orang - Nasaruddin Mat Isa selaku Timbalan Presiden PAS, Datuk Mustapha Ali selaku Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, dan Khalid Samad selaku Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Shah Alam, Selangor.

PAS juga menyatakan, sessi pertama muqabalah itu diadakan “sejurus sesudah Pilihan Raya Umum 12.” Ia bertujuan “lebih kepada UMNO mahu membentuk kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) dan PAS” di Selangor. Jika begitulah realitinya, mengapakah Abdullah membuat kenyataan bahawa muqabalah itu dihadiri oleh “jawatankuasa yang dianggotai oleh pemimpin-pemimpin tertinggi daripada kedua-dua parti”? Dan, jika matlamat muqabalah itu adalah bertujuan “lebih kepada UMNO mahu membentuk kerajaan campuran BN dan PAS” di Selangor, mengapakah Abdullah menyatakan bahawa muqabalah itu dianjurkan “bagi membincangkan beberapa isu berkaitan dengan keagamaan dan orang Melayu”?

Abdullah telah menggariskan matlamat muqabalah ini seperti di atas menerusi satu kenyataan dalam akhbar seperti berikut:

Isu Melayu?

PUTRAJAYA 20 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendedahkan bahawa muzakarah bersama PAS telah diadakan sebanyak tiga kali bagi membincangkan beberapa isu berkaitan dengan keagamaan dan orang Melayu.

Beliau berkata, UMNO ikhlas untuk menjayakan pertemuan dengan PAS demi perpaduan Melayu dan kepentingan masa depan umat Islam.

Katanya, pertemuan dengan pemimpin peringkat tinggi itu tidak disertai oleh Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

‘‘Saya dah ada pertemuan sebenarnya dan pertemuan ini pada peringkat awal. Tak perlulah saya bagi maklumat yang lain, nanti saudara buat spekulasi yang bukan-bukan. Nik Aziz tak ada, itu saya boleh katalah. Yang lain tak boleh tanya... (pertemuan) pada peringkat orang yang boleh membuat keputusan,” katanya seolah-olah membayangkan muzakarah itu melibatkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ditanya adakah sebarang syarat diletakkan dalam pertemuan itu, beliau berkata: “Tak ada (syarat). Buat apa kita meletakkan syarat, menyusahkan sahaja. Kita bincang dengan ikhlas apa jua pandangan yang difikirkan wajar untuk kita bincang.” - Utusan.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_04.htm

Menurut pihak PAS, satu lagi muqabalah telah diadakan di Bangunan Parlimen. Sessi ini hanya membabitkan Nasaruddin dan Abdullah. Bagaimanapun, Nasaruddin dikatakan telah menafikan adanya sessi berkenaan.

Penafian PAS

Blogger Kickdefella http://kickdefella.wordpress.com memetik dua kenyataan penafian Nasaruddin ini menerusi postingnya bertarikh 30 Julai 2008, dengan jodol Baling Batu Tangan Sembunyi Dekat Belakang, seperti berikut:

Ia merupakan suatu dakwaan yang tidak bertanggungjawab, tidak beretika dan berunsur fitnah. - Nasharuddin Mat Isa, 26 Jun 2008 di Lobi Parlimen.

Saya tidak menafikan ia mungkin suatu strategi untuk mewujudkan kontroversi pada Pakatan Rakyat terutamanya di kalangan penyokong bagi mengalih perhatian rakyat dengan kelemahan kerajaan yang sedia ada,” - Nasharuddin Mat Isa 26 Jun 2008 di Lobi Parlimen.

Penafian di atas pula menimbulkan satu lagi persoalan yang membabitkan PAS. Adakah dua kenyataan tersebut membayangkan bahawa seluruh kepimpinan tertinggi PAS juga tidak mengetahui adanya muqabalah UMNO dan PAS?

Sebenarnya, banyak lagi kontroversi yang menggerhanai muqabalah UMNO-PAS ini diulas oleh blogger Kickdefella. Menerusi postingnya pada 29 Julai 2008, dengan tajuk Dah Main Belakang Kot, blogger ini menghuraikan beberapa matlamat Abdullah menganjurkan muqabalah dengan PAS. Antaranya, blogger ini mendakwa “Abdullah bangkit dari keruntuhan PRU12 dengan satu agenda pasca pilihan raya untuk mematikan semua yang dianggap liabiliti kepada masa depan politiknya. Dengan itu, Abdullah menghasilkan Dah Main Belakang Kot.”

Jadi, mungkinkah kenyataan di atas membayangkan bahawa matlamat muqabalah UMNO dan PAS ini adalah untuk membolehkan Abdullah “mematikan semua yang dianggap liabiliti kepada masa depan politiknya”?

Sindiran

Posting Kickdefella pada 28 Julai 2008 pula berjodol Parlimen Rakyat: Agenda Muqabalah Diluar Aturan Tabii. Posting ini memuatkan hujjah muqabalah itu secara sindiran. Antaranya, blogger ini bertanyakan soalan-soalan berikut:

Tahukah ahli-ahli UMNO apakah agenda sulit muqabalah yang dibincangkan di antara Abdullah dan rakan Ana-Anta (PAS) yang diakui kini lebih UMNO dari UMNO walaupun sangka Abdullah Ana-Anta itu (pemimpin PAS itu) mewakili PAS? Tahukah Najib apakah agenda sulit muqabalah yang Najib beria-beria cakapkan perlu diteruskan dan diperluaskan skopnya? Tahukah kita semua mengapa Abdullah akan menolak saranan Tuan Guru Nik Abdul Aziz supaya dibubarkan UMNO jika benar UMNO mahu mengutamakan Melayu dan Islam? Semalam (pada 27 Julai 2008) terbongkar sudah segala-galanya. Parlimen Rakyat menerusi speakernya Saudara Haris Ibrahim sudah mendedahkan agenda sulit yang dibincangkan oleh Abdullah kepada Ana-Anta (wakil PAS). Menurut Parlimen Rakyat, agenda sulit muqabalah ialah Abdullah mahu kerjasama dan (mendapatkan) sokongan PAS bagi mengukuhkan kedudukannya supaya dia (Abdullah) dapat mengambil tindakan menyingkirkan Najib daripada tampuk kuasa. Abdullah juga mahu bantuan PAS untuk memperkukuhkan kedudukannya supaya dia dapat memecat Abdul Ghani Patail, Peguam Negara dan Musa Hassan, Ketua Polis Negara.

Posting di atas mengandungi beberapa provokasi dan tuduhan terhadap Abdullah serta pemimpin PAS terbabit mengenai matlamat sebenar muqabalah UMNO-PAS yang sudah diadakan sebanyak tiga kali. Lantas, siapakah yang akan menjelaskan matlamat sebenar muqabalah tersebut?

Maka, demikianlah kisah muqabalah UMNO-PAS mutakhir ini. Ia menimbulkan banyak persoalan mengenai kompositi jawatankuasanya yang mewakili kedua-dua parti terbabit. Ia juga menimbulkan persoalan besar mengenai matlamat yang sebenar-benarnya. Mengapakah jadi begini? Mengapakah pihak UMNO dan PAS seolah-olah mahu menyembunyikan seluruh kebenaran mengenai muqabalah ini? Mengapakah seluruh pucuk pimpinan UMNO dan PAS seolah-olah dibelakangkan dalam muqabalah ini? Apakah yang mendasari seluruh tindakan tidak telus ini? Persoalan-persoalan ini akan cuba dihuraikan dalam siri kedua.
Postings lain mengenai MUQABALAH, sila akses links berikut:

REALITI SEBALIK MUQABALAH UMNO-PAS
http://anotherbrickinwall.blogspot.com/

MUQABALAH: HELAH ATAU DEMI PERPADUAN UMMAH?
http://kadirjasin.blogspot.com/

2 comments:

kamal... said...

salam..dlm kita sibuk2 mengalih pandangan kita ke permatang pauh atau kes2 liwat..kita sudah lupa yg kita sedang d serang secara terbuka dari belakang..lihat saja tajuk utama d blog PEMBELA MELAYU SEJATI..(Teresa Kok makin kurang ajar pada Islam - Laungan Azan nak dihapuskan) apa sudah jadi niiii kenapa azan nak d pertikaikan..mana ulama PAS yg mejulang tinggi agama islam..yg konon islam teras perjungan parti..kalau mcm tu yg kat TV tu azan pun akan d hapuskan juga kah? kalau mereka memerintah..ya allah laknat lah mereka yg pertikaikan AZAN tu..memandangkan blog ini adalah blg terbuka dan sering menjadi tumpuan plss bg pandangan tetang hal ini..atau ulas sikit dlm blog ini..

ketam said...

Satu perkara nak bangkitkan di sini berkenaan FORUM MAJLIS PEGUAM tu.. terbaru PAS bantah forum anjuran Majlis Peguam Malaysia itu yg dinytakan oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tetapi saya tertanya-tanya mana kenyataan daripada Pemimpin ISLAM yg bernaung dibawah PARTI KEADILAN RAKYAT yg kononnya memperjuangkan ISLAM?????