Thursday, July 31, 2008

MUQABALAH UMNO-PAS SIRI SATU:
MENGAPAKAH NIATNYA TIDAK TELUS?

Ruhanie Ahmad


Muqabalah atau muzakarah? Bersemuka atau berbincang? Dilakukan dengan secara rasmi dan dengan restu kepimpinan tertinggi UMNO dan PAS atau hanya atas initiatif individu tertentu daripada UMNO dan PAS? Untuk kepentingan Melayu dan Islam atau untuk menubuhkan kerajaan campuran BN-PAS di beberapa negeri dan peringkat pusat? Benarkah wujud jawatankuasa peringkat tertinggi untuk usaha besar ini?

Demikianlah antara persoalan penting dan strategik yang timbul setelah saya meneliti perkembangan politik membabitkan UMNO dan PAS mutakhir ini. Mengapakah seolah-olah wujud satu komplot sulit dalam konteks ini? Siapakah yang akan menjelaskan seluruh persoalan ini kepada rakyat jelata Malaysia dalam waktu terdekat ini?

Saya mendalami initiatif muzakarah atau muqabalah UMNO-PAS ketika ini kerana saya memang amat prihatin dengan soal perpaduan Melayu dan Islam yang melangkaui batas-batas ideologi siasah di Malaysia. Saya berpendirian sebegini kerana perpaduan dan permuafakatan Melayu dan Islam memang wajar dimaksimakan demi kesejahteraan seluruh rakyat jelata.

Sebab itulah sewaktu saya Ahli Parlimen, saya pernah mengesyorkan menerusi perdebatan di Dewan Rakyat pada awal 2000, bahawa jika pemimpin Melayu dan Islam Malaysia perlu bersidang di puncak Gunung Kilimanjaro, di Afrika, semata-mata untuk mengartikulasikan soal perpaduan ummah, saya kata, pergilah dengan seberapa segera. Kalau mereka perlu sembahyang sunat bersama-sama di bawah Talang Emas, di hadapan Kaabah, di Mekah, sebelum mereka bermuzakarah, saya kata, lakukanlah dengan segera. Kalau muzakarah itu perlu didahului dengan proses tafakur antara mereka di ruang Raudhah, di Masjid Nabi, di Madinah, saya cadangkan, lakukanlah dengan segera. Kalau perlu mereka bermuzakarah di atas sebuah kapal di Laut China Selatan, saya gesa mereka lakukanlah juga dengan seberapa segera.

Berasaskan kenyataan di atas, sewajarnya saya menyokong penuh usaha UMNO dan PAS untuk bersemuka (bermuqabalah) atau berbincang (bermuzakarah) mengenai kepentingan bersama pada ketika ini. Wajar juga saya alu-alukan usaha ini dengan harapan supaya perbezaan ideologi politik tidak jadi penghalang kepada kesejahteraan orang Melayu, umat Islam dan seluruh rakyat jelata Malaysia di abad ke-21.

Tidak Telus?

Tetapi, wajarkah usaha ini dialu-alukan dan disokong jika ianya seolah-olah diusahakan secara berselindung dan seolah-olah didasari oleh aneka motif yang tidak telus? Wajarkah usaha ini disokong secara membabi buta jika langkah awal ke arahnya amat diragui keikhlasannya? Adakah seluruh penggerak jentera propaganda mengenai usaha ini mutakhir ini tahu akan segala-galanya dengan sedalam-dalamnya sebelum mereka mendesak rakyat jelata menyokong dan mendukung usaha muqabalah ini dengan hati terbuka?

Soal pokok yang pertama yang perlu diketahui oleh seluruh warga UMNO mengenai muqabalah ini adalah komposisi pemimpin yang mewakili UMNO. Pada 20 Julai 2008, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, UMNO dan PAS diwakili dalam muqabalah tersebut oleh “jawatankuasa yang dianggotai oleh pemimpin tertinggi daripada kedua-dua parti.”

Hakikat di atas dinyatakan sendiri oleh Abdullah dalam portal berita Utusan On-line seperti berikut:

PUTRAJAYA 20 Julai - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, muzakarah di antara UMNO dan PAS telah bermula dengan pentemuan di peringkat jawatankuasa yang dianggotai oleh pemimpin-pemimpin tertinggi daripada kedua-dua parti itu.

Tanpa menyebut bila pertemuan itu diadakan, Perdana Menteri memberitahu, sehingga kini sebanyak tiga pertemuan telah diadakan oleh jawatankuasa itu.

“Ia membabitkan pemimpin tertinggi iaitu melibatkan mereka yang boleh membuat keputusan,” katanya. - Utusan On-line 2.34 PM, 20 Julai 2008
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_04.htm

Jawatankuasa

Oleh itu, siapakah pemimpin tertinggi UMNO yang menganggotai jawatankuasa yang dinyatakan oleh Abdullah dalam kenyataan di atas? Adakah Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Timbalan Presiden UMNO duduk dalam jawatankuasa berkenaan? Adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ali Rustam selaku Naib Presiden UMNO turut menganggotai jawatankuasa ini? Tidak benarkah apa yang dikatakan sebagai jawatankuasa tertinggi di pihak UMNO ini hanyalah diwakili oleh Abdullah seorang diri? Mengapakah begini hakikatnya?

Abdullah mesti segera menjelaskan komposisi perwakilan UMNO ini kepada seluruh warga UMNO di segenap pelusuk tanahair. Kalau betul jawatankuasa ini sudah diwujudkan, siapakah anggotanya? Adakah mereka turut menghadiri tiga sessi muqabalah yang sudah dilakukan setakat hari ini? Kalau belum diwujudkan, mengapakah Abdullah menyatakan ianya sudah diwujudkan?

Hakikat di atas penting diperjelaskan oleh Abdullah. Ini kerana menurut pihak PAS, dalam sessi muqabalah yang pertama, hanya Datuk Seri Mohd. Khir Toyo dan Abdullah sahaja yang hadir bagi pihak UMNO. Pihak PAS pula diwakili oleh tiga orang - Nasaruddin Mat Isa selaku Timbalan Presiden PAS, Datuk Mustapha Ali selaku Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, dan Khalid Samad selaku Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Shah Alam, Selangor.

PAS juga menyatakan, sessi pertama muqabalah itu diadakan “sejurus sesudah Pilihan Raya Umum 12.” Ia bertujuan “lebih kepada UMNO mahu membentuk kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) dan PAS” di Selangor. Jika begitulah realitinya, mengapakah Abdullah membuat kenyataan bahawa muqabalah itu dihadiri oleh “jawatankuasa yang dianggotai oleh pemimpin-pemimpin tertinggi daripada kedua-dua parti”? Dan, jika matlamat muqabalah itu adalah bertujuan “lebih kepada UMNO mahu membentuk kerajaan campuran BN dan PAS” di Selangor, mengapakah Abdullah menyatakan bahawa muqabalah itu dianjurkan “bagi membincangkan beberapa isu berkaitan dengan keagamaan dan orang Melayu”?

Abdullah telah menggariskan matlamat muqabalah ini seperti di atas menerusi satu kenyataan dalam akhbar seperti berikut:

Isu Melayu?

PUTRAJAYA 20 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendedahkan bahawa muzakarah bersama PAS telah diadakan sebanyak tiga kali bagi membincangkan beberapa isu berkaitan dengan keagamaan dan orang Melayu.

Beliau berkata, UMNO ikhlas untuk menjayakan pertemuan dengan PAS demi perpaduan Melayu dan kepentingan masa depan umat Islam.

Katanya, pertemuan dengan pemimpin peringkat tinggi itu tidak disertai oleh Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

‘‘Saya dah ada pertemuan sebenarnya dan pertemuan ini pada peringkat awal. Tak perlulah saya bagi maklumat yang lain, nanti saudara buat spekulasi yang bukan-bukan. Nik Aziz tak ada, itu saya boleh katalah. Yang lain tak boleh tanya... (pertemuan) pada peringkat orang yang boleh membuat keputusan,” katanya seolah-olah membayangkan muzakarah itu melibatkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ditanya adakah sebarang syarat diletakkan dalam pertemuan itu, beliau berkata: “Tak ada (syarat). Buat apa kita meletakkan syarat, menyusahkan sahaja. Kita bincang dengan ikhlas apa jua pandangan yang difikirkan wajar untuk kita bincang.” - Utusan.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_04.htm

Menurut pihak PAS, satu lagi muqabalah telah diadakan di Bangunan Parlimen. Sessi ini hanya membabitkan Nasaruddin dan Abdullah. Bagaimanapun, Nasaruddin dikatakan telah menafikan adanya sessi berkenaan.

Penafian PAS

Blogger Kickdefella http://kickdefella.wordpress.com memetik dua kenyataan penafian Nasaruddin ini menerusi postingnya bertarikh 30 Julai 2008, dengan jodol Baling Batu Tangan Sembunyi Dekat Belakang, seperti berikut:

Ia merupakan suatu dakwaan yang tidak bertanggungjawab, tidak beretika dan berunsur fitnah. - Nasharuddin Mat Isa, 26 Jun 2008 di Lobi Parlimen.

Saya tidak menafikan ia mungkin suatu strategi untuk mewujudkan kontroversi pada Pakatan Rakyat terutamanya di kalangan penyokong bagi mengalih perhatian rakyat dengan kelemahan kerajaan yang sedia ada,” - Nasharuddin Mat Isa 26 Jun 2008 di Lobi Parlimen.

Penafian di atas pula menimbulkan satu lagi persoalan yang membabitkan PAS. Adakah dua kenyataan tersebut membayangkan bahawa seluruh kepimpinan tertinggi PAS juga tidak mengetahui adanya muqabalah UMNO dan PAS?

Sebenarnya, banyak lagi kontroversi yang menggerhanai muqabalah UMNO-PAS ini diulas oleh blogger Kickdefella. Menerusi postingnya pada 29 Julai 2008, dengan tajuk Dah Main Belakang Kot, blogger ini menghuraikan beberapa matlamat Abdullah menganjurkan muqabalah dengan PAS. Antaranya, blogger ini mendakwa “Abdullah bangkit dari keruntuhan PRU12 dengan satu agenda pasca pilihan raya untuk mematikan semua yang dianggap liabiliti kepada masa depan politiknya. Dengan itu, Abdullah menghasilkan Dah Main Belakang Kot.”

Jadi, mungkinkah kenyataan di atas membayangkan bahawa matlamat muqabalah UMNO dan PAS ini adalah untuk membolehkan Abdullah “mematikan semua yang dianggap liabiliti kepada masa depan politiknya”?

Sindiran

Posting Kickdefella pada 28 Julai 2008 pula berjodol Parlimen Rakyat: Agenda Muqabalah Diluar Aturan Tabii. Posting ini memuatkan hujjah muqabalah itu secara sindiran. Antaranya, blogger ini bertanyakan soalan-soalan berikut:

Tahukah ahli-ahli UMNO apakah agenda sulit muqabalah yang dibincangkan di antara Abdullah dan rakan Ana-Anta (PAS) yang diakui kini lebih UMNO dari UMNO walaupun sangka Abdullah Ana-Anta itu (pemimpin PAS itu) mewakili PAS? Tahukah Najib apakah agenda sulit muqabalah yang Najib beria-beria cakapkan perlu diteruskan dan diperluaskan skopnya? Tahukah kita semua mengapa Abdullah akan menolak saranan Tuan Guru Nik Abdul Aziz supaya dibubarkan UMNO jika benar UMNO mahu mengutamakan Melayu dan Islam? Semalam (pada 27 Julai 2008) terbongkar sudah segala-galanya. Parlimen Rakyat menerusi speakernya Saudara Haris Ibrahim sudah mendedahkan agenda sulit yang dibincangkan oleh Abdullah kepada Ana-Anta (wakil PAS). Menurut Parlimen Rakyat, agenda sulit muqabalah ialah Abdullah mahu kerjasama dan (mendapatkan) sokongan PAS bagi mengukuhkan kedudukannya supaya dia (Abdullah) dapat mengambil tindakan menyingkirkan Najib daripada tampuk kuasa. Abdullah juga mahu bantuan PAS untuk memperkukuhkan kedudukannya supaya dia dapat memecat Abdul Ghani Patail, Peguam Negara dan Musa Hassan, Ketua Polis Negara.

Posting di atas mengandungi beberapa provokasi dan tuduhan terhadap Abdullah serta pemimpin PAS terbabit mengenai matlamat sebenar muqabalah UMNO-PAS yang sudah diadakan sebanyak tiga kali. Lantas, siapakah yang akan menjelaskan matlamat sebenar muqabalah tersebut?

Maka, demikianlah kisah muqabalah UMNO-PAS mutakhir ini. Ia menimbulkan banyak persoalan mengenai kompositi jawatankuasanya yang mewakili kedua-dua parti terbabit. Ia juga menimbulkan persoalan besar mengenai matlamat yang sebenar-benarnya. Mengapakah jadi begini? Mengapakah pihak UMNO dan PAS seolah-olah mahu menyembunyikan seluruh kebenaran mengenai muqabalah ini? Mengapakah seluruh pucuk pimpinan UMNO dan PAS seolah-olah dibelakangkan dalam muqabalah ini? Apakah yang mendasari seluruh tindakan tidak telus ini? Persoalan-persoalan ini akan cuba dihuraikan dalam siri kedua.
Postings lain mengenai MUQABALAH, sila akses links berikut:

REALITI SEBALIK MUQABALAH UMNO-PAS
http://anotherbrickinwall.blogspot.com/

MUQABALAH: HELAH ATAU DEMI PERPADUAN UMMAH?
http://kadirjasin.blogspot.com/

Friday, July 4, 2008

STATUS QUO KEKUASAAN NEGARA
MESTI DIROBAH DENGAN SEGERA

Ruhanie Ahmad

Perkembangan politik yang sedang menggegarkan tanahair ketika ini adalah satu thriller masterpiece karya pencatur kuasa yang bijaksana. Ia menggabungkan elemen seks, jenayah, darah dan nyawa. Ia dirancang secara rapi. Ia dilaksanakan secara menawan dan penuh sensasi.

Sukar untuk memastikan sama ada thriller ini disediakan oleh satu pihak yang khusus. Tetapi, matlamat utamanya adalah satu - mempertahan, mengukuh serta mengekalkan status quo kekuasaan negara yang wujud sekarang – biarpun lemah, tempang dan telah disanggah oleh rakyat jelata menerusi PRU12.

Malamat ini dicapai menerusi penggunaan plot adu-domba, babak tohmah-mentohmah, adegan perbalahan terbuka dan proses pembunuhan watak atau character assassination secara baling batu sembunyi tangan.

Secara khususnya, matlamat ini dicapai menerusi satu strategi serampang empat mata seperti berikut:

Satu: Serampang pertama bertujuan mecalar dan mencemarkan kredibiliti dan integriti Datuk Seri Najib Tun Razak. Ini dilaksanakan menerusi menerusi pelbagai cara. Paling menonjol sekali menerusi penggunaan akuan bersumpah atau statutory declaration yang sensasi.

Bersumpah

Akuan bersumpah pertama dibuat oleh Raja Petra Kamarudin selaku pengoperator sebuah portal berita internet. Ia disasarkan secara tepat kepada Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada Najib. Ia juga disasarkan secara sipi atau indirect kepada Najib.

Akuan bersumpah kedua dibuat oleh P. Balasubramaniam, seorang penyiasat persendirian yang nampaknya bersekutu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penasihat PKR. Akuan bersumpah ini memang jelas disasarkan secara tepat atau direct kepada Najib.

Walaupun Najib sudah menafikan segala-galanya, dan akuan bersumpah oleh Balasubramaniam sudah ditarik balik menerusi satu lagi akuan bersumpah yang mengandungi penafian yang sewajarnya, kesan kedua-dua akuan bersumpah ini tetap sama.

Persepsi umum terhadap Najib jadi amat negatif. Krebibiliti dan integriti Najib tercalar dan tercemar. Najib dipandang serong. Najib diragui. Peluang Najib mewarisi takhta kepimpinan negara jadi samar-samar. Peluang Najib bertanding jawatan Presiden UMNO juga mula diselubungi gerhana.

Secara tidak langsung, Najib kini diibaratkan seolah-olah sedang menjalani satu proses pembunuhan watak yang dilaksanakan secara perlahan dan penuh sensasi.

Tohmah

Dua: Matlamat serampang yang kedua ialah untuk musnahkan kerjajaya politik Anwar. Ini juga dilakukan menerusi pelbagai cara. Paling ketara sekali adalah menerusi satu laporan polis yang menuduh Anwar kononnya meliwat seorang pemuda berumur 23 tahun.

Tindakan anak muda ini pula ditohmahkan sebagai didalangi oleh Najib. Lantas, Anwar pun jadi defensif dan berang. Pada 3 Julai 2008, Anwar pun menghebahkan kandungan satu akuan bersumpah oleh Balasubramaniam mengenai Najib.

Tetapi, walaupun akuan bersumpah ini memang menjejaskan Najib seperti dihuraikan di atas, kesannya terhadap Anwar juga tetap sama padahnya.

Persepsi umum terhadap Anwar jadi negatif. Tuduhan liwat terhadap Anwar yang terbaru ini tetap menggerhanai politik dirinya. Integriti dan kredibiliti Anwar mula dipersoalkan. Ura-ura Anwar untuk menjadi Perdana Menteri pada 16 September 2008 jadi semakin diperlekehkan oleh segolongan rakyat Malaysia.

Seluruh kesan di atas jadi semakin serius bila pada 4 Julai 2008, Balasubramaniam menarik balik akuan bersumpahnya mengenai Najib. Tindakan ini menyebabkan politik, nama baik dan imej Anwar kian meredum dan parah.

Terlalai

Secara tidak langsung, seluruh kesan di atas juga menyebabkan Anwar seolah-olah sama seperti Najib - melalui proses pembunuhan watak secara perlahan dan sensasi.

Tiga: Matlamat serampang yang ketiga adalah memastikan rakyat jelata Malaysia jadi asyik dan terlalai dengan sensasi politik mutakhir ini.

Dengan cara ini diharapkan rakyat jelata melupakan seluruh kemarahan serta kekecewaan masing-masing terhadap cara dan gaya pucuk pimpinan tertinggi negara mutakhir ini menangani isu kenaikan harga bahan petroleum yang menyebabkan kesengsaraan hidup mereka.

Menerusi cara ini juga pucuk pimpinan tertinggi negara yang telah disanggah oleh rakyat jelata menerusi PRU12 seolah-olah terbebas daripada desakan dan tekanan supaya beliau meninggalkan persada kekuasaan tanahair dengan seberapa segera.

Empat: Matlamat serampang yang keempat adalah memastikan warga UMNO jadi bingung dan keliru terhadap perkembangan politik semasa yang penuh sensasi ini.

Putus Asa

Kebingungan dan kekeliruan ini diharap menyebabkan seluruh warga UMNO berasa jijik, muak dan jelak untuk terus mempersoalkan proses peralihan kuasa kepada Najib.

Ia juga diharap menjadikan warga UMNO tidak ambil peduli lagi terhadap soal kesejahteraan parti, dan jadi amat putus asa terhadap usaha mendesak pucuk pimpinan tertinggi parti mengosongkan kerusi Presiden UMNO dengan segera demi agama, bangsa dan tanahair.

Demikianlah hebatnya kesan thriller percaturan kuasa yang sedang melanda Malaysia hari ini. Ia telah menjerumuskan Najib dan Anwar Ibrahim - dua personaliti yang berpotensi besar untuk menggugat status quo kekuasaan negara - ke kancah kontroversi yang serius dan terbuka.

Hebat sungguh dalang di sebalik percaturan kuasa ini. Anwar digelabahkan dengan tuduhan Saiful. Najib pula digabrakan dengan kes Altantuya yang melatari siasah Malaysia mulai 2006.

Soalnya, siapakah mastermind kepada percaturan ini? Adakah mereka karyawan lokal? Mungkinkah mereka karyawan regional? Mustahilkah mereka karyawan global? Atau, barangkalikah gabungan daripada keseluruhannya?

Tukar Rejim

Inilah persoalan pokok yang sepatutnya menghantui seluruh rakyat jelata yang prihatin terhadap kesejahteraan negara pada ketika ini.

Oleh itu, jangan sekali-kali rakyat jelata izinkan diri masing-masing dilalai dan diasyikkan dengan persembahan thriller politik bertaraf masterpiece ini.

Desakan supaya persada kekuasaan negara dikosongkan dengan serta merta mestilah diteruskan. Desakan supaya kerusi Presiden UMNO dikosongkan dengan segera juga mesti dilakukan secara konsisten.

Jangan hilang fokus dan jangan kematian punca. Wajah-wajah dalang di sebalik thriller politik bertaraf masterpiece ini pasti akan dapat didedahkan sesudah tanahair ini mengalami pertukaran rejim.

Hakikatnya begitu kerana kemungkinan besar para karyawan yang menghasilkan thriller politik ini adalah mereka yang berselindung di sebalik kuasa yang wujud pada hari ini. Jika tidak, mana mungkin matlamat utama thriller ini adalah mempertahan, mengukuh dan mengekalkan status quo kekuasaan Malaysia mutakhir.

Super Canggih

Oleh itu, kita serahkan soal Anwar dan soal Najib serta soal Saiful dan soal Altantuya ini kepada pihak berkuasa untuk menyiasat serta memastikan kebenaran atau kepalsuannya.

Pada waktu yang sama, kita insafkan semua pihak bahawa kebenaran yang hakiki kepada segala-galanya ini hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya.

Kita sedang berada dalam satu era yang amat membimbangkan. Kita sedang menyaksikan permainan serta percaturan kuasa yang super canggih. Kita mempunyai kuasa dan hak untuk memberhentikan segala-galanya.

Kita persetankan seluruh sensasi yang wujud hari ini. Kita gunakan kebijaksanaan dan keberanian kita untuk bersuara dan bertindak secara berhemah dan berkesan supaya status quo kekuasaan negara mutakhir ini dirobah dengan segera.

Thursday, July 3, 2008

NAJIB TEGASKAN TIDAK KENAL ALTANTUYA

KUALA LUMPUR 3 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, akuan bersumpah pegawai penyiasat P. Balasubramaniam berkaitan hubungannya dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu merupakan usaha terdesak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengalihkan perhatian umum terhadap dakwaan liwat yang dihadapinya.

Timbalan Perdana Menteri sekali lagi menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak mengenali Altantuya.

Menurutnya, akuan bersumpah itu merupakan satu pembohongan yang amat dahsyat, rekaan semata-mata, berniat jahat, berunsur fitnah dan bertujuan mencemarkan imej beliau.

``Saya amat yakin ia usaha terdesak oleh Anwar untuk mengalihkan perhatian terhadap tuduhan liwat yang dihadapinya,'' kata beliau pada sidang akhbar di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Sementara itu, Najib mengakui beliau ditemui oleh Mohd. Saiful Bukhari untuk mendapatkan nasihat setelah mendakwa dirinya diliwat Anwar. – Utusan.

Wednesday, July 2, 2008

MARTABATKAN PERJUANGAN BANGSA

Kiriman Zahari S

Pada 29 Jun 2008, saya siarkan nostalgia Saudara Zainal Sikum - anak Panchor, Muar, yang kini sudah 33 tahun menetap di Kota London - mengenai kehidupan beliau di era pra-merdeka. Kata Zainal, waktu pengganas komunis bermaharajalela di hujung kampungnya di zaman darurat, ada kalanya beliau sekeluarga terpaksa makan biji getah dan ada waktunya mereka hanya makan ubi kayu. Di era awal pasca merdeka pula, Zainal terpaksa mengayuh basikal pergi-balik sejauh 36 batu untuk belajar di High School Muar.

Hari ini saya siarkan cebisan kisah hidup Saudara Zahari untuk dikongsikan dengan anak-anak bangsanya “yang tidak pernah merasakan kesusahan untuk mendapatkan pelajaran tinggi tanpa DEB,” yang “tidak mempunyai sejarah tersendiri untuk menilai apa yang ada sekarang ini,” yang “tidak mempunyai semangat dan jatidiri” yang unggul untuk memartabatkan bangsa, serta yang “sanggup menggadaikan dasar perjuangan untuk mendapat keuntungan peribadi.” Kisah hidup Zahari sepenuhnya adalah seperti berikut:

Walaupun saya bukan seangkatan dengan Datuk dan rakan-rakan Datuk yang lain, saya dapat merasakan bagaimana susahnya untuk menimba ilmu bagi memperbaiki diri kita di masa depan.

Saya merupakan anak ke tujuh dari lapan orang adik beradik. Arwah bapa saya seorang konstabel polis. Beliau meniggal semasa saya berusia 12 tahun. Selepas itu, dengan duit pencen terbitan yang tidak seberapa, ibu saya telah berusaha siang dan malam untuk memastikan semua anak-anaknya boleh berjaya dalam pelajaran. Pada masa itu, ibu saya berniaga nasi lemak secara kecil-kecilan di pasar di kawasan rumah kami.

Alhamdulillah, kami semua berjaya dan sekarang ini telah mempunyai keluarga sendiri.

Bagi diri saya, kehidupan zaman remaja sungguh susah dari segi kebendaan kerana kebayankan kami masih bersekolah. Namun begitu, ibu telah menggantikan kebendaan dengan memastikan bahawa kami semua berjaya dalam pelajaran.

Saya harap tulisan ini dapat dikongsikan oleh kebanyakan anak-anak bangsa saya, terutamanya yang berumur 30 tahun ke bawah, yang tidak pernah merasakan kesusahan untuk mendapatkan pelajaran tinggi tanpa DEB. Mereka ini semua tidak mempunyai sejarah tersendiri untuk menilai apa yang ada sekarang ini. Oleh kerana itu, mereka tidak mempunyai semangat dan jatidiri yang diperlukan untuk memartabatkan bangsa Melayu sehingga sanggup menggadaikan dasar perjuangan asalkan mereka mendapat keuntungan peribadi. - Zahari S, 2:24 AM, 2 Julai 2008.

Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Zahari kerana sudi berkongsikan kisah silam dirinya menerusi blog ini. Saya harap Zahari akan sudi mengirimkan kisah kejayaan dirinya serta adik beradiknya kepada blog ini sebagai motivasi kepada anak-anak bangsanya. Mudah-mudahan coretan hidup ini akan diambil iktibar oleh golongan sasar yang sewajarnya. – Ruhanie Ahmad