Tuesday, May 27, 2008

BATALKAN ISKANDAR MALAYSIA (WPI)?

Majoriti komen berkaitan kehilangan kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Batu Putih yang dikirimkan ke blog kudakepang sejak Jumaat 23 Mei 2008, mendesak pemerintah kita mengkaji semula Iskandar Malaysia supaya projek mega itu dibatalkan buat selama-lamanya.

Iskandar Malaysia diumumkan kewujudannya oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Johor Bahru, Johor, pada 30 Julai 2006.

Pada mulanya, projek mega ini hanya seluas 1,970 kilometer persegi dan dikenali sebagai Pembangunan Wilayah Selatan Johor (SJER). Kemudiannya, ia dikenali sebagai Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), merangkumi kawasan seluas 2,217 kilometer persegi - tiga kali ganda saiz Singapura atau 48 kali ganda keluasan Putrajaya. Selepas PRU12, projek ini dikenali sebagai Iskandar Malaysia

Sewaktu mengumumkan projek mega ini Abdullah berkata: ‘‘Ini cadangan saya. Bukan orang lain yang beri idea ini. Idea ini idea saya untuk memperkasakan pembangunan.. pembangunan yang boleh menjadi pemacu pembangunan negara kita supaya kita dapat mencapai matlamat Wawasan 2020.”


Kata Abdullah lagi, wilayah ini “memberi tanah yang begitu luas. Kawasan ini ada kelebihan. Kawasan ini mempunyai harga tanah yang tidak begitu tinggi berbanding tempat yang lain.”

Bagaimanapun, tidak lama selepas pengumuman Abdullah, satu demi satu kisah kontroversi mengenai projek mega ini mula menjelma.

Pertama sekali adalah mengenai zon akses bebas yang membolehkan sesiapa sahaja daripada Singapura masuk ke wilayah projek mega ini tanpa menggunakan apa-apa dokumen perjalanan. Perkara ini dibantah sekeras-kerasnya oleh rakyat Malaysia. Akhirnya kerajaan pun membatalkan keistimewaan berkenaan.

Seterusnya adalah mengenai penyertaan usahawan Bumiputera atas dasar merit. Maksudnya, semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diterapkan ke dalam Dasar Pembangunan Nasional (DPN) tidak relevan di Iskandar Malaysia. Kontroversi ini berlarutan hingga ke hari ini.

Kemudian wujud pula kisah sebidang tanah yang dipercayai sudah digazetkan oleh kerajaan untuk dijadikan pusat pemerintah pertahanan selatan oleh Kementerian Pertahanan. Gazet ke atas tanah ini dikatakan telah dibatalkan supaya tanah berkenaan dijadikan kawasan pembangunan komersil. Tiada sesiapa memberikan komen mengenai hal ini sehingga sekarang.

Terbaru sekali adalah ura-ura pembinaan sebuah jambatan raya atau super bridge daripada Singapura ke Iskandar Malaysia. Sebuah syarikat perunding dikatakan telah mengenalpasti lokasi paling sesuai untuk super bridge ini. Salah satu lokasi yang dicadangkan adalah daripada Singapura menuju betul-betul ke arah Nusajaya - pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Johor yang baru. Satu kertas kerja mengenai jambatan raya ini sudah pun dibentangkan di persidangan “North of the Border” di Ritz Carlton Hotel, Singapura, pada 27 Jun 2007.

Apa yang menarik mengenai jambatan raya adalah ciri-ciri strukturnya yang kalis bom. Setiap hala lorongnya pula adalah lebih lebar daripada jambatan biasa. Ini kerana jambatan seperti ini lazimnya dibina berasaskan keperluan ketenteraan dan lain-lain perkiraan strategik berkaitan dengannya.

Oleh itu, segolongan rakyat Malaysia prihatin pun berasa cuak dan prasangka akan matlamat sebenar di sebalik ura-ura pembinaan jambatan berkenaan yang kononnya didayausahakan oleh pihak Singapura.

Satu lagi maklumat mengenai Iskandar Malaysia yang tidak dihuraikan oleh Abdullah dan kurang diketahui oleh rakyat jelata adalah kisah di sebalik penubuhannya. Seorang blogger di Johor mendakwa bahawa penubuhan Iskandar Malaysia adalah idea Setiausaha Politik Abdullah bernama Dr. Vincent Lim, bekas anak didik Singapura dan graduan Universiti Oxford.

Sejak di peringkat gagasan, Singapura dikatakan dilibatkan sepenuhnya dalam merangka projek mega ini. Blogger yang sama mendakwa bahawa matlamat akhir Iskandar Malaysia adalah mewujudkan wilayah yang dikenali sebagai The Greater Singapore atau Singapura Raya!

Demikianlah antara profil ringkas Iskandar Malaysia. Kini majoriti rakyat Malaysia, terutamanya warga Johor, bimbang projek mega ini akan menjadi satu malapetaka di hari muka. Mereka bimbang, Iskandar Malaysia mungkin suatu hari kelak dituntut kedaulatannya oleh pihak asing.

Adakah kebimbangan seperti di atas munasabah dan perlu diartikulasikan dengan lebih tuntas dan rinci? Adakah pemerintah kita sensitif terhadap kebimbangan seperti ini? Bolehkah Iskandar Malaysia dibatalkan demi kedaulatan negara di hari muka?

Fikir-fikirkanlah dan sampaikan pandangan ikhlas anda menerusi blog ini. Salam perjuangan. – Ruhanie Ahmad

4 comments:

Carl said...

Salam DR,

Projek WPI ini seharusnya dikaji semula perlaksanaannya. Apa tujuan sebenar projek mega ini dijalankan. Adakah demi kesejahteraan dan kesenangan rakyat atau sekadar mewujudkan ruang bagi kontraktor mendapat projek.

Rakyat kini sudah bijak. Seharusnya kerajaan mendengar pendapat rakyat sebelum projek ini dijalankan. Adakan survey dikalangan penduduk Johor sebagai wakil penduduk yang paling terkesan dengan projek berkenaan.

Jika benar seperti yang DR rencanakan, maka generasi penduduk Johor akan datang pasti akan menerima impak yang besar. Tanahair dimerdekakan dengan penuh pengorbanan. Janganlah biarkan pengorbanan tersebut digadai oleh generasi kini.

tipulagi said...

Berikan jawapan pada soalan in:-
1. Kemana kah akan pergi Bangsa Melayu yang mempunyai tanah-tanah Felda apabila Iskandar Malaysia ini mengambil alih tanah mereka? Adakah mereka akan kekal di dalam IM atau di halau keluar?

2. Apa rasionalnya untuk wujudkan IM ini? apakah dengan adanya Johor Bahru/Kulai/Senai/Pasir Gudang tidak cukup? APa perlu kita lakukan hanya gabungkan bandar setalit ini untuk mewujudkan Metropolis.

asramakapal said...

Satu hari nanti apabila berlakunya isu tuntutan pemilikan hartanah terhadap singapura di WPI..10, 20, 50 tahun yg akan datang..pastinya akan jatuh ke tangan singapura kerana kelemahan pimpinan yang ada pada hari ini. Sepertimana anakcucu hari ini menyumpah seranah kelalaian kerajaan johor melalui surat yang dikeluarkan pada 1953 yg menyebabkan pulau batu putih jatuh ke tangan singapura seperti yang diputuskan oleh mahkamah antarabangsa. malang sungguh nasib bangsa akibat kepimpinan negara yang lemah..

Orang Dapur said...

Nampaknya tergadai lagi lah tanah orang melayu...yang kaya bangsa lain. Kesian melayu.