Friday, May 9, 2008

SELAMATKAN NEGARA-BANGSA
SEMPENA HARIJADI UMNO KE-62

Putera Bentan

Ikut senario politik hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin tergolong sebagai salah seorang pemimpin UMNO yang serius untuk selesaikan nasib malang yang menimpa partinya, BN, kerajaan dan masa depan rakyat jelata. Beliau berani ambil risiko menyatakan kebenaran. Beliau mengenepikan soal kedudukan demi kepentingan negara-bangsa.

Tapi agak aneh bila suara dan tindakan Muhyiddin, sama seperti suara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah, nampaknya macam tidak diterima baik oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO, BN dan kerajaan. Lain-lain personaliti di peringkat pusat, negeri dan bahagian juga seolah-olah dirasuk sindrom pak turut belaka.

Jika inilah corak dan rentaknya wadah perjuangan utama negara-bangsa Malaysia, alamat haru-birulah destini kita bersama. Ini mesti dielakkan dari berlaku. Keputusan segelintir minoriti yang berkuasa tidak seharusnya dipaksakan ke atas rakyat jelata yang jadi sumber kekuasaan dan mempunyai aspirasi yang berbeza.

Saya cadangkan Mahathir, Razaleigh dan Muhyiddin gemblengkan minda dan tenaga dengan segera demi agama, bangsa, negara. Pemimpin peringkat negeri, bahagian dan akar umbi wajar berikan sokongan penuh kepada gabungan ini untuk menyelamatkan negara-bangsa.

Ketepikanlah polemik siapa akan jadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri selepas Abdullah. Semua ini hanya diversion untuk alihkan fokus kita kepada masalah yang sebenar, mendesak, strategik dan utama.

Apa kata kalau kita mulakan misi menyelamatkan negara-bangsa ini secara serius, terancang, menyeluruh dan berkesan mulai 11 Mei 2008 – harijadi UMNO 62 tahun? Mulai tarikh ini, seluruh cawangan, bahagian dan badan perhubungan UMNO di seluruh negara perlu adakan sesi muhasabah diri. Sesudah itu, kita salurkan hasilnya kepada Mahathir, Razaleigh dan Muhyiddin. Moga-moga gerakan penuh sopan dan santun ini menghasilkan manfaat yang kita mahukan. Mudah-mudahan kita diberkati Allah dalam usaha ini. Mudah-mudahan kita berjaya.

Nota: Pandangan di atas adalah reaksi kepada posting Suara Muhyiddin (4). Cadangan ini amat menarik kerana UMNO berusia 62 tahun pada Ahad, 11 Mei 2008. Soalnya, berapa ramai warga UMNO sanggup dan sedia bertindak seperti yang disarankan oleh Putera Bentan? – Ruhanie Ahmad

No comments: