Tuesday, January 8, 2008

SIAPAKAH PM MALAYSIA
PADA SAAT & KETIKA INI?

Di bawah ini adalah dua pucuk berita yang amat menarik daripada Bernama 7 Januari 2008. Kedua-duanya mendorong saya bertanya kepada diri saya sendiri, siapakah Perdana Menteri Malaysia pada saat dan ketika ini?

Lantaran itu, kedua-dua berita ini wajar dikaji oleh rakyat jelata seluruhnya untuk mendapatkan gambaran terhadap kelemahan pentadbiran negara ketika ini, hinggakan ada seorang anak muda yang berlagak seolah-olah dia lebih berkuasa daripada Perdana Menteri, dan hinggakan ada orang asing yang bersuara seolah-olah dialah Perdana Menteri Malaysia yang kita berikan mandat untuk menguruskan negara tercinta ini.

Berita Pertama

Malaysia Tidak Akan Hadapi Keperitan Ekonomi - Kuan Yew

SINGAPURA, 7 Jan (Bernama) -- Malaysia akan mengalami pertumbuhan ekonomi yang sihat tahun ini berikutan terdapat tanda-tanda yang positif, kata bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew.

Beliau berkata harga minyak yang tinggi pada masa ini dan komoditi Malaysia seperti minyak sawit dan lain-lain akan memberikan hasil yang baik untuk negara itu tahun ini.

Lee bercakap pada makan malam gala ulang tahun ke-40 Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS).

Beliau berkata walaupun Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan yang rendah iaitu 5.6 peratus berbanding 5.7 peratus tahun lepas, negara itu tidak akan menghadapi keperitan ekonomi.

Lee menyatakan bahawa Malaysia melaksanakan projek ekonomi yang besar seperti membangunkan seluruh negara melalui plan bersepadu di bawah pembangunan wilayah ekonomi koridor selatan, timur dan utara. - BERNAMA
http://web6.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=306536

Komen: Apa perlunya LKY bersuara seolah-olah dialah jurucakap kepada Abdullah dan Kerajaan Malaysia? Apa ertinya tindakan seperti ini? Malaysia sebahagian daripada Republik Singapura? Abdullah berada di bawah telunjuk LKY dan Singapura? Atau, inilah buktinya bahawa Abdullah memang sudah hilang kawalan terhadap kerajaannya?

Berikutan berita di atas, ayuh kita nantikan apa reaksi Khairy? Adakah Khairy akan melalak supaya LKY tak boleh buat kenyataan bagi pihak Abdullah dan Malaysia? Apa reaksi Menteri Luar? Adakah Menteri Luar akan mengirim nota kepada LKY supaya jangan bertindak seolah-olah dialah PM Malaysia? Apakah reaksi Abdullah? Adakah Abdullah akan insaf bahawa inilah contoh dan buktinya bahawa Singapura kini memang tidak hormat kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan berwibawa? Atau, adakah Khairy, Syed Hamid dan Abdullah akan hanya termangu-mangu kerana yang buat kenyataan di atas adalah LKY?

Berita Kedua

Khairy: Hanya PM Berhak Mengulas Tarikh Pilihan Raya

KEPALA BATAS, 7 Jan (Bernama) -- Naib Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata hanya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mempunyai kuasa mutlak dan berhak untuk mengulas mengenai tarikh pilihan raya.

"Tak perlu tanya (tarikh pilihan raya) kepada ahli politik atau menteri termasuk juga Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman)...saya tidak faham kenapa dia kata pilihan raya semakin hampir," katanya yang tidak mahu mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi mengenai tarikh pilihan raya umum ke-12.

Khairy berkata demikian apabila ditanya pemberita selepas merasmikan program Keluarga Bahagia Masyarakat Ceria anjuran Yayasan Budi Penyayang di sini hari ini.

Diminta mengulas mengenai demam pilihan raya yang semakin dirasai, Khairy berkata ada pihak yang mula menjadikan isu semasa seperti masalah kekurangan minyak masak dan yuran sekolah sebagai isu politik.

"Suhu demam pilihan raya terlalu tinggi sehingga apa sahaja tindakan yang dibuat oleh kerajaan dianggap untuk memenuhi kehendak pilihan raya," katanya. - BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=306502

Komen: Siapa Khairy? Kalau orang lain tak boleh buat spekulasi atau apa-apa kenyataan pasal PRU 12, kenapa Khairy malang-malang dan lintang-pukang boleh buat kenyataan membidas Pengerusi SPR? Adakah ini bermakna Khairy adalah sinonim dengan Abdullah atau Abdullah adalah sinonim dengan Khairy? Apa kedudukan Khairy dalam kerajaan Malaysia? Berapa lama lagi rakyat Malaysia perlu diperbodohkan dengan karenah seperti ini?

Akhir kata, haruskah kita biarkan karenah menjolok mata seperti ini berterusan? Atau, apakah yang harus kita lakukan supaya karenah seperti ini tidak akan berulang di masa depan?
– Ruhanie Ahmad

No comments: