Sunday, January 6, 2008

Catu Beras Di zaman Penjajah
Catu Minyak Waktu Merdeka?

Saya dibesarkan di sebuah kampung terpencil di pesisiran Sungai Simpang Kiri, Batu Pahat, Johor, di zaman pra-merdeka, pada awal tahun 1950-an.

Ketika itu zaman susah, zaman derita, zaman seksa. Majoriti orang Melayu hidup dibelenggu kemiskinan. Mereka adalah insan-insan yang dilupakan - warganegara tanpa wajah di tanah air sendiri.

Antara fenomena hidup yang sukar dilupakan ketika itu adalah catuan beras. Penjajah memperkenalkan dasar untuk mencatu beras kepada rakyat desa kononnya sebagai satu strategi memerangi gerombolan pengganas komunis yang berjuang di belukar, hutan dan belantara.

Strategi itu dilaksanakan kononnya untuk menyekat rakyat desa membekalkan beras yang berlebihan kepada pihak komunis - musuh nombor satu negara ketika itu.

Dijajah

Orang kampung yang dijajah tidak boleh berkata apa-apa. Walaupun kampung mereka agak jauh daripada Yong Peng, Pagoh dan Bukit Kepong – beberapa kawasan hitam yang disifatkan sebagai sarang komunis di sekitar Batu Pahat dan Muar pada ketika itu – dasar catuan beras tetap dikenakan ke atas mereka.

Jumlah catuan beras ditetapkan mengikut jumlah anggota sesuatu keluarga. Lebih jelas lagi, catuan beras dibuat mengikut jumlah “kepala” dalam setiap keluarga.

Orang kampung saya namakan beras itu sebagai “beras ayam”. Warnanya agak kuning dan berlapok. Baunya juga hapak. Beras itulah yang jadi makanan utama orang kampung saya di zaman penjajah.

Saya tidak ingat jumlah sebenar beras yang diizinkan untuk satu “kepala”. Bagaimanapun, jumlah beras yang boleh dibeli pada setiap bulan hanya membolehkan setiap keluarga makan nasi sekali sehari.

Ini bermakna, kalau sesuatu keluarga makan nasi di sebelah tengahari, keluarga itu hanya makan ubi, keladi, pisang atau keledek sahaja di sebelah malam.

Kiub Ubi

Tetapi, kalau jumlah beras catuan itu hendak dijadikan hidangan makan tengahari dan makan malam, maka beras itu terpaksalah dicampurkan dengan ubi, keladi atau keledek yang dicincang dalam bentuk kiub kecil berukuran setengah sentimeter.

Begitulah kisah catuan beras yang pernah saya alami di zaman penjajah. Segala-galanya berlaku kerana negara ini dijajah.

Bagaimanapun, kemudian hari saya dapati, “beras ayam” adalah “unpolished rice” yang kaya dengan zatnya. Alhamdulillah! Saya juga dapati, ubi kayu atau kasava pula kini bahan makanan kesihatan yang glamour kerana ia mempunyai kualiti istimewa untuk mencegah kanser. Alhamdulillah!

Kedua-dua hakikat di atas menyebabkan generasi pra-merdeka seperti saya tidak menyesal dibesarkan dengan memakan “beras ayam” dan “kasava”.

Merdeka

Tapi, hari ini apa ceritanya? Malaysia sudah merdeka. Malaysia pengeluar minyak sawit terbesar di dunia. Kenapa perlu kerajaan mencatu minyak masak kepada rakyatnya di zaman merdeka?

Ke mana perginya minyak sawit kita? Kenapa para peruncit yang dituduh sebagai punca minyak masak terpaksa dicatu? Apa kisah pengeluar minyak masak? Tidakkah mereka merupakan culprit paling besar?

Rakyat mesti bertanya secara tegas kepada kerajaan. Kenapa jadi begini? Kalau kerajaan catu jualan gula, ok, kerana kita bukan pengeluar gula. Ini kita kena catu minyak masak yang majoritinya daripada minyak sawit. Mana perginya minyak kita? Kenapa kerajaan seolah-olah hilang kawalan?

Adakah majoriti minyak sawit kita dijual kepada syarikat pengeluar bio-diesel? Adakah minyak sawit kita dieksportkan secara besar-besaran tanpa kuota? Atau, adakah pihak yang sengaja menimbulkan artificial shortage ke atas bekalan minyak masak kerana mereka mahu naikkan harga?

Dasar

Pokoknya, adakah kerajaan mempunyai satu dasar keselamatan terhadap bahan-bahan makan? Dasar ini perlu untuk memastikan pada sesuatu masa, bekalan bahan-mahan makanan adalah mencukupi. Ini penting kerana kekurangan bahan-bahan makanan yang mneruncing boleh menyebabkan krisis dan huru-hara.

Oleh itu, ambillah iktibar daripada dasar keselamatan makanan yang membabitkan bekalan beras. Malaysia mempunyai dasar ini. Sebab itulah manipulasi harga beras dan bekalan beras dapat ditangani secara berkesan. Sebab itulah harga beras di Malaysia tidak jadi seperti di Guinea, Afrika Barat, sehingga menyebabkan kerajaan negara itu digulingkan oleh rakyat jelatanya bila harga beras melambung-lambung dan gagal ditangani oleh oleh pemerintah secara berkesan.

Saya yakin Datuk Seri Shafie Apdal mampu menangani masalah minyak masak ini. Tak payahlah libatkan Timbalan Perdana Menteri atau Perdana Menteri untuk menyelesaikannya. – Ruhanie Ahmad

10 comments:

bakaq a.k.a ~penarik beca said...

Datuk, mungkin harga beras boleh ditangani sebab lebih kurangnya perniagaan beras dikuasai oleh Bernas, yang dulunya agensi kerajaan.

Rata-rata para pegawai Bernas tak akan berani lawan gomen.

Tetapi mengapakah kerajaan menikus dengan segala raja? Tak kiralah raja gula ka, raja tepung ka...

Saya benci sungguh melihat KPDNHEP yang hanya berani dengan para peniaga kecil, mamak roti canai... Merekalah yang sering sering menjadi sasaran setiap kali raja-raja jahat itu menaikkan harga.

Raja-raja itu terus bermaharajalela tanpa diusik sikitpun oleh KPDNHEP atau kerajaan Abdullah Ahmad Badawi.

jjueco said...

Datuk,

Makan nasi yang bercampur ubi, jagung atau keledek bukan perkara yang aneh bagi orang kampung saya di zaman 1980-an. Itu cara kami berjimat.

Saya juga sempat meninjau beberapa pasaraya pada hari ini dan nyata memang bekalan tidak ada melainkan beberapa minyak masak berasaskan sayur-sayuran yang jauh lebih mahal.

Sememangnya pelik, kita pengeluar terbesar minyak sawit dunia tapi mengalami masalah kekurangan bekalan. Tak masuk akal sama sekali. Terdengar alasan kononnya ada kemungkinan disebabkan subsidi yang diberikan oleh Kerajaan maka pihak pembekal/pengeluar lebih 'terpanggil' untuk menjual minyak masak ke negara jiran. Alasannya mudah, harga lebih mahal berbanding pasaran domestik. Tetapi betul ke begitu?

Kenapa ianya bersifat bermusim, selepas suatu ketika keadaan menjadi normal. Begitu juga isu kekurangan gula pada tahun lepas. Ianya bersifat sementara. Apa yang berlaku sebenarnya?

1. Adakah pihak-pihak tertentu cuba nak 'menguji' sejauhmana Kerajaan mempunyai kawalan?

2. Atau mewujudkan tekanan pada 'pihak-pihak tertentu' untuk 'maksud-maksud yang tertentu'?

Saya terfikir apa akan jadi kalau dizaman ini tiba-tiba ada catuan beras? Ada kemungkinan ke?

lamandau said...

Memang benar Datuk ctuan yang dikenakan oleh penjajah dizaman dharurat pertama sebagai rancangan 'food denail" dibawah Briggs Plan merupakan streteji melawan kominis diatas dasar menafikan pengganas kominis bekalan makanan ruji. Dengan catuan tersebut betul-betul memberi kesangsaraan kepada pengganas kominis dan membawa kepada begitu ramai yang menyerah-diri kerana tidak tahan menanggung kelaparan. Usha tersebut amat diperlukan waktu itu dan kita seharus berterimakasih kepada penjajah kerana persekutuan tanah melayu gagal di tawan kominis!!

Saya pun terasa hairan dan takjub, dengan fenomena kekurangan bekalan minyak makan yang mendorong kerajaan mengenakan catuan pembelian bahan tersebut. Sama dengan apa yang dipersoalkan olih Datuk, kemana perginya kelapa sawit kita? Adakan pengeluaran bio-fuel sudah menjadi suatu perusahaan mega yang telah menggunakan semua hasil kelapa sawit kita? Betulkah kilang bio fuel memang ujud? atau hanya tinggal sebagai angin2 mat jenin sahaja!! Kalau kelapa sawit kita masih banyak pengeluarannya , tak semua di ekspot!! Berkemungkinan besar fenomena kekurangan bahan ini diada2kan untuk memaksa kerajaan menaikkan harganya spt yang berlaku kepada komoditi lain!! APa yang Shafie Afdal bolih buat , berkemungkinan beliau bersengkokol dalam hal ini. Saya ingat bahagian penguatkuasa kementeriannya telah diperbesarkan, tetapi tidak efektif juga!! Kita minta Kementerian Peter Chin beri sedikit maklumat tentang kedudukan tanaman kelapa sawit dinegara kita!!

Kamalkamal said...

Datuk,

Sebelum ini terdapat kekurangan bekalan gula dan tepung. Bila kerajaan setuju naikkan sedikit harga, bekalan pun kembali pulih.

Semua ini strategi pengeluar yang mahukan harga minyak masak dinaikkan. Memandangkan minyak masak sebagai barang kawalan, strategi mengurangkan bekalan dilaksanakan.

Apa yang pasti ini membuktikan bahawa menteri yang bertanggungjawab tidak mampu melaksanakan tugasannya dengan baik.

Bermula dari bosnya (AAB) hinggalah kepada anak buahnya, hingga kini kita tidak nampak bakat dan keupayaan mereka untuk membela rakyat. Rakyat akan terus menderitakan dengan kenaikan harga barangan yang tidak henti-henti. Barang kawalan pun boleh dinaikkan, apalagi barangan yang tidak tersenarai sebagai barang kawalan.

Apa yang pasti tahun 2008 ini akan menyaksikan lebih banyak kenaikan harga samada barangan ataupun perkhidmatan. Ianya akan lebih rancak lagi selepas PRU-12 nanti.

joe penang said...

Bagi saya ni semua skrip lama. Bekalan berkurangan di pasaran kerana pembelian panik. Bekalan diseludup ke negara jiran. Pelbagai alasan diberi.

Paling pelik kerana Malaysia pengeluar minyak sawit utama dunia. Pas ini jangan pelik kalu ayam kurang di pasaran. Pengguna panik dan membeli terlalu banyak ayam. Pirah!

Lebih afdhal menteri KPDNHEP letak jawatan. Macholah cam menteri Kesihatan.
PM kita tak teringin nak joint ka?

Dr. Hamizi said...

shafie apdal tu patut letak jawatan dulu daripada chua soi lek...

ini lah yang saya katakan incompetent minister... walaupun tak ada skandal (ye ke?), tapi bodoh dan lembap pun nak buat apa... buat susah hidup rakyat je...

puteramaya said...

Di bawah ini saya poskan komen daripada Naza yang dikirimkan menerusi e-mail. Komen ini saya siarkan tanpa sebarang perubahan. Terima kasih.

Catu Beras Di zaman Penjajah
Catu Minyak Waktu Merdeka?

Aslkm Datuk,

Selamat tahun baru. Saya ingin komen berkaitan tajuk di atas.

Amat malang sekali negara kita Malaysia. Negara lain menyambut tahun baru dengan penuh bergaya dan kemegahan tapi kita warga Malaysia menyambut tahun 2008 dengan penuh keaiban dan kebodohan. Saksikan:

1. Skandal Seks Menteri.
2. Menteri Pelajaran bebal & syok sendiri (suruh mak bapak ambil balik duit).
3. Polis dah pandai berbohong (mohon permit perhimpunan kata GMI tak mohon).
4. Perdana Menteri diberi bantal (hari ini dalam sejarah Malaysia punya PM terhina).
5. Menteri catu minyak (satu keputusan yang amat mudah). Rasanya saya pun boleh jadi menteri kalau nak buat keputusan macam tu.
6. Melayu sahaja sering beransur tidak berpeluang menolak.

Saya dah bosan Datuk. Hati saya dah luka. Mata saya dah bengkak. Saya dah dapat bayangkan apa akan jadi pada negara kita tahun ini. Keputusan plihanraya saya dah tahu walaupun belum berlaku. Hati saya remuk Datuk. Terbayang wajah arwah datuk nenek saya, wajah arwah ayah saya ketika mereka aktif berjuang dalam UMNO. Saya generasi 70-an. Terbayang wajah-wajah pemimpin yang saya membesar di bawah kepimpinan mereka.

Mereka begitu berwibawa, tidak pernah kedengaran keputusan yang lemah. Tidak pernah mereka hebahkan jika berlakunya tolak ansur dalam parti (itu namanya amanah).Rakyat hanya tahu semuanya lancar maka perpaduan kaum terus terpelihara. Pemimpin terdahulu tidak pernah menyatakan "ini arahan saya", "ini idea saya", "ini usaha saya". Tapi sekarang, itu semua tiada lagi. Masing-masing cuba menonjolkan diri. Akibat dari itulah kita terpaksa menyambut tahun 2008 dengan penuh keaiban dan kebodohan.

Tidak ada satupun keputusan yang pemimpin sekarang buat untuk kepentingan rakyat. tiada Datuk.

Jika kami generasi 70-an sudah mula menangis. Apa akan jadi pada generasi 2000?

Pikir-pikirkanlah.

Sekian. Wassalam.
Naza.

Unknown said...

Di zaman Pak Lah ni banyak sangat kejadian yang tak masuk akal jadi kenyataan. Mana boleh masuk akal kita kena catuan minyak masak yang dibuat dari minyak sawit? Kita pengeluar minyak sawit no 1 dalam dunia buat gitu, masuk akal ke? Tapi, bawah zaman Pak Lah ini semua terjadi. Pasal apa? Sebab Pak Lah dah tak boleh kawal keadaan!

Saya dengar pengilang minyak sawit untuk dibuat minyak masak ni banyak yang jadi financiers kepada MCA. Sebab tu dia orang main kayu tiga nak naik harga. Pilihanraya kan dah nak sampai.Tentu nak pakai banyak duit kan?

Saya harap citer ni tak betul. Yang sebetulnya Pak Lah tak boleh kawal dia orang. Sebab Pak Lah bagi sangat muka jadi dia orang nak panjat kepala la!

Kalau Pak Lah berhenti, KJ turut hanyut, semua gerenti ok. Kalau dia masih terus duduk jadi PM, tunggu aje la apa lagi bala yang akan tiba!!!!!!

Unknown said...

Saya pun setuju. Semua-semua hal yang tak masuk akal terjadi kerana AAB. Sebab dia orang dah hormat. Komuniti bisnes pun peduli apa pada dia. Pokoknya, sorong ke mana dan tarik ke mana mata gergaji yang ada di tangan pengilang, yang kena hancur adalah rakyat yang jadi pengguna? Sebab apa? Sebab ada menteri. menteri yang guna dan ada bos pun bos yang tak ada guna. Akhirnya, rakyat merana.

chua habag mai said...

Mana dan kemana pengilang minyak masak, mana pembungkus minyak masak?, mana dan mana? merek semua mendapat SUBSIDI melalui pelepasan cukai jualan ke atas "packaging Material" di bawah Sales Tax (Exemption Order)dll. Maknanya beli bahan pembungkus tanpa kena cukai untuk mengurangkan production cost.

mana mereka semua Dato' Ron? kenapa KPDN HEP tidak membuat RTD dengan mereka semua?, apakah sandiwara ini? . Minyak masak adalah 'control item' di bawah Akta Kawalan Bekalan 1972, hanya pihak yg ada permit sja boleh mengilang, menyimpan. Mana semua?

seharuslah dibuat RTD oleh Menteri HEP dengan Pengilang,pemborong berkaitan minyak, Menteri berkuasa boleh arah dan panggil bila-bila masa mereka ini?, adakah mereka menggunakan khidmat David Padang Tembaga (Copperfield) untuk menghilangkan minyak. Benarlah seperti kata-kata Pendapat "Pilihlah Menteri yang berkelayakan bukan yang suka berangan!-ANAK KERAMAT.,