Thursday, October 11, 2007

Sambutan Aidilfitri Bukan Lagi Ibadat?

Cetusan hati Halem FD yang disiarkan dalam ruangan forum Utusan Malaysia 10 Oktober 2007, seperti di bawah ini amat menjentik pemikiran saya. Lantas saya cedok ke dalam blog ini sebagai renungan bersama sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini. – Ruhanie Ahmad

Apa itu Hari Raya? Pada loghat atau pada bahasa, raya ertinya besar atau utama. Jalan raya ialah jalan yang besar atau utama. Pasar raya ialah pasar yang besar. Bandar raya pula ialah bandar yang besar dan utama.

Apakah hakikat Hari Raya yang sebenar sehingga ia dianggap sebagai hari yang besar? Kalaulah benar Hari Raya itu hari yang besar, bagaimana patut kita menyambutnya. Apakah yang patut kita buat pada hari itu? Bagaimana patut kita mengisinya?

Adakah pada setiap Hari Raya kita perlu tukar langsir, perabot dan permaidani? Adakah sempena Hari Raya, kita perlu beli pakaian dan kasut baru? Kita menjamu selera dengan bermacam-macam kuih-muih dan juadah yang enak dan lazat.

Atau adakah pada Hari Raya patut kita berseronok dan bersuka ria dengan majlis hiburan lengkap dengan muzik, nyanyian, joget dan tari menari. Kita adakan atau kita tonton pertunjukan hiburan Hari Raya. Atau kita bermain mercun, bunga api dan meriam buluh.
Atau adakah cukup Hari Raya itu disambut hanya dengan bersembahyang Hari Raya, mengirim kad Hari Raya, berziarah, menjamu selera dan bermaaf-maafan.

Bagi orang Melayu, Eid Fitr dinamakan Hari Raya Puasa. Perkiraan dan kira bicara dalam hal ini sangat senang dan mudah. Ia dinamakan Hari Raya Puasa kerana ia disambut selepas bulan puasa. Ini sebenarnya mudah yang sudah terlebih. Cara mudah memberi nama seperti ini tidak memberi gambaran atau maksud yang sebenar.

Maksudnya tersimpang dan lari daripada apa yang dikehendaki oleh agama dan syariat. Ia menimbulkan kekeliruan dan salah faham. Lama-kelamaan orang Melayu terutama yang tidak mengaji agama, tidak tahu kenapa dan mengapa mereka menyambut Hari Raya Puasa. Mereka juga tidak tahu bagaimana Hari Raya Puasa patut disambut.

Mereka kira Hari Raya Puasa itu ialah hari untuk berseronok, berpesta dan bersuka ria. Hari untuk berbelanja, membazir dan bermewah-mewah. Hari untuk melepaskan geram setelah sekian lama disekat dan dikongkong nafsu mereka.

Mereka sedih kalau tidak dapat baju raya dan kasut raya. Sedih kalau tidak dapat tukar langsir baru, perabot baru atau permaidani baru. Bagi yang lebih tua, Hari Raya Puasa jadi hari nostalgia dan hari melayan perasaan. Ingat anak, ingat cucu yang tidak balik pada Hari Raya.

Sambutan Hari Raya Puasa sudah tidak lagi menjadi suatu ibadat. Ia sudah bertukar menjadi adat dan istiadat. Dengan rumah terbuka, Hari Raya to get together dan berbagai-bagai lagi cara sambutan pada masa ini. Para artis dan penghibur pula sibuk dengan show Hari Raya dan album Hari Raya.

Dalam Islam tidak ada Hari Raya dalam konteks yang difahami oleh orang Melayu. Tidak ada hari untuk tukar langsir, perabot dan permaidani. Tidak ada hari untuk membeli baju atau kasut baru. Tidak ada hari untuk membazir dan bermewah-mewah.

Lebih-lebih lagi tidak ada hari untuk berhibur, berseronok, berpesta dan bersuka ria dengan muzik, nyanyian, joget, tari-menari, album dan sebagainya. Yang ada hanyalah hari untuk bersyukur, memuji, memuja dan membesarkan Tuhan.

Hari Raya Puasa dalam Islam ialah Eid Fitr. Eid itu maksudnya mengembalikan, Fitr itu fitrah. Jadi Eidil Fitri itu ialah mengembalikan fitrah manusia kepada keadaan asal semulajadinya yang suci dan murni. Dalam erti kata yang lain, Eidil Fitri bermaksud hari menyambut kejayaan mengembalikan fitrah kepada keadaan asalnya yang suci dan bersih.

Kalau fitrah sudah rosak dan kotor, manusia akan lupa Tuhan. Apabila Tuhan sudah dilupakan, jiwa manusia akan mati. Jiwa manusia tidak boleh hidup tanpa Tuhan dan tanpa berasa bertuhan.

Manusia yang telah mati jiwanya tidak boleh lagi berperanan sebagai insan. Keinsanannya akan rosak. Nafsunya akan bermaharajalela. Dia akan terangsang hanya dengan dunia dan akan benci akhirat. Dia akan suka dengan apa yang Tuhan benci dan akan benci dengan apa yang Tuhan suka. Dia akan mengangkat nafsunya menjadi Tuhan.

– HALEMFD, Kuala Lumpur.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm

1 comment:

SK said...

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin!