Tuesday, December 30, 2008

NEGARA-NEGARA ASIA, TERMASUK MALAYSIA, JADI PENYELAMAT EKONOMI DUNIA?

Bingkisan berita Bernama di bawah ini wajar menggembirakan kita semua. Kaedah pengurusan kewangan Malaysia ilham Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dulunya disifatkan kolot, kini ditiru oleh lain-lain negara maju “untuk meneruskan kelangsungan” masing-masing di era krisis ekonomi global yang kian meruncing.

Hakikat ini benar. Tetapi, adakah juga benar Malaysia tidak akan terjejas teruk akibat krisis ekonomi global ini, bila kerajaan seolah-olah enggan berterus terang akan kedudukan sebenar ekonomi negara mutakhir ini? – Ruhanie Ahmad

Malaysia Mesti Tingkatkan Diri Untuk Lebih Menonjol Dalam Komuniti Antarabangsa

Nor Baizura Basri

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Malaysia perlu meningkatkan usaha untuk menonjolkan kualiti terbaiknya bagi memperkukuhkan kedudukan negara dalam arena antarabangsa susulan krisis kewangan global.

Dalam setiap krisis, pasti ada sinar harapan. Oleh itu, Malaysia perlu mengambil peluang itu dan memain peranan bagi menonjolkan kelebihannya dalam radar antarabangsa.

Beberapa penganalisis berpendapat prestasi Malaysia di peringkat antarabangsa tahun depan dijangka lebih baik berbanding negara lain berdasarkan hakikat bahawa ia adalah antara negara Asean yang masih kukuh walaupun krisis kewangan global sudah berlarutan.

Ketika negara-negara maju bertungkus-lumus menyelamatkan sistem kewangan ala Anglo Saxon yang dibanggakan itu yang kini lumpuh, Malaysia, bersama-sama rakan Aseannya, kurang terjejas akibat krisis itu memandangkan sistem kewangannya lebih terkawal, hasil daripada pengajaran krisis kewangan Asia pada 1997/1998.

Malaysia yang sebelum ini dikritik hebat oleh Barat kerana melaksanakan kaedah yang dikatakan "kolot" yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir semasa krisis kewangan Asia, kini boleh berbangga kerana negara maju lain meniru usaha yang dilaksanakan negara ini untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Penganalisis mengunjurkan bahawa negara-negara Asia dijangka menjadi penyelamat ekonomi dunia tahun depan selepas sistem kewangan Amerika Syarikat (AS) lumpuh, dan kesannya melanda di seluruh dunia.- BERNAMA

Untuk berita sepenuhnya, sila klik:
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsbusiness.php?id=380617

Wednesday, December 24, 2008

SUDI TAK KERAJAAN DENGAN SUARA RAKYAT?

Soal penswastaan IJN sedang jadi topik hangat. Banyak pihak bangkang usaha ini. Kata mereka, ada banyak lagi hospital swasta untuk orang kaya, buat apa nak kuasai IJN? Para doktor pula berkata, doktor pakar pun puas hati dengan gaji di IJN waktu ni.

Jadi, ura-ura penswastaan IJN kini jadi non-issue. Kalau begitu, kerajaan tak payahlah tangguhkan ura-ura ini untuk buat kajian dan sebagainya. Batalkan saja ura-ura ini, dan dengarlah suara rakyat bawahan seperti dalam artikel Bernama di bawah ini. - Ruhanie Ahmad

IJN: Institusi Yang Mempunyai 'Tanggung Jawab Sosial'

Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Jumaat lepas, Kerajaan memutuskan penangguhan keputusannya terhadap permintaan Sime Darby untuk mengambil alih pengurusan Institut Jantung Negara atau lebih dikenali sebagai IJN.

Semasa mengumumkan keputusan Kabinet, Timbalan Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata, keputusan Kerajaan terhadap pengambilalihan tersebut ditangguhkan sehingga satu kajian yang menyeluruh dijalankan oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Kementerian Kesihatan serta Kementerian Kewangan.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, kajian tersebut akan memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat terutama jaminan Kerajaan terhadap tanggungjawab sosialnya.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, orang yang bertanggungjawab terhadap penubuhan IJN, telah menyambut baik keputusan Kerajaan tersebut.

baca lagi di:
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsfeatures.php?id=379813

Tuesday, December 23, 2008

MAJORITI MEREKA ADALAH MELAYU

Berita di bawah ini belum pasti menawan perhatian orang UMNO, walaupun parti tersebut ada Biro Buruh di peringkat induk, pemuda, wanita dan puteri, dari peringkat pusat sampailah ke cawangan. Berita ini juga belum mengambilkira mereka yang akan dibuang kerja oleh Singapura.

Apa yang pasti, majoriti yang kena buang kerja adalah anak-anak Melayu. Jadi ke mana mereka selepas ini? Untuk hadiri kurus re-orientasi? Buat apa kalau kerja tak ada? Buat apa kalau kursus itu habiskan duit kerajaan tapi tak menepati sasaran yang sebenar-benarnya?

Dengan wujudnya berjuta-juta pekerja asing – halal dan haram – di Malaysia ketika ini, apa agaknya dasar tenaga manusia Malaysia dalam sebulan dua lagi?

4,749 BAKAL DIBERHENTI

KUALA LUMPUR 22 Dis. – Trend pemberhentian pekerja diramal serius tahun depan dengan seramai 4,749 pekerja akan diberhentikan oleh 102 majikan dalam tempoh tiga bulan pertama setelah mengambil kira kelembapan ekonomi dunia.

Jumlah pemberhentian pekerja itu adalah angka rasmi yang dilaporkan oleh majikan, kebanyakannya dalam industri elektronik kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) setakat ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa mengulas isu itu berkata, kerajaan kini dalam perancangan untuk menyediakan program latihan semula kepada pekerja yang diberhentikan bagi membantu mereka mendapat pekerjaan baru.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Oleh itu, kita tunggu dan lihat untuk pastikan sama ada orang UMNO dan ramai lagi pemimpin UMNO sensitif terhadap perkembangan pengangguran seperti ini tidak lama lagi. – Ruhanie Ahmad

Sunday, December 21, 2008

CHIKUNGUNYA: PETANDA AKHIR ZAMAN SUDAH HAMPIR?

Kini terdapat penyakit yang tidak pernah kedengaran sebelum ini. Terbaru sekali adalah Chikungunya. Penyakit ini merebak di Johor dan di seluruh Semenanjung Tanah Melayu.

Asal usul penyakit ini tidak diketahui. Adakah ini akibat terlalu ramai buruh asing – haram dan sah – di Malaysia sekarang?

Kalau begitu, dari mana datangnya penyakit ini? Nepal, Pakistan, India, Bangladesh, Mynmar, Vietnam, Tepublik Rakyat China, Filpina atau Indonesia?

20 KES BARU CHIKUNGUNYA DI KEDAH

ALOR STAR 21 Dis. — Kedah mencatatkan peningkatan mendadak jumlah pesakit dijangkiti demam Chikungunya apabila sebanyak 20 kes baru dilaporkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan 77 kes berbanding 57 kes sebelum ini.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Shahidan Hashim berkata sebanyak 18 kes baru dilaporkan di daerah Kuala Muda manakala dua kes di Kampung Watt Padang Peliang di daerah Pendang. - BERNAMA

Tuesday, December 16, 2008

MESEJ KEPADA ABDULLAH: RAKYAT JB MAHUKAN JAMBATAN GANTI TAMBAK JOHOR

Rakyat Johor Bahru mahukan sebuah jambatan baru dibina menggantikan Tambak Johor yang sentiasa penuh sesak. Demikianlah intipati sebuah laporan Bernama yang disiarkan oleh Utusan On-line hari ini.

Oleh itu, berita yang saya siarkan di bawah ini perlulah dikaji sehalus-halusnya oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ini kerana beliau adalah pemimpin yang telah membatalkan pembinaan Jambatan Bengkok untuk menggantikan Tambak Johor di Johor Bahru. Maka, beliaulah juga yang semestinya mengkaji semula permintaan semasa rakyat di Johor Bahru.

HIDUPKAN KEMBALI PROJEK JAMBATAN BARU GANTI TAMBAK JOHOR, KATA PENDUDUK DAN PEMIMPIN POLITIK JB

JOHOR BAHRU 15 Dis. — Bangunan Sultan Iskandar bernilai RM1.3 bilion yang dirasmikan oleh Sultan Johor pada 2 Dis lepas akan beroperasi sepenuhnya sebagai pintu masuk dan keluar negara mulai tengah malam ini.

Bagaimanapun, bagi penduduk dan pemimpin politik tempatan di Johor Bahru, mereka tetap menaruh harapan agar kerajaan dapat menghidupkan kembali projek pembinaan jambatan baru, sama ada bengkok atau lurus, untuk menggantikan Tambak Johor.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, kebanyakan rakyat Johor masih mahukan sebuah jambatan baru yang menyeberangi Selat Johor, menggantikan Tambak Johor yang dibina pada 1923.

“Anda tanya sendiri rakyat Johor sama ada mereka mahukan jambatan baru atau tidak, dan kebanyakan akan mengatakan yang mereka mahukan sebuah jambatan yang baru untuk menggantikan Tambak Johor,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata, kesesakan trafik yang berlaku setiap hari di pusat bandar raya hanya dapat diatasi menerusi pembinaan jambatan baru di selat terbabit.

Menurut Abdul Halim, jambatan baru yang lebih besar dan memenuhi keselesaan pengguna juga dapat meningkatkan kemasukan pelabur dan pelancong asing ke Iskandar Malaysia.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_24.htm

Di bawah ini saya siarkan dua kenyataan Abdullah yang bercanggah mengenai projek Jambatan Bengkok.

Kenyataan Abdullah pada 10 Februari 2006: “Pendirian kita mengenai Tambak Johor ialah kita hendak jambatan baru, sama ada bengkok, lurus atau herot,” kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tegas Perdana Menteri, Malaysia memerlukan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor. Sehubungan itu, Perdana Menteri menyerahkan kepada Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, untuk mengadakan rundingan dengan Singapura.

Kenyataan Abdullah pada 12 April 2006: Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk tidak meneruskan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor. Keputusan Kerajaan ini dibuat setelah mengambil kira suara dan sentimen rakyat Malaysia keseluruhannya terutama berkenaan bekalan pasir dan ruang udara. Kerajaan juga membuat keputusan untuk memberhentikan semua rundingan bersabit dengan jambatan tersebut.

Maka, berasaskan maklumat terbaru yang dipetik oleh Bernama hari ini, benarkah Abdullah membatalkan pembinaan Jambatan Bengkok di JB pada 12 April 2006 berasaskan suara dan sentiment rakyat jelata? Fikir-fikirkanlah sendiri, siapa membohongi siapa? – Ruhanie Ahmad

Monday, December 15, 2008

ADA YANG TAK KENA MENGENAI SURUHANJAYA PELANTIKAN KEHAKIMAN?

Sahabat saya, blogger Datuk A Kadir Jasin, menulisnya dalam blog The Scribe, bahawa “apabila seorang bekas Ketua Hakim Negara berkata Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) boleh mencetuskan masalah dan amaran itu pula ditujukan kepada Ahli Parlimen, saya rasa kita, sebagai rakyat jelata, pengundi dan pembayar cukai wajib turut memberi perhatian.”

Bila saya baca tulisan Kadir, saya juga turut prihatin mengenai sesuatu yang tak kena mengenai soal ini. Oleh itu, saya pinjam tulisan Kadir untuk dimuatkan ke dalam blog ini seperti berikut:

AMARAN MENGENAI SURUHANJAYA PELANTIKAN KEHAKIMAN

A Kadir Jasin

APABILA seorang bekas Ketua Hakim Negara berkata Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) boleh mencetuskan masalah dan amaran itu pula ditujukan kepada Ahli Parlimen, saya rasa kita, sebagai rakyat jelata, pengundi dan pembayar cukai wajib turut memberi perhatian.

Bekas Ketua Hakim Negara yang baru bersara, Tun Abdul Hamid Mohamad, memberi amaran penubuhan SPK yang sedang dibahaskan di Parlimen boleh mencetuskan masalah bagi pemilihan untuk jawatan-jawatan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan.

Justeru itu, beliau meminta perkara ini difikirkan oleh ahli-ahli Parlimen apabila membahaskan rang undang-undang berkaitan dan membuat keputusan mengenainya.

Untuk faedah para pembaca, pembahas dan “followers” (pengikut) blog ini dan bagi memudahkan pemahaman, saya memetik terus laporan Bernama dalam bahasa Melayu seperti berikut:

PUTRAJAYA, 11 Dis (Bernama) -- Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 yang dibentangkan kali pertama di Dewan Rakyat semalam bakal mencetuskan masalah dalam pemilihan pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad berkata masalah tersebut timbul apabila mesyuarat pemilihan dalam suruhanjaya itu akan dianggotai oleh orang-orang yang sama yang mempunyai kepentingan bagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara atau Presiden Mahkamah Rayuan.

"Saya cuma menarik perhatian dan membangkitkan perkara ini untuk difikirkan oleh ahli-ahli Parlimen dalam membuat keputusan mereka," kata beliau kepada Bernama di sini, hari ini.

"Diperhatikan bahawa mengikut peruntukan rang undang-undang ini, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman mempunyai bidang kuasa melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan Hakim Mahkamah Tinggi.

"Juga diperhatikan bahawa suruhanjaya ini akan dianggotai oleh sembilan orang anggota termasuk lima hakim kanan di mana empat daripadanya adalah hakim-hakim yang paling kanan di negara ini."

Beliau merujuk kepada fasal 5 rang undang-undang tersebut yang memperuntukkan Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman dianggotai sembilan ahli terdiri daripada Ketua Hakim Negara sebagai pengerusinya, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Persekutuan serta empat orang yang terkemuka yang dilantik oleh Perdana Menteri.

Menurut fasal 21 rang undang-undang itu, suruhanjaya tersebut akan bertanggungjawab bagi memilih calon yang sesuai dan wajar untuk dilantik sebagai hakim mahkamah atasan.

Calon yang layak untuk pemilihan itu pula perlulah memenuhi beberapa kriteria termasuk mempunyai peribadi moral yang baik, berintegriti serta mempunyai kebolehan menguruskan kes dengan baik.

Dalam temu bual itu Abdul Hamid berkata mengikut peruntukan rang undang-undang tersebut, pemilihan pelantikan seorang pesuruhjaya kehakiman, hakim mahkamah tinggi, hakim mahkamah rayuan, hakim mahkamah persekutuan, hakim besar Malaya dan hakim besar Sabah dan Sarawak tidak akan menimbulkan masalah, tetapi keadaan adalah sebaliknya bagi pemilihan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

"Dalam pemilihan Presiden Mahkamah Rayuan, anggota suruhanjaya iaitu Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak malah Hakim Mahkamah Persekutuan adalah orang-orang yang berkepentingan untuk menjawat jawatan tersebut yang bererti bahawa mereka terpaksa mengecualikan diri.

"Oleh sebab rang undang-undang ini mengkehendaki korum (sic) (bagi mesyuarat pemilihan) seramai tujuh orang, maka ada kemungkinan korum (sic) itu tidak boleh dicapai.

"Keadaan menjadi lebih rumit mengenai pemilihan Ketua Hakim Negara. Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak adalah orang-orang yang berkepentingan dan mereka juga terpaksa dikecualikan. Ini bererti bahawa korum (sic) tujuh orang tidak boleh diperolehi (sic) juga," kata Abdul Hamid, yang telah bersara Oktober lalu.

Malah katanya, jika Ketua Hakim Negara tidak ada pada masa mesyuarat pemilihan hendak diadakan maka mesyuarat itu akan berjalan tanpa kehadiran Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

"Ini akan memberikan dua akibat, pertama korum (sic) tidak akan diperolehi (sic). Kedua ini bererti untuk pelantikan hakim-hakim yang lebih rendah, mesyuarat pemilihan akan dianggotai sepenuhnya oleh ahli-ahli termasuk empat hakim paling kanan tadi, sebaliknya untuk pelantikan hakim yang paling kanan iaitu Ketua Hakim Negara, keempat-empat hakim yang terkanan tidak akan mengambil bahagian dalam mesyuarat itu.

"Ini juga bererti untuk pemilihan Ketua Hakim Negara, mesyuarat itu hanya akan dihadiri oleh anggota yang paling tinggi iaitu Hakim Mahkamah Persekutuan bersama-sama empat anggota bukan hakim yang dilantik oleh Perdana Menteri.

"Adakah ini tujuan sebenar rang undang-undang ini? Saya cuma membangkitkan perkara ini untuk difikirkan oleh ahli-ahli Parlimen sama ada itulah tujuan sebenar mereka yang kelak akan menjadi tujuan Parlimen," tegas beliau.

Ketika ditanya pendapatnya mengenai cadangan penubuhan suruhanjaya itu, Abdul Hamid enggan mengulas sama ada ia patut diadakan atau tidak kerana berpendapat ia adalah soal dasar yang terletak di bawah bidang kuasa Parlimen untuk diputuskan.

Penubuhan Suruhanjaya Kehakiman Malaysia dikatakan bakal mendukung kebebasan berterusan badan kehakiman selain melindungi kepentingan awam berhubung perkara-perkara berkaitan badan kehakiman serta pentadbiran keadilan.- BERNAMA

Tuesday, December 9, 2008

SIRI DUA: NEOBUMIPUTERISME DAN DEB ALA-KOMUNIS?

Ruhanie Ahmad

Soal Dasar Ekonomi Baru (DEB) sudah saya huraikan dalam siri satu. Kini saya tumpukan tulisan ini kepada cadangan pengkajian semula konsep bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tulisan yang mencadangkan kajian ini membuktikan kewujudan segelintir rakyat kita yang terlalu berfikiran out-of-the box sehingga konsep dan dasar penting pun cuba diheret ke kancah polemik tanpa memikirkan impak dan implikasinya kepada peruntukan teras dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, saya tidak pasti sama ada penulis yang mencadangkan pengkajian semula konsep bumiputera dalam Perlembagaan Persekutuan ini menyedari hakikat bahawa jika konsep ini dikaji dan diubah, maka ia akan menjejaskan beberapa fasal teras mengenai bumiputera dalam perlembagaan berkenaan?

Dan, mungkinkah penulis yang saya maksudkan ini juga menyuarakan gagasannya mengenai neo-bumiputerisme ini selaras dengan perkembangan politik Malaysia mutakhir di mana beberapa pihak sedang mempersoal serta mempertikainan bahawa Melayu bukan penduduk asal di negara ini?

Jika hakikatnya demikian, penulis berkenaan (seorang Melayu) bolehlah disifatkan sebagai seorang Melayu yang amat liberal, universalis dan mungkin sudah lupa salasilah bangsanya sendiri.

Malaysian Malaysia

Untuk manfaat penulis ini, saya turunkan di bawah ini sebahagian tulisan saya mengenai bumiputera dalam buku Malaysian Malaysia yang belum pernah diterbitkan seperti berikut:

Berita Harian 5 Mei 1985, telah menyiarkan satu kenyataan politik yang paling menghina Melayu. Kesannya sungguh provokatif dan sungguh menikam kalbu. Kenyataan itu dibuat oleh Perdana Menteri Singapura merangkap Setiausaha Agung PAP ataupun PETIR. Antara lainnya , kenyataan tersebut menyebut seperti berikut:

Bahawa tidak ada satu pun dari ketiga kaum yang terbesar , iaitu Melayu, Cina dan India yang boleh mengaku bahawa mereka merupakan bumiputera lebih lama di Malaysia dari kaum-kaum lain, kerana kesemuanya nenek moyang mereka datang ke Malaysia tidak lebih dari 1,000 tahun dahulu.

Menurut sejarah, orang-orang Melayu mula datang berhijrah ke Malaysia dalam bilangan ramai kira-kira 700 tahun dahulu.

Dari jumlah 39 peratus Melayu itu di Malaysia hari ini, kira-kira satu pertiga baru mendatang, iaitu seperti Datuk Syed Jaafar Albar yang datang dari Indonesia sebelum perang dulu waktu umurnya 30 tahun.

Bangsa Malaysia

Dengan demikian, tidak logik untuk satu-satu kaum menyangka mereka lebih berhak dipanggil bangsa Malaysia.

Berikutan kenyataan di atas, maka gemparlah politik tanahair ketika itu. Pendeknya, kenyataan tersebut cuba memberitahu seluruh dunia bahawa kaum Cina dan India di negara ini juga layak ditakrifkan sebagai bumiputera.

Menurut Dewan Masyarakat Mei 1965, kenyataan Lee Kuan Yew itu telah mengapi-apikan perasaan dengki dan cemburu-mencemburui di antara kaum-kaum yang sedang berhempas pulas hendak mencari dan mempertahankan perpaduan di negara ini.

Kenyataan itu, dengan serta merta melukakan hati serta menimbulkan kemarahan orang Melayu kerana ia menafikan kebenaran sejarah yang telah membentuk dan mengabadikan satu perasaan dalam hati tiap-tiap orang Melayu bahawa negara inilah tanahair nenek moyang mereka semenjak bangsa Melayu wujud di muka bumi.

Dewan Masyarakat mengulas kenyataan tersebut seperti berikut:

Orang-orang Cina, dengan tidak payah mempelajari sejarah, memang biasanya merasa bahawa mereka itu bukan bumiputera negara ini.Sebab mereka tahu datuk nenek mereka mempunyai tanahair dan tanah tumpah darah asal mereka di negeri Cina.

Lee Kuan Yew

Manakala perkataan Lee Kuan Yew itu pula mungkin mendorongkan satu macam perasaan dalam jiwa mereka supaya mencemburui orang Melayu dengan dakwaan baru bahawa mereka pun tidak kurang hak untuk mendakwa sebagai bumiputera juga.

Begitulah sejarahnya isu bumiputera yang dipolitikkan oleh PETIR mulai 1975. Isu ini menafikan keberuntungan kaum Cina yang telah diterima menjadi rakyat yang mempunyai hak-hak dan kewajipan yang sama dengan bumiputera setelah negara ini merdeka.

Bagaimanapun, isu bumiputera ini timbul semula dalam bulan Februari 1969. Pada ketika itu PETIR dan Singapura sudah terkeluar dari Malaysia.

Maka, isu itu pun dibangkitkan oleh wakil “anak kandung PAP.” Pada ketika itu, Pengerusi DAP, Dr. Chen Man Hin, mengusulkan di Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan, supaya perkataan “Bumiputera” digantikan dengan “orang-orang Malaysia yang miskin”.

Adakah cadangan seperti di atas tidak serius? Kenapakah ia disuarakan? Apakah motif di sebaliknya?

Pemecahbelah?

Sebulan sesudah itu, seorang lagi pemimpin DAP, Khoo Soo Giap, telah menyeru Kerajaan Perikatan supaya kononnya jangan “memecah-belahkan” rakyat Malaysia kepada bumiputera dan bukan bumiputera.

Berita Harian 27 Mac 1969 pula melaporkan kenyataan Khoo Soo Giap itu seperti berikut:

Malaysia ditubuhkan berdasarkan pengertian bahawa negara ini tidak akan dikuasai oleh sebarang kaum. Semua warganegara patut mempunyai peluang yang sama.

Sementara itu, bekas Setiausaha Penerangan Kebangsaan DAP, Fan Seong Than, pernah mengkecam taraf bumiputera sebagaimana yang dilaporkan oleh Berita Harian 3 Ogos 1978, seperti berikut:

Taraf bumiputera dan bukan bumiputera yang terdapat di negara ini adalah tidak sesuai lagi setelah negara mencapai kemerdekaannya yang kedua puluh satu.

Pelbagai Kaum

Demi rancangan jangkan panjang masa depan negara, DAP mencadangkan agar rakyat Malaysia dikenali sebagai “bangsa Malaysia” sahaja.

Sekali lagi, kenapakah kenyataan ini dikeluarkan? Tidak seriuskah kenyataan seperti ini. Beginikah corak dan pendirian DAP, sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan pelbagai kaum?

Bagaimanapun, begitulah di antara kenyataan-kenyataan anti-bumiputera yang pernah disuarakan oleh pemimpin-pemimpin DAP setelah PAP-PETIR pulang ke Singapura.

Sebenarnya, kenyataan-kenyataan seperti ini adalah berdasarkan konsep Malaysian Malaysia yang tanpa jemu-jemu diperjuangkan oleh DAP. Kenyataan-kenyataan anti-bumiputera itu berdasarkan konsep Malaysian Malaysia yang dipelopori oleh PAP ataupun PETIR, yang sesudah perpisahan Singapura dari Malaysia, menubuhkan DAP di negara ini.

Contohnya, Lee Kuan Yew, sewaktu berada di London dalam tahun 1984, pernah membuat satu kenyataan yang membayangkan penghinaannya terhadap Melayu. Berita Harian 12 September 1964 memetik kenyataan Lee Kuan Yew dari London seperti berikut :

Tunku Abdul Rahman

Malaysia hidup atau gagal bergantung sama ada kita dapat mencipta satu negara Malaysia atau satu negara Melayu dengan hak-hak istimewa dikhaskan kepada bangsa Melayu.

Allahyarham Tun Ismail Abdul Rahman yang menjadi Menteri Dalam Negeri dalam tahun 1965, telah mensifatkan kenyataan seperti di atas sebagai karut.

Sementara itu, Allahyarham Tun Razak Hussein, ketika itu Timbalan Perdana Menteri, telah membidas kenyataan Lee Kuan Yew itu menerusi satu laporan Berita Harian 5 Julai 1965, seperti berikut:

Kerajaan Pusat tidak mengabaikan hak orang-orang bukan Melayu dalam negeri ini dengan memberi hak-hak istimewa kepada orang-orang Melayu. Hak-hak istimewa kepada orang-orang Melayu ada tercantum (termaktub) dalam Perlembagaan Persekutuan yang telah diterima oleh semua golongan. Rakyat yang taat setia kepada negara ini tidak akan mengkecam Perlembagaan itu.

Demikianlah antara tulisan saya mengenai bumiputera dalam buku Malaysian Malaysia. Saya harap penulis dalam Malaysia Today yang mencadangkan supaya konsep bumiputera dalam Perlembagaan Persekutuan di kaji semula, akan membaca tulisan ini dan membuat satu kesimpulan sewajarnya. Jika beliau masih mahu konsep ini dikaji semula, silah perincian maksud dan cadangannya supaya boleh kita semua membincangkan buruk dan baiknya.

Saturday, December 6, 2008

SIRI SATU: NEOBUMIPUTERISME DAN DEB ALA-KOMUNIS?

Ruhanie Ahmad

Baru-baru ini saya terbaca dua artikel yang agak provokatif dalam sebuah portal berita tempatan. Satu mengenai cadangan supaya konsep bumiputera didefinisikan semula. Dan, yang satu lagi mengenai DEB yang kononnya diinspirasikan daripada sistem komunis.

Artikel pertama ditulis oleh seorang cendikiawan Melayu. Artikel kedua (lebih kepada surat daripada pembaca) ditulis oleh seorang yang menggunakan nama pena Batsman.

Dengan jodol Malaya, land of immigrants... therefore, time for neo 'bumiputera-ism', cendikiawan itu mengusulkan konsep bumiputerisme dikaji semula untuk disesuaikan dengan peredaran masa. Artikel ini sepenuhnya adalah di http://mt.m2day.org/2008/content/view/14932/84/

Sebagai penutup kepada tulisannya, cendikiawan itu berseloroh: Ah.... we still have not understood the philosophy of history. We are not ready to design a blue ocean strategy. [Kita masih belum memahami falsafah sejarah. Kita belum bersedia untuk melakar satu blue ocean strategy.)

Artikel kedua dengan jodol The NEP is a Communist-inspired Policy boleh dibaca di http://mt.m2day.org/2008/content/view/15673/84/. Antara kesimpulan tulisan berkenaan ialah: The NEP is communist-inspired. (DEB adalah sebuah dasar yang diinspirasikan oleh fahaman komunis.)

Kedua-dua tulisan ini mencerminkan tahap kebebasan bersuara di kalangan rakyat Malaysia mutakhir ini. Bagaimanapun, kedua-duanya juga membuktikan kewujudan segelintir rakyat kita yang terlalu berfikiran out-of-the box sehingga konsep dan dasar penting pun cuba diheret ke kancah pemikiran itu tanpa memikirkan latarbelakang sejarahnya serta impak dan implikasinya kepada peruntukan teras dalam Perlembagaan Persekutuan atau pun dasar teras yang dilaksanakan untuk merapatkan jurang ekonomi yang ditinggalkan oleh penjajah.

Saya pernah mengupas DEB serta konsep bumiputera secara ilimiah dan secara tidak formal. Saya akui memang DEB adalah satu dasar yang mirip ala-sosialis bentuknya - bukannya ala-komunis, bukannya ala-Robinhood, bukan ala-Sonan Kalijogo!

Tetapi, hakikat ini adalah secara kebetulan sahaja kerana dasar sosialis adalah dasar yang mesra rakyat, dasar yang digubal untuk rakyat dan dasar yang diperjuangkan oleh kerajan yang berjiwa rakyat.

Jadi, amat meleset sekali kalau ada antara kita berpendapat bahawa DEB diambil semangatnya daripada Buku Merah Mao Tse-Tung, apatah lagi daripada Das Kapital.

DEB adalah dasar yang dilahirkan oleh Tun Razak Hussein daripada peruntukan teras Fasal 153 dalam Perlembagaan Persekutuan. DEB tidak bermatlamat merompak daripada golongan kaya untuk diagihkan kepada golongan miskin di negara ini. DEB adalah dasar perluasan kek ekonomi negara untuk merapatkan jurang masyarakat yang kaya dengan yang miskin secara berhemah untuk tidak menyakiti atau merugikan sesiapa. Matlamat akhir DEB adalah untuk mewujudkan perpaduan nasional dan ketahanan negara.

Anda boleh google sendiri pelbagai lamanweb mengenai DEB. Antaranya adalah: http://ms.wikipedia.org/wiki/Dasar_Ekonomi_Baru. www.faculty.unitarklj1.edu.my/courseweb/aac/pdf/ugb0033/module8.pdf.www.isis.org.my/files/pubs/papers/MAZ_Kompass_220907.pdf dan www.icu.gov.my/icu/pg/dl_direct.php?id=55

Pada 1991, saya terlibat sebagai anggota Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN II) yang bertanggungjawab memansuhkan DEB (NEP) untuk digantikan dengan Dasar Pembangunan Negara (DPN) atau National Economic Policy (NEP). Bagaimanapun, semangat DEB tetap unggul dan terus menjadi teras kepada DPN.

Pelbagai pihak – pribumi dan bukan pribumi, organisasi awam, swasta dan NGO – diwakili dalam MAPEN II. Wakil-wakil parti siasah – komponen BN dan pembangkang pun sama-sama berpeluang menggubal DPN. Bagaimanapun, ada sesetengah parti politik yang sengaja mempolitikkan keterlibatan mereka dalam DPN II untuk merasionalkan pendirian yang negatif terhadap DEB dan DPN.

Jadi, peduli apa kalau DEB atau DPN seolah-olah mirip dasar sosialis? Adakah ini soal pokok dan strategik untuk dijadikan sebab supaya dasar ini diperlekeh dan dipolitikkan secara semberono atas pelantar politik yang sempit?

Tetapi, kalaulah apa yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia selama ini adalah salah, berdosa jugakah puak barat di era rennaisancenya mencedok pelbagai ilmu, discoveries dan pengetahuan Islam di pelbagai bidang sains dan kemasyarakatan untuk dijadikan asas pemodenan, kemajuan serta tamadun mereka yang kini dikagumi oleh sebilangan kita yang terlalu universalis?

Oleh itu, fikir-fikirkanlah semasak-masaknya. Masyarakat pribumi jangan apologetik kepada bukan pribumi mengenai DEB. Masyarakat bukan pribumi pula jangan pertikaikan DEB menerusi perspektif yang mereka populerkan sebagai kontrak sosial.

Pribumi dan bukan pribumi mesti faham bahawa DEB dan semangatnya yang dijelmakan ke dalam DPN adalah hasil penjanaan minda, perbincangan dan pertukaran pengalaman semua pihak dengan secara rasional, berhemah dan penuh perasaan saling menghormati co-existence seluruh rakyat Malaysia tanpa sebarang batasan kaum dan prejudis.

Pandangan saya ini mungkin antik. Tetapi kekunoan ini adalah berasaskan realiti sejarah negara, evolusinya dan masa depannya. Kekunoan ini juga adalah kerana DEB merupakan sebuah dasar yang hidup dan berkembang. Kelemahan pelaksanaannya boleh diatasi. Kecacatan program-programnya boleh diperbaiki. Syaratnya, terimalah DEB dengan dada terbuka. Perbaikilah calat cela serta kelemahan DEB juga menerusi pendekatan cordial dan mesra. – [bersambung di siri akhir]