Sunday, August 31, 2008

MUZAKARAH UMNO-PAS DITERUSKAN

BANGI 30 Ogos - Muzakarah antara UMNO dan Pas tetap akan diteruskan walaupun Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dilantik menjadi ketua pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, muzakarah yang dijalankan sejak selepas pilihan raya umum tidak ada kena mengena dengan politik mana-mana parti.

``Apa yang dibincangkan dalam muzakarah ialah masalah berkaitan perundangan Islam, perpaduan ummah, hukum hakam dan lain-lain permasalahan agama.

``Tidak sentuh langsung mengenai politik atau pembentukan kerajaan. Itu (kerajaan campuran) agenda terakhir bukan agenda ke-126.’’ katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perjumpaan dan Muzakarah bersama Alumni Pengajian Islam Universiti-Universiti (API) di Institut Latihan Islam Malaysia di sini hari ini.- Utusan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_17.htm

LAPORAN TIDAK HALAL?

Laporan Audit 2007 mendedahkan kira-kira 40 peratus daripada sampel produk makanan yang diimport di pasaran tempatan menggunakan logo halal yang bukan disahkan atau dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketika ini, hanya sembilan logo halal diiktiraf Jakim. Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata pihaknya memilih 42 sampel produk makanan di pasaran yang diimport bagi tempoh Februari hingga awal Mac tahun ini dan mendapati hanya 25 sampel menggunakan logo halal diluluskan Jakim.

Selain itu Ketua Audit Negara turut mendedahkan, daripada 45 sampel produk makanan tempatan yang dikaji, hanya 31 menggunakan logo halal yang masih sah, manakala lima produk makanan masih mempamerkan logo halal walaupun sudah tamat tempoh dan selebihnya sembilan yang lain mempamerkan logo bukan dalam senarai halal Jakim.

Baca posting sepenuhnya di:
http://editorialblog.blogspot.com/2008/08/laporan-tidak-halal.html

Wednesday, August 27, 2008

ANWAR TIDAK MUNGKIN JADI PM - MAHATHIR


PUTRAJAYA 27 Ogos - Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa cita-cita Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri seperti yang diharap-harapkannya pada 16 September ini tidak mungkin akan menjadi kenyataan walaupun berjaya memenangi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh semalam.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau percaya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak mampu mendapatkan sekurang-kurangnya 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk melompat parti bagi membentuk kerajaan Pusat.

“Dia (Anwar) fikir bahawa dia boleh beli mereka (Ahli Parlimen BN), tetapi dia mesti ingat ada orang lain boleh menawarkan harga lebih tinggi,” katanya kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Dr. Mahathir mengulas kehadiran semula Anwar dalam Parlimen selepas menewaskan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dengan majoriti 15,671 undi dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh semalam.

Bekas Presiden BN itu menambah, kerajaan harus mengambil pengajaran di atas kekalahan BN semalam dan Pilihan Raya Umum lima bulan lalu.

``Kemenangan PKR bukan kerana parti itu hebat, sebaliknya ekoran kegagalan calon-calon daripada UMNO yang bertanding,'' katanya.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir bimbang kejatuhan populariti BN dalam masa lima bulan sejak pilihan raya umum lalu, tidak hanya akan berlaku di kawasan Permatang Pauh tetapi akan turut memberi kesan ke tempat lain jika berlaku sekali lagi pilihan raya kecil.

Dr. Mahathir seterusnya mengulangi seruannya supaya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan sebagai Perdana Menteri berikutan penurunan sokongan rakyat kepada BN.

``Ini mesej (pengundi) kepada Pak Lah. Tapi saya percaya dia akan tutup telinga dan mata dan akan salahkan sabotaj.

``Mesej bulan Mac tak faham. Mesej kali ni pun kalau tak faham, BN akan kalah teruk pada pilihan raya umum akan datang,'' katanya. – Utusan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_07.htm

Monday, August 25, 2008

TREND PEMILIHAN TAHUN INI

Aloq Staq

Tahun ini amatlah penting bagi ahli UMNO untuk menentukan barisan kepimpinan yang sepatutnya membawa parti kembali kukuh dan boleh mencapai matlamat perjuangan, setelah dimalukan dalam PRU12 baru-baru ini.

Tahun ini dapat disimpulkan adalah tahun pemilihan yang amat penting, paling penting, "maha" penting untuk mengembalikan keyakinan dan moral para ahli-ahli UMNO khususnya dan rakyat amnya. Kepimpinan parti ini sepatutnya sudah sedar bahawa dalam sebuah parti UMNO kini juga telah terpecah kepada beberapa kumpulan.

Dalam UMNO sekarang, ada kumpulan yang tetap kukuh menyokong dan mendokong kepimpinan sedia ada, ada pula yang tidak mahu kepimpinan tertinggi no.1 - tetapi mahukan kepimpinan diberi kepada orang no.2, ada pula kumpulan yang lebih drastik tidak mahu no.1 dan no.2 memimpin - tetapi berkehendakkan orang lain pula yang menjadi pemimpin parti. Ada orang terus tak nak sokong parti - selagi kepimpinan utama tak bertukar tangan. Ada orang sokong peralihan kuasa secara tersusun: dan mereka sudi dengan no.1 terus memimpin sehingga Jun2010 - ada pula yang tidak selesa dengan peralihan Jun2010 dan minta dipercepatkan.

Ini masalah dalaman parti, yang menambahkan lagi rencah dan punca-punca kelemahan parti, sedangkan parti ini dalam masa yang sama sedang dihentam habis-habisan oleh pembangkang dari luar. Tindakan segera untuk memulihkan parti perlu dilakukan segera. Tiada lagi masa untuk memulihkan parti ini.

Sayangnya, trend pemilihan kepimpinan parti pada tahun ini menunjukkan sedikit lagi tambahan rencah masalah kepada parti ... iaitu ada ahli-ahli telah mula dijual beli dengan wang sogokan demi menentukan seseorang calon yang bertanding mencapai matlamatnya menduduki jawatan tertentu.

Walaupun hakikatnya masalah ini adalah masalah yang selalu dihadapi parti sejak sekian lama dahulu, dan masalah ini sukar dihapuskan secara total, tetapi pada TAHUN PEMILIHAN 2008, masalah ini (sogokan wang kepada ahli untuk membeli undi) pastinya akan mengakibat barah PRU12 yang telah melanda parti akan lebih parah serta bernanah kronik dan sudah pastinya matlamat untuk mengadakan satu barisan kepimpinan "bersih" sukar dicapai demi pemulihan parti! ....

Inilah kebimbangan yang YB Datuk Mukhriz Tun Mahathir nyatakan dalam kenyataan akhbarnya baru-baru ini, beliau dipetik sebagai berkata "Dalam keadaan gejala rasuah politik yang sedang berleluasa dalam negara kita sekarang ini, keyakinan saya untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda terhakis. Kalau amalan ini dibiarkan berlaku pada masa ini, saya tidak yakin akan mendapat cukup pencalonan,"

Sebelum itu, Datuk Mukhriz juga pernah mendakwa bahawa terdapat penyelewengan dalam pemilihan di peringkat cawangan Pemuda UMNO di seluruh negara. "Keadaan ini amat merunsingkan saya, kerana saya anggap pemilihan pada tahun ini sebagai yang terpenting dalam sejarah UMNO. Bila berakhirnya pemilihan pada Disember nanti ia akan menentukan timbul dan tenggelamnya UMNO."

Lagi satu trend "BARU" dalam pemilihan kali ini adalah dengan cara memperkenalkan diri sebagai "orang kuat seseorang" demi menagih undi dari akar umbi ...

Baca posting sepenuhnya di:
http://www.mykmutara.net/x/index.php?option=com_content&view=article&id=106:trend-pemilihan-tahun-ini-&catid=34:politics

Friday, August 22, 2008

MERDEKA
Tun Dr. Mahathir Mohamad

1. Tak lama lagi kita akan sambut Hari Merdeka ke-51. Tahun lepas kita sambut Hari Merdeka yang ke-50 dengan gembira kerana ia menandakan setengah abad kita memerintah negara kita sendiri. Dan kita bangga kerana dalam jangkamasa itu kita telah maju jauh kehadapan sehingga mereka yang lama berada di luar negara tidak kenal tanahair mereka apabila kembali. Demikian perubahan yang telah berlaku.

2. Orang asing pula apabila datang pertama kali ke Malaysia tidak percaya ini adalah negara membangun, negara dunia ketiga.

3. Bukan sahaja Kuala Lumpur sudah bertukar wajah dan dipenuhi dengan bangunan pencakar langit, dengan jalan-jalan bertingkat yang bersih dan dihias dengan tanaman bunga-bungaan sepanjang jalan dan lain-lain, tetapi bandar-bandar lain juga memperlihatkan pertumbuhan dan pembesaran, lengkap dengan jalan bertingkat yang penuh sesak dengan kereta.

4. Rata-rata kita lihat kemajuan yang telah dicapai. Jumlah yang miskin telah dikurangkan dan mereka turut bersama bergembira.

5. Rakyat berbilang kaum tidak bermusuh sesama mereka walaupun tidaklah berharmoni seperti yang diharapkan. Namun tiap kali pilihanraya diadakan majoriti pengundi memberi kepercayaan kepada Kerajaan Barisan Nasional kerana beranggapan segala-gala yang dinikmati adalah hasil pemerintahan Kerajaan-Kerajaan BN. Biasanya mereka memberi kemenangan lebih 2/3 daripada kerusi Parlimen.

6. Rakyat Malaysia yang pergi ke negara asing berasa bangga kerana Malaysia dikagumi dan dihormati oleh siapa sahaja yang mereka bertemu apabila sahaja orang asing mengetahui yang mereka dari Malaysia.

7. Mereka menyebut menara kembar Petronas dan perlumbaan Formula 1. Orang Islam asing pula tertarik dengan kemajuan dan kestabilan sebuah negara Islam.

8. Kerana semua ini rakyat Malaysia gembira dan bersemangat untuk menyambut kedatangan Hari Merdeka. Jalur Gemilang dikibar di kereta-kereta dan di bangunan-bangunan. Bukan sahaja Melayu yang bersemangat, Cina, India, Kadazan, Iban dan semua suku kaum di Sabah dan Sarawak memperlihatkan semangat dan kegembiraan mereka.

9. Biasanya apabila tiba bulan Ogos semangat dan kegembiraan rakyat dipertunjukkan dengan pelbagai cara. Jalur Gemilang berkibar di merata-rata tempat. Mungkin saya silap, atau mungkin saya bias (berat sebelah), tetapi bulan Ogos ini rakyat agak muram, tidak gembira dan bersemangat luntur.

10. Mungkin ini kerana kenaikan harga minyak dan lain-lain. Tetapi ternampak ada sesuatu yang lain yang tidak kena yang menyebabkan rakyat tidak gembira untuk menyambut Hari Kemerdekaan.
11. Blogger Sheih Kickdefella telah syor kempen terbalikkan Jalur Gemilang sebagai cara memprotes ketamakan ahli dan pemimpin parti-parti politik tanpa mengira parti mana.

12. Cadangan seperti ini tidak pernah dibuat selama 50 tahun kita Merdeka.

13. Reaksi Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi mudah diramal. Cadangan kempen ini ditafsir olehnya sebagai perbuatan kurang ajar. Dan seperti biasa ugutan dibuat supaya polis akan ambil tindakan terhadap blogger berkenaan. Lain-lain blogger juga dibelasah sebagai tidak berfaedah dan mendatangkan kesusahan kepada rakyat.

14. Cadangan mengibar Jalur Gemilang terbalik dianggap menghina diri sebagai rakyat Malaysia.

15. Tidak terlintaskah dalam hati Dato Seri Abdullah untuk bertanya dan mengambil tahu kenapa cadangan ganjil ini dibuat? Seperti dengan kekalahan BN pada Mac tahun ini, Dato Seri Abdullah menafikan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan BN dan Kerajaan pimpinan beliau yang menyebabkan penyokong BN daripada semua kaum memberi undi mereka kepada parti lawan. Sebaliknya beliau mentafsir merosotnya undi kepada calon-calon BN disebabkan sabotaj dan pihak tertentu tidak mahu beri kemenangan 2/3 kepada BN. Kenapa mereka berbuat demikian tidak dipersoal olehnya, hanya kemarahan dan ugutan untuk bertindak terhadap mereka ini.

16. Macam-macam cara telah dibuat untuk menyedarkan pemimpin ini tentang perasaan tidak puas hati rakyat, tetapi sikap penafiannya menyebabkan semua mesej disalah tafsir dan disalah erti. Dalam keadaan kecewa rakyat maka sukarlah bagi mereka untuk menunjuk semangat dan kegembiraan dengan keriangan sambutan hari Merdeka.

17. Kata seorang daripada kenalan saya, sekarang hanya 10 hari sahaja sebelum hari Merdeka tetapi ianya melihat hanya sebuah kereta sahaja yang memasang Jalur Gemilang.

18. Kata seorang lagi, saya simpan sahaja Jalur Gemilang tahun ini.

19. Tidak ada sesuatu bangsa yang bermaruah yang tidak ingin bebas daripada belenggu penjajahan. Kita lihat di sana-sini peperangan untuk membebas wilayah sendiri sedang berlaku. Kita lihat penderitaan mereka, hidup tidak sempurna, berlari-lari dengan bungkusan harta yang sedikit ke sana-sini. Sekejap-sekejap letupan senjata membunuh dan mencederakan mereka. Inilah nasib orang yang dijajah yang ingin merdeka.

20. Pada tahun 1957 kita merdeka dan harapan kita ialah hidup yang lebih bahagia. Justeru kita rayakan hari keramat ini kerana merdeka difahami dan dihargai oleh semua pihak.

21. Saya percaya kita masih hargai kebebasan kita, kemerdekaan kita. Tetapi sesuatu telah berlaku yang menyebabkan kita tidak begitu gembira pada hari ulangtahun merdeka pada tahun ini. Kita kesal kerana kita tidak dapat buat apa-apa untuk mengembalikan kegembiraan bangsa yang merdeka.

22. Kita bersyukur kerana kita, samada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain suku kaum tidak bersifat ganas, tidak suka pada huru-hara, tidak berminat merusuh. Tetapi pemimpin hendaklah faham kenapa rakyat berasa muram tahun ini. Jangan tipu diri dengan berkata tak benar rakyat tidak gembira. Lihat sahaja berapa ramai yang keluar melihat bunga api. Malangnya ini bukan ukurannya. Ini hanyalah cara untuk melupakan sekejap keperitan hidup rakyat kerana diperintah oleh orang yang tidak mahu faham tentang perasaan rakyat.

23. Saya akan sambut Hari Merdeka tetapi tidak seperti 50 sambutan yang terdahulu. Sesuatu sudah hilang daripada makna kemerdekaan. Mulut sudah ditutup dan apa yang ada dalam hati tinggal tertambat, tidak boleh diluahkan. Kita takut berkata apa-apa kerana polis akan digesa bertindak. Kadang-kadang saya berasa yang kita berada dalam sebuah Police State (Negara bawah kawalan polis). Tetapi ini mungkin sifat keterlaluan saya.

24. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-51. Mudah-mudahan Allah s.w.t. akan membuka hati mereka supaya faham mesej-mesej yang disampaikan oleh rakyat.

http://test.chedet.com/che_det/2008/08/merdeka.html#more